Home

Archive for the Category » Islam «

Penghayatan Hijrah

Friday, November 25th, 2011 | Author:

Esok (26 November) kita akan menyambut bulan Muharram bagi tahun 1433 Hijrah. Ikut kalendar masihi pastinya sambutan disambut 27 November, tapi jika mengikut kaedah takwim hijrah, malam esok sudah dikira 1 Muharram. Bulan penuh bersejarah yang tertanam di dalam jiwa dan terukir kukuh di dalam hati setiap umat Islam. Bulan ini ialah bulan memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Makkah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t. setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah itu tetap dikenang. Namun, pernahkah kita sebagai umat Islam terfikir apakah sebenarnya sejarah yang berlaku ketika hijrahnya Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah? Pernahkah kita terfikir untuk mengkaji dan mendalami sejarah Islam itu sendiri?

Tahun baru hijrah mempunyai ciri yang unik, tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam.

Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w, suatu peristiwa yang dipenuhi pahit manis dan pelbagai rintangan serta dugaan yang dilalui oleh Baginda dan para sahabat semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan diri Baginda sendiri dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda dan terus-terusan menyeksa orang Islam. Penghijrahan itu bertujuan untuk menyelamatkan, mengembangkan dan menegakkan syiar Islam pada ketika itu.

Hijrah Nabi s.a.w. merupakan hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Ia juga merupakan satu perancangan yang mendalam, pelaksanaan yang teliti dan gerak kerja yang berterusan sehingga  baginda mencapai apa yang dirancangkan.

Usaha Baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pengkalan dakwah Islamiah bukan dilakukan dalam masa yang singkat dan drastik. Sebelum menyeru umatnya berpindah ke Madinah, Baginda telah mengkaji dan bertemu sendiri dengan sekumpulan penduduk Madinah (dulunya dikenali sebagai Yathrib) dan menyeru mereka kepada Islam. Mereka ini menerima seruan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya membai’ah bersama Baginda (di Bukit ‘Aqabah) menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Baginda dan para sahabat Baginda. Setelah itu, barulah Baginda menyuruh para sahabatnya berhijrah ke Madinah. Itupun setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita peringati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan Baginda dan umat Islam dari Makkah ke Madinah tetapi membawa maksud “membuat suatu perubahan”. Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Makkah kepada suasana yang baru di Madinah. Peristiwa itu juga merupakan detik terpenting kepada pembaharuan nilai hidup manusia dan tidak akan berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.

Berlakunya hijrah Baginda dari Makkah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pengkalan dakwah Islamiah tetapi Baginda berjaya membangunkan sebuah daulah Islamiah dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelusuk, sama ada di dalam atau di luar Semenanjung Tanah Arab.

Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan Baginda dalam membangunkan sebuah negara Islam ialah :

Faktor Pertama: Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pembawa risalah Allah dan juga pemimpin umat Islam ketika itu. Kewibawaan Baginda sebagai pemimpin dapat dilihat dari aspek keperibadiannya yang sanggup berkorban demi untuk menegakkan syiar Islam. Kewibawaan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat dilihat dari sudut pemikirannya yang berpandangan jauh (berwawasan) dalam mengatur strategi dakwahnya.

Faktor Kedua: Kecekalan yang ditunjukkan oleh kaum Muhajirin yang telah menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah ke Madinah dengan tujuan untuk menegakkan syiar Islam. Mereka sanggup meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata mempertahankan prinsip yang mereka pegang dan untuk mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Faktor Ketiga: Kesatuan dan kesepaduan umat Islam hasil dari terbangunnya sebuah daulah Islamiah di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan berbagai-bagai usaha demi untuk menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj agar menjadi sebuah umat yang bersatu. Sesebuah negara tidak akan mampu dibangunkan tanpa mempunyai umat yang boleh hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.

Faktor Keempat: Pertolongan dari Allah s.w.t. sudah tentunya setiap usaha yang menghasilkan kejayaan amat bergantung rapat dengan pertolongan Allah s.w.t. Usaha seseorang tidak akan berjaya tanpa pertolongan dan ma’unah dari Yang Maha Esa. Lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. Sepertimana Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran (ayat 160) bermaksud: “Jika Allah menolong kamu, maka tiada apa yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah s.w.t membiarkan kamu maku siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu, kerana itu hendaklah orang-orang mukmin bertawakal.”

Kita perlu menghayati erti pengorbanan Baginda dalam peristiwa hijrah supaya lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah. Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu. Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi umat Islam dalam menghadapi kehidupan hari ini.

Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama menanamkan semangat untuk lebih mendalami dan menghayati sejarah Islam itu sendiri serta mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk mencorak langkah menuju ke arah melahirkan umat yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah pembangunan agama dan negara.

Akhir kalam, berikut dua doa yang sunat dibaca sempena menyambut tahun baru hijrah:

Salam Maal Hijrah yang ke 1433. :)

Rujukan: Internet

Category: Islam, Renungan & Motivasi | One Comment

Bekerjalah Kerana Allah

Sunday, October 09th, 2011 | Author:

Pelbagai isu politik hangat boleh dibaca di dada akhbar atau mendengar media elektronik. Sayangnya isu agama pun dipermainkan dek kerana menjaga kepentingan politik peribadi. Semoga Allah s.w.t membuka hati-hati mereka, sama ada yang mendokong atau yang menyokong.

Kali ni saya bukan mahu berbicara tentang politik, hanya sekadar luahan rasa kecewa dengan sikap rakan-rakan terutama rakan sekerja yang tidak jemu-jemu berhasad dengki. Saya tidak mahu mengulas panjang lebar tentang perkara ini kerana saya pernah berbicara tentang Hasad Dengki di catatan yang lepas (boleh rujuk di wirasutra.com/blog/hasad-dengki-pemusnah-kebaikan).

Daripada az-Zubair Nabi s.a.w bersabda, “Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu hasad dan kebencian”. Dalam Sohehain Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling memutuskan persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah s.w.t yang bersaudara.” Manakala dalam hadis yang lain Nabi s.a.w berkata, “Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api.”

Kenapa perlu cemburu jika ada rakan-rakan diberi pujian oleh majikan? Kenapa perlu merasakan bahawa hanya kita sahaja diberikan banyak tugasan, sedangkan dalam masa yang sama menganggap orang lain hanya goyang kaki?

Sifat hasad pasti tidak wujud dalam diri seseorang jika segala urusan yang diamanahkan dibuat secara ikhlas hanya kerana Allah s.w.t. Redha dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t. Malang sungguh jika orang yang mempunyai hasad dengki itu datangnya daripada mereka yang sepatutnya sangat arif tentang ilmu agama, atau lebih tepat digelar sebagai ustaz atau ustazah.

Hargailah rakan-rakan sekerja.. jangan kerana sikap hasad dengki menyebabkan kita memandang rendah kebolehan sahabat-sahabat yang lain. Masing-masing ada tugasan dan peranan tersendiri, lakukanlah mengikut kemampuan. Jangan pula disebabkan rasa terbeban, maka kita menuduh rakan yang lain bergoyang kaki, sedangkan mungkin tanggungjawab dia lebih banyak berbanding kita.

Kesimpulannya,

1. Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.

2. Jika wujud perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.

3. Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya, orang yang bakhil tidak akan berbudi, tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu, dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”

4. Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.

Firman Allah di dalam surah Al-Hadid (ayat 21), “Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuk mendapatkan keampunan Tuhan Mu.” Semoga kita semua terlepas dari seksaan api neraka.

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Zakat Melalui SMS

Monday, August 08th, 2011 | Author:

Sesiapa yang menganggap bahawa adanya teknologi mengundang kepada keburukan adalah individu yang berfikiran sempit. Tidak semua perkara mendatangkan keburukan atau negatif. Hanya cara bagaimana ianya dimanfaatkan sahaja menentukan ianya membawa kebaikan atau keburukan.

Entri kali ini saya ingin berbicara ringkas tentang kemudahan membayar zakat fitrah melalui SMS. Ramai di kalangan kita yang kesibukan dengan urusan kerja seharian sehinggakan tiada masa untuk membayar zakat fitrah di tempat-tempat pembayaran yang disediakan. Malah kemudahan kaunter pembayaran zakat ini telah disediakan di tempat-tempat tumpuan orangramai seperti pasaraya atau laluan pejalan kaki.

“Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah di dalam bulan Ramadhan ke atas umat Islam secupak tamar atau secupak gandum, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau dewasa.” (Bukhari & Muslim)

Seeloknya zakat fitrah tidak dibayar di saat-saat akhir kerana dibimbangi kesuntukan masa atau terlupa, walaupun kita sedia maklum bahawa zakat fitrah wajib ditunaikan sehingga sebelum solat hari raya. Jika dibayar selepas solat hari raya, bayaran itu hanya dikira sedekah seperti hari-hari biasa sahaja.

Zaman serba canggih ini saya pasti hampir semua orang mempunyai telefon bimbit, tidak kiralah sama ada ianya mahal, murah, pintar atau tidak. Yang pastinya penggunaan SMS sudah menjadi satu kemudahan yang digunapakai untuk berhubung antara satu sama lain dalam kehidupan seharian.

Pihak Celcom dan Maxis telah bekerjasama dengan pihak pusat zakat untuk menyediakan kemudahan umat Islam membayar zakat melalui SMS. Sebenarnya ianya telah diperkenalkan sejak tahun 2008 lagi dan telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor sebagai HARUS melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-4 2008.

Penggunaan kemudahan ini adalah percuma, caranya seperti berikut (saya memberikan contoh negeri Selangor kerana saya menetap di sini):

Pengguna CELCOM: Taip FITRAH (jarak) SELANGOR dan hantar ke 21999, ikuti arahan seterusnya.

Pengguna MAXIS: Taip FITRAH (jarak) SELANGOR dan hantar ke 22032, ikuti arahan seterusnya.

Selain Selangor, negeri-negeri lain yang terlibat ialah Kedah, Kelantan, Melaka, Perlis, Pahang, Sabah dan Terengganu.

Kadar zakat bagi negeri Selangor tahun ini (2011) ialah RM7 seorang. Kadar zakat berbeza mengikut negeri-negeri tertentu. Caj kadar zakat akan dikreditkan terus bagi pengguna pascabayar manakala kredit dipotong bagi pengguna prabayar (prepaid).

Sebagai rujukan, pembayaran zakat fitrah juga boleh dilakukan melalui internet, mesin ATM dan mesin E-Debit.

Selamat berzakat, ingat bahawa menunaikan zakat itu adalah wajib.

Category: Islam, Teknologi, Topik Bebas | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes