Home

Archive » October, 2010 «

The Red Warriors | Janjikan Kemenangan

Saturday, October 30th, 2010 | Author:

Entri ini khas sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak Kelantan (The Red Warriors) yang bakal turun ke padang di Stadium Bukit Jalil malam ini (30 Oktober) menentang pasukan bola sepak Negeri Sembilan untuk perlawanan akhir Piala Malaysia 2010. Ekoran dari insiden ketika menentang Selangor, pelbagai tohmahan dilemparkan kepada pasukan bola sepak Kelantan dan para penyokongnya, kononnya pencetus huru-hara dan pergaduhan, namun apa yang jelas pasukan serba merah itu tetap membuktikan bahawa mereka cukup hebat, unggul dan bergaya dengan melangkah sekali lagi ke perlawanan akhir malam ini.

Daripada seorang peminat tegar bola sepak hinggalah seorang suri rumah yang langsung tidak minat bola sepak, pastinya seluruh warga Kelantan di mana sahaja mereka berada, topik perbualan dan sokongan kepada pasukan The Red Warriors kedengaran di mana-mana. Pilihanraya Dun Galas dilupakan buat sementara kerana kemenangan malam ini menjadi satu kejayaan bukan sahaja kepada pasukan The Red Warriors, malah ia juga menjadi kemenangan kepada seluruh rakyat Kelantan setelah 40 tahun menanti.

Malah menurut B. Sathianathan (jurulatih pasukan Kelantan), jika kemenangan malam ini menjadi realiti, ianya merupakan hadiah khas kepada sultan Kelantan yang baru iaitu YTM Tengku Muhammad faris Petra (Sultan Muhammad ke-V).

Pastinya, ketika saya sedang mencatat entri ini, ketika ini para penyokong The Red Warriors sedang berpusu-pusu dan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil dengan berpakaian serba merah untuk untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka. Sama-samalah kita berdoa semoga tiada insiden yang tidak diingini berlaku di Stadium Bukit Jalil malam ini, insya-Allah. :) Gomo Kelate Gomo!

p.s: Penyokong di sekitar Lembah Kelang yang datang ke stadium tu, jangan la abaikan solat Maghrib pulak ye. ;)

KEMASKINI 10.55 PM: ALHAMDULILLAH, KELANTAN JUARA PIALA MALAYSIA 2010 (KELANTAN 2-1 NEGERI SEMBILAN). GOL KELANTAN DIJARINGKAN OLEH HAIRUDDIN OMAR DAN BADRI RADZI (PIYA), MANAKALA GOL NEGERI SEMBILAN DIJARINGKAN OLEH SHAHURAIN ABU SAMAH (PENALTI).

Category: Topik Bebas | 2 Comments

Kekuatan Doa Dalam Kehidupan Muslim

Wednesday, October 27th, 2010 | Author:

Siapa yang boleh menakluk masa? Pasti tiada. Kesibukan pasti akan membuatkan kita kelam-kabut jika tidak diuruskan dengan baik. Saya nak mencatat di blog ni pun menjadi kesukaran kerana tugasan rasmi lebih mencemburui waktu. Dalam diam saya berfikir, siapa kita tanpa Allah? Sejauhmana kita mampu menilai keimanan tanpa adanya ujian Allah s.w.t?

Memang tidak dinafikan bahawa orang beriman juga berhadapan dengan kepahitan hidup. Tetapi mereka menghadapinya dengan penuh kerelaan hati dan penyerahan yang sebenar kepada Allah s.w.t.

Jika kesukaran dan kesedihan yang dihadapi amat berat terasa di bahu kita untuk memikulnya, maka pada ketika itulah kita meminta bantuan daripada Allah s.w.t. Bantuan yang diminta itu, sama ada untuk menghilangkan kesukaran itu, menguranginya atau untuk tabah menghadapinya. Apabila datang kesusahan dan bala, baginda Rasulullah s.a.w selalu mengingatkan kepada para sahabatnya supaya memohon bantuan daripada Allah s.w.t. Kerana hanya Allah s.w.t yang berkuasa melepaskan kita daripada sebarang kesusahan.

Pada suatu hari, Baginda s.a.w masuk ke masjid, kata Abu Sa’id al-Khudri, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan. Kemudian baginda Rasul bertanya, “Apa yang engkau buat di sini pada waktu begini, wahai Abu Umamah?” Abu Umamah menjelaskan, “Aku sedang  bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah s.a.w bertanya, “Mahukah engkau aku ajarkan satu doa yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?” Abu Umamah berkata, “Tentulah aku suka, ya Rasulullah!”

“Bacalah setiap pagi dan petang doa ini,” kata baginda Rasul. Bacaan yang dimaksudkan baginda tersebut ialah, “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan, aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu daripada (sifat) pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kezaliman manusia.” (Riwayat Abu Daud). Kemudian Abu Umamah berkata, “Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah s.w.t menyelesaikan hutang-hutangku, begitu juga kesusahanku.”

Dilihat daripada segi logiknya, memang mengulangi kalimat-kalimat tertentu boleh mengubah suasana kejiwaan seseorang.

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w tadi berisi kalimat-kalimat yang dapat mengubah jiwa orang yang membacanya. Apabila jiwa berubah, maka dengan sendirinya berubah pula cara bertindak orang tersebut, insya-Allah. Abu Umamah yang sedang dirundung kedukaan kerana hutang yang tidak mampu dibayarnya dan dibantu oleh Rasulullah s.a.w dengan mengajarkan beberapa kalimat doa, yang dengannya jiwa Abu Umamah berubah dengan membacanya dan mengamalkannya setiap hari.

Apabila jiwa yang kusut dan hati yang rungsing sudah dapat diatasi, tentulah Abu Umamah dapat berfikir dengan baik, seterusnya berusaha untuk mencari wang untuk membayar hutang-piutangnya. Ternyata, dengan fikiran yang jernih dan jiwa yang tenang, Abu Umamah berjaya melangsaikan hutangnya.

Memang doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w ada persamaan dengan syair-syair pembangkit semangat dan pendorong jiwa untuk berubah, supaya orang yang mendengar dan membacanya terus bertindak.

Sesungguhnya doa-doa ini bukanlah hanya sekadar doa yang memohon sesuatu daripada Allah s.w.t oleh orang yang malas bekerja. Tetapi, yang demikian adalah suatu pertolongan yang timbul daripada kebenaran serta keyakinan yang kuat. Maka dengan membacanya, orang bekenaan mampu manghadapi apa jua bentuk persoalan yang datang dalam hidupnya.

Selain daripada itu, doa-doa ini juga adalah suatu sempadan nilai yang sewajarnya menjadi pegangan orang mukmin, iaitu setiap usaha dan pekerjaan yang dilakukan adalah atas dasar iman dan takwa kepada Allah s.w.t.

Diharapkan bertambah baik jiwa seseorang itu, bertambah mantap tekadnya, setelah membaca doa-doa yang mengandungi dorongan dan motivasi ini. Lalu, kerana berkat doa-doa ini, maka semakin baik pulalah amalan agama seseorang dan bertambah baik pula kehidupan duniawinya.

Sesetengah manusia membuat andaian doa sebagai keluh-kesah yang rendah nilainya, lantaran seseorang itu tidak lagi mampu berhadapan dengan cabaran di dalam kehidupannya. Inilah tanggapan mereka yang mengatakan “doa tidak lebih daripada permintaan tanpa disertai usaha”.

Sebenarnya bukan begitu yang dimaksudkan dengan doa-doa yang diajarkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Jika ada orang yang beranggapan sedemikian, maka doa adalah tidak lebih daripada sekadar angan-angan dan khayalan kosong yang diharapkan akan menjadi kenyataan pada satu masa akan datang, sedangkan masa hadapan adalah masih ghaib merentasi waktu dan usia.

Ada pula orang yang beranggapan, mereka yang beriman dan bertakwa adalah mereka yang telah menempah kesusahan dan kemelaratan hidup di dunia.  Alangkah sesatnya anggapan tersebut. Ini adalah suatu penghinaan yang keterlaluan terhadap kemuliaan Islam sebagai agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke muka bumi bagi kepentingan manusia keseluruhannya.

Anggapan yang keliru ini sepatutnya tidak terjadi sekiranya mereka benar-benar memahami ajaran Islam. Bukankah baginda Rasulullah s.a.w sendiri yang sering berdoa dengan doa berikut, “Ya Tuhanku! Perbaikilah urusan agamaku, kerana ia adalah pemelihara setiap urusanku, dan perbaikilah urusan duniaku, kerana di dalamnyalah aku hidup; dan perbaikilah urusan akhiratku, kerana akan ke sana juga aku akhirnya, dan jadikanlah kematian itu sebagai tempat rehat bagiku daripada setiap keburukan.” (Riwayat Tirmizi)

Rujukan: Rahsia Kebahagiaan Menurut Islam (Sheikh Muhammad Al-Ghazali)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 2 Comments

JAWI TRANSLATER Versi 5.0

Sunday, October 10th, 2010 | Author:

Demam hampir seminggu, sangat memeritkan. Namun bila mengingatkan diri pada ujian Allah, terus dihadapi dengan tenang walaupun kadangkala kemalasan meronta-ronta menyebabkan banyak kerja dan urusan tertangguh. Harus berjaga-jaga dengan tahap kesihatan kerana musim yang tidak menentu pelbagai wabak penyakit mudah hinggap, apa lagi jika individu yang lemah ketahanan antibodi.

Tiada entri penting kali ni, hanya sekadar ingin meluahkan rasa kecewa dengan sikap peniaga/usahawan melayu yang tumbuh bagai cendawan di Malaysia ni..

Perniagaan adalah merupakan satu genre yang sangat luas. Perniagaan mampu menjadikan seseorang itu kaya atau muflis. Bergantung kepada apa dan bagaimana bisnes itu dijalankan. Sekarang, dengan kepesatan dunia teknologi yang ada, perniagaan melalui internet menjadi satu cabang perniagaan yang paling menguntungkan (jika betul caranya). Malah jika anda hanya menjual kasut lusuh terpakai pun, ianya mampu mendatangkan keuntungan di internet tanpa perlu membuka gerai di tepi jalan atau pasar malam.

Tapi harus diingat, sebagai seorang muslim, kejujuran dan ketelusan dalam perniagaan perlu sentiasa seiring untuk mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. Rancang perniagaan dengan bijak, jangan sampai pelanggan atau pembeli berasa tertipu dan teraniaya setelah membayar kos untuk memilikinya, tidak kiralah berapa kos yang dibelanjakan.

Saya pernah tertarik dengan satu perisian yang dibangunkan oleh satu syarikat iaitu Next-Q Technologies Sdn. Bhd. Perisian itu dikenali sebagai JAWI TRANSLATER Versi 5.0 yang berfungsi untuk menukarkan teks rumi ke jawi dan teks jawi ke rumi. Setelah membuat bayaran secara online sebanyak RM90, selang beberapa hari perisian tersebut sampai ke alamat rumah saya bersampul dan kandungannya berbentuk CD. Kegembiraan saya mendapatkan perisian tersebut rupanya tidak lama bila sahaja saya mendapati ianya memerlukan nombor kod setiap kali membuat instalasi JAWI TRANSLATER Versi 5.0 ke komputer atau laptop. Malah apa yang lebih mengecewakan ialah apabila kod tersebut mesti diperolehi daripada pihak syarikat tersebut dengan menghantar sms kepada mereka dengan menaip format yang telah ditetapkan.

Kod tersebut hanya boleh digunakan sekali sahaja, dan sekiranya ingin membuat instalasi baru, sekali lagi saya perlu menghantar sms meminta kod baru daripada pihak syarikat tersebut. Malangnya setiap kali memohon kod, kelewatan pihak syarikat membalas sms bersama kod baru sangat lambat sehingga kadangkala memakan masa lebih dari sehari. Bayangkan situasinya jika saya sangat memerlukan atau menggunakan perisian JAWI TRANSLATER Versi 5.0 itu untuk menyiapkan sesuatu kerja.

Dan terbaru, sms saya meminta kod tersebut sudah tidak diendahkan tanpa sebarang balasan. Dan saya tidak dapat lagi membuat instalasi baru JAWI TRANSLATER Versi 5.0 ke laptop setelah laptop saya mengalami masalah Windows dan terpaksa membuat pemasangan Windows semula. Mungkin dengan kaedah kod tersebut membantu pihak syarikat tersebut mengatasi gejala cetak rompak atau penjualan semula, tetapi bagaimana keadaannya kepada pelanggan yang telah membeli (seperti saya) tetapi tidak dapat menggunakan sepenuhnya perisian tersebut? Saya membayar kos RM90 sekadar untuk sewaan atau dihadkan hanya untuk diinstal 2 atau 3 kali sahaja?

Saya telah membuat aduan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui eAduan tetapi setakat ini masih tiada respon.

Ingatlah, jika menghasilkan sesuatu perisian dan menjual, pastikan kaedah untuk mengatasi cetak rompak dilakukan dengan lebih canggih tanpa menyusahkan pelanggan atau pengguna. Halalkah anda menjual sesuatu dan mendapatkan wang hasil penjualan tersebut tetapi menganiaya pengguna atau pembeli? Sebagai seorang muslim, fikir-fikirkan… :(

Category: Perniagaan Internet, Teknologi, Topik Bebas | 5 Comments

Get Adobe Flash player