Home

Archive » December, 2010 «

Menjejaki Kejayaan Luar Biasa | Bahagian 1

Friday, December 31st, 2010 | Author:

Entri saya kali ini dan beberapa entri akan datang, saya hanya ingin berkongsi dengan pembaca blog ini petikan atau catatan yang diambil daripada Kitab Said al-Khatir Ibnu Jauzi bertajuk ‘Menjejaki Kejayaan Luar Biasa’. Catatannya mengandungi sebanyak hampir 400 ungkapan dan saya lampirkan secara bersiri untuk memudahkan pembacaan. Renungi ungkapan-ungkapan motivasi dan renungannya semoga kita menjadi manusia yang berjaya dunia dan akhirat.

Siapa Ibnu Jauzi? Beliau dilahirkan pada tahun 508 Hijrah di Baghdad. Ibunya menghantar untuk mempelajari agama pada usianya 6 tahun. Masanya dihabiskan dengan menghafal al-Quran atau membaca kitab awal halaman hingga ke penutup. Beliau lebih muda 38 tahun daripada Sheikh Abdul Kadir al-Jilani. Ibn al-Jauzi pernah membaca sejumlah dua puluh ribu buah kitab.

Pada kitab Said al-Khatir yang ditulisnya , beliau menyatakan, “Tiada berlebihan sekiranya aku katakan bahawa aku telah membaca sebanyak 20,000 buah kitab sepanjang aku di bangku sekolah. Melalui pembacaan tersebut, aku dapat ketahui dan mempelajari tentang erti keberanian, jiwa yang besar, pendidikan yang tiada sempadan, serta hafalan yang kukuh, ketakwaan, kesungguhan di dalam solat dan ibadat oleh ulama-ulama dan orang-orang soleh yang terdahulu yang mana tidak mungkin aku ketahui tanpa membaca kitab-kitab tersebut. Pembelajaran dan penelitian mengenai sesebuah kitab di zaman itu juga telah mendedahkan betapa singkatnya pengetahuan ulama-ulama di zaman kita dan betapa malapnya semangat para pelajar di zaman ini.”

Ibn al-Jauzi telah mengarang lebih dari 1000 buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu. Meskipun kemahiran beliau dalam bidang ilmu Hadis dan Fiqah, beliau juga prihatin dengan ilmu sejarah terutama berkaitan para Anbiya, para sahabat Nabi termasuk para Awliya. Masihkah mampu kita hendak mencari seorang alim pada zaman ini yang bacaannya melebihi 20,000 buah kitab? Dan berapa ramaikah ulama kini yang menjadikan amalan khatam al-Quran seminggu sekali?

Berikut catatan-catatan beliau (Bahagian 1: 1-50):

1.Sabda Nabi s.a.w: Ikatlah ilmu dengan tulisan.

2.Tulislah lintasan-lintasan hati ke dalam buku.

3.Selalulah melihat dan menjangkakan akibat sesuatu perkara pada awal langkah dengan mata hati anda.

4.Orang yang berhati-hati akan mencapai kebahagian.

5.Berfikirlah secara mendalam tentang akhir kehidupan dunia dan menyiapkan bekalan dengan sebaik-baiknya.

6.Bayangkanlah saat-saat kematian anda.

7.Lidah dan mata adalah anggota yang paling utama dikekang dan dikawal.

8.Mempunyai semangat yang tinggi adalah tanda akal yg sempurna.

9.Sentiasalah mempersiapkan ‘bekal’ sebelum melangkah memulai perjalanan.

10.Ingatlah, kematian sentiasa mengintai dan berilah sesuatu sesuai dengan keperluan dan haknya.

11.Salinglah mendoakan, membantu dan memberi manfaat antara satu sama lain.

12.Sentiasalah bergerak ke arah Syurga.

13.Berusahalah untuk melihat kebesaran dan dalil-dalil yang menunjukkan pengetahuan tentang Tuhan.

14.Berusahalah menakluk hawa nafsu, menekan shahwat dan kecenderungan semula jadi yang berkobar-kobar.

15.Hendaklah niat sentiasa tetap untuk melakukan segala kebaikan.

16.Sabda Nabi s.a.w : Niat seorang mukmin lebih baik daripada amalnya.

17.Sentiasalah memburu waktu.

18.Sentiasalah beramal dan bekerja untuk mendapat pahala dan ganjaran yang kekal seperti mewakafkan harta, menanam tanaman kekal, menulis buku yang bermanfaat untuk dibaca. Jadilah manusia yang tidak pernah ‘mati’.

19.Angan-angan yang tidak berkesudahan adalah perangkap dan tipuan syaitan.

20.Wajib memelihara apa yang dimiliki dan rajinlah berusaha.

21.Seorang pahlawan adalah peribadi yang sentiasa berusaha untuk memberi dan bukan minta diberi, sentiasa bersedekah bukan minta diberi sedekah.

22.Jika anda mempunyai semangat untuk mendapatkan dunia, maka bangkitlah dan berusahalah untuk mendapatnya.

23.Ingatlah, sesungguhnya dunia ini hanyalah untuk dilalui dan bukan untuk diramaikan.

24.Ketahuilah, kesenangan yang dikecapi oleh manusia adalah terlalu sedikit berbanding dengan binatang. Binatang mendapatkannya dengan tenang sedangkan manusia penuh dengan kebimbangan.

25.Kehendak kepada dunia akan mengalih perhatian anda dari hal-hal yang mulia, sedangkan ringannya beban keduniaan akan menggerakkan anda untuk mencapai martabat yang mulia.

26.Hendaklah sentiasa mengawal diri dan menyedari bahawa keseronokan sebentar pada hakikatnya tiadalah berguna.

27.Sentiasalah mengharap pahala yang Allah s.w.t sediakan.

28.Sabda Nabi s.a.w : Sesiapa yang menundukkan pandangannya dari keelokan seorang wanita, Allah s.w.t akan memberi balasannya dengan limpahan iman yang terasa manis di dalam hatinya.

29.Sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki iman, memperkuat takwa, dan bergembira ketika menghadapi kematian.

30.Melihat peristiwa akhirat dengan kaca mata iman dan keyakinan.

31.Bawalah diri ke akhirat dengan menyendiri, bertafakur, merenung dan mempelajari ilmu.

32.Pepatah ada menyebut : Manusia cenderung kepada apa yang dilarang dan ingin mendapat apa yang belum dicapai.

33.Antara perkara yang menjadi keutamaan adalah melontarkan kata-kata yang baik dan kalimat-kalimat yang indah serta mengeluarkan ibarat-ibarat yang manis.

34.Sabda Nabi s.a.w: Sekiranya engkau meninggalkan warismu dalam keadaan kaya, itu lebih baik dari engkau meninggalkan mereka dalam keadaan fakir hingga mengemis kepada manusia.

35.Sabda Nabi s.a.w: Sebaik-baik harta ialah yang berada di tangan orang yang soleh.

36.Mengarang buku atau mengajar ilmu berguna adalah benih yang akan tumbuh bercabang dan kekal manfaatnya.

37.Lihatlah sesuatu dengan pandangan mata hati.

38.Ingatlah, segala sesuatu yang indah dan disenangi, Dialah Penciptanya.

39.Zat yang Maha Kuasa tentulah lebih baik daripada yang Ia kuasai.

40.Segala sesuatu yang Allah s.w.t ciptakan di dunia ini merupakan gambaran yang akan berlaku di akhirat kelak.

41.Hadis Qudsi: Memandang wanita yang jelita adalah busur yang diracuni oleh syaitan. Sesiapa yang berpaling kerana mengharap redhaKu, akan ia nikmati manisnya iman di dalam hatinya.

42.Sabda Nabi s.a.w: Sesungguhnya rezeki seorang hamba ditahan oleh sebab dosa yang diperbuatnya.

43.Sabda Nabi s.a.w: Jika engkau merasa miskin, berniagalah dengan Allah s.w.t dengan cara bersedekah.

44.Berlaku sopanlah kepada Allah s.w.t untuk mendapat keuntungan yang banyak dan segera.

45.Beriman dengan penuh kesabaran adalah seperti dipanggang di atas bara api.

46.Jadikan seluruh hidupmu amal.

47.Jangan disibukkan oleh harta sampai lupa akan pemberi rezekinya.

48.Ajarlah anak-anak sopan santun dan etika hidup.

49.Berusaha mencari rezeki dengan halal adalah satu kehormatan.

50.Bersungguh-sungguhlah mencari ilmu untuk beramal.

Bahagian seterusnya akan menyusul. Selamat menyambut Tahun Baru 2011. :)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 3 Comments

Rebut Kesempatan Untuk Keberkatan

Sunday, December 19th, 2010 | Author:

Sudah hampir pertengahan Muharram, sepatutnya banyak perkara positif yang kita dengar sempena mengubah diri ke arah kebaikan. Tapi lain pula jadinya. Bila membaca di suratkhabar, mendengar berita di tv atau melihat video di Youtube, pelbagai gejala sosial berlaku di kalangan masyarakat kita, malah ianya semakin berkudis dan bernanah. Kalau nak cakap pasal perasaan, dah tentulah bercampur baur, sedih ada.. takut ada.. Keadaan sepuluh tahun yang lalu sangat jauh berbeza dengan sekarang, bayangkan pula apa jadi sepuluh tahun akan datang..

Kembalilah kita semua kepada Allah S.W.T dengan melakukan perintah-Nya tanpa berlengah dan  jauhi diri daripada larangan Allah tanpa banyak dalih dan alasan. Moga-moga Allah sentiasa kasih dan sayangkan  kita dan dimasukkan kita ke dalam golongan orang yang berjaya dan berbahagia di dunia dan di akhirat. “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan  takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya daripada terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan”.

Cuba kita renung sekejap untuk menyingkap semula masa dulu dan merenung pula masa sekarang dan akan datang. Dulu  dah berlalu dan dah  lama meninggalkan kita manakala masa sekarang ialah detik-detik masa yang kita sedang lalui dan akan kita tempuh. Sebagai hamba Allah, kita perlu melihat apakah yang kita lakukan pada masa yang lalu dan apakah pula yang patut kita lakukan pada masa sekarang dan akan datang? Pertanyaan seperti ini penting bagi membantu kita menjadi hamba Allah yang soleh dan bertakwa.

Dulu kita adalah anak-anak kecil yang belum baligh dan tidak ditaklifkan oleh Allah dengan syariatnya. Jadi apa yang kita buat pada ketika itu semuanya tidak berdosa walaupun pada umumnya ia adalah satu kesalahan seperti mencuri mempelam jiran dan memakannya. Maka perbuatan seperti itu adalah salah tetapi Allah s.w.t tidak mencatatkan dosa kerana kita belum mukallaf.

Tapi sekarang kita sudah baligh dan dewasa maka kita tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja yang salah seperti ketika kita masih kecil dulu kerana sekarang Allah akan mencatatnya kerana kita telah menjadi orang mukallaf. Jadi tinggalkanlah perbuatan yang salah itu kerana ini adalah kenangan lama yang tidak boleh diulangi lagi.

Dulu kita muda mungkin semua tindakan kita didorong oleh keseronokan semata-mata tanpa memikirkan apakah ianya baik bagi kita ataupun sebaliknya, kita banyak menghabiskan masa untuk keseronokan sehingga kita lupa dan lalai daripada melaksanakan tanggungjawab kita kepada Allah dan masa muda kita telah disia-siakan begitu sahaja.

Tetapi sekarang kita telah dewasa maka tidak sepatutnya kita meneruskan kerja sia-sia di usia muda kita dulu kerana ketika itu kita tidak banyak mengerjakan ibadah dan kebajikan. Oleh kerana sekarang kita telah dewasa maka sepatutnya kita telah sedar dan insaf segala kesalahan yang lalu. Gunakanlah  masa ini untuk bertaubat dan beramal soleh bagi menghimpunkan pahala sebagai bekalan ke syurga.

Dulu kita mungkin susah, miskin dan sentiasa di dalam kesempitan dan pada masa itu selalu kita memasang angan-angan dan cita-cita “kalaulah aku kaya, aku akan belanjakan harta aku untuk kebajikan, aku akan menolong fakir miskin, aku akan beri sumbangan untuk pembinaan masjid, aku akan keluarkan zakat” …dan berbagai-bagai lagi azam dan cita-cita kita, tetapi semuanya itu tidak dapat kita lakukan kerana kemiskinan dan kesusahan yang menghimpit kita.

Sekarang kita dah menjadi kaya dan berada dalam kemewahan dan kesenangan. Ambillah kesempatan di atas kesenangan dan kemewahan yang Allah berikan kepada kita untuk membelanjakan sebahagian daripadanya pada jalan Allah seperti yang pernah diimpikan pada masa kita susah dahulu. Janganlah pula kita dihantui dengan perasaan sayangkan harta sehingga tidak sanggup pula membelanjakannya kerana mencari keredhaan Allah.

Seorang sahabat pernah bertanya nabi s.a.w, “Wahai Rasulullah, sedekah yang bagaimanakah yang lebih afdhal? Maka Rasulullah pun menjawab, “Kamu memberi sedekah ketika kamu sedang sihat dan terlalu sayangkan harta kamu, di samping kamu sangat mengharapkan bertambah kekayaan dan bimbang menjadi miskin dan janganlah kamu tangguhkan lagi sehingga nyawa sudah berada di hujung halkum.

Dulu kita sentiasa sibuk dengan kerja di pejabat, kita sibuk dengan urusan pernigaan, kita sibuk dengan persatuan dan kita sibuk dalam segala urusan dan kerana kesibukan kita itu kita tidak berkesempatan atau sedikit sangat ruang waktu dapat berbuat kebajikan, kita tidak ada masa membaca al-Quran, tidak ada masa untuk ke masjid/surau, kita tidak ada masa untuk belajar agama, kita tidak ada masa bergaul dengan masyarakat dan kita tidak ada masa untuk semua itu. Tapi sekarang kita kurang sibuk lagi. Mungkin kita sudah ada sedikit ruang masa, perniagaan kita sudah ada orang yang membantu untuk mengurusnya. Jadi, gunakanlah masa yang tidak sibuk ini untuk mendapatkan semula apa yang telah terlepas dan yang tidak sempat kita lakukan pada waktu kita sibuk dahulu. Sekarang inilah masanya untuk banyak berzikir kepada Allah, inilah masanya untuk kita mendalami isi ajaran agama, inilah masanya untuk kita bergaul dan berbuat baik dengan masyarakat dan inilah masanya untuk kita melakukan amal yang soleh sebanyak mungkin.

Kalau dulu mungkin kita banyak melakukan kesilapan, kita banyak bercakap yang sia-sia dan tidak berfaedah. Tetapi sekarang kita telah sedar bahawa itu semuanya merugikan dan membahayakan diri sendiri, jadi biasakanlah diri dengan bercakap benar kerana itulah sifat orang yang beriman dan bertaqwa, jangan berterusan menjadi orang yang munafik.

Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 70-71 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar, nesaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar”.

Kita sering lupakan tugas dan tanggungjawab kita yang besar, kita seorang bapa tetapi kita telah mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak kita, kita seorang majikan tetapi kita telah mengabaikan tanggungjawab dan kebajikan terhadap kakitangan dan anak-anak buah kita, kita seorang yang berpengaruh dan berkedudukan tinggi tetapi telah mengabaikan orang-orang di bawah kita. Kita seorang bos yang baik dan berjaya untuk sesuatu jabatan tetapi kita terlupa mengurus diri sendiri dan keluarga kita, semua kelemahan dan kekurangan itu telah kita lakukan dalam keadaan terlupa, tidak sedar dan kerana mementingkan diri sendiri.. tetapi bukan ke sekarang kita sudah sedar segala kesilapan itu semua? Sepatutnyalah kita gantikan kesilapan dan kesalahan itu dengan menghayati ajaran Islam di samping kita penuh insaf dengan bertaubat nasuha kepada Allah S.W.T. Firman Allah (Surah Ali Imrn ayat 133): “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”.

Dulu pandangan kita terhadap agama agak mendatar, kita anggap agama itu hanya ibadah khusus semata-mata. Urusan hidup harian bukan urusan agama, lalu kita tidak menggunakan agama sebagai neraca pertimbangan dalam menjalani kehidupan termasuk urusan berpolitik, semua itu terjadi kerana kejahilan kita sendiri. Sekarang kita sudah sedar dan kita sudah banyak belajar, kita telah faham bahawa Islam merangkumi semua aspek kehidupan. Oleh itu marilah sama-sama kita amalkan ajaran Islam di dalam kehidupan ini supaya hidup kita menjadi sempurna dan bahagia.

Renung-renungkan.. “Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia memohon ampun kepada Allah s.w.t, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Surah an-Nisa’:110). Jumpa lagi.. :)

P.S : Entri berdasarkan rujukan & pembacaan.

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Maal Hijrah 1432 Hijrah | Hargai Setiap Saat

Monday, December 06th, 2010 | Author:

Alhamdulillah, selesai membaca doa akhir tahun 1431 hijrah dan doa awal tahun 1432 hijrah, maka semestinya kita telah melangkah ke tahun baru Islam atau lebih dikenali dengan Awal Muharram/Maal Hijrah. Tentunya anda sudah pun menanam azam tersendiri bagi memenuhi tahun baru yang tiba. Namun tanpa kita sedar, setiap masa yang kita lalui sebenarnya banyak terbuang begitu sahaja walaupun azam tahun baru selalu dibuat bila tibanya tahun baru. Sejauhmana azam tahun baru anda yang lalu tercapai? Atau, ada anda peduli?

Apapun, manfaatkan hidup ini dan jalanilah hidup setiap hari seakan-akan inilah hari terakhir anda. Buatlah setiap hari menjadi hari yang bermakna, hari yang bermanfaat. Kita tidak boleh mengubah hari kelmarin. Esok belum pasti akan datang. Sekaranglah satu-satunya waktu yang boleh diterima, termasuklah saat dan ketika anda sedang membaca entri blog saya ini. :)

Terlalu ramai daripada kita yang meneruskan hidup dengan mengenang masa lalu atau mengharap masa akan datang. la tidak berguna bagi kita untuk berhadapan dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan hari ini. Lupakan sahaja masa lalu, ia telah berlalu untuk selamanya. Kejayaan anda di masa akan datang sangat bergantung kepada apa yang anda lakukan hari ini… ya, sekarang!

Setiap fajar yang baru adalah kelahiran hari yang baru. Buatlah setiap hari menjadi impian yang indah dan mulia. Ketika bangun pada pagi hari, bangunlah dengan harapan menikmati perkara baik yang akan datang kepada anda hari ini. Apabila kita membiasakan diri untuk mengharapkan perkara yang baik, biasanya hal-hal itu akan terjadi, insya-Allah. Tindakan ini boleh mempengaruhi kita dengan kekuatan kepercayaan diri.

Jika kita berbuat yang terbaik pada setiap ‘hari ini’ yang kita miliki, maka setiap ‘hari esok’ kita akan terurus dengan sendiri. Marilah kita membuat hari ini menjadi lebih baik daripada kelmarin. Marilah kita menetapkan bahawa setiap hari ini adalah lebih bererti bagi kita. Kita akan menjadi lebih sihat hari ini. Kita akan menjadi lebih bahagia hari ini. Hari ini kita hanya memerlukan sedikit usaha sahaja dalam tugas kita. Hari ini hanya sedikit yang perlu dilengkapi. Hari ini kita hanya perlu sedikit memandang ke hadapan dan ke atas. Hari ini marilah kita menambahkan sedikit rasa kasih sayang.

Apa yang akan terjadi kalau kita hidup hari ini dan berusaha membuat setiap hari menjadi lebih baik untuk dijalani? Kita telah memasuki arus utama kehidupan. Kita mulai kehidupan yang terarah menuju ke hadapan dan mengembangkan nilai kemanusiaan. Kita menjadi gembira dan jiwa sentiasa mendapat ilham yang baru dan segar. Kita akan menjadi lebih terdorong untuk menjadikan sesuatu perkara itu yang terbaik pada diri kita.

Menurut falsafah hidup dalam Islam, sejak seorang manusia akil baligh dan waras (tidak gila), maka ia harus mempersiapkan diri untuk matinya. Sebab, tidak ada manusia yang tahu bila akan tiba ajalnya, sementara dia harus mempertanggungjawabkan setiap amal perbuatannya di dunia ketika di akhirat nanti.

Dalam situasi umur yang yang masih ada ini, pilihan paling bijak ialah memanfaatkan setiap waktu untuk persiapan husnul khatimah (pengakhiran yang baik), iaitu dengan cara beribadah. Baik ibadah khusus, ataupun ibadah secara umum (seperti bersosial).

Sepertimana firman Allah s.w.t, ‘’Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah.’’ Dan Rasulullah s.a.w juga ada menegaskan, ‘’Dunia adalah ladang amal bagi akhirat.’’ Ini bermaksud, visi dan misi hidup seorang Muslim seharusnya sentiasa melampaui dimensi duniawinya. Segala aktiviti hidupnya, selain memiliki matlamat hidup di dunia, ianya juga berorientasi kepada pencapaian menuju ke akhirat yang lebih baik iaitu syurga.

Oleh sebab itu, waktu bagi seorang Muslim itu sangat berharga. Rasulullah s.a.w mengingatkan, ‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” (HR Bukhari)

“Belum sempat lagi kedua kaki seorang hamba melangkah pada hari kiamat, maka ditanyalah tentang usianya.. dihabiskan untuk apa, tentang ilmunya.. digunakan untuk mengerjakan apa, tentang hartanya.. diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa, seterusnya tentang anggota badannya.. digerakkan untuk apa.” (HR Tirmidzi).

Manfaatkanlah setiap saat yang ada dengan kebaikan dan janganlah sia-siakan masa muda dengan hiburan yang sering melalaikan. Semoga azam sempena awal Hijrah ini menjadikan kita semua hamba Allah yang terbaik, cemerlang dan bermanfaat.. insya-Allah. Jangan hanya menunggu setiap kali tibanya awal tahun, barulah bersemangat dan berazam untuk berubah. Salam Maal Hijrah.. :)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 2 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes