Home

Archive » September, 2010 «

Google | Selamat Hari Lahir

Monday, September 27th, 2010 | Author:

Tahukah anda, hari ini tanggal 27 September adalah HARIJADI Pakcik Google yang ke-12? Kalau di Malaysia, usia seorang budak 12 tahun tentunya baru saja selesai menjawab soalan peperiksaan UPSR minggu lepas. Tapi bagi organisasi besar seperti Google ni, usia tu dah dikira sangat matang dan dewasa. Ada yang tidak sependapat dengan tarikh sebenar harijadi Google ni sebab domain Google didaftarkan pada 15 September manakala Google juga pernah menyambut harijadinya pada 7 September. Yang pasti, logo rasmi Google di laman enjin cariannya hari ini telah bertukar kepada gambar kek yang dihasilkan oleh pelukis terkenal Amerika iaitu Wayne Thiebaud. Siapa yang tidak kenal dengan Google? Malah saya pasti setiap daripada kita mempunyai satu akaun emel Gmail milik Google, kan?

Seperti yang kita telah maklum, Google ditubuhkan oleh Larry Page dan Sergey Brin dan sepanjang 12 tahun penubuhannya, ianya banyak membantu para pengguna Internet, web cariannya berada antara 10 enjin carian terbaik pilihan pengguna internet. Malah Google juga terlibat dalam pembinaan browser Google Chrome yang mula menjadi pilihan ramai, begitu juga kewujudan web Google Map dan perisian mengedit foto iaitu Picasa. Sebenarnya banyak lagi sumbangan Google di arena internet ni, cuma saya je yang tak berkesempatan nak guna semuanya seperti Google Buzz, Google Talk dan sebagainya. Google juga terlibat dalam membangunkan teknologi Android untuk telefon bimbit.

Google telah memperoleh keuntungannya pada tahun 2009 sebanyak US$6.520 billion dan aset keseluruhannya bernilai US$40.497 billion. Pada tahun 2010 setakat ini, jumlah pekerjanya mencecah 21,805 orang (menurut Google Investor Relations. July 15, 2010).

Selamat Harijadi Pakcik Google yang ke-12 (eh, baru 12 tahun, adik la kot.. hehe…) :D

Category: Teknologi, Topik Bebas | 2 Comments

iPhone 4 | Pisang Goreng Panas

Saturday, September 25th, 2010 | Author:

Akhirnya penantian peminat iPhone 4 sejak Jun yang lepas berakhir. iPhone 4 kini telah dua hari berada di pasaran Malaysia. Hanya dua penyedia perkhidmatan komunikasi (Telco) saja di Malaysia ni yang menjual iPhone 4 dengan pelan pakej masing-masing iaitu DiGi Com Bhd dan Maxis Bhd. Celcom nampaknya tak berminat dengan iPhone sebab lebih teruja dan masih setia dengan ‘Blackberry’nya.

Penjualan iPhone 4 di Malaysia telah dimulakan oleh DiGi pada hari semalam (24 September) manakala Maxis akan mula menjual pada 26 September (esok). Jika dilihat pada pelan yang disediakan oleh kedua-dua pihak, nampaknya semacam DiGi memberikan pelan pakej yang lebih baik dan menguntungkan pengguna berbanding Maxis untuk jangkamasa panjang cuma kos harga iPhone  yang ditawarkan oleh DiGi lebih mahal. Tentang coverage  pula susah saya nak bercerita sebab saya salah seorang pengguna Celcom (setakat ni).

Sepanjang petang tadi saya sempat meninjau di beberapa lokasi penjualan atau promosi iPhone 4 oleh DiGi Center dan Maxis Center sekitar Plaza Lowyat, Berjaya Times Square dan The Pavillion Jalan Bukit Bintang.. huh, ternyata iPhone 4 seperti pisang goreng panas. Pusat penjualan iPhone 4 DiGi lebih dikerumuni pengunjung kerana mereka sudah mula menjualnya bermula semalam. Pengunjung yang datang ke Maxis hanya sekadar datang untuk bertanya tentang pelan pakej yang ditawarkan kerana Maxis hanya akan mula menjual iPhone 4 mulai esok, nak buat tempahan pun tak boleh.

Malah saya cuba menghubungi melalui telefon Pusat Khidmat Pelanggan DiGi (sekadar nak tahu lebih lanjut pelan yang mereka tawarkan), mereka memaklumkan bahawa stok iPhone 4 untuk hari ini di pusat penjualan DiGi telah habis seawal jam 1 petang tadi. Hanya beberapa pusat jualan DiGi saja yang masih mempunyai stok sehingga jam 6 petang tadi, tapi stok tersebut hanya diperuntukkan kepada mereka yang telah membeli/mendaftar seawal pagi tadi dan hanya menunggu mendapatkan iPhone 4 mereka untuk dibawa balik. Khabarnya ada yang menunggu seawal jam 6 pagi dan tidur dalam kereta semata-mata nak dapatkan iPhone 4 dan menjadi antara pemilik pertama iPhone 4 di Malaysia. Dahsyat.. ingatkan kat US je macam tu. :D

Harga iPhone 4 tanpa sebarang pelan di Malaysia bernilai RM2690 (kapasiti 32GB) manakala RM2290 (kapasiti 16GB). Jadi kalau nak dapat murah kenalah beli dengan pelan-pelan pakej yang ditawarkan oleh DiGi dan Maxis. Nak dapat lagi murah, beli je kat Singapura.. hehe, murah sikit je.. :) Dulu iPhone hanya ada satu warna saja iaitu hitam, tetapi iPhone 4 didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu hitam dan terbaru putih. Dua-dua pun cantik dan menarik, yang penting spesifikasinya.

