Home

Istiqamah Dan Perjuangan Hidup

Sunday, April 11th, 2010 | Author:

Wah, semakin hari semakin mencabar kehidupan kita. Agaknya itulah sebab utama ramai yang berjuang untuk hidup dan kemudian tertewas, dan akhirnya terjerumus dengan kehidupan yang membawa kepada kehancuran diri. Sebenarnya perjuangan dalam hidup manusia amat luas pengertiannya.  Ada perjuangan yang kecil dan ada perjuangan yang besar.  Contoh perjuangan yang kecil ialah apa juga usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia.  Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.  Asas bagi menentukan kecil atau besar tahap perjuangan itu ialah:

[1] Matlamat perjuangan.
[2] Halangan atau cabaran terhadap perjuangan.
[3] Risiko atau pengorbanan yang diperlukan.

Namun begitu ada orang yang keliru.  Mereka meletakkan perjuangan untuk mencapai kejayaan di dunia sebagai perjuangan yang lebih utama dan mengabaikan perjuangan untuk mencapai kejayaan di akhirat.  Sebenarnya orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia sahaja adalah orang yang akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat, sedangkan orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di akhirat sebenarnya akan mendapat kejayaan kedua-duanya iaitu di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Taala: “Ketahuilah bahawa apa (yang dikatakan) kehidupan di dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan beranak-pinak,  (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan) tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanaman suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning, akhirnya ia menjadi hancur bersepai, dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat).  Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Berlumba-lumba kamu (mengerjakan ama-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar “. (Surah Al-Hadid:20-21)

Malangnya ada pula orang yang tidak mempunyai perjuangan langsung dalam hidupnya, mereka hanyut macam kiambang di sungai.  Mereka diracun oleh fahaman jabariah iaitu berserah pada takdir  saja tanpa usaha, atau mereka mengikut arus dan perubahan zaman tanpa prinsip dan pendirian, iman mereka rapuh, amal ibadah mereka tidak tetap dan akhlak mereka dicorakkan oleh berbagai-bagai budaya dan fahaman.

Perjuangan yang suci diredhai Allah tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat.  Cabaran itu hanya akan dapat diatasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa.

Firman Allah Taala: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.  Sesungguhya tidak berputus asa dari rahmat  dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Surah Yusof:87)

Sikap istiqamah dapat dibentuk dengan menanamkan unsur-unsur yang berikut ke dalam diri:

[1] Matlamat yang unggul  iaitu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
[2] Semangat dan daya juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah atau berputus asa.
[3] Prinsip yang benar berasaskan Al-Quran dan hadis Rasullullah (s.a.w).
[4] Ilmu dan maklumat yang cukup.
[5] Strategi yang kemas dalam perjuangan.
[6] Usaha yang berterusan.
[7] Yakin kepada takdir dan janji Allah Taala.
[8] Sentiasa berdoa dan bertawakal.
[9] Bersyukur dan redha.

Sikap ini dapat diteladani daripada Rasullallah (s.a.w), para sahabat, para mujahid, syuhada dan solihin seperti yang tertera di dalam gambaran-gambaran sejarah Islam. Semoga hidup kita sentiasa diredhai Allah. :)

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Islam, Renungan & Motivasi

You can leave a response.

Leave a Reply

CommentLuv badge
 
Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes