PERBEZAAN ANTARA PHOTOSHOP, ILLUSTRATOR DAN INDESIGN

Adobe Photoshop

Adobe Photoshop merupakan perisian yang paling popular di antara ketiga-tiganya. Keadaan ini menjadikan Photoshop kerap disalah gunakan.

Photoshop adalah perisian yang berasaskan imej raster. Iaitu, imej yang ditentukan oleh bilangan pixel-pixel. Perisian ini sesuai bagi projek-projek yang penyuntingannya kekal dengan saiz-saiz tetap. Ini termasuk dengan penyuntingan gambar-gambar photo digital, web, imej video dan antaramuka aplikasi.

Photoshop kerap digunakan bagi menyunting atau menambah teks di dalam imej. Namun, disyorkan agar membawa imej yang sudah disunting ke dalam Illustrator bagi tambahan teks.

Teks mudah berubah bentuk kerana Photoshop dipengaruhi dengan bilangan pixel imej. Sedangkan, imej di dalam Illustrator berasaskan vector. Sekiranya kerja penyuntingan yang dilakukan bakal dicetak, lebih wajar digunakan Illustrator. Namun, sekiranya teks yang hendak diletakkan itu terlalu banyak, seperti di dalam lembaran majalah atau buku, lebih sesuai digunakan InDesign.

 

Adobe Illustrator

Illustrator tidak digunakan sekerap Photoshop, walau ia mempunyai kelebihan bagi penghasilan rekabentuk grafik. Sekiranya imej yang dihasilkan bakal diubah-ubah saiznya mengikut keperluan, seperti logo, Illustrator wajar digunakan. Illustrator juga sesuai bagi penghasilan lukisan yang berasaskan vector, illustrasi, kad busines dan kepala surat.

Garisan yang dihasilkan didalam Photoshop kerap kelihatan berkotak-kotak di sempadannya. Ini kerana Photoshop yang berasaskan pixel. Hal yang sama tidak berlaku di dalam Illustrator kerana ianya berasaskan vector. Satu formula matematik digunakan bagi menghasilkan garisan atau imej. Hasilnya, jika diubahkan saiz garisan atau imej, pengiraan semula dilakukan bagi menghasilkan imej yang tidak berkotak-kotak di sempadannya. Maka, imej tetap kekal tajam dan jelas.

Sungguh pun begitu, Illustrator tidak mempunyai alatan yang sesuai bagi menyunting dan memotong gambar. Sekiranya kita memerlukan penyuntingan susun-atur yang mempunyai pelbagai mukasurat, maka perisian InDesign adalah lebih sesuai berbanding dengan Illustrator.

 

Adobe InDesign

Perisian Adobe InDesign tidak begitu popular diantara ketiga-tiga perisian. InDesign mempunyai kemampuan yang lebih baik jika digunakan bagi mengendali projek-projek yang melibatkan pelbagai mukasurat serta mempunyai banyak teks. Lebih-lebih lagi sekiranya, projek tersebut memerlukan pengunaan Master Layout.

InDesign tidak mempunyai kebolehan bagi menyunting gambar atau menghasilkan illustrasi. Kerja yang sedemikian itu wajar diserahkan kepada Photoshop atau Illustrator.

Gabungan ketiga-tiga perisian diperlukan bagi menghasilkan kerja yang mantap. Setiap satunya mempunyai kekuatannya yang tersendiri.

 

Sumber dari WAIZ (M) Sdn Bhd