Nuvi Garmin 3790
Monday, March 28th, 2011 | Author: Wan

Bagi penggemar gajet dan teknologi, tentunya anda tahu bila menyebut dan berbicara tentang produk GPS (Global Positioning System). Dan saya yakin ada yang sedang atau setidaknya pernah menggunakan produk-produk GPS sebagai panduan untuk perjalanan anda.
Saya bukan nak berbicara lanjut tentang apa kegunaan GPS, cuma entri kali ini sekadar perkongsian ringkas tentang gajet yang saya gunakan sebagai penunjuk arah ke mana-mana destinasi dalam Malaysia. Sejak mengenali gajet GPS, saya dah tak perlu risau tentang masalah SESAT kerana GPS banyak membantu. Sebenarnya pelbagai nama tersohor yang dikenali untuk GPS di Malaysia seperti TomTom, Garmin, Papago, Mobile Maps dan lain-lain lagi. Jika anda pengguna smartphone seperti iPhone, aplikasi-aplikasi tersebut disediakan dengan membayar sejumlah kos. Namun demikian, aplikasi Garmin di iPhone masih tidak dapat digunakan di Malaysia kerana ianya hanya menyediakan peta sekitar USA dan Kanada sahaja. Namun demikian, saya masih menggunakan TomTom dan Papago melalui iPhone.


Sebenarnya saya baru sahaja membeli gajet Nuvi Garmin 3790 yang merupakan gajet Garmin terbaru di pasaran untuk kegunaan GPS di jalanraya (On the road). Apa yang menarik tentang gajet ini ialah rekabentuknya (lihat gambar) seakan smartphone terkini seperti iPhone4, smartphone HTC, smartphone Samsung dan lain-lain, ianya nipis malah fungsinya juga lebih mirip kepada smartphone seperti adanya kemudahan multi-touch, zoom in zoom out dan bluetooth. Paparannya (screen display) sangat jelas seperti iPhone4 dan kekuatan speaker dalamannya sangat kuat.
Antara yang lebih menarik minat saya kepada Garmin 3790 ialah fungsi Voice Command. Voice Command membolehkan pengguna terus memberi arahan suara kepada gajet tersebut tanpa menekan apa-apa butang. Fungsi ini sangat selamat sekiranya anda ingin menukar laluan atau destinasi ketika sedang memandu, hanya perlu memberi arahan suara dan Garmin 3790 akan menurut segala arahan suara sepertimana yang disebut. Malah ianya berperanan untuk membuat panggilan telefon ke mana-mana nombor seperti yang diarahkan, fungsi telefon ini boleh dilakukan apabila bluetooth diaktifkan ke telefon anda.

Pengguna boleh memilih sama ada ingin menggunakannya secara menegak atau melintang, paparannya akan bertukar secara automatik. Garmin 3790 juga memainkan fail mp3 yang disimpan dalam memori dan memaparkan foto. Ianya mempunyai memori dalaman yang tersedia (built-in memory) dan pengguna boleh menggunakan kad microSD jika perlu. Fungsi Junction View disediakan untuk mengelakkan pengguna dari memasuki lorong yang salah. Peta memaparkan bangunan-bangunan terpilih secara 3-D untuk memudahkan pengguna mengesan dan mengenalpasti lokasi sebenar mereka berada.
Antara fungsi lain yang disediakan oleh Garmin 3790 ialah panduan jam bandaraya sedunia (world travel clock), tetapan masa (alarm clock), penukar matawang & unit, kalkulator dan Garmin Lock (fungsi keselamatan sekiranya gajet dicuri). Peta terkini boleh dikemaskini secara automatik sebaik sahaja pengguna mendaftar secara online dengan menggunakan serial number yang terdapat pada gajet. Sangat mudah, hanya perlu menyambungkan gajet ke pc/laptop menggunakan kabel USB yang disediakan. Ia menyokong Windows XP dan terbaru, serta Mac OS X 10.4 dan terbaru.
Adakah Garmin yang terbaik? Sebenarnya masing-masing ada kekuatan dan kelemahannya. Tapi di Malaysia, rasanya hanya 3 jenama sahaja yang selalu digunapakai iaitu TomTom, Papago dan Garmin, dan saya pernah dan sedang menggunakan ketiga-tiganya. Yang pasti, anda tidak akan sesat lagi jika menggunakan GPS sebagai panduan perjalanan anda…
Category: Internet & Teknologi | Leave a Comment





