Home

Archive » December, 2010 «

Kecemerlangan Diri | Buktikan

Friday, December 03rd, 2010 | Author:

Salam Jumaat. :) Tahukah anda setiap hari Allah s.w.t mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita? Nikmat nyawa merupakan antara salah satu nikmat yang besar dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kepada kita. Tapi seramai mana antara kita yang bersyukur kepada Allah setiap pagi setelah membuka mata sambil menghirup udara segar yang baru?

Manusia diberikan oleh Allah dua sikap yang membentuk personaliti diri sebagai seorang insan, iaitu sikap positif dan sikap negatif. Kedua-dua sikap ini sentiasa menjadi pergelutan dalam diri manusia setiap hari dan setiap masa. Hanya pertimbangan setiap diri manusia itu sahaja yang menentukan sikap mana menjadi pilihan. Sekiranya sikap negatif menjadi pilihan, maka manusia itu menjalani kehidupannya pada hari tersebut dengan halatuju yang salah dan terpesong.

Itulah sebabnya antara hikmah kenapa Allah mewajibkan kita solat sebanyak lima kali sehari, bermula seawal kita membuka mata di awal pagi hinggalah di saat kita menutup kembali mata di malam hari. Solat yang khusyuk mampu memimpin manusia itu kepada sikap yang positif sepanjang dia menjalani kehidupannya seharian.

Allah s.w.t menciptakan manusia sebaik-baik makhluk. Hakikatnya jelas dinyatakan dalam Surah At-Tin bahawa manusia diciptakan dengan lengkap dan sempurna dengan pelbagai potensi diri. Kita mempunyai 5 pancaindera, 500 jenis otak, 200 jenis tulang, 24,000 saraf pendengaran (telinga), 100 juta sel reseptor (mata), 10.5 kilometer urat saraf, 90,000 kilometer saluran darah, 1,600 gelen darah sehari yang dialirkan oleh jantung dan sebagainya.

Tahukah anda bahawa manusia mempunyai kehebatan minda yang tiada tolok bandingnya? Manusia mampu berfikir untuk membuat keputusan, berupaya mencipta sesuatu idea, mampu membuat penilaian sama ada yang baik atau buruk, mampu membuat perancangan dan merealisasikan pelaksanaan, bertanggungjawab ke atas pemikiran, perasaan dan tindakannya sendiri, mampu berfikir pada kadar 800 perkataan seminit dengan setiap sel otak mempunyai kapasiti seperti sebuah laptop dan manusia berupaya menampung sebanyak 120 kemahiran.

Kita sedar tentang kehebatan fizikal dan minda itu cuma kurang mengaplikasikannya dalam kehidupan. Kita hanya menggunakan lima atau sepuluh peratus sahaja potensi diri yang ada, selebihnya kita biarkan tanpa diteroka atau dikembangkan.

Sikap positif boleh dipelajari dan dididik. Tetapi sikap negatif lahir sejak dari zaman kanak-kanak melalui pengalaman dan rasa kecewa, ianya terkumpul sedikit demi sedikit dan akhirnya ianya muncul sekiranya tiada bimbingan yang betul atau keimanan. Setiap manusia layak menjadi cemerlang dan kecemerlangan itu boleh dicapai jika adanya keinginan untuk berubah. Perubahan-perubahan sebegini memerlukan tahap kesedaran yang tinggi, penerimaan dan komitmen/istiqamah pada diri sendiri. Bukan mudah untuk melakukan perubahan ini kerana kita cepat dan mudah berasa selesa, senang dan selamat dengan keadaan, idea, sistem, sikap dan cara yang sudah menjadi kebiasaan dan rutin hidup kita. Seterusnya kita merasakan perubahan adalah sesuatu yang menyakitkan dan terlalu pahit untuk melangkah.

Sedar atau tidak bahawa hampir 90 peratus kejayaan kita adalah melalui sikap positif serta 10 peratusnya adalah melalui ilmu dan kebolehan. Maksudnya, faktor yang menentukan kecemerlangan seseorang ialah memiliki sifat positif. Malah 90 peratus sikap positif pula terbentuk melalui menetapkan matlamat hidup, hala tuju serta strategi ke arah bagaimana mencapai matlamat diri sendiri. Seterusnya sepuluh peratus perubahan sikap positif adalah melalui percambahan ilmu dan pengalaman.

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah insan-insan yang berfikiran dan bertindak positif. Mereka yakin akan syurga yang seluas langit dan bumi yang dihias dengan pelbagai keindahan yang tidak dapat dibayangkan mata. Oleh sebab itulah perjuangan mereka bermatlamat dan mencapai kejayaan. Lihatlah betapa positifnya sikap Saidinar Abu Bakar dalam memperjuangkan agama yang diutuskan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Walaupun pelbagai rintangan melanda, mereka tempuhi dengan sabar dan tidak pernah putus asa. Matlamat mereka jelas iaitu mencari keredhaan Allah s.w.t. Wawasan mereka adalah syurga. Tindakan mereka sentiasa berhati-hati agar perintah Allah sentiasa diikuti dan dipatuhi.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah contoh unggul kehidupan insan dan manusia sejagat. Yakinlah bahawa manusia mempunyai potensi diri yang hebat dan mampu mencapai kecemerlangan, apa yang penting ialah berani berubah untuk menjadi yang terbaik bukan sahaja untuk maruah diri sendiri, malah demi agama dan keluarga.

“Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datangnya kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sihatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati.” (HR al-Hakim).

“Success, it is not because things are difficult that we do not dare, it is because we do not dare that they are difficult.” Seperti kata pepatah melayu, “Orang yang cemerlang menunjukkan hasil. Orang yang gagal memberikan seribu alasan.”

P.S : Beberapa info dirujuk dari pembacaan.

Category: Renungan & Motivasi | 2 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes