SEGERAKAN TIGA PERKARA

Sabda Rasulullah saw,

Wahai Ali, ada tiga perkara janganlah di lewat-lewatkan. Yang pertama : Solat apabila telah masuk waktunya, yang kedua : Jenazah apabila telah hadir dan yang ketiga : Anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya. 

Dalam hadis ini Nabi saw menyatakan ada 3 perkara jangan dilengahkan….

Yang pertama apabila telah masuk waktu solat, maka bersegeralah menunaikannya.

Para ulama sepakat menyatakan hukumnya adalah HARAM bagi seseorang yang melewatkan solatnya sehingga habis waktu, tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara’ seperti seseorang yang berniat untuk melakukan jama’ takhir ketika bermusafir atau terlalu letih atau tertidur dan sebagainya. 

Dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a, seorang sahabat telah bertanya Nabi saw : “Amalan manakah yang paling utama? Nabi saw menjawab, bersolatlah pada waktunya. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Nabi bersabda, berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa. Aku bertanya lagi, kemudian apa lagi? Nabi bersabda, berjihad di jalan Allah.” (HR Bukhari)

Namun begitu bagi mereka yang mahu melewatkan solat atas alasan seperti yang dinyatakan tadi, janganlah sampai melakukannya di dalam waktu yang diharamkan seperti menunaikan solat Asar sewaktu matahari sudah kuning-kuningan.

Yang kedua, Nabi saw menyuruh kita agar bersegera mengebumikan jenazah iaitu apabila jenazah itu telah selesai dimandi, dikafan dan disembahyangkan. Sabda Rasulullah saw, “Hendaklah kamu segera mengebumikan jenazah (mayat), jika jenazah itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan, dan jika jenazah itu tidak baik bererti kamu melepaskan kejahatan daripada tengkok kamu.” (Muttafaqun Alaihi) 

Dan yang ketiga, Nabi saw menyuruh agar ibu bapa yang mempunyai anak gadis supaya menyegerakan pernikahannya jika sudah ada orang yang sekufu (sesuai) datang meminangnya. Ia bertujuan untuk mememilhara dirinya dari terjebak dengan maksiat dan fitnah. 

Kalau hendak diikat dengan tali pertunangan, janganlah memakan masa yang lama sehingga dua, tiga atau empat tahun kerana bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak elok seperti maksiat dan sebagainya. Paling baik ikatan pertunangan hanya memakan masa enam bulan atau setahun sahaja.

Ibu bapa perlu ingat, bertunang bukan lesen untuk membenarkan anak gadis keluar dengan lelaki tunangannya. Pasangan yang sudah bertunang dan ingin mendirikan rumahtangga hendaklah memelihara tingkahlaku mereka kerana aman damainya rumahtangga bergantung kepada apa yang telah mereka lakukan sebelum berkahwin.

Leave a Reply