Menjejaki Kejayaan Luar Biasa | Bahagian 4
Wednesday, January 26th, 2011 | Author: Wan

Politik… Politik Malaysia yang sangat kelakar dan lucu. Seronok bila lihat gelagat pemimpin-pemimpin berarak menjelajah seluruh DUN Tenang untuk memancing undi. Inilah masa yang sesuai penduduk meminta dan memohon.
Tapi malangnya dalam keghairahan itu, ada pula pihak yang mempermainkan isu agama sebagai modal murahan berkempen. Apatah lagi bila ianya terpacul daripada mulut seorang kafir yang telah terbukti diragui kesahihan moralnya. Sebaiknya walau apapun parti atau pentas politik, jangan lakukan penghinaan kepada bab Islam. Segala hukum hakam telah termaktub jelas dalam al-Quran dan al-Hadis. Semoga perkara ini ditangani dengan adil saksama oleh pihak berkaitan, janganlah bersikap berat sebelah.
Entri kali ni, saya ingin paparkan sambungan entri sebelumnya iaitu MENJEJAKI KEJAYAAN LUAR BIASA oleh Ibnu Jauzi (Bahagian 4: 151-250):
151.Lihatlah betapa teraturnya dan betapa rapinya ciptaan-ciptaan yang terbentang di hadapan matamu. Itu merupakan gambaran yang menggambarkan sifat bijaksana Penciptanya.
152.Insaflah kelemahanmu kerana memandang sinar matahari pun kamu tidak mampu.
153.Fahamilah akan makna kehidupan ini dan persiapkanlah bekal untuk menjalani perjalanan seterusnya.
154.Gunakanlah setiap umur anda dan bersegeralah sebelum peluang itu lenyap.
155.Carilah ilmu, carilah hikmah, berlumbalah dengan waktu, lawanlah hawa nafsu dan carilah bekal sebanyak-banyaknya.
156.Laksanakanlah ilmu yang anda miliki.
157.Menunjukkan dengan amal lebih dalam pengaruhnya daripada dengan kata-kata (actions speak louder than words).
158.Ilmu dapat menguatkan hati dan memberinya suatu kekuatan.
159.Carilah jalan-jalan untuk melembutkan jiwa. Ziarahilah kubur dan pergilah melawat orang-orang yang sedang menghadapi maut kerana ianya amat berguna dan akan mempengaruhi cara anda berfikir.
160.Sekiranya hati anda sedang mengeras dan merasa tidak diawasi lagi, peringatkanlah ia dengan kematian dan serulah ia melihat orang yang berada di ambang kematian.
161.Bayangkanlah sentiasa saat-saat kematian yang tiba, kawallah hawa nafsu dan berbuat sebaik-baiknya untuk kepentingan hidup.
162.Nabi s.a.w bersabda : Mintalah fatwa kepada hati kecilmu.
163.Berjuanglah untuk kemaslahatan dirimu sesuai dengan akal dan syariat. Jagalah hartamu, kembangkannya dan sentiasa berusaha untuk menambahnya. Itu amat perlu untuk menjamin kehormatan dan martabat anda.
164.Janganlah boros. Nabi s.a.w bersabda : Alangkah baiknya jika harta yang baik berada di tangan orang yang soleh.
165.Berniagalah, kerana di kalangan para Sahabat ramai yang berniaga. Abu Bakar r.a sentiasa mengadakan perjalanan untuk berniaga.
166.Nabi s.a.w bersabda: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.
167.Carilah harta dan nafkah, kerana ia adalah sunnah para nabi dan orang-orang soleh.
168.Ketahuilah, cubaan yang datang dari Allah sudah dipastikan waktunya akan berakhir. Oleh itu bersabarlah, sehingga cubaan itu berakhir.
169.Jadikan sabar dan doa serta penyerahan diri kepada Yang Maha Bijaksana sebagai ibadah.
170.Bersikap redha dan sabar merupakan jalan menuju kebaikan.
171.Sibukkan dirimu dengan kerja-kerja yang boleh menghilangkan ketidaksabaran dari dalam dirimu. Itulah cara yang terbaik untuk bersabar.
172.Ketahuilah, Allah memilih yang terbaik bagi hambaNya.
173.Tenteramkanlah hatimu, dengan menyedarkannya akan hikmah dan kebijaksanaanNya dan meyakini bahawa semua yang ada di dunia ini berada di bawah kekuasaanNya.
174.Sabda Nabi s.a.w: Tidak aka seorang muslim pun yang berdoa kecuali pasti dikabulkan oleh Allah. Mungkin akan disegerakan jawapannya, mungkin pula akan ditangguhkan ataupun akan menjadi simpanan di akhirat.
175.Ketahuilah tidak ada sesuatu yang lebih mulia dari ilmu.
176.Ilmu akan bermakna ketika dipelajari kemudian diamalkan.
177.Perbaikilah niat dan tujuan.
178.Imgatlah akan kematian, ziarahilah kubur, dan bayangkanlah alam akhirat.
179.Lakukanlah perkara-perkara yang kecil tetapi mendatangkan manfaat yang amat besar. Ingatlah Rasulullah s.a.w pernah berkejar-kejaran dengan Aisyah r.a.
180.Sentiasalah menjaga kerapian diri dan benar-benar bersih serta berhias dengan sebaik-baiknya. Kehadiran Nabi s.a.w dapat diketahui hanya dengan bau minyak wangi yang baginda s.a.w pakai. Ketahuilah bagindaadalah manusia yang paling bersih dan suci.
181.Sayangilah badan anda. Berilah makanan yang terbaik untuknya.
182.Anda wajib bersungguh-sungguh berusaha lebih baik daripada orang lain.
183.Berusahalah dengan sekuat tenaga dalam usaha mendapatkan suatu keutamaan yang boleh anda capai.
184.Orang yang berjaya adalah orang yang mempunyai kemahuan yang kuat dan berusaha dengan bersungguh-sungguh.
185.Carilah harta dan bersungguh-sungguhlah dalam mencarinya supaya anda tidak bergantung kepada manusia dan belas kasihan mereka. Hal itu dapat mengukuhkan agama anda.
186.Wajib ke atas anda untuk menggempur syaitan-syaitan hawa nafsu dan terus berhati-hati serta membekali diri dengan hal-hal yang menjadikan diri anda tahan terhadap gempuran syaitan. Jangan sekali-kali membuka peluang bagi syaitan untuk menundukkan anda.
187.Carilah kawan-kawan yang dapat dipercayai. Bergaullah dengan para ulama dan contohilah apa yang ada pada mereka.
188.Ketahuilah bahawa apa yang anda perolehi akan lenyap dan yang tinggal hanyalah apa yang pernah anda berikan kepada orang lain.
189.Jika anda mengetahui sesuatu ilmu, janganlah kemudiannya melakukan hal yang sebaliknya.
190.Harta itu dikumpul untuk tujuan diinfakkan.
191.Jauhilah kemalasan dan usirlah ia dari jiwa anda.
192.Anda mesti berusaha sekuat-kuatnya untuk mencapai yang paling sempurna dalam ilmu dan amal.
193.Ketahuilah umur anda amat singkat, oleh itu mulailah dengan membaca al-Quran dan menghafaznya. Kemudian pelajarilah tafsirnya, dalamilah ilmu nahwu dan bahasa arab. Kemudian belajarlah ilmu tentang hadis.
194.Dunia ini hanyalah jambatan untuk lalu. Berusahalah untuk tahu bagaimana berhubungan dengan Allah dan binalah kesucian dirimu serta tingkatkanlah kualiti spiritualmu.
195.Tinggalkanlah apa yang mengganggu jiwamu.
196.Hindarilah hal-hal yang tidak mampu anda lakukan. Lakukan amal baik yang anda mampu lakukan sahaja.
197.Orang yang cerdik adalah orang yang mengutamakan sesuatu yang bersifat kekal daripada yang sementara.
198.Selalulah mempunyai semangat yang tinggi untuk sentiasa mencari hal-hal yang paling baik.
199.Yakinlah bahawa Ia Maha Mengetahui yang terbaik untuk diri anda.
200.Pelajarilah pelbagai macam ilmu meskipun sedikit.
201.Carilah nafkah dan harta serta berniaga dengan cara yang betul. Jangan sekali-kali hidup boros.
202.Ketahuilah, ilmu dan amal akan membawa kita mengenali Allah s.w.t sebaik-baiknya.
203.Sentiasalah mempunyai semangat yang tinggi untuk mencari hal-hal yang paling baik.
204.Sebaik-baik ilmu yang perlu diutamakan adalah menghafaz Al-Quran.
205.Sesiapa yang ingin menghendaki keselamatan dan kesihatan yang kekal, hendaklah ia bertaqwa kepada Allah.
206.Ketahuilah kewujudan Allah dengan cara melihat ciptaanNya. Lihatlah dalil-dalil kewujudanNya menerusi kewujudan makhluk-makhlukNya.
207.Mukjizat paling besar adalah AL-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh apa pun.
208.Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan, kitab yang penuh berkat dan menjadi ubat penyembuh, sumber hukum Islam dan Kalam Allah.
209.Jika engkau hendak melakukan sesuatu, maka tentukanlah kadarnya, kemudian pertimbangkan akibatnya, dan sejauh mana hasilnya.
210.Ketahuilah, tidak ada yang berlaku tanpa mendatangkan kesan atau akibat.
211.Perhatikanlah orang yang sudah mati dan yang masih hidup. Lihatlah orang-orang yang meninggalkan nama yang harum dan sebaliknya, renungkanlah orang yang beroleh kemuliaan dan yang ditimpa kehinaan.
212.Kesabaran menghasilkan sesuatu yang manis pada kesudahannya.
213.Kukuhkanlah dirimu.
214.Orang yang mendahulukan nafsu daripada hal-hal yang utama adalah orang yang lemah semangatnya dan rela dengan kedudukan yang rendah.
215.Berhati-hatilah tehadap hawa nafsu apabila ia berkobar-kobar. Carilah jalan menaklukinya. Boleh jadi tergelincir kepada hal-hal yang kecil akan menjerumuskan sesorang ke dalam jurang yang amat dalam.
216.Orang-orang yang bertaqwa akan terus bertempur dan bertahan dengan semangat yang tinggi.
217.Bayangkanlah segala apa yang ingin anda perolehi di dunia sudah anda capai. Lantas apa yang anda rasakan? Semua itu tidak lebih dari sesuatu yang bersifat sementara.
218.Lihatlah ke mana kamu akan kembali dan ke mana perjalanan hidup ini akan berkesudahan?. Ketahuilah, kematian itu hanyalah masa yang singkat datangnya dan selepas itu kuburan menantimu.
219.Pohonlah kepada Allah agar dijauhi dari perilaku orang-orang yang lalai.
220.Bertaqwalah, kerana ia adalah jalan keluar yang terbaik dari segala kegelisahan dan kegoncangan jiwa.
221.Berfikirlah untuk taat kepada Allah dan mengikuti semua yang disuruhNya.
222.Ketahuilah, bahawa Allah sentiasa mencukupimu serta tambatkanlah hatimu kepada Allah setelah selesai berusaha.
223.Ketahuilah, penangguhan perkenan doa boleh jadi disebabkan 2 hal. Pertama, boleh jadi penangguhan itu lebih baik bagi anda dan menyelamatkan anda dari musibah. Kedua, kerana banyaknya dosa-dosa anda, sebabdosa-dosa itu menghambat terkabulnya doa.
224.Jauhilah segala maksiat.
225.Ketahuilah, rancangan Allah s.w.t jauh lebih baik daripada rancangan anda. Ia sering menguji anda dengan mencegah apa yang menjadi kecenderungan anda, supaya Ia mencuba sejauh mana tahap kesabaran anda.
226.Bersihkanlah jalan-jalan pengabulan doa dari tompokan dosa dan maksiat. Bersabarlah di atas apa yang Ia takdirkan, maka semua yang berlangsung adalah pasti yang terbaik untuk anda.
227.Sentiasalah bersiap sedia kerana kita tidak tahu bilakah maut akan menjemput. Jangan tertipu dengan masa muda dan kesihatan yang baik. Ketahuilah, yang banyak mati lebih dahulu adalah orang-orang muda.
228.Janganlah tertipu dengan panjang angan-angan.
229.Janganlah anda tidur sebelum anda renungkan dalam-dalam apa yang anda lakukan pada hari itu. Padam dan hapuskan kesalahan dengan taubat.
230.Berhati-hatilah dengan penyakit suka menangguh kerana ia adalah perangkap iblis yang paling dahsyat.
231.Bayangkanlah dalam diri anda betapa singkatnya umur manusia dan banyaknya kerja yang perlu dilakukan. Bayangkanlah ganjaran yang diterima orang-orang yang bekerja keras.
232.Jangan biarkan jiwa anda kosong dari nasihat-nasihat dan jauhilah fikiran-fikiran negatif yang sentiasa membisiki anda.
233.Janganlah membuang umur anda secara sia-sia dan jangan kotori jiwa anda.
234.Ketahuilah, akibat maksiat sentiasa buruk dan menjadikan jiwa anda merasa gundah dan gelisah.
235.Bersegeralah memperbaharui taubat. Sentiasalah merasa diawasi oleh Allah s.w.t dalam hidup.
236.Ketahuilah cubaan-cubaan itu ada batas waktunya.
237.Sentiasalah sedar akibat maksiat.
238.Sedarlah, perjalanan anda semakin hampir ke liang kubur. Oleh itu carilah keuntungan untuk hidup anda selepas mati.
239.Kejarlah amal sebelum ajal datang menghempas anda.
240.Alangkah peliknya umur anda semakin naik tetapi amal semakin menurun.
241.Biarkan semuanya berjalan mengikut kehendakNya.
242.Ketahuilah, sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, Ia akan menggantikannya dengan yang lebih baik.
243.Jagalah jiwa anda, jangan sampai ia lengah. Sentiasalah bersiap siaga kerana anda tidak tahu dari mana datangnya anak panah memburu.
244.Pohonlah segala hajat dan kepentingan kepadaNya dan sedarlah bahawa Allah sentiasa mengawasi anda.
245.Sentiasalah menjaga diri supaya sentiasa nampak menarik kepada isteri/suami.
246.Renunglah dalam-dalam isi kandungan dan makna Al-Quran sehingga betul-betul meresap ke dalam kalbu.
247.Yang paling baik adalah memotong semua jalan yang menyebabkan berlakunya fitnah dan menghindari cara-cara yang mudah dan memudahkan dalam melakukan hal-hal yang mubah yang akan mengheret kita kepadahal-hal yang terlarang.
248.Kesukaran itu sentiasa diberikan oleh Allah sesuai dengan kadar kemampuan seseorang.
249.Lihatlah akibat dari kelakuan dan perbuatan anda serta apa yang akan anda petik dari kelakuan-kelakuan anda.
250.Pusatkanlah perhatian untuk menghafaz dan mengulangkaji pelajaran.
Jumpa lagi di entri berikutnya untuk sambungan terakhir..
Category: Islam, Renungan & Motivasi | One Comment






