Halal Atau Haram, Mana Kesudahannya?
Monday, July 26th, 2010 | Author: Wan

Takut & bimbang!
Saya rasa hanya dua ungkapan itu yang mula-mula timbul dari benak fikiran saya setelah membaca laporan di dada akhbar dan mendengar berita di radio/tv tentang status halal di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Wajarkah negara Malaysia yang diwacanakan sebagai sebuah negara Islam yang menjadi contoh ikutan negara Islam lain di dunia masih lagi bergelora dengan ketidaktentuan kesahihan status halal? Sejauhmanakah peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan amnya dan khususnya JAKIM yang dipertanggungjawabkan meluluskan status halal di Malaysia?
Sebagai sebuah negara berteraskan agama rasminya Islam, bukankah lebih baik jika mewajibkan perlesenan sesebuah syarikat perniagaan termasuk hotel (tidak kiralah berapa bintang), restoren (termasuk kopitiam yang menjadi kegilaan penggemar kopi) atau mana-mana premis dimestikan dan diwajibkan mendapatkan terlebih dahulu sijil halal daripada JAKIM sebagai syarat sah beroperasi. Apatah lagi jika perniagaan tersebut melibatkan pelanggan-pelanggan yang beragama Islam.
Saya bukan nak salahkan mana-mana pihak, cuma sekadar keliru. Selamatkah kita berada di Malaysia untuk menjamu selera tanpa keraguan sama ada ianya halal atau haram? Jika selama ini kita bergantung harap kepada logo halal JAKIM sebagai keyakinan dan sandaran, bagaimana halnya pula jika ‘logo halal JAKIM’ seperti itu pula boleh diragui dengan alasan ianya dipalsukan atau direka-reka? Sangat mendukacitakan apabila pengguna/pelanggan dipersalahkan dengan alasan sepatutnya pelanggan siasat terlebih dahulu sama ada premis itu sah logo halalnya atau tidak. Di manakah pihak pemantau sijil halal, di manakah pihak berwajib yang bertanggungjawab, masih sibuk berpolitik? Apa hak kuasa seorang pengguna sehinggakan terpaksa memantau semua tempat yang dikunjungi itu sama ada logo halalnya palsu atau tidak? Adakah kurang kakitangan di JAKIM boleh menjadi alasan atau penyebab kurangnya atau tiada pemantauan?
Persoalannya… penting atau tidak status HALAL? Jawapannya ya, sebagai umat Islam.. semestinya penting.
Firman Allah s.w.t, “Wahai manusia, makanlah dari makanan yang HALAL dan baik yang terdapat di bumi, dan jangan kamu mengikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” Al-Baqarah: 168
Halal adalah satu perkataan bahasa Arab yang bermaksud sah atau dibenarkan. Lawan istilah halal ialah haram, maksudnya tidak sah atau tidak dibenarkan. Istilah halal dan haram digunapakai secara global kepada semua perkara dalam kehidupan kita. Tapi apa yang saya utarakan dientri kali ini ialah berkaitan dengan makanan dan minuman yang pastikan menjadi darah daging sampai kepada keturunan yang takkan habis-habis. Banyak perkara halal dan haram dinyatakan secara jelas, tetapi masih terdapat beberapa perkara yang tidak jelas. Untuk mengklasifikasikan perkara-perkara ini sebagai halal dan haram tentunya memerlukan perbincangan dan penjelasan. Ini yang digelar sebagai ‘Mashbuh’ atau ‘Syubhah’ iaitu perkara yang diragukan, mencurigakan atau dipersoalkan.
Allah berfirman lagi, “Dan makanlah dari apa yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada kamu sebagai rezeki yang halal dan baik, dan bertakwalah kepada Allah tuhan yang kamu beriman kepada-Nya.” Al-Ma’idah: 88
Sebenarnya semua makanan boleh dianggap halal kecuali perkara-perkara berikut (yang dikategorikan haram):
1. Babi atau apa sahaja yang berkaitan dengannya.
2. Binatang yang tidak disembelih mengikut syariat Islam atau mati sebelum disembelih.
3. Minuman beralkohol (arak).
4. Binatang-binatang pemangsa, burung-burung pemangsa dan sepertinya.
5. Makanan/minuman yang dicemari perkara-perkara di atas.
Makanan yang mengandungi bahan-bahan seperti gelatin, enzim-enzim, pengemulsi dan perisa itu menjadi perkara yang dipersoalkan (syubhah), kerana asal bahan-bahan tersebut tidak dipastikan. Ianya perlukan pengkajian dan penjelasan. Islam menggalakkan supaya umatnya menghindarkan diri daripada perkara syubhah kerana dibimbangi boleh mengundang kepada kelompok haram. Mengelak adalah jalan terbaik. Jika ia diragui, tinggalkan.
Anda boleh semak sama ada mana-mana syarikat mempunyai sijil halal JAKIM atau tidak melalui SMS:
HALAL<>SEMAK<>No. Pendaftaran Syarikat (ROC)
Contoh: HALAL SEMAK 12345X
hantar ke 15888
Mutiara kata sebagai renungan, “Good intention and naive doesn’t mean HALAL”. Wallahu’allam.
Gambar di atas kredit buat Ustaz Annamir.





nak kena sentiasa berhati-hati, benda yg nak jadi darah daging ni
etomyam recently posted: Nisfu Syaaban
betul tu jaz.. bukan darah daging kita je.. semua keturunan akan tempias kesannya nanti..