| Subcribe via RSS

Berhati-Hati Dengan Urusniaga Internet

October 18th, 2008 | 2 Comments | Posted in ISU SEMASA, KOMPUTER/INTERNET

Sungguh menakutkan dan mengecewakan apabila wang yang banyak dalam akaun bank hilang begitu saja atau lesap sedikit demi sedikit gara-gara kegiatan jenayah siber melalui perbuatan jahat mereka bergelar ‘phishing’.

Mereka menggunakan kaedah menipu orang ramai dengan menghantar e-mel kononnya ingin memaklumkan kepada pemegang akaun agar memperbaharui akaun dengan mengesahkan e-mel dihantar.

Kegiatan phishing ini mampu mengaburi mata orang ramai apatah lagi mereka menggunakan alamat e-mel seolah-olah ia dihantar dari pihak bank secara sah.

Ia akan meminta pelanggan yang memiliki akaun memasukkan nombor akaun serta kata laluan atau mengklik alamat URL disediakan bagaikan transaksi biasa dilakukan melalui perbankan ‘online’.

Namun tanpa disedari perbuatan itu mampu menyebabkan wang dalam akaun hilang sekelip mata tanpa pengguna mengesan ke mana wang itu dipindahkan.

Bukan satu atau dua bank tempatan yang terbabit, malah hampir semua bank yang menyediakan perkhidmatan online tidak lari dari sasaran penipuan phishing apabila terdapat e-mel yang dihantar kepada pelanggan mereka

Penyebaran e-mel sedemikian yang meminta pelanggan bank itu memberikan maklumat penting menerusi program mengemaskini maklumat pemalsuan akaun bank.

E-mel yang disebar itu meminta pengguna memasukkan kata nama dan kata kunci akaun perbankan dalam talian bank atas alasan mengemas kini maklumat pelanggan bagi.

Malah terdapat satu lagi e-mel yang meminta pelanggan mengemaskini data peribadi atas alasan penukaran sistem keselamatan baru kononnya digelar PP20 bagi melindungi pelanggan.

Bagi meyakinkan pengguna, perbuatan jahat ini diteruskan dengan penyertaan tandatangan bank terbabit di bahagian bawah e-mel.

Pelanggan bank diingatkan supaya berhati-hati dengan sebarang e-mel mencurigakan yang meminta mereka melayari URL tertentu dan meminta memasukkan maklumat penting seperti kata nama dan kata kunci.

Tiada satu bank pun di Malaysia yang meminta pelanggan mereka membuat pengesahan akaun melalui penghantaran e-mel atas faktor keselamatan.

Selain itu, e-mel seperti itu adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menceroboh maklumat penting pelanggannya.

Pelanggan perlu berhati-hati dengan e-mel mencurigakan sedemikian yang biasanya disebarkan atas tujuan mengemaskini maklumat pelanggan.

Bank tidak akan menghantar sebarang e-mel yang meminta pelanggan memberikan maklumat perbankan peribadi. Jika terima, terus abaikan.

Malah, pelanggan harus ingat supaya tidak melayari URL yang terkandung dalam e-mel berkenaan, sebaliknya menaip alamat URL bank secara terus jika mahu mengakses laman web perbankan online.

Kegiatan phishing bukan perkara baru yang termasuk dalam kategori jenayah siber mengundang masalah di seluruh dunia.

Dalam pengkomputeran, phishing disifatkan satu cubaan jenayah serta penipuan untuk mendapatkan maklumat sensitif melalui perhubungan elektronik seperti nama pengguna, kata laluan, dan butiran kad kredit dengan menyamar sebagai sebuah entiti yang boleh dipercayai.

Laman web e-Bay, PayPal serta perbankan online antara mangsa yang sering kali menjadi sasaran.

Phishing selalunya dilakukan melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas (SMS) dan selalunya mengarahkan pengguna untuk memasukkan butiran pada laman web tertentu.

Antara cubaan untuk mengatasi kejadian phishing yang semakin meningkat termasuklah penguatkuasaan undang-undang, latihan untuk pengguna, kesedaran umum, serta langkah teknikal yang dijalankan melalui kawalan keselamatan lebih ketat.

Sementara itu, phishing adalah penipuan paling popular selain penipuan loteri, pelaburan Internet, pembohongan dan skim piramid yang menyebabkan pengguna mengalami kerugian berikutan maklumat peribadi yang terdedah kepada penjenayah siber.

Pengguna internet perlu sentiasa berhati-hati ketika memberi maklumat peribadi dalam laman web, e-mel, sistem mesej segera, bilik bual atau pada papan mesej untuk mengelak daripada menjadi mangsa.

Antara tindakan yang boleh diambil pengguna adalah dengan menggunakan perisian antivirus, antispyware dan firewall selain sentiasa memastikan perisian itu dikemaskinikan.

