Home

Archive » October, 2011 «

Fotografi Sebagai Medium Dakwah

Saturday, October 22nd, 2011 | Author:

ALAM bagaikan lukisan yang tidak berbingkai. Setiap objek dan subjek yang wujud dan tercipta mempunyai nilai-nilai tersendiri. Nilai sesuatu objek juga bergantung kepada tujuan ia diciptakan. Bentuk nilai yang wujud pula bergantung kepada persepsi dan pandangan manusia mengenainya. Pandangan dan persepsi mata yang menilai pula bergantung kepada siapa yang memandang, budaya yang melingkarinya serta nilai yang wujud dalam dirinya.

Sesuatu gambar boleh memberi sejuta makna kepada orang yang melihat. Melalui jiwa jujur jurugambar, pelbagai peristiwa, aksi, wajah, pemandangan, dan apa jua yang terpapar dapat dihayati oleh mata yang memandang gambar tersebut. Seni fotografi yang baik pula akan menghasilkan nilai kepada gambar tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan fotografi? Seni fotografi merupakan suatu proses penghasilan gambar dan cahaya yang dipantulkan oleh objek yang masuk ke dalam lensa dan seterusnya menghasilkan gambar. Bidang ini mengaplikasikan dua ilmu yang penting, iaitu sains dan teknologi. Sains merujuk kepada situasi masyarakat yang sentiasa membuat penelitian dan pengkajian terhadap alam sekeliling. Manakala teknologi pula terhasil daripada pemerhatian masyarakat melalui alam sekelilingnya.

Teknologi yang terdapat pada alat untuk merakam gambar disebut kamera. Pada masa kini, terdapat pelbagai jenis kamera yang boleh digunakan merangkumi pelbagai fungsi dan hasilnya lebih baik dan mudah diselenggarakan berbanding kamera zaman lampau. Antara jenis kamera yang digunakan ialah kamera Compact Zoom, Zoom, Lens Reflex Poloroid, Compact Digital, SLR Digital, Under Water Camera dan sebagainya. Penggunaan kamera digital memudahkan segala kerja-kerja merakam dan memaparkan gambar. Malah kadangkala gambar yang dirakam lebih cantik dari visual asalnya.

Fotografi adalah sebuah media komunikasi yang berkesan. Ia menghubungkan manusia melalui pancaindera penglihatan, iaitu 50% lebih berkesan berbanding pancaindera yang lain. Jika kita meneliti kembali rasional di sebalik ciptaan Tuhan pada diri kita sendiri, iaitu penciptaan mata yang terletak berdekatan dengan bahagian otak, kita pasti akan mengiyakan kenyataan di atas.

Peranan fotografi dalam kehidupan seharian amat jelas dan penting. Selain menjadi medium penyelidikan, pendidikan dan merakam sejarah lama, gambar yang terhasil melalui fotografi juga boleh menyumbang kepada bidang pemasaran serta menjadi rekod dan bahan bukti untuk pihak-pihak tertentu. Sebagai contoh, pihak polis memerlukan gambar-gambar yang berkaitan dengan kejadian atau peristiwa tertentu untuk menjadi bahan bukti semasa perbicaraan di mahkamah atau untuk menyelesaikan sesuatu kes jenayah.

Dalam erti kata yang menyeluruh, gambar juga boleh menimbulkan emosi kepada seseorang, memanjangkan usia sesuatu peristiwa atau benda yang seterusnya menjadi kenangan dan sejarah yang tidak ternilai. Sebagai contoh, gambar-gambar Perang Dunia Kedua yang boleh memberi keinsafan, semangat nasionalisme serta menyumbang kepada penyelidikan oleh generasi seterusnya. Gambar yang mengandungi propaganda pemasaran pula memberi kesan yang tinggi terhadap keuntungan dan kerugian sesebuah perniagaan.

Mengapa gambar dikatakan mempunyai kekuatan tersendiri berbanding dengan medium lain? Ini kerana mata yang merakam gambar tersebut tidak boleh menipu atau memutarbelitkan apa yang dirakamkan berbanding penggunaan perkataan. Menurut Rudolf Amheim, gambar bukan sahaja hiasan malah ia merupakan media komunikasi untuk difahami sesama manusia – perkara yang sukar dipisahkan.

Paparan sesuatu gambar membuatkan semua orang berfikir tentang sesuatu perkara. Gambar mampu bercerita tanpa bunyi tentang apa sahaja dengan menggunakan apa jua bahasa, malah lebih memberi kesan kepada jiwa mata yang menatapnya.

Inilah peranan jurugambar yang sebenarnya. Bukan sahaja merakam apa yang berlaku secara spontan atau dirancang, tetapi juga memberi nilai kepada gambar itu sendiri supaya memberi kesan yang baik dalam jiwa setiap manusia yang menatapnya. Apatah lagi gambar-gambar yang boleh mengubah persepsi manusia terhadap kehidupannya dan penciptaNya.

Apakah kaitan fotografi dengan kehidupan? Tahukah anda melalui fotografi, pelbagai peristiwa dapat dirakam dengan baik. Walau selama mana peristiwa itu berlalu, gambar yang dirakam mampu menceritakan semula peristiwa yang telah terjadi. Seolah-olah ianya baru berlaku semalam. Itulah kaitan fotografi dengan kehidupan manusia sama ada dengan alam sekeliling, sesama manusia ataupun dengan penciptanya.

Bagaimanapun, seperti juga perkataan yang boleh dimanipulasi oleh manusia untuk tujuan-tujuan tertentu, seni fotografi juga mengalami nasib yang sama. Penipuan–penipuan yang selalu dikesan melalui gambar, terhasil akibat daripada tujuan gambar tersebut diambil atau dipaparkan. Sebagai contoh, gambar yang diambil untuk menjatuhkan pihak lawan dalam aspek politik, pemasaran atau kerjaya. Isu propaganda seperti ini selalunya tidak tertumpu kepada jurugambar kerana semua sedia maklum bahawa itulah tugas jurugambar.

Gambar juga boleh memainkan peranan sebagai ‘penipu’ kepada masyarakat apabila ia digunakan sebagai medium pemasaran oleh pengeluar barangan atau produk. Penipuan yang dilakukan oleh gambar bertitik tolak melalui teknologi yang digunakan seperti penggunaan perisian Adobe Photoshop, Illustrator, Nero Photosnap dan pelbagai lagi software yang boleh diigunakan untuk mengubah atau mengedit gambar hampir 100%. Melalui teknik ‘touch-up’, gambar yang biasa-biasa boleh menjadi gambar yang luar biasa.

Sebagai contoh, untuk mempromosikan sesuatu produk kecantikan, seorang model akan dipaparkan sebagai daya pelaris. Dengan penggunaan teknik tertentu, gambar model tersebut boleh diedit sama ada menjadikan kulit wajahnya lebih putih dan gebu, ataupun bentuk badannya lebih ramping berbeza dari imej asal model tersebut. Dengan pemaparan ‘manusia sempurna’ sebegitu, sudah pasti pengguna akan tertarik dan ini akan meningkatkan pemasaran dan keuntungan produk tersebut.

Begitu juga dengan gambar potret Saddam Hussin sebelum dikenakan hukuman gantung oleh pihak Amerika Syarikat. Saddam digambarkan sebagai seorang tua yang keletihan, kekalahan dengan matanya yang merah dan janggut yang tidak terurus seperti seorang yang telah terbuang sekian lama berbeza dengan wajahnya sebelum ini yang menampilkan kegagahan dan penuh dengan kekuasaan. Gambar ‘serabut’ Saddam dipamerkan berulang kali menunjukkan dan memberi petanda kejatuhan zaman kegemilangan Saddam ditangan Amerika Syarikat.

Suatu waktu dahulu juga dan mungkin masih berlaku pada hari ini, gambar-gambar artis di Malaysia telah menjadi mangsa teknologi apabila dengan menggunakan teknik ‘super-impose’, gambar boleh diubah mengikut selera dan nafsu pengubahnya. Dalam aspek ini, gambar dikatakan sudah tidak mempunyai nilai yang murni dan jujur apabila dengan mudah digodam oleh sesiapa sahaja demi tujuan menjatuhkan dan memalukan artis tersebut. Betapa dengan mudah, sesiapa sahaja boleh menelanjangkan orang lain melalui teknik ini.

Bagaimana pula gambar boleh dimanipulasi sebagai medium dakwah melalui teknologi-teknologi ini? Jurugambar mempunyai tanggungjawab sosial seperti apa jua bidang pekerjaan lain. Cara berseni jurugambar mungkin tidak dapat diterima oleh sesetengah manusia yang tidak suka melihat gambar. Bagaimanapunn, melalui teknologi yang semakin canggih, gambar-gambar hasil pemerhatian jurugambar boleh diaplikasikan dalam apa jua bidang.

Gambar-gambar yang cantik dan baik, boleh dipaparkan dalam apa jua medium untuk tujuan dakwah. Sebagai contoh, media cetak sama ada majalah, buku, surat khabar atau sebagainya boleh memilih atau memaparkan gambar-gambar yang baik untuk tujuan pengajaran dan memberi mesej yang bersih kepada pembaca. Malahan, bahan bacaan lebih berkesan ke dalam hati apabila diselang seli dengan gambar-gambar yang menarik.

Gambar pemandangan alam sekitar yang cantik boleh menyedarkan manusia tentang penciptanya. Betapa Allah s.w.t telah mencipta sesuatu yang indah untuk ditatapi. Dan biasanya keindahan itu mengundang rasa keinsafan dalam diri insan. Begitu juga dengan paparan potret insan-insan yang pernah berjasa atau memberi sumbangan dalam bentuk material atau nilai sentimen dalam diri seseorang. Tambahan lagi dengan paparan sketsa kehidupan ataupun dokumentari sosial seperti kehidupan petani, pesawah, nelayan, anak-anak yang mengemis, orang kurang upaya dan sebagainya yang pastinya mengundang pelbagai rasa kepada mata yang menatap seni visual tersebut.

Sebagai seorang jurugambar yang baik, sebolehnya gambar yang dihasilkan harus mempunyai mesej tertentu yang seterusnya membuka minda dan hati manusia yang memandangnya untuk berfikir. Namun, sejauh mana usaha ini dapat dihayati oleh mata yang memandang. Sebagai jurugambar, mereka tidak mempunyai banyak perkara yang boleh dilakukan selain hanya mengambil gambar dan memaparkan kepada masyarakat.

Mungkin juga jurugambar boleh memaparkan kepada dunia luar tentang kehidupan masyarakat Islam yang sebenar. Dengan ini, segala ketidakfahaman atau kekeliruan yang wujud tentang Islam dapat dikupas sedikit demi sedikit. Interaksi antara Islam dan bukan Islam boleh disatukan melalui renungan gambar kreatif yang sama. Tugas menyedarkan masyarakat melalui gambar bukanlah mudah, namun usaha ini tidak harus dipandang remeh. Usaha yang berterusan juga akan memberi impak yang besar kepada generasi akan datang yang semakin lupa asal-usul dan akar umbi Islam sebagai pegangan hidup mereka sehingga mati.

Sebagai masyarakat pula, gambar yang dipaparkan mempunyai tafsiran yang pelbagai berdasarkan latar belakang dan nilai yang menjadi pegangan hidup masing-masing. Oleh hal yang demikian itu, jurugambar tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menerapkan gambar yang baik sebagai medium dakwah kepada masyarakat. Apa yang penting, sebagai jurugambar, mereka tahu kesan paparan gambar tersebut kepada masyarakat sama ada baik atau buruk. Dan jurugambar yang baik sanggup bertanggungjawab terhadap gambar yang dipaparkan.

(Rencana dipetik daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)

Category: Fotografi, Teknologi | Leave a Comment

Bekerjalah Kerana Allah

Sunday, October 09th, 2011 | Author:

Pelbagai isu politik hangat boleh dibaca di dada akhbar atau mendengar media elektronik. Sayangnya isu agama pun dipermainkan dek kerana menjaga kepentingan politik peribadi. Semoga Allah s.w.t membuka hati-hati mereka, sama ada yang mendokong atau yang menyokong.

Kali ni saya bukan mahu berbicara tentang politik, hanya sekadar luahan rasa kecewa dengan sikap rakan-rakan terutama rakan sekerja yang tidak jemu-jemu berhasad dengki. Saya tidak mahu mengulas panjang lebar tentang perkara ini kerana saya pernah berbicara tentang Hasad Dengki di catatan yang lepas (boleh rujuk di wirasutra.com/blog/hasad-dengki-pemusnah-kebaikan).

Daripada az-Zubair Nabi s.a.w bersabda, “Telah merebak kepada kamu semua penyakit umat-umat yang sebelum kamu iaitu hasad dan kebencian”. Dalam Sohehain Nabi s.a.w bersabda, “Janganlah kamu saling membenci, janganlah saling memutuskan persaudaraan, janganlah saling memalingkan muka, jadilah kamu semua hamba Allah s.w.t yang bersaudara.” Manakala dalam hadis yang lain Nabi s.a.w berkata, “Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan-kebaikan sepertimana api yang memakan (membakar) kayu api.”

Kenapa perlu cemburu jika ada rakan-rakan diberi pujian oleh majikan? Kenapa perlu merasakan bahawa hanya kita sahaja diberikan banyak tugasan, sedangkan dalam masa yang sama menganggap orang lain hanya goyang kaki?

Sifat hasad pasti tidak wujud dalam diri seseorang jika segala urusan yang diamanahkan dibuat secara ikhlas hanya kerana Allah s.w.t. Redha dengan apa yang dikurniakan Allah s.w.t. Malang sungguh jika orang yang mempunyai hasad dengki itu datangnya daripada mereka yang sepatutnya sangat arif tentang ilmu agama, atau lebih tepat digelar sebagai ustaz atau ustazah.

Hargailah rakan-rakan sekerja.. jangan kerana sikap hasad dengki menyebabkan kita memandang rendah kebolehan sahabat-sahabat yang lain. Masing-masing ada tugasan dan peranan tersendiri, lakukanlah mengikut kemampuan. Jangan pula disebabkan rasa terbeban, maka kita menuduh rakan yang lain bergoyang kaki, sedangkan mungkin tanggungjawab dia lebih banyak berbanding kita.

Kesimpulannya,

1. Hasad dengki itu adalah seumpama api yang akan memakan segala kebaikan yang dilakukan oleh seseorang seperti api yang membakar kayu.

2. Jika wujud perasaan dengki menunjukkan iman seseorang itu belum sempurna malah dengki merupakan sifat yang diwarisi daripada syaitan. Kerana dengkilah maka syaitan menggoda Adam a.s hingga terkeluar daripada syurga dan kerana dengki juga maka terjadinya pembunuhan di antara Qabil dan Habil.

3. Seorang pujangga Arab pernah berkata: “Orang hasad tidak akan senang hidupnya, orang yang bakhil tidak akan berbudi, tidak dapat dijadikan kawan orang yang selalu jemu, dan tidak ada kemanusiaan bagi pendusta. Dan tidak dapat diterima pendapat orang yang khianat dan tiada budi bagi orang yang tidak berakhlak.”

4. Dengki yang diharuskan dalam Islam hanyalah dengki yang menjadikan manusia berebut-rebut melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang seumpamanya.

Firman Allah di dalam surah Al-Hadid (ayat 21), “Berlumba-lumbalah kamu sekelian untuk mendapatkan keampunan Tuhan Mu.” Semoga kita semua terlepas dari seksaan api neraka.

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes