Home

Aqidah & Kebahagiaan Hakiki

Saturday, June 26th, 2010 | Author:

Siapa pun kita, sebagai muslim, tentu biasa mendengar tentang perkataan ‘aqidah’. Di mana-mana tempat bila berbicara berkaitan agama, pastinya perkataan ini disebut. Bahkan aqidah adalah satu tonggak kekuatan dalam Islam.

Bilal bin Rabah adalah seorang manusia berkulit hitam merupakan hamba kepada seorang yang berbangsa Quraisy bernama Umayyah. Ketika permulaan perkembangan Islam, Bilal merupakan salah seorang yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk merasai nur Islam. Beliau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang sebenar kecuali Allah S.W.T. Hari demi hari imannya semakin kuat dan benih Islam semakin subur di hati beliau.

Sedangkan tuannya Umayyah ketika itu masih dalam kekafiran dan kejahilan. Bilal dipaksa untuk kembali kepada agama nenek moyang iaitu penyembahan berhala. Iman yang teguh di dalam jiwa Bilal membuatnya berani menghadapi berbagai siksaan yang kejam oleh Umayyah. Bilal dijemur di tengah terik matahari padang pasir, ditindih dadanya dengan batu besar dan disiksa dengan berbagai siksaan lain. Tapi ketika diuji dengan siksaan itu, hati beliau merasakan sejuknya sebuah keimanan, sehingga seringkali beliau menyebut… Ahad (Allah Maha Esa)… Ahad..

Kenapa Bilal dan para sahabat yang lain begitu berani dan sanggup menghadapi pelbagai ujian dan siksaan yang seberat itu? Jawapannya adalah kerana mereka telah mendapatkan sebuah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang tidak banyak difahami oleh sebahagian besar manusia. Manusia sering menyebut bahawa kebahagiaan itu adalah kekayaan yang melimpah, rumah yang cantik, kenderaan yang mewah dan mempunyai segala kemewahan dunia.

Betullah, memang itu semua adalah sebahagian mengecapi kebahagiaan di dunia, tapi dalam kehidupan, kita banyak melihat manusia yang mempunyai segala kemewahan dunia seperti yang diimpikannya masih tetap hidup dalam kesempitan, tidak tenang, sentiasa stress, bahkan ada yang berakhir dengan tindakan membunuh diri.

Mungkin ada pula yang akan bertanya, kalau nak menikmati bahagia perlu meninggalkan urusan dunia, hidup miskin, mengembara, tak payah ada isteri dan keluarga? Itu juga bukan sebuah kebahagiaan yang sebenar, sebab kebahagiaan boleh dinikmati oleh siapa saja sama ada dia kaya atau miskin, tua atau muda.

Para ulama mendefinisikan kebahagiaan itu dengan ketenangan hati, berlapang dada dan rasa cukup dengan pemberian atau anugerah Allah S.W.T. Itulah kebahagiaan yang sebenar dan segalanya hanya boleh dikecapi dengan keimanan yang teguh kepada Allah S.W.T, sabda Nabi S.A.W, “Sungguh menghairankan orang mukmin, kerana setiap perkara akan baik baginya, apabila dia mendapatkan kenikmatan maka dia bersyukur dan itu baik baginya, dan apabila ia mendapatkan musibah maka dia bersabar maka itupun baik baginya.” (HR Bukhari)

Inilah peranan keimanan atau aqidah yang sebenar yang menganugerahkan seseorang manusia kepada kebahagiaan yang sebenarnya. Di dunia ni memanglah tidak pernah sepi dari kesedihan dan kesenangan, kemudahan dan kesukaran. Cara menghadapi perkara tersebut seseorang insan muslim yang beraqidah akan selalu berani menghadapi rintangan kehidupan. Macam-macam musibah seperti kekurangan harta, kekurangan jiwa (kematian anak atau keluarga), kekurangan bahan keperluan, pakaian atau ancaman, insya Allah semua ini akan mampu diatasi dengan keberanian dan redha. Dalam hatinya dipenuhi rasa berharap kepada Allah S.W.T, kebergantungan kepada Allah, tawakal, sabar dan redha terhadap ketentuan Allah S.W.T. Walaubagaimana situasinya, tak goyah imannya dengan ujian-ujian tersebut bahkan semakin teguh, mendorongnya untuk lebih dekat kepada Allah dan mengikhlaskan doa hanya kepada Allah semata-mata. Sabda nabi S.A.W, “Apabila engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan maka mohonlah kepada Allah.” (HR Tirmidzi)

Ketika itulah akan bertambahnya ketenangan dan kebahagiaan di dalam hati, kebahagiaan itu takkan dirasai oleh mereka yang tak kenal Tuhannya. Firman Allah Taala: “Apabila Allah menimpakan bahaya kepadamu maka tidak ada yang mampu mengangkatnya kecuali Dia (Allah).” (Al An ‘am)

Ini berbeza dengan mereka yang lemah aqidah dan imannya. Ujian yang datang sering membuatnya resah, putus asa, menyalahkan takdir atau kadangkala lemah kepercayaan dan keyakinan kepada Allah seperti mula meminta bantuan yang bersifat paranormal atau jin.

Orang yang beraqidah akan menjadikan peribadinya penuh dengan keindahan, kerana dia jelas dengan tujuan hidupnya seperti ke mana halatujunya, untuk apa dan mengapa dia hidup di dunia. Maka ini bermaksud jelaslah arah perjalanan dia. Dia sangat pasti untuk melangkah dan tak ragu-ragu untuk menjalani kehidupan. Dia sangat paham dengan tujuan hidup dia. “Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (Adz Dzariyat: 56)

Dia hanya mengharapkan redha Allah S.W.T, bukan kepada yang lain. Fikirannya pun tidak bercabang, hanya satu saja. Berbeza dengan mereka yang ada banyak kepercayaan sehingga tak tahu tuhan mana yang harus dia cari redhanya. Nabi Yusuf pernah berkata kepada dua sahabatnya di penjara, “Wahai penghuni penjara, apakah Tuhan-Tuhan yang banyak itu lebih baik ataukah Allah Yang Maha Esa dan Maha berkuasa.”

Di negara-negara maju, yang majoriti penganutnya bukan beragama Islam, ramai yang bertindak membunuh diri kerana kecewa dalam hidup. Mereka tidak ada tujuan hidup yang jelas, sentiasa persoalkan ke mana arah tuju kehidupannya, kenapa dia dilahirkan dan bagaimana nak meneruskan hidup. Kesimpulannya ialah mereka tidak kenal cahaya Islam dan aqidah Islam yang sebenar. Carilah nilai-nilai kesempurnaan Islam yang diteguhkan dengan aqidah, sudah tentu kita akan capai kebahagiaan dunia dan akhirat, insya Allah. Wallahuallam. :)

Trackback: Trackback-URL | Comments Feed: RSS 2.0
Category: Renungan & Motivasi

You can leave a response.

Leave a Reply

CommentLuv badge
 
Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes