The Red Warriors | Janjikan Kemenangan
Saturday, October 30th, 2010 | Author: Wan

Entri ini khas sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak Kelantan (The Red Warriors) yang bakal turun ke padang di Stadium Bukit Jalil malam ini (30 Oktober) menentang pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2010. Ekoran dari insiden ketika menentang Selangor, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pasukan bola sepak Kelantan dan para penyokongnya, kononnya pencetus huru-hara dan pergaduhan, namun apa yang jelas pasukan serba merah itu tetap membuktikan bahawa mereka cukup hebat, unggul dan bergaya dengan melangkah sekali lagi ke perlawanan akhir malam ini.
Daripada seorang peminat tegar bola sepak hinggalah seorang suri rumah yang langsung tidak minat bola sepak, pastinya seluruh warga Kelantan di mana sahaja mereka berada, topik perbualan dan sokongan kepada pasukan The Red Warriors kedengaran di mana-mana. Pilihanraya Dun Galas dilupakan buat sementara kerana kemenangan malam ini menjadi satu kejayaan bukan sahaja kepada pasukan The Red Warriors, malah ia juga menjadi kemenangan kepada seluruh rakyat Kelantan setelah 40 tahun menanti.
Malah menurut B. Sathianathan (jurulatih pasukan Kelantan), jika kemenangan malam ini menjadi realiti, ianya merupakan hadiah khas kepada sultan Kelantan yang baru iaitu YTM Tengku Muhammad faris Petra (Sultan Muhammad ke-V).
Pastinya, ketika saya sedang mencatat entri ini, ketika ini para penyokong The Red Warriors sedang berpusu-pusu dan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan berpakaian serba merah untuk untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka. Sama-samalah kita berdoa semoga tiada insiden yang tidak diingini berlaku di Stadium Bukit Jalil malam ini, insya-Allah.
Gomo Kelate Gomo!
p.s: Penyokong di sekitar Lembah Kelang yang datang ke stadium tu, jangan la abaikan solat Maghrib pulak ye.
KEMASKINI 10.55 PM: ALHAMDULILLAH, KELANTAN JUARA PIALA MALAYSIA 2010 (KELANTAN 2-1 NEGERI SEMBILAN). GOL KELANTAN DIJARINGKAN OLEH HAIRUDDIN OMAR DAN BADRI RADZI (PIYA), MANAKALA GOL NEGERI SEMBILAN DIJARINGKAN OLEH SHAHURAIN ABU SAMAH (PENALTI).
Category: Topik Bebas | 2 Comments






