Home

Contohi Akhlak Rasulullah s.a.w

Friday, February 26th, 2010 | Author: Wirasutra

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah s.a.w menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu  kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

‘Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w lantas berkata, “Jika begitu, aku puasa saja hari ini.” Tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah s.a.w menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukullah dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi s.a.w. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu itu?” Pernah baginda bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, “Ya  Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”

“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”

“Ya Rasulullah… mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” Desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku… aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buat aku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid itu sebelum menegur dengan lembut perbuatan tersebut.

Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita… adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya? Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH s.w.t dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah s.a.w menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga oleh Allah? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur..”

Hayatilah kemuliaan hari kelahiran junjungan Nabi Muhammad s.a.w ini. Contohi keperibadian baginda s.a.w tentunya akan menjanjikan kita kehidupan yang sangat bahagia di dunia dan di akhirat. Selamat menyambut Maulidur Rasul.

Category: Islam | One Comment

Bagaimana Menghadapi Tegangan & Tekanan

Tuesday, February 23rd, 2010 | Author: Wirasutra

Setiap hari, ada-ada sahaja perkara yang mencabar kesabaran dan menekan jiwa kita.. betul tak? Anak meragam, suami atau isteri buat tidak peduli, isteri merajuk atau bermasam muka, rakan sepejabat mengumpat di belakang, perniagaan tidak menguntungkan, saham jatuh nilai dan lain-lain lagi. Begitulah nasib kita manusia. Sejauh mana pun kita cuba untuk mengelakkan perkara-perkara yang mengganggu keselesaan kita, ia tetap akan berlaku juga.

Sebagai makhluk yang ciptaan Allah, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan-Nya. Kalau Allah mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita menjadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga. Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa.

Jadi, persediaan apa dan bagaimana yang perlu kita buat untuk menghilangkan tekanan ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib ‘malang’ yang pasti menimpa kita? Di sini saya berikan beberapa tips, antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Allah s.w.t sebagai  pemberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa. Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat dan ditentukan oleh Allah s.w.t. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu, Allah s.w.t jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Allah s.w.t timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Allah s.w.t ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:

a. Kalau Allah s.w.t sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari-Nya. Antara maksud-maksud baik Allah s.w.t ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

b. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Allah s.w.t tidak membantu kita.

c. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Allah s.w.t mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita leraikan rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Allah s.w.t sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

d. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan.

Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita ‘tension’. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tertekan kita boleh jadi marah-marah tidak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan Allah s.w.t.

3. Kita hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Allah s.w.t secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan mendapat hasil yang negatif.

Contohnya: Kita ditakdirkan mendapat anak-anak yang nakal. Setiap hari, ada sahaja kelakuannya yang sangat mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita, “Kerana dosa akulah anak-anak aku ini nakal.  Allah s.w.t buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yang lepas.” Ataupun kita boleh berkata begini, “Tuhan beri aku ujian ini untuk memberi aku pahala sabar. Kalau aku sabar, bukan sahaja aku akan dapat ganjaran di sisi Tuhan tetapi yang lebih penting, aku dapat mendekatkan diri kepada Tuhan.”

Kalau beginilah penerimaan kita, tentulah kita tidak akan marah-marah atau membebel, merotan, memukul dan menghukum anak di luar batasan atau mengamuk-ngamuk kepada pasangan kita pula. Sebaliknya, kita akan terus-menerus menasihatinya dengan baik dan mendoakan anak kita agar dia menjadi anak yang soleh satu hari nanti. Dan lazimnya, berkat baik sangkanya kita kepada Allah s.w.t, anak itu akan menjadi anak yang baik apabila dia besar. Ini selaras dengan firman Tuhan yang maksudnya: “Aku di atas sangkaan hamba-hamba-Ku ke atas-Ku. ”

Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram dengan menghukum anak serta terbawa-bawa sikap marah itu kepada orang lain. Hati kita mungkin berkata, “Kenapalah Tuhan berikan aku anak yang senakal ini,” ..atau kita akan berkata, “Tidak guna dapat anak macam ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan saja.” Akibat didikan yang kasar itu serta sangkaan-sangkaan yang buruk terhadap Allah s.w.t, anak itu bila besar kelak akan menjadi anak yang tidak baik akhlaknya. Tension yang kita hadapi bila anak itu kecil akan terus kita hadapi sehingga dia besar. Bukan sahaja anak kita yang rugi, kita juga akan turut rugi sama. Ini semua kerana buruk sangkanya kita dan tidak pandainya kita menerima takdir Tuhan.

Terimalah segala takdir Allah s.w.t dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapat  menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik (mazmumah) dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita. :)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Gejala Sosial, Di Mana Silapnya?

Tuesday, February 16th, 2010 | Author: Wirasutra

Sedih dan sangat kecewa bila mendengar isu pembuangan bayi di negara kita semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan berbagai-bagai tangkapan khalwat oleh pihak berwajib ke atas muda-mudi (termasuk pelajar institusi pengajian tinggi) pada malam tahun baru cina yang lalu. Apa dah jadi? Siapa yang perlu dipersalahkan? Remaja? Ibubapa? Sekolah? Intitusi pengajian tinggi? Pihak berwajib? Kerajaan? Atau… siapa?! Ramai yang mencadangkan pelbagai hukuman berat patut dikenakan kepada pesalah, walaupun banyak pro dan kontranya. Tapi adakah kita mahu melihat hukuman dikenakan atau membenteras sebelum ianya berlaku?

Pembangunan sebuah negara itu memang bergantung kepada sikap dan komitmen pemerintah dan rakyatnya yang memerlukan keduanya bekerjasama erat dan padu. Banyak isu yang perlu diambil kira seperti pembangunan infrastruktur, tenaga kerja, ekonomi, politik, keagamaan dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada pembangunan negara yang kukuh dan terarah yang mana nanti akan menjamin kemakmuran dan kestabilan negara dan bangsa.

Namun dalam membangun negara, kita tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu sahaja, tetapi juga ianya perlu seiring dengan pengukuhan sistem nilai yang mana nanti akan memantapkan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti yang tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyatnya yang berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, amanah dan jujur serta berintegriti kerana sistem nilai akan dijadikan kayu pengukur sebenar tahap moral dan sosial sesebuah negara. Dengan yang demikian pembangunan negara akan menjadi seimbang dengan pembangunan sosial khususnya dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang hidup aman damai dan sejahtera.

Jika diteliti, gejala sosial yang berlaku pada ketika ini adalah sangat berkait rapat dengan nilai hidup sesebuah masyarakat, keluarga atau individu. Oleh itu, dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin dan sentiasa mengawasi aktiviti dan pergerakan anak-anak remaja mereka.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga hendaklah meningkatkan lagi komitmen bagi membina sebuah kelaurga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak-anak kita menjadi warganegara yang produktif, sihat dan mempunyai semangat patriotisme dan sikap mandiri yang tinggi.

Pihak kerajaan melalui agensi-agensi tertentu serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah dan akan terus memainkan peranan, berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial. Setiap batang tubuh individu dan keluarga juga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama kehidupan.

Kekuatan dalaman yang dimaksudkan di sini adalah kekuatan iman dan takwa, kerana dengannya kita akan menjadi takut dan ragu untuk melakukan sebarang perbuatan yang tidak mendatangkan faedah atau perbuatan yang sia-sia apatah lagi perbuatan yang memang dilarang oleh agama dan masyarakat untuk dilakukan.

Hal ini memang jelas apabila setiap keluarga dan individu itu perlu mempunyai peranan masing-masing untuk membendung pengaruh negatif luaran kerana kekuatan dalaman dan keluarga perlu menghadapi masalah serta pelbagai penyakit sosial.

Walaupun kekuatan kekeluargaan dan penguatkuasaan undang-undang begitu dekat persamaannya, apa yang lebih penting ialah kebolehan kita memastikan rumah, tempat kerja, sekolah dan persekitaran kita adalah bebas daripada gejala sosial.

Negara memerlukan generasi pewaris yang bijak, berpengetahuan, mandiri, kuat fizikal dan mental serta kukuh kekuatan dalaman, berwibawa, berwawasan, berdaya saing, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bangsa dan negara, bermotivasi tinggi, kreatif, dedikasi dan berfikiran positif dan luas.

Dalam usaha meningkatkan kekuatan dan kekukuhan institusi keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani gejala sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau bimbingan seumpamanya adalah sangat dititikberatkan.

Pada saya, rata-rata kita di negara ini mendirikan rumah tangga pada usia di sekitar 20 hingga ke 30 tahun. Malahan aliran yang ada sekarang ramai remaja yang sama ada kahwin awal atau ‘terpaksa’ kahwin awal. Dengan yang demikian mereka menjadi ibu bapa yang muda pada usia dan pengalaman dan terpaksa memikul tanggungjawab membesar dan mengasuh anak. Tanggungjawab seumpama ini adalah satu kemahiran, walaupun ianya menjadi suatu tanggungjawab mutlak bagi ibu bapa.

Dengan yang demikian komitmen dan motivasi dalaman untuk membabitkan diri dalam membangun akhlak anak dan remaja adalah tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga bagi memastikan anak-anak dibesarkan dalam suasana harmoni serta diserapkan dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran masa depan.

Marilah kita kembali kepada akal umbinya. Ilmu keagamaan tentunya menjanjikan kekuatan jiwa kepada kita bukan saja untuk pelindung diri sendiri, malah membimbing dan mendidik anak dan masyarakat mengenal erti perikemanusiaan atau keinsanan.

Category: Renungan & Motivasi | 4 Comments

Pengisian Masa Paling Berkesan

Sunday, February 14th, 2010 | Author: Wirasutra

Tentu ramai di kalangan sahabat-sahabat yang sedang bercuti panjang (walaupun hanya seminggu) sempena Tahun Baru Cina. Sejak semalam ramai rakan-rakan saya yang tidak online mungkin kerana balik ke kampung atau pergi melancong ke mana-mana destinasi indah, tidak kiralah sama ada di Malaysia atau luar negara. Bagaimana dengan anda? Sedang bercuti di pulau, balik kampung atau sekadar di rumah bersama keluarga? Bagaimana dengan pengisian kehidupan anda seharian agaknya?

Aktivis pertubuhan Islam di Amerika Syarikat, Dr Hisham Yahya Al-Talib pernah menulis, “Apakah yang terpanjang, terpendek, terpantas dan sangat perlahan, kita semua tidak mengendahkannya, tetapi selepas itu, kita semua menyesalinya? Tiada apa pun yang dapat dilakukan tanpanya, ia menelan segala yang kecil dan membina segala yang besar?”

Itulah dia yang dinamakan ‘MASA’.

Masa adalah yang terpanjang kerana masa adalah ukuran keabadian dan juga yang terpendek. Hal ini kerana tiada seorang pun antara kita yang mempunyai masa yang cukup untuk menyiap atau menyempurnakan segala tugas dalam kehidupan. Bagi mereka yang gembira, masa berlalu terlalu cepat. Tetapi bagi mereka yang menderita, masa berlaku terlalu lambat. Tiada apa-apa pun yang dapat dilakukan tanpanya. Hal ini kerana masa adalah satu-satunya pentas kehidupan kita. Masa juga adalah unsur asas bagi pembentukan kehidupan. Masa menelan semua yang tidak berfaedah daripada generasi dalam bentuk kelalaian dan mengekalkan semua yang hebat dan berharga. Manusia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia malang iaitu kumpulan yang murung atau pasif yang selalu memulakan sesuatu pada keesokan hari atau dengan perkataan lain, suka bertangguh. Satu kategori lagi ialah kumpulan manusia yang hebat dan bersedia melakukan sesuatu berfaedah dengan segera. Bagi mereka tidak ada hari esok.

Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan kejam. Ramai percaya kepada ungkapan masa itu emas atau masa itu wang. Anehnya, kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan sesiapa pun mencuri wang kita walaupun hakikatnya membiarkan manusia serta benda lain meragut masa kita. Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, buku catatan peribadi sudah tersedia untuk dipenuhi dalam masa 24 jam. Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Pada setiap kali terbit fajar, ada dua malaikat menyeru: “Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan aku datang untuk menyaksikan semua amalan kamu. Oleh itu manfaatkan aku sebaik-baiknya kerana aku tidak kembali lagi hingga Hari Kiamat.”

Pada setiap hari, masa perlu diisi dengan perkara berfaedah dan mendatangkan kebaikan sama ada di dunia atau akhirat. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita boleh berfikir dan merancang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat. Rasulullah mengajar kita pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada minit terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Apa-apa yang diajar kepada kita, sebenarnya sangat mudah. Tetapi, faedahnya cukup besar, terutama sebagai bekalan untuk menghadapi hari kemudian yang semakin hampir. Antaranya ialah membaca Surah al-Mulk. Surah yang mengandungi 30 ayat itu boleh dibaca dalam masa lima minit saja. Surah ini jika dibaca setiap hari dapat menyelamatkan kita daripada seksaan kubur. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bercita-cita supaya surah ini terpahat dalam hati setiap insan dari kalangan umatku.”

Surah al-Waqi’ah yang mengandungi 96 ayat dan boleh dihabiskan dalam masa lapan minit juga elok dijadikan amalan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan menjadi papa selama-lamanya.” Begitu juga dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan memakan masa 12 minit untuk dibaca. Kegunaannya seperti yang diakui oleh kebanyakan ulama bahawa tidak dibacakan surah ini ketika berada dalam kesulitan kecuali dimudahkan Allah kesulitan itu.

Mungkin ada yang berasa sukar untuk membaca surah-surah ini jika tidak menghafaznya. Bagi mereka ada gantinya. Bacalah ‘Qul Huwallahu Ahad’ (Surah al-Ikhlas) sebanyak tiga kali yang mengambil masa 15 saat saja. Pahalanya menyamai dengan membaca sebuah al-Quran! Zikir tertentu sangat besar gunanya. Dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallahi wa biham dihi’ ditanamkan untuknya sebatang pokok kurma di syurga.” Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallahi wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan.”

Pengulangan zikir itu sebanyak 100 kali hanya memerlukan masa hanya tiga minit. Sudah ada kebun kurma di syurga, pastinya kita memerlukan kediaman untuk beristirehat. Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak. Setiap dua rakaat solat sunat rawatib itu memakan masa tiga minit, maka 12 rakaat hanya memerlukan 18 minit.

Itu hanya contoh. Jika dikira sekalipun, jumlah amalan itu tidak sampai satu jam daripada 24 jam yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu jika tidak dirancang, masa itu berlalu dengan sia-sia. Banyak lagi ayat dan zikir pada waktu pagi, petang atau malam yang boleh diamalkan, khususnya pada waktu terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda kepadanya: “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam aku diisrakkan. Baginda berkata kepadaku: “Wahai Muhammad! Sampaikan kepada umat kamu salam dariku. “Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya syurga adalah tanah yang subur, airnya jernih lagi nyaman. Ia kosong dan lapang. Tanamannya ialah: Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah, Allahu Akbar.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Perlu diingat bahawa apa-apa pun yang dilakukan harus berdasar kepada keimanan yang tulus suci dan keikhlasan yang murni. Tanpa keikhlasan amalan itu tidak bermakna dan hancur laksana debu berterbangan. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tujukan perbincangan kepada apa yang mereka kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, ayat 23). Amalan baik yang dilakukan dengan perancangan betul, berlandaskan keimanan dan mengharap rahmat serta reda Ilahi pasti membuahkan kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).

Semoga pengisian masa hidup kita penuh dengan kebaikan dan ilmu. :)

Category: Renungan & Motivasi | 2 Comments

Prinsip-Prinsip Kejayaan Nabi Muhammad s.a.w

Friday, February 12th, 2010 | Author: Wirasutra

Menurut Al-Quran, Nabi Muhammad s.a.w. merupakan contoh terunggul untuk ummah manusia keseluruhannya. Para pakar pengkaji sejarah yang bukan Islam turut mengiktiraf beliau sebagai salah seorang personaliti paling berjaya dalam sejarah. Pada tahun 1946 Reverend Bosworth-Smith dalam ‘Mohammed & Mohammedanism.’ Menulis tentang Nabi s.a.w.:

“Daripada ketua kerajaan dan kepada ketua gereja, beliaulah ‘Caesar’ dan ‘Pope’ dalam satu, tetapi beliau adalah ‘Pope’ tanpa dakyah-dakyah politik, ‘Caesar’ tanpa barisan tentera ‘Caesar’, tanpa pengawal peribadi, tanpa mahligai istana, tanpa saraan pendapatan gaji yang tetap. Kalaulah ada dakwaan di dunia ini yang mengatakan adanya seorang manusia yang benar-benar memerintah di dunia atas kuasa yang datang terus dari langit maka orang itu hanyalah, Mohammad, Kerana hanya beliaulah seorang yang memiliki kuasa tanpa mekanisme jajahan kuasa dan tanpa pertolongan kerajaan. Beliau tidak mengendahkan tentang kuasa yang datang dari pengaruhnya. Kesederhanaan hidupnya mencerminkan cara gaya hidupnya mentadbirkan persona dirinya dalam bersama orang ramai dan tidak terjejas langsung akibat kedudukannya sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia ini.”

Pada tahun 1978 Michael Hart menulis dalam bukunya ‘100 orang paling berpengaruh dalam sejarah’, beliau memilih nabi Muhammad s.a.w sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah dan berkata:

“Keputusan saya memilih Muhammad untuk mengetuai senarai nama orang yang paling berpengaruh di dunia mungkin akan mengejutkan pembaca dan pasti akan dipersoalankan orang, tetapi pada hemat saya beliau seorang sahaja yang berjaya baik dari peringkat sekular dan juga dari peringkat keagamaan.. Oleh kerana kebolehannya mengadunkan dua unsur ini tanpa tolok bandingannya berbanding dengan personaliti-personaliti lain dalam sejarah maka saya merasakan Muhammadlah seorang yang berhak mendapat jolokan sebagai seorang individu yang paling berpengaruh dalam lembaran sejarah tamadun manusia.”

Tingkahlaku serta ucapan yang keluar dari bibirnya memberi bimbingan untuk kita umat manusia untuk mencapai kejayaan , bukan sahaja di dunia ini tetapi juga di akhirat juga. Nabi s.a.w. seorang yang berfikiran positif. Setiap urusannya adalah ke arah yang bermatlamat. Beliau mengelakkan dari setiap tindak-tanduk yang berunsur negatif yang akan menghalang proses kejayaan seperti benci, dengki, bongkak, tamak dan sebaginya. Setiap tindak-tanduknya adalah berniat bersih dan adalah kerana Allah s.w.t.

Dari mengkaji kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. kita akan memeperolehi prinsip-prinsip kejayaannya…

Prinsip 1

Ambil jalan yang mudah: Prinsip diterangkan oleh A’ishah. Beliau mengatakan: “ Apabila nabi s.a.w. terpaksa memilih di antara dua pilihan beliau akan memilih pilihan yang lebih mudah” (Bukhari). Memilih jalan yang mudah bermaksud bahawa anda perlu mengkaji masalah anda dengan rasional dan baik dan memilih yang paling bijak dan menyenangkan urusan kerja anda. Setiap individu yang bermula dengan natijah sebegini akan cepat menuju ke arah matlamat hidupnya.

Prinsip 2

Lihatlah peluang dalam kesusahan: Sewaktu permulaan di Mekah, terdapat banyak masalah dan rintangan. Pada waktu itu satu petunjuk turun dari Allah s.w.t. yang berfirman: “Seiring dengan kesusah adalah kesenangan. Seiring dengan kesenangan adalah kepayahan” (94:5-6). Ini bermakna jika ada masalah pasti ada peluang yang datang seiringan dengannya. Jalan menuju kejayaan adalah dengan mengatasi masalah yang datang dalam setiap cubaan dan menyahut setiap peluang yang datang sekaligus bersamanya.

Prinsip 3

Bertindak dengan berubah tempat bermaustatin: Prinsip ini timbul hasil dari peristiwa Hijrah. Hijrah bukan sahaja satu penghijrahan dari Mekah ke Madinah . Ia merupakan satu pengembaraan untuk mencari satu tempat yang lebih sesuai untuk penubuhan agama Islam. Berpindah adalah satu aspek penting untuk mencapai keamanan dan keadilan. Ini juga dapat membuahkan pembukaan minda dan rohani untuk menerima pembaharuan dari segi intelek, rohaniah dan pemikiran.

Prinsip 4

Jadikan seorang kawan dari seoarng musuh: Agama Islam sering mendapat pertentangan hebat dari masyarakat jahiliyah. Ketika itu , Al-Quran menganjurkan melakukan baik untuk mereka yang melakukan jahat. Kemudian Al-Quran mewartakan: ‘Kamu akan menyaksikan lawan menjadi kawanmu’. (41:34). Ia bermaksud bahawa dengan melakukan kebaikan terhadap orang yang mengkhianati kita dengan kejahatan kita akan dapat menundukkan keegoan mereka dengan sikap kita yang luhur dan ikhlas.

Contoh terunggul sifat kemanusiaan Nabi s.a.w. jelas sewaktu menawan kembali kota Mekah beliau tidak meumpahkan darah walaupun setelah beliau dilayan dengan sebegitu buruk terdahulu daripada itu. Semua musuh yang ditawan diberikan pengampunan termasuk Hindun, isteri Abu Sufyan, wanita yang memotong serta mengeluarkan usus serta perut ayah saudara Nabi s.a.w. Dalam keadaan sedemikian Nabi s.a.w. tetap mengampunkan Hindun.

Prinsip 5

Pendidikan adalah tunggak kejayaan: Selepas perang Badar, lebih 70 orang jahiliyah diambil sebagai tawanan perang. Mereka merupakan orang terpelajar. Nabi s.a.w. mengumumkan bahawa sekiranya mereka berjaya mengajar 10 anak-anak Muslim menulis dan membaca mereka akan dibebaskan dari tawanan perang. Ini merupakan sekolah pertama dalam sejarah Islam yang mana semua penuntutnya beragama Islam dan tenaga pengajarnya dari pihak musuh.

Prinsip 6

Jangan berfikiran sempit: Dalam perang terkenal di Mut’ah, Khalid Al Walid memutuskan untuk menarik diri pejuang-pejuang Islam dari medan perang kerana mendapati tentera Islam berada dalam jumlah yang sikit berbanding tentera-tentera lawan. Apabila mereka pulang , setengah orang Islam memfitnah mereka sebagai lari dari medan perang. Nabi s.a.w. membangkang seraya berkata, “Tidak.. mereka adalah ahli pejuang yang mara ke hadapan”. Ketika itu setengah penduduk Madinah berfikiran sempit dan menafsirkan keadaan sebagai sama ada tentera melawan atau berundur. Nabi s.a.w. di sebaliknya berkata terdapat pilihan ketiga dalam aspek ini iaitu mengelakkan peperangan seketika untuk mengumpul kembali tenaga dan kekuatan selanjutnya kambali ke medan perang dengan keadaan lebih bersedia lagi menggerunkan terhadap pihak musuh.

Sejarah membuktikan strategi pemikiran jauh dan luas beliau dalam menangani masalah berjaya mendapat kejayaan yang membanggakan yang akhirnya menumpaskan musuh di sempadan Rom setelah menyiapkan tentera-tentera Islam selama tiga tahun untuk berhadapan dengan mereka.

Prinsip 7

Jangan mengadakan atau memanjangkan konfrantasi yang tidak perlu: Prinsip ini timbul hasil dari perjanjian damai Hudaibiyah. Ketika itu umat jahiliyah berkeras untuk berperang dengan tentera Islam kerana mereka berkeadaan lebih baik dari segi strategi peperangan. Tetapi Nabi s.a.w, sebaliknya memasuki perjanjian perdamaian bersifat unilateral untuk selama sepuluh tahun. Sebelum itu pihak Islam dan yang bukan Islam hanya bertemu di medan peperangan untuk menyelesaikan konflik mereka. Sejak itu konfrontasi hanya ditangani dengan perbincangan serta pertukaran maklumat mengenai perbezaan ideologi. Dalam masa dua tahun, Islam muncul unggul lantaran kerana ideologinya yang tiada tolok bandingannya tidak dapat dilawan.

Prinsip 8

Biar perlahan-lahan dan tidak radikal dalam pelaksanaan hukum: Prinsip ini termaktub dalam Hadith riwayat Bukhari, mana surah-surah awal penurunan ayat-ayat Al-Qur’an berkaitan rapat dengan syurga dan neraka. Selepas kepercayaan mula menyerap masuk ke dalam hati sanubari umat manusia, Allah s.w.t. menurunkan surah-surah untuk menyeru umat manusia menghentikan terus dari melakukan ketidakadilan dan amalan-amalan yang tidak bermoral yang membelenggu masyarakat Arab jahiliyah itu ketika itu. Ini bukti sejarah yang jelas bahawa Islam menggemari cara kesederhanaan dan membenarkan cara evolusi dari revolusi dalam perlaksanaan polisi dan pembaharuan.

Prinsip 9

Bersifat pragmatik dalam menangani konflik: Sewaktu menulis draf perdamaian di meja rundingan Hudaibiyah Nabi s.a.w. bersabda, “Inilah utusan dari Muhammad utusan dari Allah s.w.t.” , kaum Quraisy terus memberontak dengan ayat ini lantas Nabi s.a.w menyarankan ayat itu diubah-suai kepada ‘Muhammad, anak kepada Abdullah’. Ini mendiamkan pengkritik-pengkritiknya. Ini hanyalah sebilangan kecil dari prinsip-prinsip yang Nabi Muhammad s.a.w. gunakan untuk mengatur langkah hidupnya. Kunci kejayaan prinsip-prinsip hidupnya diiktiraf oleh pengkaji sejarah sebagai tiada tolok bandingnya dan adalah bijak seandainya kita umat Islam cuba mencontohi kebijaksanaan beliau. ‘Pada dalam diri kamulah utusan dari Allah milik budi pekerti yang indah untuk setiap orang yang harapan mereka terletak pada Allah dan hari kemudian…’ (Quran 33:21).

Bersyukurlah kita kerana dipilih sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. Terlalu banyak ganjaran dan kelebihan yang Allah janjikan yang perlu kita cari dan amalkan. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w yang terbaik. :)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes