Home

Sya’ban | Jalan Menuju Ramadhan

Tuesday, July 20th, 2010 | Author:

Dah agak lama saya tidak menulis berkaitan kerohanian hati dan jiwa. Kadangkala teralpa juga dengan perkara keduniaan. Ketika saya menaip entri ini, kalendar Islam telah menjejak 8 Sya’ban 1413 hijrah. Ini bermaksud kurang sebulan lagi semua umat Islam akan menemui satu bulan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk kita berpuasa selama sebulan. Bulan yang dianggap sebagai penghulu bagi bulan-bulan yang lain.

Kita baru saja meninggalkan bulan Rejab, iaitu bulan yang memberikan kita kelebihan dan kebaikan rahmat daripada Allah s.w.t, khususnya kepada mereka yang beriman dan sentiasa mencari keredhaan-Nya, memperbanyakkan menagih pahala dan menjauhkan dosa kejahatan. Malah bulan Sya’ban juga dijanjikan pelbagai kelebihan oleh Allah s.w.t.

“Rejab adalah bulan Allah s.w.t, Sya’ban adalah bulanku, dan Ramadan adalah bulan umatku. Sya’ban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadan ialah bulan menyucikan diri daripada dosa.” Begitulah sabda Rasulullah s.a.w yang selalu kita dengar dalam ceramah/kuliah agama dan baca di mana-mana risalah yang mengingatkan kepada umat Islam betapa hebatnya 3 bulan ini untuk mencari ganjaran dan keredhaan Allah, walaupun ianya adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam.

Baginda paling banyak melakukan amalan dan ibadat sepanjang bulan Sya’ban. Bulan Rejab adalah bulan untuk memohon keampunan dari segala dosa dan bulan Sya’ban pula untuk memperbaiki hati dari segala kelemahan. Bulan Ramadhan pula untuk memberi penerangan hati manakala Lailatul Qadar adalah peluang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.

Jadi sudah sepatutnya, umat Islam tidak melepaskan sunnah nabi s.a.w dan mengikut segala jejak langkah baginda. Perlu diingat, setiap apa yang baginda lakukan dan amalkan adalah wahyu daripada Allah dan ianya amalan terbaik untuk kita ikuti.

Antara amalan yang sangat digalakkan sepanjang Sya’ban ialah memperbanyakkan amalan puasa sunat, bersedekah dan perbanyakkan berdoa kepada Allah. Puasa sunat yang disebutkan ialah puasa sunat pada hari Isnin, Khamis, puasa sunat pertengahan bulan iaitu pada hari ke-13, 14 dan 15 haribulan mengikut takwim kalendar Islam.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda (diriwayatkan daripada Aisyah r.a), “Rasulullah tidak berpuasa lebih banyak daripada puasa Sya’ban, sesungguhnya baginda berpuasa keseluruhannya dan kadangkala berpuasa sebahagian kecilnya.”

Kelebihan dan keistimewaan Sya’ban itu menurut Rasulullah s.a.w ialah sepertimana yang disebutkan dalam sebuah hadis berikut, “Kelebihan Sya’ban terhadap semua bulan seperti kelebihanku terhadap semua nabi, manakala keutamaan Ramadan itu terhadap semua bulan seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.”

Semestinya amalan berpuasa adalah amalan yang sukar dilakukan kerana ia bukan setakat menahan diri daripada makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa. Tetapi lebih kepada puasa menahan hati dan hawa nafsu daripada segala godaan dunia yang merosakkan keimanan seorang mukmin. Selain menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang.

Ia juga adalah satu jihad yang besar kerana jihad melawan hawa nafsu itu adalah jihad yang paling utama dan paling mencabar.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang berpuasa sehari dalam Sya’ban, diharamkan oleh Allah s.w.t pada tubuhnya daripada api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Yusuf a.s di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah s.w.t seperti pahala Nabi Ayub a.s dan Nabi Daud a.s.”

Sabda nabi s.a.w lagi, “Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dipermudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas daripada kegelapan alam barzakh, bebas seksaan kubur, ditutup Allah s.w.t akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.”

Di dalam sebuah hadis yang lain, “Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Sya’ban, tiga hari pada pertengahan Sya’ban dan tiga hari pada akhir Sya’ban, dia akan mendapat pahala 70 orang nabi dan seperti orang yang beribadah selama 70 tahun, dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid.”

Itulah antara kelebihan berpuasa dalam Sya’ban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah satu persediaan untuk melakukan ibadah pada Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Oh ya, satu lagi keistimewaan bulan Sya’ban ialah bulan yang mana setiap doa orang mukmin dimakbulkan Allah. Sabda Rasulullah s.a.w (di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan sahabat baginda, Abdullah Omar), “Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah pada malam Jumaat, malam 10 Muharam, pada malam pertengahan Sya’ban dan pada dua malam hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

Tapi perlu diingat, ketika berdoa kita mestilah berdoa dengan sepenuh hati, sepenuh harapan mengharapkan Allah s.w.t memakbulkan segala doa-doa kita. Kita hendaklah berdoa dengan penuh keikhlasan dan tawadduk serta yakin yang Allah s.w.t akan menerima setiap doa itu. Ini adalah kunci supaya doa cepat dimakbulkan oleh Allah.

Sebaik-baiknya, kita perlulah membersihkan hati dan diri (batiniah dan zahiriah) daripada kehitaman dosa yang pernah kita lakukan sama ada secara sengaja atau pun tidak sengaja. Sama ada ia adalah dosa ringan, atau lebih-lebih lagi jika dosa yang besar.

Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, banyakkanlah berdoa kepada-Nya. Perbanyakan berselawat ke atas junjungan besar Rasulullah s.a.w, para sahabat baginda dan ahli keluarganya, dan di kalangan aulia Allah yang sentiasa mendapat keberkatan dari-Nya sepanjang zaman.

Ingatlah ketika berdoa dan mengharapkan Rahmat-Nya, kita hanyalah hamba yang fakir dan hina yang tidak mempunyai satu apa pun selain bantuan ar-Rahman dan ar-Rahim Allah. Insya-Allah, dengan itu doa yang kita panjatkan ke hadrat Allah s.w.t akan lebih cepat diterima oleh-Nya.

Sya’ban adalah pintu kepada perjalanan kepada bulan Ramadan al-mubarak. Jadi sebelum memulakan perjalanan yang mendapat keberkatan sepenuhnya daripada Allah s.w.t yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang ini, kita semua mesti mempersiapkan diri, membersihkan hati dengan bertaubat dan memohon keampunan di atas segala keterlanjuran yang telah dilakukan.

Sabda nabi s.a.w, “Apabila tiba malam nisfu Sya’ban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikan solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang yang tidak menyekutui-Nya, kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, penzina, orang yang memakan riba, orang yang derhaka kepada ibu bapanya, orang yang suka mengadu domba atau menjadi batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.”

Ambillah kelebihan dan kurniaan yang banyak yang disediakan Allah s.a.w kepada hambanya yang beriman sepanjang Sya’ban ini. Dan ingatlah, Allah Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, sesungguhnya Allah tidak memandang kepada kecantikan rupa, keturunan, kekayaan harta dan kekuatan fizikal seseorang itu, tetapi Allah s.w.t memandang jauh kepada keikhlasan hati dan ketakwaan hamba-Nya yang beramal dan beribadat hanyalah mengharapkan kecintaan dan keredaan dari-Nya sahaja.

Rebutlah peluang yang ada untuk menambah saham di akhirat. Ingatlah, hidup di dunia ini seumpama sebuah mimpi tidur yang singkat. Apabila kita terjaga, itulah dunia akhirat yang sebenarnya.  Tidak ada jalan untuk berpatah balik ke belakang bila di akhirat nanti. Setiap manusia akan menghitung keuntungan dan kerugian yang diusahakan sendiri, selama dia hidup di dunia ini.

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Islam, Renungan & Motivasi

You can leave a response.

4 Responses

  1. 1
    etomyam 

    Insya Allah sempat menuai saham di bulan-bulan berkat ni

  2. 2
    mancai 

    salam singgah, memang dah terasa suasana ramadhan dah ni…

  3. 3
    Wirasutra 

    tu yg terbaik gu..

  4. 4
    Wirasutra 

    ya mmg terasa dan x sabar rasanya

Leave a Reply

CommentLuv badge
 
Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes