Home

Archive » September, 2010 «

Kemalangan | Salah Siapa?

Thursday, September 16th, 2010 | Author:

Semalam saya kembali semula ke Kuala Lumpur, bumi pencarian rezeki saya… setelah hampir dua minggu bercuti sempena hari raya. Bertemu keluarga dan sanak-saudara cukup menggembirakan dan penuh bermakna, walaupun sering juga berhubungan melalui kemudahan Facebook, tentunya tidak sama dengan berjumpa dan bersemuka. Tahun ni hari raya yang melakar sejarah bila dapat berjumpa rakan-rakan sekolah menengah setelah berpisah lebih 20 tahun.

Seperti biasa pelbagai gelagat manusia boleh dilihat bila tiba hari raya. Perjalanan balik ke kampung sangat memenatkan bila terpaksa memandu selama 12 jam untuk tiba ke Kelantan, biasanya hanya memakan masa lebih kurang 6 jam saja. Pemandu yang terbiasa dengan sikap kurang ajar masih berkeliaran di jalan raya yang menjadi punca utama kesesakan lalulintas. Secara peribadi saya agak kecewa dengan pihak bertanggungjawab kerana sepanjang perjalanan, saya hanya nampak 2 kali kelibat polis yang meronda, dan tiada seorang pun pegawai polis yang berada di ‘khemah’ atau ‘menara’ yang berada di sepanjang jalan. Terdetik di sudut hati, apa tujuannya diadakan kempen “Ops Sikap”? Adakah hanya menghitung dan melaporkan di kaca TV atau di dada akhbar statistik kemalangan dan kematian sepanjang kempen, lalu menyalahkan sikap pengguna jalan raya?

Antara penyebab utama kesesakan lalulintas ialah kehadiran kenderaan-kenderaan berat seperti lori balak, lori kontena dan seumpamanya. Sikap sesetengah pemandu-pemandu akan berubah bila terjerat dengan kesesakan yang terlampau, akhirnya kesabaran itu akan berubah kepada kemarahan dan kerakusan untuk sampai cepat tiba ke destinasi. Ini akan membuatkan golongan ini memotong kenderaan lain tanpa timbangrasa dan memecut kenderaan selaju-lajunya tanpa memikirkan risiko bahaya kepada diri dan keluarga. Saya sangat hairan, kenapa tempoh larangan kepada kenderaan berat tertentu supaya tidak berada di jalan raya yang berkuatkuasa beberapa hari sebelum dan selepas hari raya, tetapi masih kelihatan banyak lori-lori besar masih beroperasi dan meneruskan perjalanan? Dan tiada penahanan daripada pihak berkuasa, walaupun kesesakan teruk antaranya berpunca dari kenderaan-kenderaan tersebut? Adakah itu hanya sekadar nasihat atau larangan yang mesti dipatuhi?

Meletakkan khemah sementara polis, kon polis dan ‘watak polis trafik berdiri berseragam’ di sepanjang jalan bukanlah lagi satu idea yang baik kerana para pemandu sudah jemu dengan tipu helah sebegitu kerana ianya sudah berlarutan bertahun-tahun. Murid-murid kecil di sekolah pun akan tahu sekiranya guru-gurunya hanya menakut-nakutkan mereka dengan helah yang sama berulang-ulang… inikan pula rakyat Malaysia yang berbagai-bagai watak.

Sebetulnya sikap pengguna jalan raya memang wajar dipersalahkan, tetapi rasanya lebih baik jika pihak berwajib dan bertanggungjawab berusaha melakukan pencegahan terlebih dulu seperti mempastikan lubang dan lopak di jalan raya dibaiki dengan bahan dan kerja yang lebih berkualiti, bukan sekadar menampal lopak yang hanya mampu bertahan selama sebulan atau dua bulan saja.

Ya, bukan semua manusia itu sempurna, tetapi jika masing-masing mainkan peranan dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan sewajarnya.. insya-Allah tentunya Allah akan permudahkan segala urusan bagi kita. ;)

Selamat Hari Malaysia!

Category: Topik Bebas | 4 Comments

Hari Raya | Kepulangan Yang Dinanti

Sunday, September 05th, 2010 | Author:

Sedang saya menaip entri kali ini, takwim hijriah menunjukkan 26 Ramadhan, bermaksud sudah 26 hari kita semua berpuasa. Tentunya malam ini adalah malam ke 27, yang mungkin akan diketemukan dengan Malam Qadar atau disebut Lailatul Qadar, hanya kepada mereka yang mengejarnya. Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” (Riwayat Muslim)

Ada khabar angin tersebar mengatakan bahawa 1 Syawal tahun ini akan disambut pada hari Khamis 30 Ramadhan, apapun tarikh melihat anak bulan dilakukan pada Rabu 29 Ramadhan. Namun perkara ini diperjelaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, beliau mengingatkan bahawa ianya sekadar khabar angin dan tidak semestinya betul… tunggu sahaja pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Beliau beranggapan bahawa khabar angin itu disebabkan ada sesetengah pihak tidak mahu beraya pada hari Jumaat kerana perlu hadir dan melakukan dua solat dan dua khutbah (solat hari raya dan solat Jumaat). Mereka rasa seolah-olah tiada masa dan ruang yang banyak untuk berhari raya.

Anak-anak yang bersekolah telah mula bercuti, tentunya sudah ramai orang yang mendapat cuti awal dan bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya. Tentunya bilangan kenderaan di lebuhraya juga semakin meningkat. Kesesakan pastinya berlaku di mana-mana, terutamanya untuk tempoh seminggu sebelum Idulfitri. Jika bijak merancang perjalanan, tentu anda akan terselamat dari kesesakan yang terlampau. Insya-Allah, saya akan bertolak pulang ke Kelantan pada hari Selasa (kononnya mengharapkan keadaan tidaklah terlalu sesak). ;)

Bagi saya, setiap kali tibanya cuti hari raya, kebimbangan berlakunya kesesakan di sepanjang lebuhraya bukanlah menjadi perkara yang mendatangkan masalah besar. Tapi kebimbangan yang paling besar ialah bila sahaja sampai di kampung. Kita akan menyaksikan kebiadaban sebilangan besar pemandu kenderaan yang mementingkan diri sendiri, tanpa memikirkan kesulitan kepada orang lain. Sepanjang pemerhatian saya setiap kali berhari-raya di kampung, ramai pemandu ‘dari luar’ menunjukkan belang mereka seperti memotong barisan, berhimpit di lorong dan jalan yang sempit, memecut kereta dengan laju walaupun di kawasan kampung, meletakkan kenderaan sesedap rasa tanpa fikirkan tindakannya mungkin mengganggu atau menghalang laluan orang lain dan bermacam-macam kerenah lagi. Perkara-perkara sebegini sangat biasa jika di Kuala Lumpur.

Kesesakan yang ‘amat luar biasa’ ini pasti akan berlaku sepanjang hari raya jika golongan seperti ini masih dengan sikap egonya dan gah dengan kehebatannya semasa berada di bandar-bandar besar seperti KL. Apatah lagi mereka yang berkereta mewah, seolah-olah hanya kereta-kereta seperti mereka sahaja yang layak berada di jalanraya. Saya tidak bermaksud semua, hanya segelintir. Tetapi ibarat kata pepatah, “Disebabkan nila setitik, habis rosak susu sebelanga.”

Jadilah pemandu yang berhemah dan bertimbangrasa. Rancang perjalanan dengan sebaiknya jika anda bukanlah seorang yang penyabar dan berhati perut. Fikirkan orang sekeliling, jika anda mahu cepat sampai ke destinasi, adakah bermakna orang lain tidak perlu sampai cepat ke destinasi yang dituju? Paling menyedihkan jika disebabkan kebiadaban kita, orang lain terpaksa menanggung musibah seperti berlakunya kemalangan yang mungkin mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa, atau setidak-tidaknya kerosakan kenderaan.

Salam Idulfitri, semoga kepulangan anda sentiasa dinanti-nantikan oleh kaum keluarga di kampung dan bukannya dibenci dan dicaci. :D

Category: Topik Bebas | 4 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes