KELONGGARAN PENERIMA 2 DOS VAKSIN LENGKAP

Sepertimana yang sedia maklum, telah banyak sektor dilonggar oleh pihak kerajaan demi menggalakkan suntikan vaksinasi dan merancakkan semula sektor ekonomi negara. Namun demikian, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, kelonggaran yang diberikan ini bukan bermaksud kita dah selamat tapi semua itu demi kepentingan kelangsungan ekonomi negara. Jadi, sama-samalah kita terus menjaga diri dan keluarga supaya tidak terdedah kepada risiko jangkitan Covid19 ini.

Berikut kelonggaran terkini yang diberikan kepada penerima kedua-dua dos vaksin..

Dine-in

Pengusaha premis kedai makan disarankan supaya menyediakan lebih banyak ruang tempat makan di bahagian luar premis bagi pengudaraan yang lebih baik.

Pemilik premis kedai makan perlu pastikan mereka yang memasuki premis untuk dine-in mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Pasangan yang telah menerima vaksinasi lengkap dan ingin membawa anak-anak berusia 17 tahun dan ke bawah, pastikan mereka mematuhi SOP yang ketat.

Sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan (outdoor)

Aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

Antara aktiviti yang dibenarkan ialah jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, dan permotoran.

Turut dibenarkan ialah perkelahan dan perkhemahan. Penyertaan individu 17 tahun dan ke bawah dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Pasar malam dan pasar minggu

Pihak penguat kuasa yang berkenaan serta pemilik premis perlu memastikan pelanggan yang memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19.

Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

a) Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

b) Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan.