Zakat Melalui SMS
Monday, August 08th, 2011 | Author: Wan

Sesiapa yang menganggap bahawa adanya teknologi mengundang kepada keburukan adalah individu yang berfikiran sempit. Tidak semua perkara mendatangkan keburukan atau negatif. Hanya cara bagaimana ianya dimanfaatkan sahaja menentukan ianya membawa kebaikan atau keburukan.
Entri kali ini saya ingin berbicara ringkas tentang kemudahan membayar zakat fitrah melalui SMS. Ramai di kalangan kita yang kesibukan dengan urusan kerja seharian sehinggakan tiada masa untuk membayar zakat fitrah di tempat-tempat pembayaran yang disediakan. Malah kemudahan kaunter pembayaran zakat ini telah disediakan di tempat-tempat tumpuan orangramai seperti pasaraya atau laluan pejalan kaki.
“Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah di dalam bulan Ramadhan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.” (Bukhari & Muslim)
Seeloknya zakat fitrah tidak dibayar di saat-saat akhir kerana dibimbangi kesuntukan masa atau terlupa, walaupun kita sedia maklum bahawa zakat fitrah wajib ditunaikan sehingga sebelum solat hari raya. Jika dibayar selepas solat hari raya, bayaran itu hanya dikira sedekah seperti hari-hari biasa sahaja.
Zaman serba canggih ini saya pasti hampir semua orang mempunyai telefon bimbit, tidak kiralah sama ada ianya mahal, murah, pintar atau tidak. Yang pastinya penggunaan SMS sudah menjadi satu kemudahan yang digunapakai untuk berhubung antara satu sama lain dalam kehidupan seharian.
Pihak Celcom dan Maxis telah bekerjasama dengan pihak pusat zakat untuk menyediakan kemudahan umat Islam membayar zakat melalui SMS. Sebenarnya ianya telah diperkenalkan sejak tahun 2008 lagi dan telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor sebagai HARUS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4 2008.
Penggunaan kemudahan ini adalah percuma, caranya seperti berikut (saya memberikan contoh negeri Selangor kerana saya menetap di sini):
Pengguna CELCOM: Taip FITRAH (jarak) SELANGOR dan hantar ke 21999, ikuti arahan seterusnya.
Pengguna MAXIS: Taip FITRAH (jarak) SELANGOR dan hantar ke 22032, ikuti arahan seterusnya.
Selain Selangor, negeri-negeri lain yang terlibat ialah Kedah, Kelantan, Melaka, Perlis, Pahang, Sabah dan Terengganu.
Kadar zakat bagi negeri Selangor tahun ini (2011) ialah RM7 seorang. Kadar zakat berbeza mengikut negeri-negeri tertentu. Caj kadar zakat akan dikreditkan terus bagi pengguna pascabayar manakala kredit dipotong bagi pengguna prabayar (prepaid).
Sebagai rujukan, pembayaran zakat fitrah juga boleh dilakukan melalui internet, mesin ATM dan mesin E-Debit.
Selamat berzakat, ingat bahawa menunaikan zakat itu adalah wajib.


