Puasa Dan Kepentingannya
Thursday, August 04th, 2011 | Author: Wan

Ketika saya mencatat entri ini, puasa telah melangkah ke hari yang keempat. Masa berlalu begitu pantas tanpa tersedar. Inilah realiti dunia hari ini. Kesibukan menyebabkan masa menjadi semakin pendek dan suntuk. Bertambah parah jika masa itu tidak dimanfaatkan… lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadhan ini.
Umum mengetahui bahawa ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah yang asas. Yang menjadi perkara penting untuk membina peribadi seseorang Muslim. Apa yang ada pada puasa sehingga dipilih oleh Allah s.w.t untuk tersenarai di dalam kelompok rukun Islam? Pada mulanya orang yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada Allah s.w.t dan Rasul s.a.w: “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah.”
Pengakuan ini kemudiannya wajib dibuktikan melalui perbuatan solat. Berbagai ikrar, janji dan harapan kita bisikkan kepada Allah s.w.t sewaktu solat demi membuktikan bahawa kita taat dan tunduk (rukuk dan sujud) kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita menyerah diri kepada Allah s.w.t. Menajamkan rasa kehambaan di dalam hati dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.
Ibadah puasa tersenarai di baris ketiga iaitu selepas ibadah solat. Maksudnya, selepas membuat pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah yang menguji kesabaran iaitu puasa. Kita tidak dibenarkan makan di siang hari selama sebulan sekalipun lapar dan walaupun makanan ada di hadapan mata. Ertinya Allah s.w.t mahu mendidik kita untuk merasa susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata. Bukankah itu pelik? Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia sebagai suatu penyiksaan atau bebanan, dan apabila berlalunya Ramadhan ianya disambut dengan sangat gembira… bertentangan dengan apa yang berlaku di kalangan sahabat nabi yang kesedihan. Apa sebenarnya yang Allah s.w.t kehendaki dari ibadah puasa?
Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan penting. Istilah kecewa lahir dari seseorang yang tidak dapat menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai. Dan kecewa adalah penyakit lumrah dalam masyarakat sekarang. Kadang-kadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.
Dan ini akan terus berlaku, sebab kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa sekalipun seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak takdir Allah s.w.t. Tuhan sudah tentukan bahawa setiap manusia itu pastinya akan diuji.
Sabar adalah suatu kekuatan. Terlalu banyak perkara di dalam kehidupan yang meminta agar kita dapat bersikap sabar… dalam menunaikan perintah-perintah Allah s.w.t, dalam menghadapi musibah dan bencana.. yang paling utama adalah bersabar di dalam meninggalkan larangan-larangan Allah s.w.t sama ada ianya secara lahir atau batin. Imam Bukhari ketika bermunajat dengan Allah s.w.t berbisik-bisik: “Bukan aku tidak sabar dengan ujian-Mu ya Allah, cuma aku sekadar hendak mengadu pada Mu, tempat aku kembali nanti. Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah.”
Begitulah seharusnya hati seorang Islam ketika berhadapan dengan persoalan hidup. Mereka seharusnya tunduk dan patuh kepada kehendak Allah s.w.t kerana merasakan segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan Allah s.w.t. Malah mereka memuji-muji Allah s.w.t kerana Maha Bijaksana dan Maha Adil melakukan kejadian itu. Kalau ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau berupa kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
Itulah tujuan puasa diperintahkan. Allah s.w.t tentukan kehidupan di dunia adalah sebagai pergiliran nikmat dan ujian. Kebahagian sebenar ialah kepada mereka yang mampu bersyukur dan bersabar. Oleh kerana itu Allah s.w.t mahu mendidik jiwa manusia ke arah itu.
Bila kita berpuasa bermaksud kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana Allah s.w.t, bukan kerana lain-lainnya. Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung kesusahan kerana Allah s.w.t.
Jiwa, apabila berhadapan dengan musibah, kecewa, hampa, susah dan kegagalan akan tunduk dan sabar dengan Allah, hanya kerana Allah s.w.t. Kita boleh berusaha untuk elakkan kemalangan itu tapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah dan memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak takdir dan kuasa Allah s.w.t. Inilah yang dikatakan jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan Allah s.w.t dan sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: “Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan dahaga.”
Sama-samalah kita mohon perlindungan dengan Allah s.w.t daripada kerugian-kerugian begitu. Wallahuallam.



