Home

Rumahtangga, Suami & Isteri

Sunday, March 28th, 2010 | Author:

‘Sedangkan lidah lagi tergigit.. inikah pula suami isteri’. Begitu indah perumpamaan melambangkan keintiman dan kemesraan hidup berumahtangga. Setiap suka duka perlu ditempuhi bersama. Kalau zaman bercinta segala-gala yang dilakukan adalah yang terbaik bagi menawan hati si kekasih tetapi bila masuk ke alam berumahtangga, semua sifat dan tabiat pasangan tidak dapat diselindung lagi.

Tidak dinafikan pertemuan jantina yang bersifat berlainan hasil dari latarbelakang dan didikan keluarga yang berbeza menjurus kepada berlakunya konflik dalam hidup rumahtangga. Perkara kecil bagi si suami seperti membiarkan tuala atas lantai mungkin sesuatu perkara yang biasa bagi suami tetapi sesuatu ‘pantang’ paling besar buat si isteri yang boleh menjurus kepada perbalahan. Perkara yang dianggap kecil oleh si suami tetapi sebaliknya bagi si isteri ini yang perlu segera diberi perhatian kerana sekiranya dipendam tidak mustahil akan membuak akhirnya dan memberikan implikasi besar terhadap sesuatu perhubungan.

Menurut pandangan Pakar Perunding Perkahwinan dan Perhubungan Keluarga, Dr Charles Goza, tekanan berlaku apabila seseorang terpaksa bertindak balas terhadap perkara yang dipertanggungjawabkan. Punca ketegangan boleh bermula dari ciri keperibadian seperti penampilan, cara mengendalikan sesuatu hingga kepada faktor persekitaran seperti kerja, rumah tangga dan amalan pemakanan tidak sihat.

Konflik yang berlaku antara pasangan amat sukar dihuraikan dan boleh terjadi begitu saja tetapi sebelum menyedarinya anda sudah pun melukai perasaan satu sama lain sehingga sesetengah orang menyamakan pengalaman itu seperti seorang pencuri yang senyap-senyap masuk ke dalam rumah lalu mencuri segala yang ada tanpa seorang pun menyedarinya.

Beberapa soalan untuk ditanya kepada diri sendiri dan perkara yang perlu dilihat bagi memperoleh petunjuk sama ada anda berdua kerap menghadapi konflik ialah…

“Kami tidak dapat membincangkan isu yang dipertikaikan dengan tenang?”

“Kami menengking dan mencaci satu sama lain?”

“Kami tidak berupaya untuk menyokong pandangan dengan fakta?”

“Kami merajuk dan enggan bercakap satu sama lain?”

“Apabila salah seorang naik darah, kami meninggalkan bilik dengan kasar?”

Atau… “Kami melempar barang antara satu sama lain?

Sekiranya dapat mengenalpasti bahawa anda mengalami sekurang-kurangnya tiga daripada situasi di atas, ia bermakna anda berada dalam konflik. Antara yang mungkin dihadapi ialah degupan jantung kencang, tapak tangan berpeluh, pening kepala, ketegangan otot, marah dan resah. Apabila konflik memuncak ia memang sukar dileraikan, tiada kesudahan, pelbagai kata kesat terhambur akibatnya adalah rasa geram, sakit hati dan perasaan terluka. Faktor paling penting dalam mana-mana hubungan ialah sikap tolak ansur kerana ia akan melahirkan persefahaman, diikuti dengan perkongsian perasaan dan hasrat mahukan yang terbaik untuk satu sama lain.

Rasa marah biasanya wujud apabila seseorang itu merasakan dirinya tidak dihargai dan dikehendaki. Apabila ini berlaku pasangan perlu belajar menunjukkan kasih sayang antaranya dengan memberi bunga, hadiah atau kad ucapan tetapi paling berharga ialah dengan pengucapan kasih sayang.

Sesuatu hubungan kerap kali menjadi hambar apabila tiada usaha daripada pasangan untuk menghangatkannya kembali. Satu kaedah yang amat penting ialah keperluan untuk berhenti sejenak dan mendengar apa yang hendak diperkatakan oleh pasangan.

Luangkan masa setiap hari untuk mendengar keperluan dan apa yang dialaminya, ketika ini cuba sedaya upaya untuk mendengar dengan teliti apa yang diperkatakan oleh pasangan. Ketika pasangan bercakap, berhenti dan jangan menyampuk apa yang hendak diperkatakannya. Walau seakrab mana hubungan dengan pasangan, kita tidak seharusnya terperangkap dengan anggapan bahawa kita mengetahui semua keperluan pandangan dan mengambil mudah terhadapnya. Sentiasa bertanya mengenai keperluannya, dan ini amat membantu. Dengan cara ini, pasangan berasa dirinya dihormati dan selamat kerana mengetahui bahawa anda berusaha mengambil berat keperluannya.

Banyak perhubungan yang berkekalan dibina dengan asas kepercayaan yang telus dan keteguhan itu pula dijamin oleh kesedaran bahawa kedua-dua pasangan mengambil berat keperluan satu sama lain. Hidup berumahtangga memerlukan komitmen yang tinggi dalam banyak perkara dan komunikasi dalam setiap perkara adalah perlu dalam mencapai pelbagai keputusan untuk kebaikan bersama. Semoga berbahagia selalu.. ;)

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Renungan & Motivasi

You can leave a response.

One Response

  1. Salam..

    Saya sungguh tertarik dgn artikel yg diberikan tentang rumahtangga dan suami isteri.. Bagi pandangan saya sebelum berkahwin segalanya indah dan tiada salah silap, tetapi bila terjadi ijab dan qabul segala berubah.. Ini kerana sifat seorang suami atau isteri tidak diterapkan dan tanggungjawab diendahkan..
    Zairi Faiezil recently posted: 5 Tips Mengendalikan Konflik Rumahtangga Secara Berkesan

Leave a Reply

CommentLuv badge
 
  • Get Adobe Flash player