Home

Author Archive

Suami Marah-Marah, Apa Penyebabnya?

Friday, April 20th, 2012 | Author:

Jumpa lagi… setelah sekian lama saya menyepi di ruangan blog ini.. Kepada pengunjung yang tidak jemu2 membuka blog ini, saya mohon maaf atas ‘kehilangan’ info dan entri yang sekian lama. Begitulah keadaannya bila masa bukanlah milik kita sepenuhnya, kerana ianya adalah milik mutlak Allah s.w.t.

Kali ni saya hanya mahu berkongsi sedikit info yang mungkin amat berguna terutamanya bagi kaum hawa yang bergelar isteri. Suami adalah segala-galanya bagi seorang isteri yang mengerti darjat dan tanggungjawab seorang suami, kerana syurga seorang isteri di bawah telapak kaki suami. Ketaatan mesti dijadikan pegangan utama, melainkan jika melibatkan kemungkaran atau kejahatan. Walaupun bukannya satu tugas yang senang untuk menjadi isteri solehah, terutamanya dalam keadaan sekarang yang diselubungi kesibukan kerjaya dan sumber maklumat di sana-sini. Hanya iman dan takwa yang teguh sahaja yang mampu meletakkan seorang wanita itu mendapat darjat yang mulia sebegitu.

Baiklah silalah baca tips berikut dan mungkin ianya boleh dijadikan panduan demi kebahagiaan berumahtangga..

KENAPA SUAMI SELALU MARAH-MARAH?

Seperti yang anda tengok tajuk di atas, kenapa suami anda marah-marah? Kadang-kadang suami marah, kadang-kadang dia ok je. Memang kebiasaan sikap lelaki macam tu. Kalau diikutkan perkara sebegini agak subjektif. Sikap pemarah atau tiada kesabaran mungkin menjadi punca utama. Tetapi apa kata jika kita kecilkan skop supaya ia menjadi panduan para isteri di rumah, khasnya di Malaysia.

Berikut perkara-perkara penting perlu diberi perhaian supaya ia menjadi mudah untuk para isteri mengesan perubahan sikap suami yang membuatkan dia marah.

1. Masalah Kewangan atau Tiada Duit
Perkara pertama ialah kerana dia tiada duit atau kesempitan duit. Sebagai isteri anda perlu prihatin pada situasi ini. Anda sebagai isteri harus bersikap lebih profesional dalam mengesan situasi suami anda apabila dia tiada duit. Sikapnya kesempitan kewangan dapat dikesan apabila suami teragak-agak untuk membeli sesuatu keperluan seisi rumah dan perkara yang bersangkutan dengan si isteri atau mungkin anak-anak.

Sebagai isteri, anda mestilah cuba untuk memahami si suami. Isteri memainkan peranan yang penting apabila situasi ini berlaku. Cuba hiburkan hati suami anda, jangan cuba bercerita perkara yang mendorong untuk membeli. Sebaliknya anda boleh bercerita perkara yang boleh menggembirakan suami, seperti hari ini anda akan masak makanan kegemarannya di rumah. Beritahu kepadanya bahawa hari ini anda sekeluarga tidak perlu keluar jalan-jalan atau makan-makan, hanya duduk di rumah sambil menonton tv.

Secara khususnya isteri perlu kreatif untuk mencorakkan suasana yang gembira walaupun ketika itu, suami anda dilanda masalah kewangan dan tidak bersedia untuk berkongsi masalah ini dengan anda (mungkin sebab ego atau tidak mahu membebankan isteri dan orang lain). Dengan cara ini, suami akan lebih tenang dan boleh memikirkan cara untuk mengatasi masalahnya.

2. Suami anda Lapar dan Dahaga
Prihatin isteri terhadap perut suami faktor yang penting dalam menghidupkan hari yang bahagia. Sediakan makanan dan minuman kegemarannya. Apabila isteri bersikap demikian, hati yang rasa nak marah pun akan reda. Api yang sedang membara juga akan padam. Apabila anda sediakan perkara-perkara tersebut, anda boleh mula bercerita apa sahaja asalkan perkara tidak sensitif ketika itu. Cuba ceritakan perkara yang santai-santai sahaja, perkara yang tidak membuatkan si suami perlu memikir. Biarkan suami anda makan atau minum dalam keadaan yang tenang sambil berborak bersama isterinya yang tercinta atau sambil si anak bermain-main di sekelilingnya.

3. Keperluan Seks Suami
Seks untuk lelaki adalah perkara utama dan penting. Walaupun ia berada di tangga ke tiga dalam carta ini. Ia mempunyai sebab tertentu yang menampung semua penyebab 1 dan 2 di atas. Sebagai lelaki yang normal, walaupun dia tiada duit, walaupun tiada rokok nak dihisap ketika dia tiada duit, tetapi masih tidak mengapa jika keperluan seksnya dipenuhi oleh isteri.

Jangan abaikan perkara ini kerana ia membabitkan ketenangan jiwa si suami ketika dia dalam tekanan. Dengan seks, jiwa suami akan lebih tenang untuk berfikir bagaimana mengatasi masalah yang sedang dihadapinya. Seks itu adalah terapi terbaik.

Bersangkutan dengan penyebab yang ke-2 di atas, bila perut suami anda kenyang, dia akan menjadi bertenaga untuk melakukan seks. Dia mempunyai nafsu untuk melakukan seks. Keinginannya melakukan seks adalah kuat semasa berada dalam tekanan dan perutnya terisi.

Apa yang isteri perlu buat pada ketika ini ialah cuba dekatinya. Cuba menggodanya. Dalam situasi sedang tertekan, suami anda susah untuk meminta untuk melakukan hubungan seks, walaupun dia mahu. Sebagai isteri yang prihatin, cuba layan suami anda sebaik mungkin. Malah jika ketika itu anda dalam haid, cubalah meggembirakannya dengan cara yang lain mengikut kemahuan suami anda, asalkan tidak melanggar hukum syarak.

Hehe… jangan pulak ramai yang melatah tak tentu pasal bila baca entri saya kali ni. Hanya perkongsian saja. Mungkin ada betulnya atau mungkin semuanya tidak betul. Bergantung juga kepada individu dan pasangan. Apa yang penting, semua perkara kenalah berilmu, ilmu agama banyak mengajar tentang kesabaran dan tangjungjawab.. cuma sebagai manusia biasa adakalanya sikap yang sekian lama tu sukar dibuang. Jadi di situlah peranan yang perlu dimainkan oleh pasangan atau si isteri untuk menjadi pendamping yang solehah. Fikir-fikirkan.. :)

Artikel tu sebenarnya saya petik daripada blog pengacara Apa Kata Wanita TV1, Puan Zamzarina Zambri. Wassalam.

 

Category: Renungan & Motivasi, Topik Bebas | Leave a Comment

Selamat Tahun Baru 2012

Sunday, January 01st, 2012 | Author:

Tiada ungkapan yang mampu terlafaz, hanya sekadar ucapan selamat tahun baru 2012 kepada pengunjung blog saya. Biar tidak mengenali anda secara live, tapi cukup sekadar apa yang saya kongsikan di blog ini dirasakan memberi panduan dan faedah perkongsian bersama. Selagi anda mengunjungi blog ini, walaupun secara sengaja atau tidak, saya menganggap persahabatan tetap terjalin tanpa suara dan wajah.

Rasulullah s.a.w tidak pernah kita tatap wajah baginda, apatah lagi mendengar suara baginda.. namun, segala ajaran dan sunnahnya tetap sentiasa menjadi ikutan kita. Walau apa pun, walau siapa pun kita.. perjuangan Rasulullah s.a.w membawa utusan Allah s.w.t akan sentiasa dijunjungi.. walaupun tahun silih berganti bilangannya.

Sama-samalah mencari dan menjadi muslim yang sejati..

Selamat tahun baru 2012 kepada anda semua.. :)

Terima kasih juga kepada mereka yang menyokong ruangan Mutiara Hikmah & Kata Nasihat. Insya Allah blog khusus bakal muncul.

Category: Topik Bebas | 2 Comments

Penghayatan Hijrah

Friday, November 25th, 2011 | Author:

Esok (26 November) kita akan menyambut bulan Muharram bagi tahun 1433 Hijrah. Ikut kalendar masihi pastinya sambutan disambut 27 November, tapi jika mengikut kaedah takwim hijrah, malam esok sudah dikira 1 Muharram. Bulan penuh bersejarah yang tertanam di dalam jiwa dan terukir kukuh di dalam hati setiap umat Islam. Bulan ini ialah bulan memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Makkah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t. setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah itu tetap dikenang. Namun, pernahkah kita sebagai umat Islam terfikir apakah sebenarnya sejarah yang berlaku ketika hijrahnya Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah? Pernahkah kita terfikir untuk mengkaji dan mendalami sejarah Islam itu sendiri?

Tahun baru hijrah mempunyai ciri yang unik, tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam.

Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w, suatu peristiwa yang dipenuhi pahit manis dan pelbagai rintangan serta dugaan yang dilalui oleh Baginda dan para sahabat semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan diri Baginda sendiri dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda dan terus-terusan menyeksa orang Islam. Penghijrahan itu bertujuan untuk menyelamatkan, mengembangkan dan menegakkan syiar Islam pada ketika itu.

Hijrah Nabi s.a.w. merupakan hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Ia juga merupakan satu perancangan yang mendalam, pelaksanaan yang teliti dan gerak kerja yang berterusan sehingga  baginda mencapai apa yang dirancangkan.

Usaha Baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pengkalan dakwah Islamiah bukan dilakukan dalam masa yang singkat dan drastik. Sebelum menyeru umatnya berpindah ke Madinah, Baginda telah mengkaji dan bertemu sendiri dengan sekumpulan penduduk Madinah (dulunya dikenali sebagai Yathrib) dan menyeru mereka kepada Islam. Mereka ini menerima seruan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya membai’ah bersama Baginda (di Bukit ‘Aqabah) menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Baginda dan para sahabat Baginda. Setelah itu, barulah Baginda menyuruh para sahabatnya berhijrah ke Madinah. Itupun setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita peringati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan Baginda dan umat Islam dari Makkah ke Madinah tetapi membawa maksud “membuat suatu perubahan”. Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Makkah kepada suasana yang baru di Madinah. Peristiwa itu juga merupakan detik terpenting kepada pembaharuan nilai hidup manusia dan tidak akan berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.

Berlakunya hijrah Baginda dari Makkah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pengkalan dakwah Islamiah tetapi Baginda berjaya membangunkan sebuah daulah Islamiah dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelusuk, sama ada di dalam atau di luar Semenanjung Tanah Arab.

Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan Baginda dalam membangunkan sebuah negara Islam ialah :

Faktor Pertama: Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pembawa risalah Allah dan juga pemimpin umat Islam ketika itu. Kewibawaan Baginda sebagai pemimpin dapat dilihat dari aspek keperibadiannya yang sanggup berkorban demi untuk menegakkan syiar Islam. Kewibawaan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat dilihat dari sudut pemikirannya yang berpandangan jauh (berwawasan) dalam mengatur strategi dakwahnya.

Faktor Kedua: Kecekalan yang ditunjukkan oleh kaum Muhajirin yang telah menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah ke Madinah dengan tujuan untuk menegakkan syiar Islam. Mereka sanggup meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata mempertahankan prinsip yang mereka pegang dan untuk mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Faktor Ketiga: Kesatuan dan kesepaduan umat Islam hasil dari terbangunnya sebuah daulah Islamiah di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan berbagai-bagai usaha demi untuk menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj agar menjadi sebuah umat yang bersatu. Sesebuah negara tidak akan mampu dibangunkan tanpa mempunyai umat yang boleh hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.

Faktor Keempat: Pertolongan dari Allah s.w.t. sudah tentunya setiap usaha yang menghasilkan kejayaan amat bergantung rapat dengan pertolongan Allah s.w.t. Usaha seseorang tidak akan berjaya tanpa pertolongan dan ma’unah dari Yang Maha Esa. Lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. Sepertimana Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran (ayat 160) bermaksud: “Jika Allah menolong kamu, maka tiada apa yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah s.w.t membiarkan kamu maku siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu, kerana itu hendaklah orang-orang mukmin bertawakal.”

Kita perlu menghayati erti pengorbanan Baginda dalam peristiwa hijrah supaya lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah. Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu. Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi umat Islam dalam menghadapi kehidupan hari ini.

Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama menanamkan semangat untuk lebih mendalami dan menghayati sejarah Islam itu sendiri serta mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk mencorak langkah menuju ke arah melahirkan umat yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah pembangunan agama dan negara.

Akhir kalam, berikut dua doa yang sunat dibaca sempena menyambut tahun baru hijrah:

Salam Maal Hijrah yang ke 1433. :)

Rujukan: Internet

Category: Islam, Renungan & Motivasi | One Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes