Home

Archive » November, 2011 «

Penghayatan Hijrah

Friday, November 25th, 2011 | Author:

Esok (26 November) kita akan menyambut bulan Muharram bagi tahun 1433 Hijrah. Ikut kalendar masihi pastinya sambutan disambut 27 November, tapi jika mengikut kaedah takwim hijrah, malam esok sudah dikira 1 Muharram. Bulan penuh bersejarah yang tertanam di dalam jiwa dan terukir kukuh di dalam hati setiap umat Islam. Bulan ini ialah bulan memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat dari Makkah ke Madinah bagi mentaati perintah Allah s.w.t. setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hingga ke hari ini, peristiwa hijrah itu tetap dikenang. Namun, pernahkah kita sebagai umat Islam terfikir apakah sebenarnya sejarah yang berlaku ketika hijrahnya Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah? Pernahkah kita terfikir untuk mengkaji dan mendalami sejarah Islam itu sendiri?

Tahun baru hijrah mempunyai ciri yang unik, tersendiri dan istimewa. Ia tidak sahaja menjadi alat untuk menghitung hari dan mencatat sejarah sebagai bermulanya takwim Islam tetapi amat rapat hubungannya dengan sejarah akidah dan perkembangan agama Islam.

Menyingkap peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w, suatu peristiwa yang dipenuhi pahit manis dan pelbagai rintangan serta dugaan yang dilalui oleh Baginda dan para sahabat semata-mata bagi menyahut seruan Allah s.w.t. untuk menyelamatkan diri Baginda sendiri dari ancaman orang-orang Quraisy yang bertekad untuk membunuh Baginda dan terus-terusan menyeksa orang Islam. Penghijrahan itu bertujuan untuk menyelamatkan, mengembangkan dan menegakkan syiar Islam pada ketika itu.

Hijrah Nabi s.a.w. merupakan hasil dari kajiannya yang dilakukan oleh Baginda terhadap keadaan negara dan rakyat yang menetap di Semenanjung Tanah Arab. Ia juga merupakan satu perancangan yang mendalam, pelaksanaan yang teliti dan gerak kerja yang berterusan sehingga  baginda mencapai apa yang dirancangkan.

Usaha Baginda untuk menjadikan Madinah sebagai pengkalan dakwah Islamiah bukan dilakukan dalam masa yang singkat dan drastik. Sebelum menyeru umatnya berpindah ke Madinah, Baginda telah mengkaji dan bertemu sendiri dengan sekumpulan penduduk Madinah (dulunya dikenali sebagai Yathrib) dan menyeru mereka kepada Islam. Mereka ini menerima seruan Rasulullah s.a.w. dan seterusnya membai’ah bersama Baginda (di Bukit ‘Aqabah) menyatakan kesediaan mereka untuk membantu Baginda dan para sahabat Baginda. Setelah itu, barulah Baginda menyuruh para sahabatnya berhijrah ke Madinah. Itupun setelah mendapat keizinan daripada Allah s.w.t.

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. yang kita peringati sekarang ini bukan sahaja bermaksud perpindahan Baginda dan umat Islam dari Makkah ke Madinah tetapi membawa maksud “membuat suatu perubahan”. Penghijrahan yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. merupakan suatu dimensi baru kepada umat Islam iaitu dari suasana yang lama di Makkah kepada suasana yang baru di Madinah. Peristiwa itu juga merupakan detik terpenting kepada pembaharuan nilai hidup manusia dan tidak akan berjaya jika tidak diiringi perubahan sikap dan prinsip umat Islam dalam berhadapan suasana baru.

Berlakunya hijrah Baginda dari Makkah ke Madinah bukan sahaja mencatat sejarah dengan tertubuhnya sebuah pengkalan dakwah Islamiah tetapi Baginda berjaya membangunkan sebuah daulah Islamiah dan sekaligus menyumbang kepada perkembangan agama Islam ke seluruh pelusuk, sama ada di dalam atau di luar Semenanjung Tanah Arab.

Antara faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kejayaan Baginda dalam membangunkan sebuah negara Islam ialah :

Faktor Pertama: Kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pembawa risalah Allah dan juga pemimpin umat Islam ketika itu. Kewibawaan Baginda sebagai pemimpin dapat dilihat dari aspek keperibadiannya yang sanggup berkorban demi untuk menegakkan syiar Islam. Kewibawaan Nabi Muhammad s.a.w. juga dapat dilihat dari sudut pemikirannya yang berpandangan jauh (berwawasan) dalam mengatur strategi dakwahnya.

Faktor Kedua: Kecekalan yang ditunjukkan oleh kaum Muhajirin yang telah menyahut seruan Rasulullah s.a.w. supaya berhijrah ke Madinah dengan tujuan untuk menegakkan syiar Islam. Mereka sanggup meninggalkan rumah dan harta benda mereka semata-mata mempertahankan prinsip yang mereka pegang dan untuk mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.

Faktor Ketiga: Kesatuan dan kesepaduan umat Islam hasil dari terbangunnya sebuah daulah Islamiah di Madinah. Nabi Muhammad s.a.w. telah melaksanakan berbagai-bagai usaha demi untuk menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj agar menjadi sebuah umat yang bersatu. Sesebuah negara tidak akan mampu dibangunkan tanpa mempunyai umat yang boleh hidup dalam keadaan harmoni dan makmur.

Faktor Keempat: Pertolongan dari Allah s.w.t. sudah tentunya setiap usaha yang menghasilkan kejayaan amat bergantung rapat dengan pertolongan Allah s.w.t. Usaha seseorang tidak akan berjaya tanpa pertolongan dan ma’unah dari Yang Maha Esa. Lebih-lebih lagi dalam usaha untuk menegakkan syiar Islam dan risalah Nabi Muhammad s.a.w. Sepertimana Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran (ayat 160) bermaksud: “Jika Allah menolong kamu, maka tiada apa yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah s.w.t membiarkan kamu maku siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah sesudah itu, kerana itu hendaklah orang-orang mukmin bertawakal.”

Kita perlu menghayati erti pengorbanan Baginda dalam peristiwa hijrah supaya lebih bersemangat dalam meneruskan setiap usaha dakwah. Kesabaran dan pengorbanan merupakan kunci utama keimanan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. pada ketika itu. Sumbangan seperti itu sama ada pengorbanan dari segi tenaga dan juga harta, perlu dihayati dan dicontohi umat Islam dalam menghadapi kehidupan hari ini.

Sebagai umat Islam, marilah kita sama-sama menanamkan semangat untuk lebih mendalami dan menghayati sejarah Islam itu sendiri serta mencontohi dan meneladani setiap pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dan panduan untuk mencorak langkah menuju ke arah melahirkan umat yang cemerlang dan mampu menyumbang ke arah pembangunan agama dan negara.

Akhir kalam, berikut dua doa yang sunat dibaca sempena menyambut tahun baru hijrah:

Salam Maal Hijrah yang ke 1433. :)

Rujukan: Internet

Category: Islam, Renungan & Motivasi | One Comment

Tukar Wallpaper ASUS EEE PC

Sunday, November 06th, 2011 | Author:

Salam Aidil Adha buat anda. Semoga segala pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim yang sanggup melakukan korban terhadap Nabi Ismail hanya melaksanakan perintah Allah, dan Nabi Muhammad s.a.w serta para sahabat meninggalkan kampung halaman Mekah dan berhijrah ke Madinah demi menyelamatkan Islam menjadi iktibar dan kekuatan untuk kita memartabatkan Islam, walaupun perlu mengorbankan harta dan nyawa.

Kali ini saya hanya ingin berkongsi tips yang sangat  mudah tapi mungkin ada yang tak tahu. Perlu diingat bahawa bukan semua orang mahir dalam segala hal, walaupun ianya nampak remeh.

Adakah anda salah seorang pemilik laptop mini ASUS EEE PC? Jika ya, anda mungkin bermasalah untuk menukar wallpaper pada desktop laptop mini tersebut.

Satu daripada ciri-ciri paling menyusahkan yang Microsoft perkenalkan dalam Windows 7 Starter ialah ketidakupayaannya mengubah wallpaper pada desktop seperti kebiasaannya. Berdasarkan pengalaman, mulanya saya agak pening memikirkan bagaimana caranya untuk menukarkan wallpaper kebiruan (seperti gambar di atas) yang disetkan oleh ASUS/Windows 7 Starter, sangat membosankan setiap hari melihat wallpaper yang sama. Tapi sekarang anda jangan risau kerana sebenarnya ada penyelesaian yang sangat mudah bagaimana untuk mengatasinya.

Terlebih dahulu anda perlu muat turun SYSTEM SETTING UTILITY (klik di sini). Kemudian setelah selesai muat turun dan proses instalasi, klik START, klik ALL PROGRAMS dan cari folder ASUS, klik pada SYSTEM SETTING. Di situ anda boleh mengubah wallpaper desktop anda dengan mudah tanpa sebarang masalah lagi. Siap! Mudah, kan? ;)

Selamat mencuba.

Category: Internet & Teknologi | Leave a Comment

Get Adobe Flash player