Menjejaki Kejayaan Luar Biasa | Bahagian 5 (Akhir)
Thursday, July 28th, 2011 | Author: Wan

Sebagai salah seorang peminat dan penyokong sukan bola sepak Malaysia, terutamanya pasukan negara.. terasa sangat mendukacitakan dengan kegagalan pasukan Malaysia melangkah ke pentas seterusnya ke kelayakan Piala Dunia Brazil. Walaupun pastinya masih mustahil Malaysia melangkah ke pusingan terakhir Kejohanan Piala Dunia. Lagi malang kerana perjalanan tersekat di peringkat Asia Tenggara lagi. Semoga perancangan pasukan bola sepak negara lepas ni lagi mantap dan bukannya seperti tradisi sukan di Malaysia yang hanya mengharapkan yang juara semasa tanpa memikirkan kepentingan pemain atau pasukan pelapis.
Tiada entri baru kali ni walaupun sudah lama tidak berkarya di sini. Hanya sekadar menyambung bab terakhir entri MENJEJAKI KEJAYAAN LUAR BIASA oleh Ibnu Jauzi bahagian terakhir (Bahagian 5: 351-378) seperti yang dijanjikan:
351.Sentiasalah membekalkan diri dengan bekal yang cukup untuk menjalani keadaan yang tidak dijangka.
352.Bayangkanlah kesenangan di syurga yang kekal semoga diri anda akan bangkit dan sedar.
353.Berimanlah kepada Allah s.w.t. Akurlah kepadaNya dalam segala hal, sama ada dalan hal yang sifatnya batin mahupun zahir.
354.Berdoalah dengan dada yang lapang dan serahlah semuanya kepada Allah s.w.t.
355.Katakan kepada hati anda: “Mungkin belum terkabulnya permintaanku ini lebih menguntungkan bagiku, mungkin pula kerana dosa-dosaku, atau mungkin ditangguh perkenan doa ini lebih baik bagiku, kerana mungkin itu tidak memberi maslahat bagiku”.
356.Beramallah untuk menegakkan hak-hak Allah s.w.t dan sentiasa berusaha untuk redha dengan semua ketentuanNya.
357.Kedudukan anda di akhirat sangat bergantung kepada kerja keras anda di dunia. Adalah pelik jika anda membazirkan waktu dengan melakukan hal-hal yang tidak berguna. Satu tasbih atau tahmid kepada Allah s.w.t sahaja akan merupakan tanaman kurma dalam syurga yang buahnya boleh dimakan sepanjang masa. Oleh sebab itu, beranikanlah diri dan kuatkan hati anda agar sentiasa berharap syurga.
358.Bersegeralah beramal sebelum umur tenggelam. Merenunglah dan berusahalah melihat perjalanan hidup orang-orang yang bersungguh-sungguh dalam menghadapi kehidupannya.
359.Ketahuilah, kebanyakan punca keresahan manusia adalah kerana mereka berpaling dari Allah s.w.t dan terjerumus dalam cinta dunia yang keterlaluan.
360.Orang yang dianugerahi makrifat kepada Allah s.w.t sentiasa tenang menghadapi hidup, kerana hidupnya penuh dengan keredhaan menerima ketentuan Allah s.w.t.
361.Sesungguhnya tidak ada kehidupan yang sebenar kecuali hanya di syurga.
362.Jadilah anda seseorang yang mampu melihat akibat dari perbuatan yang anda lakukan, cermat menjangka segala kemungkinan yang bakal berlaku, sentiasa berhati-hati dalam segala hal dan menjaga harta dan rahsia dengan baik. Sentiasa bersedia dengan perbekalan yang cukup untuk melakukan perjalanan menuju yang kekal. Kesemua ini memerlukan kemahuan diri yang kuat.
363.Pergaulan yang baik adalah pergaulan dengan mereka yang ilmunya lebih banyak dan lebih tinggi supaya dapat mengambil manfaat dari mereka.
364.Jadikanlah diri anda sebagai seorang yang suka mencari dan menambah ilmu, mengerjakan sembahyang sunat dan bangun pada waktu malam untuk sembahyang malam.
365.Ketahuilah, kemenangan tidak akan diperolehi dengan dosa dan tujuan cubaan adalah untuk mengangkat darjat.
366.Cubalah untuk berasa puas dengan yang sedikit dan asingkanlah diri dari manusia ketika perlu kerana ia adalah alat yang berkesan untuk mengingati akhirat.
367.Renungan diri ketika bersendirian merupakan alat yang mampu mengembalikan dan mensucikan hati serta mampu membangkitkan semula ghairah hidup.
368.Gunakanlah umur dengan sebaik-baiknya. Ilmu dapat menunjukkan kepada anda jalan yang benar, membawa anda kepada kebenaran dan menghindarkan anda dari kesesatan.
369.Bentenglah diri dengan ilmu. Lihatlah perjalanan Salafus Soleh. Generasi Salaf menyibukkan diri dengan Al-Quran dan ilmu yang menyihatkan dan memurnikan batin mereka.
370.Berhati-hatilah dalam bergaul dengan manusia. Praktikkanlah amalan menyepi dan merenung ketika bersendirian. Menggunakan waktu itu untuk membaca dan berfikir tentang kehidupan Salafus Soleh. Sesungguhnya ia merupakan perisai yang berkesan untuk membentengi diri dan penawar bagi hati.
371.Biasakan diri anda membuat renungan dan pembersihan jiwa, ziarahilah kubur untuk mengingati mati dan bacalah kitab yang menceritakan perilaku kaum zaman dahulu yang penuh dengan kebaikan.
372.Jagalah waktu dengan ketat, sentiasalah mencari nilai-nilai yang mulia dalam hidup dan takut jatuh ke dalam dosa.
373.Gabungkan ilmu dan amal, mengertilah tujuan penciptaan anda, solatlah berjemaah di masjid dan ‘caknolah’ dengan ilmu pengetahuan.
374.Ketahuilah hati anda dan hati-hati manusia di dalam genggaman Allah s.w.t.
375.Puaslah dengan yang sederhana. Jika hawa nafsu anda bergolak, tinggalkanlah ia dan jangan sekali-kali melayannya.
376.Ketahuilah dalam diri anda ada pengajaran.
377.Sedarlah akan akhirat. Janganlah berkumpul dengan orang lain tanpa tujuan yang jelas.
378.Seorang mukmin sepatutnya menyibukkan diri dengan kehidupan yang dihadapinya dan sentiasa mencari cara untuk menyara diri dan keluarganya.
Jika tidak berkesempatan membaca entri sebelumnya, sila klik pautan di bawah:
Menjejaki Kejayaan Luar Biasa Bahagian 1
Menjejaki Kejayaan Luar Biasa Bahagian 2
Menjejaki Kejayaan Luar Biasa Bahagian 3
Menjejaki Kejayaan Luar Biasa Bahagian 4
Semoga bermanfaat. Jumpa lagi…
Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment




