Street Candid vs Undang-Undang
Thursday, November 05th, 2009 | Author: Wan
Bagi peminat dunia fotografi, semestinya setiap individu ada genrenya tersendiri yang diminati yang menjadi pilihan. Genre fotografi ada banyak cabang sama ada ianya bersifat tradisi atau trend terbaru. Antara genre fotografi yang selalu disebut ialah candid, street, landscape, architectural, macro, urban, potraiture, nature dan berbagai-bagai lagi.
Saya salah seorang ribuan, malah jutaan manusia yang meminati dunia fotografi. Tapi masih meraba-raba jawapan, adakah STREET CANDID ‘dibenarkan oleh undang-undang’ di Malaysia. Sesetengah negara sangat menitiberatkan tentang undang-undang hak individu (strict privacy laws), bermakna tidak boleh merakamkan gambar individu sewenang-wenangnya tanpa mendapat izin atau di bawah pengetahuan tuan punya badan, melainkan jika menghadiri sesuatu majlis khas. Apatah lagi gambar-gambar tersebut dipamerkan seperti dijadikan portfolio, pameran atau dimasukkan ke internet (web, blog, flickr, youtube dan sebagainya).
Setiap fotografer sedar bahawa merakamkan gambar candid mampu menghasilkan gambar-gambar atau momen yang sangat menarik kerana subjek tidak sedar bahawa aksi dan gelagatnya dirakam, kesannya riak wajah lebih original dan spontan berbanding berposing di hadapan lensa kamera, dan aksinya dibuat-buat. Bayangkan jika manusia itu bukanlah fotogenik.
‘Street Candid’ bermaksud merakam gambar kandid (spontan) di jalanan (atau di tempat awam) yang kebiasaannya sasaran subjek adalah manusia-manusia yang pelbagai ragam yang tidak dikenali oleh fotografer sendiri. Jangan salah erti dengan Street Photography, yang kebiasaannya fotografer menyediakan model atau subjek sendiri yang dikenali, cuma lokasinya di sekitar jalanan/jalanraya atau lorong-lorong di tempat awam.
Saya bukan penentang street candid.. malah sebenarnya sangat meminati genre ini, cuma sekadar sedikit keliru dan inginkan jawapan.. adakah street candid dibenarkan dan tidak melanggar undang-undang hak individu di Malaysia? Adakah undang-undang yang jelas bercerita tentang fotografi di Malaysia? Sejauh mana undang-undang di Malaysia mampu membela dan mempertahankan minat dan kerjaya seorang fotografer?
Category: Fotografi | Leave a Comment





