Kejayaan + Kehidupan
Friday, February 26th, 2010 | Author: Wan

Setiap usaha yang kita buat semestinya bermatlamatkan kejayaan. Kalau kerja yang dibuat tanpa mengharapkan kejayaan, bermakna ianya tidak bermatlamat. Yang pasti, setiap manusia yang waras, tentu mengimpikan kejayaan sama ada untuk dirinya sendiri atau orang lain.
“Sebenarnya apakah itu KAJAYAAN?” Kejayaan adalah peningkatan segala sesuatu yang berharga, yang anda inginkan dari kehidupan.
Objek dari hasrat hati boleh berubah dan sangat berbeza antara seorang dengan seorang individu yang lain. Semua ini bergantung pada nilai-nilai yang terdapat pada diri kita. Untuk seseorang tertentu, pengumpulan wang merupakan tanda kejayaan. Bagi orang lain pula, kejayaan bererti membesarkan anak-anak yang baik, bahagia dan sihat. Bagi yang lain pula, bererti memberikan perkhidmatan kemanusiaan seperti menjadi guru, imam, pekerja sosial: Peningkatan dalam bidang usaha tertentu akan dikatakan kejayaan oleh orang lain.
Apa pun erti kejayaan bagi kita, ianya harus selalu disertai dengan kebahagiaan dan kedamaian batin. Secara umum kita sering mengatakan lelaki dan wanita yang kaya sebagai orang yang berjaya. Sedangkan beberapa kegagalan terbesar dalam hidup adalah memiliki berjuta-juta ringgit tetapi hidupnya menderita. Sebenarnya wang tidak pernah menjadi ukuran kejayaan.
Allah s.w.t tidak pernah mengharap makhluk-Nya akan menjalani hidup yang sempit dan merana. Kita diciptakan untuk sama-sama menikmati keberkatan hidup yang melimpah. Kita dicipta untuk berkongsi kelimpahan yang mengelilingi kita. Wang memang baik, tetapi tidak sepatutnya dinilai lebih tinggi dari darjat manusia.
Apa pun peningkatan berharga yang anda kehendaki dalam hidup ini, boleh anda perolehi. Kita mempunyai anugerah lengkap untuk mendapatkan kejayaan. Tidak ada seorang pun yang dapat menghalang anda untuk berjaya, kecuali diri anda sendiri. Anda memiliki kekuatan dan kemampuan dalam diri anda. Jarak antara anda dengan peningkatan kejayaan harus ditempuh dengan pengembangan, pembentangan kekuatan dan kemampuan yang ada dalam diri anda.
Apa yang penting ialah kita sedar bahawa setiap perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan mestilah bermatlamatkan kejayaan, barulah hidup kita sentiasa terus maju dan mempunyai kekuatan dalam kehidupan seharian.





sangat setuju dengan artikel dan ulasan ni..
insya allah mudah-mudahan kita sentiasa berjaya dunia akhirat..