Menjejaki Kejayaan Luar Biasa | Bahagian 1
Friday, December 31st, 2010 | Author: Wan

Entri saya kali ini dan beberapa entri akan datang, saya hanya ingin berkongsi dengan pembaca blog ini petikan atau catatan yang diambil daripada Kitab Said al-Khatir Ibnu Jauzi bertajuk ‘Menjejaki Kejayaan Luar Biasa’. Catatannya mengandungi sebanyak hampir 400 ungkapan dan saya lampirkan secara bersiri untuk memudahkan pembacaan. Renungi ungkapan-ungkapan motivasi dan renungannya semoga kita menjadi manusia yang berjaya dunia dan akhirat.
Siapa Ibnu Jauzi? Beliau dilahirkan pada tahun 508 Hijrah di Baghdad. Ibunya menghantar untuk mempelajari agama pada usianya 6 tahun. Masanya dihabiskan dengan menghafal al-Quran atau membaca kitab awal halaman hingga ke penutup. Beliau lebih muda 38 tahun daripada Sheikh Abdul Kadir al-Jilani. Ibn al-Jauzi pernah membaca sejumlah dua puluh ribu buah kitab.
Pada kitab Said al-Khatir yang ditulisnya , beliau menyatakan, “Tiada berlebihan sekiranya aku katakan bahawa aku telah membaca sebanyak 20,000 buah kitab sepanjang aku di bangku sekolah. Melalui pembacaan tersebut, aku dapat ketahui dan mempelajari tentang erti keberanian, jiwa yang besar, pendidikan yang tiada sempadan, serta hafalan yang kukuh, ketakwaan, kesungguhan di dalam solat dan ibadat oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh yang terdahulu yang mana tidak mungkin aku ketahui tanpa membaca kitab-kitab tersebut. Pembelajaran dan penelitian mengenai sesebuah kitab di zaman itu juga telah mendedahkan betapa singkatnya pengetahuan ulama-ulama di zaman kita dan betapa malapnya semangat para pelajar di zaman ini.”
Ibn al-Jauzi telah mengarang lebih dari 1000 buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Meskipun kemahiran beliau dalam bidang ilmu Hadis dan Fiqah, beliau juga prihatin dengan ilmu sejarah terutama berkaitan para Anbiya, para sahabat Nabi termasuk para Awliya. Masihkah mampu kita hendak mencari seorang alim pada zaman ini yang bacaannya melebihi 20,000 buah kitab? Dan berapa ramaikah ulama kini yang menjadikan amalan khatam al-Quran seminggu sekali?
Berikut catatan-catatan beliau (Bahagian 1: 1-50):
1.Sabda Nabi s.a.w: Ikatlah ilmu dengan tulisan.
2.Tulislah lintasan-lintasan hati ke dalam buku.
3.Selalulah melihat dan menjangkakan akibat sesuatu perkara pada awal langkah dengan mata hati anda.
4.Orang yang berhati-hati akan mencapai kebahagian.
5.Berfikirlah secara mendalam tentang akhir kehidupan dunia dan menyiapkan bekalan dengan sebaik-baiknya.
6.Bayangkanlah saat-saat kematian anda.
7.Lidah dan mata adalah anggota yang paling utama dikekang dan dikawal.
8.Mempunyai semangat yang tinggi adalah tanda akal yg sempurna.
9.Sentiasalah mempersiapkan ‘bekal’ sebelum melangkah memulai perjalanan.
10.Ingatlah, kematian sentiasa mengintai dan berilah sesuatu sesuai dengan keperluan dan haknya.
11.Salinglah mendoakan, membantu dan memberi manfaat antara satu sama lain.
12.Sentiasalah bergerak ke arah Syurga.
13.Berusahalah untuk melihat kebesaran dan dalil-dalil yang menunjukkan pengetahuan tentang Tuhan.
14.Berusahalah menakluk hawa nafsu, menekan shahwat dan kecenderungan semula jadi yang berkobar-kobar.
15.Hendaklah niat sentiasa tetap untuk melakukan segala kebaikan.
16.Sabda Nabi s.a.w : Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalnya.
17.Sentiasalah memburu waktu.
18.Sentiasalah beramal dan bekerja untuk mendapat pahala dan ganjaran yang kekal seperti mewakafkan harta, menanam tanaman kekal, menulis buku yang bermanfaat untuk dibaca. Jadilah manusia yang tidak pernah ‘mati’.
19.Angan-angan yang tidak berkesudahan adalah perangkap dan tipuan syaitan.
20.Wajib memelihara apa yang dimiliki dan rajinlah berusaha.
21.Seorang pahlawan adalah peribadi yang sentiasa berusaha untuk memberi dan bukan minta diberi, sentiasa bersedekah bukan minta diberi sedekah.
22.Jika anda mempunyai semangat untuk mendapatkan dunia, maka bangkitlah dan berusahalah untuk mendapatnya.
23.Ingatlah, sesungguhnya dunia ini hanyalah untuk dilalui dan bukan untuk diramaikan.
24.Ketahuilah, kesenangan yang dikecapi oleh manusia adalah terlalu sedikit berbanding dengan binatang. Binatang mendapatkannya dengan tenang sedangkan manusia penuh dengan kebimbangan.
25.Kehendak kepada dunia akan mengalih perhatian anda dari hal-hal yang mulia, sedangkan ringannya beban keduniaan akan menggerakkan anda untuk mencapai martabat yang mulia.
26.Hendaklah sentiasa mengawal diri dan menyedari bahawa keseronokan sebentar pada hakikatnya tiadalah berguna.
27.Sentiasalah mengharap pahala yang Allah s.w.t sediakan.
28.Sabda Nabi s.a.w : Sesiapa yang menundukkan pandangannya dari keelokan seorang wanita, Allah s.w.t akan memberi balasannya dengan limpahan iman yang terasa manis di dalam hatinya.
29.Sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki iman, memperkuat takwa, dan bergembira ketika menghadapi kematian.
30.Melihat peristiwa akhirat dengan kaca mata iman dan keyakinan.
31.Bawalah diri ke akhirat dengan menyendiri, bertafakur, merenung dan mempelajari ilmu.
32.Pepatah ada menyebut : Manusia cenderung kepada apa yang dilarang dan ingin mendapat apa yang belum dicapai.
33.Antara perkara yang menjadi keutamaan adalah melontarkan kata-kata yang baik dan kalimat-kalimat yang indah serta mengeluarkan ibarat-ibarat yang manis.
34.Sabda Nabi s.a.w: Sekiranya engkau meninggalkan warismu dalam keadaan kaya, itu lebih baik dari engkau meninggalkan mereka dalam keadaan fakir hingga mengemis kepada manusia.
35.Sabda Nabi s.a.w: Sebaik-baik harta ialah yang berada di tangan orang yang soleh.
36.Mengarang buku atau mengajar ilmu berguna adalah benih yang akan tumbuh bercabang dan kekal manfaatnya.
37.Lihatlah sesuatu dengan pandangan mata hati.
38.Ingatlah, segala sesuatu yang indah dan disenangi, Dialah Penciptanya.
39.Zat yang Maha Kuasa tentulah lebih baik daripada yang Ia kuasai.
40.Segala sesuatu yang Allah s.w.t ciptakan di dunia ini merupakan gambaran yang akan berlaku di akhirat kelak.
41.Hadis Qudsi: Memandang wanita yang jelita adalah busur yang diracuni oleh syaitan. Sesiapa yang berpaling kerana mengharap redhaKu, akan ia nikmati manisnya iman di dalam hatinya.
42.Sabda Nabi s.a.w: Sesungguhnya rezeki seorang hamba ditahan oleh sebab dosa yang diperbuatnya.
43.Sabda Nabi s.a.w: Jika engkau merasa miskin, berniagalah dengan Allah s.w.t dengan cara bersedekah.
44.Berlaku sopanlah kepada Allah s.w.t untuk mendapat keuntungan yang banyak dan segera.
45.Beriman dengan penuh kesabaran adalah seperti dipanggang di atas bara api.
46.Jadikan seluruh hidupmu amal.
47.Jangan disibukkan oleh harta sampai lupa akan pemberi rezekinya.
48.Ajarlah anak-anak sopan santun dan etika hidup.
49.Berusaha mencari rezeki dengan halal adalah satu kehormatan.
50.Bersungguh-sungguhlah mencari ilmu untuk beramal.
Bahagian seterusnya akan menyusul. Selamat menyambut Tahun Baru 2011.
Category: Islam, Renungan & Motivasi | 3 Comments




