Home

Tag-Archive for » puasa «

Besarnya Nikmat Pengisian Ramadhan

Friday, July 19th, 2013 | Author:

BULAN RAMADHAN merupakan bulan berkat, bulan rahmat, bulan keampunan serta punya banyak kelebihan. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat bagi mencari keredhaan Allah sepanjang Ramadhan ini, dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Apabila telah tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup semua pintu neraka dan diikat semua syaitan.” (HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad dan Baihaqi)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.” (HR Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Setiap amalan anak Adam adalah baginya melainkan puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa, maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : “Sesungguhnya aku berpuasa, demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditangan-Nya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” (HR Imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan Baihaqi)

“Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun.” (HR Tirmidzi)

Diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Di manakah orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk daripadanya.” (HR Bukhari)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda.” Allah berfirman: “Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku memberikan balasan (pahala) kepadanya, (kerana) dia(orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.” (HR Muslim)

Diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah, nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun.” (HR Bukhari)

Dari Ibnu ‘Umar RA, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Carilah malam qadar itu pada 10 malam yang akhir bulan Ramadhan. Jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada 7 malam yang masih tinggal.” (HR Muslim)

Dari Abdullah bin Umar RA bahwa Nabi SAW bersabda: “Puasa dan Al Qur’an memberi syafaat kepada hamba Allah pada hari kiamat. Puasa berkata, ‘Wahai Tuhanku, aku telah menghalanginya makan minum dan memenuhi syahwatnya pada siang hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Dan Al Qur’an pun berkata, ‘Aku telah menghalanginya tidur pada malam hari, maka perkenankanlah aku memberi syafaat baginya.’ Lalu syafaat keduanya diterima Allah.” (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah RA bahwa Nabi SAW bersabda: “Di dalam bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada umat-umat sebelumnya:

1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan ampunan untuk mereka hingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, ‘Hamba-hambaKu yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan mereka rindu untuk memasukimu.’
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari bulan itu. Para sahabat bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah itu Lailatul Qadar?’ Beliau menjawab, ‘Tidak, kerana orang yang bekerja itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan pekerjaannya.’
(HR Ahmad)

Dari Jabir RA bahwa Nabi SAW bersabda: “Puasa itu perisai yang dipergunakan seorang hamba untuk membentengi dirinya dari siksaan neraka.” (HR Ahmad)

Rasulullah SAW bersabda: “Sahur itu seluruhnya berkat, kerana itu janganlah kamu meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, kerana Allah dan malaikat-Nya memberi selawat kepada orang yang makan pada waktu sahur.” (HR Ahmad)

Sabda Rasulullah SAW: “Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang berpuasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang bermusafir.” (HR Ahmad, Bukhari, Abu Dawud & Tirmidzi)

Nabi SAW bersabda: “Tidurnya orang yang puasa tetap dalam ibadat dan diamnya dianggap tasbih dan amalnya dilipat gandakan dan doanya mustajab dan dosanya diampunkan.” (Riwayat Al Baihaqi)

Rasululah SAW bersabda: “Puasa itu bagaikan perisai, maka apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan jangan berkata kasar. Jika seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan. ‘Aku ini sedang berpuasa.’” (Sahih Bukhari)

Semoga catatan & perkongsian ini dapat membuka minda kita bagi merebut peluang keemasan yang ada di bulan Ramadhan pada kali ini, dan bukannya hanya mula menumpukan kpd persiapan hari raya semata-mata. Selamat meneruskan ibadah berpuasa!

Rujukan: Jakim

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Ramadhan, Rohani dan Jasmani

Friday, July 19th, 2013 | Author:

Ramadhan datang lagi. Bulan yang mulia ini hanya datang setahun sekali. Setiap individu muslim mukmin menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh ghairah dan teruja. Pada bulan ini Allah menawarkan dengan limpah keberkatan dan gandaan pahala bagi setiap kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa yang berpuasa dengan sempurna. Maka untuk menyambut bulan ini pelbagai program telah diatur setiap tahun seperti melantik Imam Hafiz untuk membimbing solah terawih, mengadakan tadarus Quran berkelompok, berbuka puasa beramai-ramai, ceramah fadhilat ramadhan, qiamulai dan sebagainya. Malah terdapat Masjid mengaturkan solat tarawih yang dipimpin oleh Imam yang didatangkan khas dari Timur Tengah. Dengan segala macam program ini menarik minat para jamaah untuk memenuhi ruang masjid dan surau. Ahli jamaah yang jarang-jarang datang ke masjid dan surau pun hadir menunjukkan komitmen sepanjang sebulan Ramadhan. Mungkin itu yang dikatakan tarikan bulan yang penuh keberkatan dan melembutkan hati kepada sesiapa sahaja yang ihklas untuk mencari kebajikan dan pahala.

Dengan aturcara yang padat ini, kita boleh namakan sebagai madrasah terbuka kepada sesiapa yang bersedia untuk mengambil peluang keemasan tersebut. Sebenarnya segala macam program yang diatur ialah sebagai pelengkap untuk mengisi keberkatan dan kemeriahan Ramadhan. Tetapi secara khususnya ialah difardukan berpuasa bagi sesiapa mencukupi syarat seperti umur baligh dan sebagainya. Perkara utama yang dituntut kepada orang berpuasa hendaklah meninggalkan makan minum dan tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Ini bermakna diharamkan kepada kita makan minum di siang hari walaupun ianya makanan dan minuman halal.

Berpuasa memerlukan seseorang yang sangat tinggi disiplin diri untuk menyempurnakan kewajipan puasa yang mempunyai hikmah tersurat dan tesirat. Secara umumnya, kesan positif puasa seringkali menjadi tumpuan kajian. Para doktor perubatan menjadikanya sebagai amalan kesihatan atau sebagai jalan penyelesaian bagi penyakit-penyakit moden yang sukar di atasi oleh rawatan-rawatan canggih hari ini tanpa memberi kesan sampingan. Di kalangan pengamal perubatan moden menganggapnya sebagai penemuan terapi baru. Keajaiban puasa ini memaksa Mark Twain seorang doktor yang terkenal mencadangkan supaya rakan pesakitnya agar berpuasa sepanjang 48 jam. Hal ini dijelaskan oleh Henry G. Bieler dalam bukunya Food Is Your Best Medicine. Namun demikian, sungguhpun hebat fungsi puasa, Islam tidak memberatkan kita seperti cadangan melampau itu.

Dalam Islam, puasa Ramadhan setiap tahun melatih penganutnya supaya kesihatan sentiasa terkawal. Perkara ini pernah dibahaskan dalam kongres antarabangsa di Casablanca Morocco pada 1996 bertemakan Kesihatan dan Ramadhan. Penemuan kongres ini bersepakat merumuskan bahawa puasa adalah satu makanisma penuh berpotensi mencegah dan menyembuh bermacam penyakit yang dihidapi manusia.

Hasil dari kutipan kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli perubatan dan sains makanan, di bawah ini kita boleh senarai pendekkan beberapa kesan yang dianggap sungguh dramatik di kalangan ahli-ahli sains, antaranya seperti berikut:

i. Mendatangkan kecergasan fizkal dan mental seseorang dengan memberi kesegaran pada otot-otot menyebabkan rasa lebih segar dan bertenaga.

ii. Membantu menurunkan kadar racun dan kotoran dalam badan dengan membatasi kalori masuk sehingga menghasilkan enzim antioksida berfungsi membersihkan zat-zat bersifat racun dalam badan .

iii.Memberi keseimbangan dalam darah dan menurunkan tekanan darah tinggi.

iv.Memulihkan hormon, meremajakan sel-sel tubuh dan menambahkan sel darah putih untuk meningkatkan kekebalan tubuh dari penyakit.

v. Menyelesaikan masaalah berat badan disebabkan lemak berlebihan.

vi.Mengatur kadar gula dalam darah untuk mengelakkan penyakit kencing manis.

vii.Menyehat dan merehatkan sistem pencernaan kerana berkerja sepanjang tahun tanpa berhenti.

Sebenarnya Imam Al-Ghazali lebih awal menjelaskan hal ini menerusi karya agungnya, Ihya` Ulummiddin. Tegasnya bencana yang paling besar dalam kehidupan manusia ialah nafsu perut. Selanjutnya secara analisis beliau menyatakan pengambilan berlebihan akan menghilangkan kecergasan serta akan hilang kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya mengundang sikap malas dan melesukan fizikal. Perspektif al-Ghazali menjawab salah tanggapan umum dengan mengambil makanan yang banyak ketika lapar akan menambahkan tenaga terutamanya ketika berbuka pausa. Hal yang sama diingatkan oleh al-Quran supaya pengambilan makanan dan minuman hendaklah tidak melampau (al-A’raf:31). Secara amalinya Rasulullah s.a.w. memberi panduan umum ketika menjamu selera iaitu, satu pertiga diisi dengan makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk penafasan. Tetapi di bawah tekanan rasa lapar, ramai orang gagal mengatasinya kerana dorongan ingin balas dendam disebabkan berlapar sepanjang hari. Lebih-lebih lagi pasar Ramadhan menawarkan beranika juadah makanan tradisi dan moden kadang-kala membuatkan hilang pertimbangan ketika membelinya kerana perut kosong dan dahaga berpuasa. Begitu juga hotel dan restoran berlumba-lumba mempromosikan Bufet Ramadhan untuk berbuka. Ketika berbuka kita disunatkan memakan buah kurma agar memulih kehilangan tenaga melalui gula tulin dan serat buah. Di kala ini juga, kita hendaklah pastikan juadahnya adalah halal serta selamat, dan tiada pengambilan yang makroh seperti merokok. Malah, kebanyakan ulamak mefatwakan merokok adalah haram. Kesilapan atau kealpaan kita mengambil makanan atau minuman yang tidak menepati syariah akan merosakkan ibadah puasa sepanjang hari.

Selain itu, Ramadhan turut menekankan ketepatan pengurusan masa termasuklah metakhir waktu sahur dan berbuka di awal waktu. Manakala pada malam hari disunatkan menunaikan sembahyang solat tarawih berjamaah dan membanyakkan membaca al-Quran. Sebenarnya kesemua ini adalah nikmat cabaran kepada sesiapa mencari keredhaan Allah dan pahala yang berlipat ganda. Mencari limpahan rahmat Lailatulqadar kemuncak cabaran kerana ia berada di penghujung Ramadhan disebabkan sudah “keletihan” dan masing-masing sibuk dengan pelbagai persediaan menyambut hari raya. Puasa Ramadhan hendaklah disempurnakan dengan bayaran fitrah. Budaya berlebihan menyambut hari raya berbanding pengisian Ramadhan harus diperbetulkan. Orang yang menikmati kemeriahan syawal hanyalah bagi sesiapa yang berjaya menghidupkan sepenuhnya Ramadhan dengan merebut segala tawaran dari Allah s.w.t. Bukannya meraikan syawal sehingga terpinggir Ramadhan disebabkan segala macam tawaran istimewa dari gedung-gedung perniagaan ! Fenomena ini seringkali berlaku pada minggu terakhir Ramadhan apabila surau dan masjid mula kehilangan jamaah. Sebaliknya jika dilihat Negara-negara Arab sepuluh malam terakhir merupakan malam kemuncak para jamaah mengimarahkan masjid. Masjidilharam Mekah dan Masjid Nabawi menyaksikan himpunan manusia yang melimpah ruah kerana mengejar fadilat malam al-qadr, tawaran yang datang terus dari Allah s.w.t.

Kalau sekiranya kita menghadapi cabaran puasa hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi generasi awal Islam menghadapinya dalam suasana genting tetapi cemerlang ketika Ramadhan. Masyarakat Islam Palestin, Lubnan, Afghanistan dan Kashmer kini dapat menghayati cabaran itu dalam suasana perang. Ketabahan dan kesabaran yang benar-benar teruji apabila hidup dalam suasana negara yang huru-hara dan tegang di dalam negara sendiri seperti di Iraq, Libya, Mesir dan Syria hari ini. Ancaman yang datang dari luar atau dalam masyarakat Islam tidaklah seharusnya melemahkan kesatuan dan kekuatan ummat Islam sungguhpun berada di bulan puasa. Hakikat kecemerlangan pernah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah dan para sahabat apabila mereka mencapai kemenangan dalam peperangan Badar di bulan Ramadhan dengan jumlah tentera Islam seramai 313 dan sedangkan jumlah musuh berlipat ganda, iaitu 1000 orang. Selepas berpuasa sebulan, mereka juga tetap menunjukkan kehebatan di mana mereka memenangi dua peperangan dalam bulan Syawal, Ahzab dan Hunain. Sudah tentulah kemenangan mereka disempurnakan dengan kekuatan inteligensia, informasi, mental dan strategi yang cekap. Mengikut laras bahasa pengurusan dan motivasi hari ini ialah, mereka dilatih menggunakan potensi IQ dan EQ sepenuhnya.

Kesan-kesan latihan puasa tidaklah hanya terfokus kepada faedah fisiologi untuk kesihatan fizikal sahaja, malah merangkumi pengukuhan rohani dan intelektual manusia berlandaskan ibadah. Natijah akan terarah kepada pembentukan keperibadian dan pembinaan watak insan sejati, antaranya ialah:

i. Menambahkan ketakwaan dan mendekati diri kepada Allah.

ii. Membersihkan rohani dengan menanamkan sikap sabar, kasih sayang, pemurah,

berkata benar, ikhlas, berdisplin dan terhindar sifat tamak dan rakus.

iii. Menjinak dan melembutkan hati dengan sifat mudah rasa bersyukur.

iv. Benteng hawa nafsu liar (ammarah) yang meronta kearah kejahatan.

v. Mengawal penyakit rendah moral seperti suka marah, umpat, adu domba, hasad dengki, gelojoh, sukakan kemewahan berlebihan dan pembaziran.

vi. Insaf dan menghayati keperitan golongan fakir miskin yang mendorong untuk membantu dan membela mereka.

vii. Membina peribadi bersifat tahan lasak, tinggi motivasi dan bersedia untuk diuji.

viii. Meningkatkan kecerdasan akal dan kriativiti serta inovasi.

ix. Sensitif dengan masa dan menguruskannya dengan cekap.

x. Menambahkan kecekalan dan membina jati diri.

Natijah inilah juga yang cuba diperhalusi oleh Imam Ghazali di dalam Ihya’ dan disusun semula oleh Said Hawa, di mana beliau menjadikannya sebagai tajuk dalam kitabnya, Tazkiyyah al-Anfus. Isu-isu yang disentuh oleh mereka nampak sekadar berkaitan langsung dengan golongan pengamal tariqat saufi atau pengamal kerohanian sahaja, dan tidak ada kaitan dengan orang awam. Sebenarnya yang cuba dibahas oleh Ghazali dan Hawa adalah penyakit psikologi dan tradisi manusia terakam yang kukuh di dalam ungkapan Melayu. Dalam kitab-kitab mereka menamakan sifat-sifat mazmumah atau tercela jiwa manusia. Antara kalimah-kalimah tersebut yang seringkali digunakan ialah angkuh, keras kepala, sombong, bodoh sombong, kepala batu, keras hati, mengampu, gila pangkat, gila kuasa, dengki, dendam dan sebagainya adalah antara penyakit lazim yang seringkali berasang di jiwa individu. Tanda-tanda penyakit tersembunyi ini cuba dibedah dan digeledah dari jiwa manusia oleh dua orang tokoh ulamak ini. Sememangnya kuasa, pangkat, pengaruh dan harta ditagih oleh semua manusia. Cuma sejauh mana seseorang itu mampu menunaikan amanahnya atau ia menjadi hamba kepada apa dikejarnya. Untuk merangkul kesemua anugerah Allah di bulan istimewa, kita seringkali diingatkan supaya menganggap Ramadhan yang disambut sebagai Ramadhan terakhir di dalam hidup seseorang. Dalam pada itu, Ramadhan kali ini juga dianggap Ramadhan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Ada yang menjangkakan kali ini Ramadhan yang paling sengit dan sudah pasti masjid akan medan politik melalui slot tazkirah semasa tarawih. Dalam Islam sememangnya ada politik, tetapi tidak seharus segala-galanya dipolitikkan. Masjid sepatutnya menjadi zon bebas dan berkecuali mengatasi sempadan politik dan idologi. Tazkirah yang perlu disampaikan semestinya untuk membina jiwa, minda dan pemikiran yang murni berteraskan kebenaran betepatan semangat Ramadhan yang membina keinsafan dan mencari keampunan, dan mempertautkan hati-hati insan.

Amalan berpuasa terutamanya di bulan Ramadhan adalah latihan amali yang paling mujarab untuk mengikis penyakit rohani, krisis mental dan pada masa yang sama membantu memulih penyakit fizikal manusia. Sebahagian penyakit-penyakit moden hari ini kesan dari kegagalan mengawal krisis mental dan tekanan jiwa. Akibatnya, fizikal manusia juga turut menjadi mangsa. Dengan hikmahnya yang banyak ini, maka tidak hairanlah Kementerian Kesihatan Malaysia mula berjaya menggalakkan ramai perokok tegar berhenti merokok bermula di bulan puasa. Kempen ini mampu diperluaskan kepada penagih-penagih dadah tegar melalui puasa Ramadhan dan dilanjutkan dengan puasa-puasa sunat menurut kelender Islam. Demi menyelamatkan puluhan ribu penagih dadah di negara kita, pusat-pusat tahanan boleh memasukkan peranan puasa dalam modul utama mereka supaya mereka mempunyai kekuatan jati diri membenci dadah. Dengan kesan yang sangat positif dari keberkatan Ramadhan, puasa sunat akan menjadi modul tetap mingguan bagi individu terkesan dengan madrasah Ramadhan. Ramadhan seterusnya sentiasa dinanti-nanti serta dirindui.

Bagi yang tidak merasai kemanisannya, ia hanya akan berakhir dengan hari raya dan bersuka ria. Wallahu’alam.

Rujukan: Jakim (Madrasah Ramadhan)

Category: Islam, Kesihatan, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

REJAB | Ibadah & Amalan

Tuesday, May 22nd, 2012 | Author:

Alhamdulillah, kita kembali semula kepada bulan Rejab 1433 Hijriah. Ini bermakna tinggal lagi 2 bulan kita akan menjalani ibadah puasa yg wajib iaitu bulan Ramadhan. Sebenarnya apa yang terkandung di dalam bulan Rejab?

REJAB ertinya mulia atau agung. Bulan Rejab begitu dianggap mulia khususnya kepada bangsa Arab. Orang-orang Arab menamakan bulan Rejab kerana pada masa dahulu mereka begitu memuliakan bulan tersebut dengan berbagai cara, di antaranya:

1. Mereka menyembelih unta pada tanggal 1 Rejab sebagai binatang korban dan menamakan korban itu dengan nama Fara’.

2. Menjelang 10 Rejab, mereka akan menyembelih seekor lagi unta dan korban ini dinamakan Utairah.

3. Sepanjang bulan Rejab, mereka diharamkan berperang dan berbunuhan.

4. Pada tanggal 1 Rejab, mereka akan membuka pintu Kaabah sepanjang hari dengan tujuan memberi peluang kepada orang ramai beribadat  sepuas-puasnya.

Walaubagaimanapun, setelah kedatangan Islam, sebahagian amalan tersebut tidak dilakukan lagi seperti menyembelih unta pada 1 dan 10 Rejab, ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Tidak ada penyembelihan haiwan pada tanggal 1 dan 10 Rejab dalam Islam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

BULAN REJAB DI DALAM AL QURAN DAN AS SUNNAH

Al Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat 2 surah yang menyebut secara tidak langsung iaitu dari Surah al Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at Taubah (ayat 2,36 dan 37).

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah: Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah, dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjidil Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah S.W.T.” (Al Baqarah ayat 217)

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada Al Ashur Hurum selain bulan Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Manakala kebanyakkan hadis menceritakan amalan berpuasa dalam bulan ini, walaupun tiada satu hadis sahih yang membuktikan bahawa berpuasa pada hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya, “Wahai Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama.” Nabi bersabda, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik?” Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam.” Maka tanya Rasulullah S.A.W, “Kenapa kamu seksa diri kamu begitu?” Lalu sabdanya lagi.. “Berpuasalah pada bulan sabar, yakni bulan Ramadhan dan satu hari dari setiap bulan.” “Tambahlah buatku kerana saya mampu melakukannya!” Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari!” Sabda Nabi.” “Tambahlah lagi.” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi S.A.W bersabda, “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah!” (kemudian diulanginya sebanyak 3 kali), sambil mengucapkan itu Nabi S.A.W memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majjah dan Baihaqi, dengan sanad yang baik)

PERISTIWA PENTING BULAN REJAB

1. Hijrah Pertama Dalam Islam

Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah S.A.W tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.

2. Israk dan Mikraj

Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah S.A.W dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah S.W.T dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah S.W.T.

Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah S.A.W berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.

3. Peperangan Tabuk

Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran. Ia juga merupakan peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah S.A.W.

4. Pembebasan Baitul Maqdis

Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah, orang Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya berjaya ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, kaum Yahudi pula menawan Baitulmaqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH

Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767M. Beliau merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan negara Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab Syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.

Satu perkara yang perlu juga dijelaskan ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang diriwayatkan oleh Rasulullah S.A.W dari hadis-hadis sahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah bersandarkan kepada hadis-hadis lemah.

Namun masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang masih boleh kita tunaikan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang tibanya bulan Ramadhan seperti qiamullail, puasa pada setiap Isnin dan Khamis, bertadarus Al Quran dan lain-lain lagi. Memperbanyak puasa sunat amat digalakkan agar tubuh kita tidak terkejut apabila menerima tuntutan ibadah puasa wajib di bulan Ramadhan nanti.

Sumber artikel: JAIS

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Get Adobe Flash player