Dalam pada itu, orang ramai perlu berhati-hati agar tidak tertipu dengan kegiatan phishing dengan mengambil 10 langkah asas bagi melindungi maklumat peribadi dari bocor di tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Terdapat 10 langkah bijak bagi membendung kegiatan phishing iaitu:

1. Sentiasa berhati-hati apabila menerima e-mel mendakwa mereka dari pihak bank kerana bank tidak pernah menghantar e-mel kepada pelanggan.

2. Taip alamat URL bank secara manual dan bukannya dari pautan diberikan melalui e-mel phishing.

3. Lihat alamat https:// di ruang carian URL serta bentuk bumi di bahagian bawah ikon carian memastikan maklumat dihantar adalah selamat.

4. Semak ketulenan laman web dengan mengklik sebanyak dua kali ke atas ikon itu, ia akan memaklumkan sama ada laman web dikunjungi selamat atau tidak.

5. Untuk perbankan online, kebanyakan bank membekalkan mekanisme pengesahan seperti kod transaksi SMS atau kata laluan yang berlainan.

6. Pindah turun perlindungan online ke atas komputer anda dan kerap perbaharui maklumat.

7. Pindah turun perlindungan dengan menghidupkan ‘firewall’ dan sentiasa perbaharui perisian keselamatan untuk elakkan kecurian kata laluan.

8. Jangan gunakan komputer awam untuk lakukan transaksi kewangan.

9. Guna enjin carian alternatif seperti Firefox 3 atau Opera 9.5 yang memiliki ciri keselamatan lebih baik yang memberi amaran kepada pengguna mengenai laman web tidak meyakinkan.

10. Jika anda sudah termasuk dalam laman web berbentuk phishing, segera melaporkannya kepada pihak keselamatan supaya ia dapat dibendung.

Kegiatan phishing sememangnya lama bertapak namun ia masih berterusan dan menipu pengguna memandangkan kesedaran masih belum cukup terutama di kalangan mereka yang tidak memahami teknologi maklumat secara mendalam.

Oleh itu, kita perlu mengambil langkah awal bagi mengelak kerugian dan kebocoran maklumat yang mungkin akan menyebabkan kita menyesal di kemudian hari.

Sumber rujukan dari Harian Metro.

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!


Tags: , , , ,

Tradisi Atau Mentaliti Rendah?

October 5th, 2008 | No Comments | Posted in ISU SEMASA, SEMBANG

Rasanya belum terlambat untuk saya melafazkan kata-kata tersohor sempena 1 Syawal…

SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR BATIN. :D

Ampun dipinta sekiranya ada salah silap yang telah saya ‘terbuat’, khasnya bagi mereka yang mengenali saya. Saya tetap lemah kerana hanya insan biasa yang ada kalanya lupa batasan tanpa disedari.

Alhamdulillah, saya selamat kembali ke KL dengan jayanya walaupun berhadapan dengan kerenah jalan sesak yang tidak habis-habis. Persoalannya, adakah kesesakan sempena hari raya ini disebabkan oleh tradisi atau mentaliti pemandu yang rendah? Sepanjang perjalanan, saya tidak nampak kesesakan berpunca dari bilangan kereta yang bertambah, tapi lebih ketara disebabkan oleh sikap ’segelintir’ pemandu yang tidak bermoral memotong barisan kenderaan lain yang sudah menunggu giliran sekian lama untuk masuk sesuatu lorong atau selekoh.

Takkan orang lain pun tak nak cepat sampai ke destinasi? Takkan hanya mereka yang tidak bermoral ini saja yang fikirkan nak cepat sampai ke rumah? Ke mana letaknya mentaliti yang Allah anugerahkan? Takkan tidak terfikir betapa seksanya pemandu lain (yang berhemah) bersabar menunggu giliran barisan kenderaan yang lain? Akhirnya disebabkan sikap yang tidak berhemah segelintir pemandu inilah menyebabkan jalan semakin sesak dan mereka yang jujur terus menunggu giliran sekian lama kerana peluang yang ada ‘dirampas’ oleh pemandu yang bermentaliti rendah. Malangnya, ramai diantara mereka yang bermentaliti rendah ini juga berkenderaan mewah dan hebat. Betapa kurang ajarnya manusia sebegini!

Dan bertambah malang lagi bila gagal melihat kelibat polis trafik atau JPJ di sepanjang perjalanan, berhari raya lagi ke…? Atau cukup hanya meletakkan gambar seorang anggota polis di pinggiran jalanraya/lebuhraya sekadar menakutkan pengguna pemandu? Cukup kecewa…..

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!


Tags: , , , ,

Minyak Turun Atau Naik Darah?

September 16th, 2008 | No Comments | Posted in ISU SEMASA

Nampaknya tidak kira walau di mana situasinya, berita hangat adalah tarikh 16 September 2008. Lihat saja berita TV, dengar saja radio malah baca di dada akhbar bersaiz besar atau kecil, para wartawan tentunya dianggap ketinggalan jika tidak mengupas tentang 16 September yang diperkatakan oleh DS Anwar Ibrahim.

Saya menunggu bakal sejarah itu, adakah benar atau sekadar gimik politik. Malah siapa saja sebagai warga Malaysia yang prihatin dengan politik negara sudah tentu menanti apa kesudahannya. Anda parti apa, itu bukan soalnya.

Saya gunakan tajuk Minyak Turun atau Naik Darah bermaksud jika benar kerajaan bertukar tangan, maka janji DS Anwar Ibrahim akan menurunkan serta-merta harga minyak, namun bagaimana jika kenyataan itu hanya tinggal sindiran golongan tertentu saja dan tiada perubahan yang berlaku kepada pimpinan negara? Tentu ramai yang akan naik darah dan marah kerana seolah-olah memperkotak-katikkan rakyat semata-mata hanya menggunakan gimik politik sebegitu.

Jangan dipersoalkan saya di pihak mana. Tapi sebagai rakyat Malaysia saya mempunyai semangat berkobar-kobar melihat kebenaran atau tidaknya sejarah itu tercipta…

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!


Tags: , , , , , ,

Sejauhmana Kita Merdeka?

August 26th, 2008 | No Comments | Posted in ISU SEMASA

Merdekakah kita?

Jika hanya menghadiri konsert ambang merdeka yang dianjurkan oleh pelbagai pihak yang mengundang maksiat?

Merdekakah kita?

Jika hanya bersama khalayak melaungkan MERDEKA! bila sampai detik 12 malam?

Merdekakah kita?

Jika hanya menyaksikan ribuan ringgit dihabiskan membakar mercun dan bunga api setiba detik 12 malam?

Merdekakah kita?

Jika hanya berpeleseran di taman bunga bersama pasangan cinta yang tidak sah hubungan pada malam merdeka?

Merdekakah kita?

Jika hanya menyaksikan warna-warni perarakan kemerdekaan di Dataran Merdeka atau Putrajaya?

Merdekakah kita?

Jika hanya dibuai mimpi sepanjang hari pada hari 31 Ogos dek kerana cuti umum?

Merdekakah kita?

Jika hanya memasang bendera Malaysia dengan gahnya di kenderaan, tapi berlagak menjadikan jalanraya umpama litar lumba dan membahayakan pengguna yang lain?

Merdekakah kita?

Jika hanya pandai mengkritik tanpa menyumbang apa-apa untuk penambahbaikkan?

Merdekakah kita?

Jika hanya menjadi pengguna dan bukannya pencipta?

Merdekakah kita?

Jika hanya mengaku sebagai makhluk Allah tetapi tidak hidup sebagai hamba-Nya yang taat?

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!


Tags:

Keputusan Grand Prix Formula Satu Petronas 2008

March 23rd, 2008 | 1 Comment | Posted in ISU SEMASA

Berikut ialah keputusan perlumbaan Petronas Malaysian Grand Prix 2008 di Sirkit Sepang, hari ini:

Klasifikasi Perlumbaan selepas 56 pusingan:

1. Kimi Raikkonen (FIN) Scuderia Ferrari Marlboro 1 jam 31 minit 18.555s
2. Robert Kubica (POL) BMW Sauber F1 Team 1′31:38.125s
3. Heikki Kovalainen (FIN) Vodafone McLaren Mercedes 1′31:57.005s
4. Jarno Trulli (ITA) Panasonic Toyota Racing 1′32:04.387s
5. Lewis Hamilton (GBR) Vodafone McLaren Mercedes 1′32:05.103s
6. Nick Heidfeld (GER) BMW Sauber F1 Team 1′32:08.388s
7. Mark Webber (AUS) Red Bull Racing 1′32:26.685s
8. Fernando Alonso (ESP) ING Renault F1 Team 1′32:28.596s
9. David Coulthard (GBR) Red Bull Racing 1′32:34.775s
10. Jenson Button (GBR) Honda Racing F1 Team 1′32:44.769s
11. Nelson Piquet (BRA) ING Renault F1 Team 1′32:50.757s
12. Giancarlo Fisichella (ITA) Force India F1 Team (1 pusingan)
13. Rubens Barrichello (BRA) Honda Racing F1 Team (1 pusingan)
14. Nico Rosberg (GER) AT&T Williams (1 pusingan)
15. Anthony Davidson (GBR) Super Aguri F1 Team (1 pusingan)
16. Takuma Sato (JPN) Super Aguri F1 Team (2 pusingan)
17. Kazuki Nakajima (JPN) AT&T Williams (2 pusingan)

Tidak selesai perlumbaan:

- Sebastian Vettel (GER) Scuderia Toro Rosso
- Felipe Massa (BRA) Scuderia Ferrari Malboro
- Adrian Sutil (GER) Force India F1 Team
- Timo Glock (GER) Panasonic Toyota Racing
- Sebastien Bourdais (FRA) Scuderia Toro Rosso

Rujukan : BERNAMA

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!


Tags: , ,