Home

Maal Hijrah 1432 Hijrah | Hargai Setiap Saat

Monday, December 06th, 2010 | Author:

Alhamdulillah, selesai membaca doa akhir tahun 1431 hijrah dan doa awal tahun 1432 hijrah, maka semestinya kita telah melangkah ke tahun baru Islam atau lebih dikenali dengan Awal Muharram/Maal Hijrah. Tentunya anda sudah pun menanam azam tersendiri bagi memenuhi tahun baru yang tiba. Namun tanpa kita sedar, setiap masa yang kita lalui sebenarnya banyak terbuang begitu sahaja walaupun azam tahun baru selalu dibuat bila tibanya tahun baru. Sejauhmana azam tahun baru anda yang lalu tercapai? Atau, ada anda peduli?

Apapun, manfaatkan hidup ini dan jalanilah hidup setiap hari seakan-akan inilah hari terakhir anda. Buatlah setiap hari menjadi hari yang bermakna, hari yang bermanfaat. Kita tidak boleh mengubah hari kelmarin. Esok belum pasti akan datang. Sekaranglah satu-satunya waktu yang boleh diterima, termasuklah saat dan ketika anda sedang membaca entri blog saya ini. :)

Terlalu ramai daripada kita yang meneruskan hidup dengan mengenang masa lalu atau mengharap masa akan datang. la tidak berguna bagi kita untuk berhadapan dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan hari ini. Lupakan sahaja masa lalu, ia telah berlalu untuk selamanya. Kejayaan anda di masa akan datang sangat bergantung kepada apa yang anda lakukan hari ini… ya, sekarang!

Setiap fajar yang baru adalah kelahiran hari yang baru. Buatlah setiap hari menjadi impian yang indah dan mulia. Ketika bangun pada pagi hari, bangunlah dengan harapan menikmati perkara baik yang akan datang kepada anda hari ini. Apabila kita membiasakan diri untuk mengharapkan perkara yang baik, biasanya hal-hal itu akan terjadi, insya-Allah. Tindakan ini boleh mempengaruhi kita dengan kekuatan kepercayaan diri.

Jika kita berbuat yang terbaik pada setiap ‘hari ini’ yang kita miliki, maka setiap ‘hari esok’ kita akan terurus dengan sendiri. Marilah kita membuat hari ini menjadi lebih baik daripada kelmarin. Marilah kita menetapkan bahawa setiap hari ini adalah lebih bererti bagi kita. Kita akan menjadi lebih sihat hari ini. Kita akan menjadi lebih bahagia hari ini. Hari ini kita hanya memerlukan sedikit usaha sahaja dalam tugas kita. Hari ini hanya sedikit yang perlu dilengkapi. Hari ini kita hanya perlu sedikit memandang ke hadapan dan ke atas. Hari ini marilah kita menambahkan sedikit rasa kasih sayang.

Apa yang akan terjadi kalau kita hidup hari ini dan berusaha membuat setiap hari menjadi lebih baik untuk dijalani? Kita telah memasuki arus utama kehidupan. Kita mulai kehidupan yang terarah menuju ke hadapan dan mengembangkan nilai kemanusiaan. Kita menjadi gembira dan jiwa sentiasa mendapat ilham yang baru dan segar. Kita akan menjadi lebih terdorong untuk menjadikan sesuatu perkara itu yang terbaik pada diri kita.

Menurut falsafah hidup dalam Islam, sejak seorang manusia akil baligh dan waras (tidak gila), maka ia harus mempersiapkan diri untuk matinya. Sebab, tidak ada manusia yang tahu bila akan tiba ajalnya, sementara dia harus mempertanggungjawabkan setiap amal perbuatannya di dunia ketika di akhirat nanti.

Dalam situasi umur yang yang masih ada ini, pilihan paling bijak ialah memanfaatkan setiap waktu untuk persiapan husnul khatimah (pengakhiran yang baik), iaitu dengan cara beribadah. Baik ibadah khusus, ataupun ibadah secara umum (seperti bersosial).

Sepertimana firman Allah s.w.t, ‘’Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah.’’ Dan Rasulullah s.a.w juga ada menegaskan, ‘’Dunia adalah ladang amal bagi akhirat.’’ Ini bermaksud, visi dan misi hidup seorang Muslim seharusnya sentiasa melampaui dimensi duniawinya. Segala aktiviti hidupnya, selain memiliki matlamat hidup di dunia, ianya juga berorientasi kepada pencapaian menuju ke akhirat yang lebih baik iaitu syurga.

Oleh sebab itu, waktu bagi seorang Muslim itu sangat berharga. Rasulullah s.a.w mengingatkan, ‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” (HR Bukhari)

“Belum sempat lagi kedua kaki seorang hamba melangkah pada hari kiamat, maka ditanyalah tentang usianya.. dihabiskan untuk apa, tentang ilmunya.. digunakan untuk mengerjakan apa, tentang hartanya.. diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa, seterusnya tentang anggota badannya.. digerakkan untuk apa.” (HR Tirmidzi).

Manfaatkanlah setiap saat yang ada dengan kebaikan dan janganlah sia-siakan masa muda dengan hiburan yang sering melalaikan. Semoga azam sempena awal Hijrah ini menjadikan kita semua hamba Allah yang terbaik, cemerlang dan bermanfaat.. insya-Allah. Jangan hanya menunggu setiap kali tibanya awal tahun, barulah bersemangat dan berazam untuk berubah. Salam Maal Hijrah.. :)

Tags »

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Islam, Renungan & Motivasi

You can leave a response.

2 Responses

  1. 1
    etomyam 

    salam maal hijrah untuk gu :D
    etomyam recently posted: Bagaimana Menjana USD50 Melalui Blog Update

  2. 2
    Wirasutra 

    salam maal hijrah juga gu… :)

Leave a Reply

CommentLuv badge
 
Get Adobe Flash player