‘TENANG’ IS GOOD

Adik ipar kawan aku meninggal dunia Khamis lepas. Seorang guru wanita yang komited. Berusia awal 40-an. Meninggalkan 5 orang anak yang masih kecil akibat tekanan darah tinggi. Salur darah ke otak pecah. Sewaktu menunggu untuk dimandikan, darah membuak buak tanpa henti dari hidung. Punca kematian hanyalah asbab. Saat ini dia tidak lagi payah memikirkan hal-hal dunia.

Ramai kawan kawan aku dikalangan guru menghidap pelbagai penyakit. Paling banyak darah tinggi. Aku pun tidak terkecuali. Puncanya disebabkan stress dan juga gaya hidup. Ada yang rebah ketika perhimpunan. Pernah aku lihat video seorang guru tumbang semasa membuat persembahan dihadapan murid.

Masuk usia 40-an, aku memilih untuk tenang. Tidak seperti awal awal mengajar dahulu. Aku antara ‘fighter’. Ada sahaja benda yang boleh ditentang, aku akan bangkit. Lawan tetap lawan. Kini aku sedar, terlalu banyak kita berjuang lama-lama kita akan bersendirian juga. Rakan-rakan yang menyokong akan meninggalkan kita. Mereka terpaksa memilih untuk menjaga periuk nasi sendiri. Tiada gunanya kita berjuang bermati-matian, kerana kita sahaja yang akan ‘mati’.

Lantas, usia yang berbaki ini kita harus tenang-tenang sahaja. Menjalankan amanah dengan hati terbuka. Tak perlu marah marah atau menentang lagi. Tidak ada apa yang perlu dibuktikan. Hidup ini hanya sekali. Lakukan tanggungjawab dengan hati terbuka, riang dan gembira. Tak perlu persoalkan apa-apa.

Jika ada masyarakat atau orang di luar sana yang mengutuk atau mempertikaikan kerja buat kita, senyum sahaja. Tak perlu balas semula. Kita anggap mereka sayangkan kita. Ambil berat tentang kita. Sebab itu mereka sentiasa mahu tahu tentang kita. Kerana kita dipilih Allah untuk menjadi mu’alim, mursyid dan murabbi. Tanggungjawab kita besar untuk melahirkan ummah yang cemerlang dunia akhirat. Walaupun nampak remeh dan mudah.

Aku lihat guru-guru ramai yang suka melenting. Pantang dicuit sedikit. Terutama di sosial media ini. Lalu kita dipandang sebagai manja dan asyik merungut. Itu tidak molek kepada ketenangan jiwa kita. Banyak lagi yang kita harus fikirkan. Biarkan kicau-kicau itu berlalu dibawa angin. Hidup kita tenang. Esok lusa hilang begitu sahaja.

Cikgu… kalau hari ini kita terbaring di ranjang hospital, yang berada di sisi kita cuma keluarga. Rakan sejawat hanya ziarah sekali sekala. Rakan-rakan media sosial ini belum tentu hadir merawat duka. Yang datang membawa buah oren dan epal di saat kita tidak mampu lagi untuk menelan. Kalau lama sangat terbaring, yang menyusul hanya Medical Board dan bersara pilihan. Walaupun sebelum ini kau mampu dapat APC setiap tahun. Segalanya akan dilupakan dan hanya tinggal kenangan.

Untuk kita terus berjuang memandaikan bangsa, memerlukan tubuh badan yang sihat. Ia memerlukan minda yang tenang dan sihat. Lakukan segalanya dengan hati yang gembira. Usah pilih untuk bersengketa. Pedulikan sahaja kata-kata nista, fitnah, celaan atau cakap-cakap belakang. Hanya kita sahaja yang faham tentang diri kita.

Pilihlah untuk senyum dan tenang. Because TENANG is good.

P/s: Muka bekeng/bengis ni…senyum habis pun nampak bekeng jugak..

# copy/paste

Leave a Reply