Apa yang dibanggakan Apple Inc tentang iPhone 4 berbanding iPhone 3Gs dan lain-lain telefon? Antaranya sudah pastilah resolusinya yang digelar ‘Retina Display’ (paparan resolusi termaju terdapat pada sesebuah telefon), ‘FaceTime’ ketika membuat panggilan video, kamera dengan 5 Megapixels beserta LED flash, kamera depan dengan resolusi VGA, rakaman video berkualiti HD, teknologi terkini 3-Axis Gyro, Apple A4 processor (iOS 4) dan banyak lagi. Malah rekabentuknya bukan lagi melengkung seperti dulu.

Bagi mereka yang berminat, buatlah pilihan yang bijak. Kalau dulu iPhone hanya dimonopoli oleh Maxis, sekarang Maxis sudah ada pesaing iaitu DiGi. Jadi tentunya pelan pakej yang ditawarkan ada yang lebih baik antara keduanya. Bagi mereka yang tidak berminat, tak perlulah nak mencaci dan menghina.. “membazir la”, “tak bagus la”.. orang yang minat dengan dunia teknologi dan gajet sudah pasti punyai alasan dan keinginannya tersendiri. Biarkan…

Category: Teknologi | 4 Comments

Jangan Bersedih

Thursday, September 23rd, 2010 | Author:

Besar sungguh kekuasaan Allah s.w.t. Pelbagai ujian diberi untuk menilai tahap keimanan seseorang. Malah seorang nabi yang maksum juga tetap tidak terlepas daripada pelbagai ujian daripada Allah s.w.t.

Entah kenapa sejak kebelakangan ni hati saya agak kurang tenang. Saya mengandaikan tentunya semua ini adalah ujian Allah kepada saya, cuma saya kurang pasti kenapa. Walaupun ada sesuatu yang sentiasa bermain di fikiran, tapi saya tidak mampu meluahkan kepada sesiapa. Mungkin memikirkan tentang hari tua nanti atau ketentuan hidup yang telah dicaturkan oleh Allah s.w.t.

Tiba-tiba saya teringatkan sebuah buku yang pernah menjadi rujukan dan bacaan satu masa dulu. Saya membuka kembali dan membelek satu-persatu sebuah buku terkenal yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia. Mungkin ramai yang pernah membaca atau setidak-tidaknya melihat di kedai-kedai buku/majalah atau mendengar daripada penceritaan rakan-rakan tentang kebaikan isi kandungan buku ini. Buku yang saya maksudkan ialah “LA TAHZAN” (Don’t Be Sad) atau dalam bahasa Malaysia di ertikan sebagai “JANGAN BERSEDIH” karangan Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni dan telah diterjemahkan semula oleh Noraine Abu. Alhamdulillah, kerisauan dan rasa kurang tenang saya lebih reda sebaik sahaja selesai membaca sepintas lalu isi kandungannya, saya tidak membaca secara keseluruhan kerana ianya pernah saya baca seketika dulu.

Mungkin sekadar perkongsian kepada sesiapa yang tidak berkesempatan memiliki dan membaca buku hebat ini, saya sertakan intisari peringatan-peringatan yang mungkin mampu menenangkan jiwa kita dan menjalani kehidupan sebagai hamba Allah s.w.t yang sentiasa bersyukur dan sabar atas ujian yang diberikan Allah s.w.t. Semoga ianya mententeramkan jiwa walau apa cabaran dan ujian menimpa..

1.      Hikmah adalah barang yang hilang dari kaum muslimin.

2.      Ingatlah akan setiap nikmat Allah.

3.      Sebenarnya anda berada dalam kenikmatan tiada tara dan kesempurnaan tubuh. Anda masih mempunyai nasi hangat untuk disantap, air segar untuk diteguk, waktu yang tenang untuk tidur dan kesihatan untuk terus beramal.

4.      Janganlah lupa mensyukuri yang sudah ada. Anda masih memegang kunci kebahagiaan, kurnia dan kenikmatan.

5.      Selamatkanlah diri anda dari bayangan masa lampau!!

6.      Anggaplah masa hidup anda hanya hari ini sahaja. Berpeganglah pada prinsip : Aku hanya akan hidup hari ini. Nescaya ia akan menyibukkan diri anda untuk selalu memperbaiki keadaan, mengembangkan semua potensi dan mensucikan setiap amalan.

7.      Sempurnakanlah solat anda, berpegang teguhlah pada Al-Quran, mengkaji dan mencatat segala yang bermanfaat.

8.      Tanamlah di dalam hatimu semua nilai keutamaan dan cabutlah segala pohon-pohon kejahatan.

9.      Hiduplah hanya untuk hari ini dengan berbuat baik kepada orang lain dan menunjukkan akhlaq yang baik.

10.  Sucikanlah niat anda dan berbuatlah kebaikan hanya demi Allah semata.

11.  Orang yang pertama kali akan dapat merasakan manfaat dari kebajikan, keramahan dan kebaikan adalah mereka yang melakukannya.

12.  Berbuat baiklah terhadap sesama manusia, mescaya anda akan mendapat ketenteraman dan kedamaian hati.

13.  Sibukkanlah diri anda dengan memberi, mengunjungi, membantu, menolong dan meringankan beban sesama.

14.  Bangkitlah sekarang juga. Kerjakan solat, baca buku, bertasbih, mengkaji, menulis, merapikan tempat kerja,merapikan kamar, dan berbuatlah sesuatu yang bermanfaat bagi orang lain.

15.  Tetaplah berpijak dan berjalan pada kondisi dan karakter anda sendiri.

16.  Berbaik sangkalah kepadaNya. Curahkan seluruh waktu anda untukNya dan beribadahlah kepadaNya dengan tekun agar anda mendapatkan kebahagiaan dan kemenangan.

17.  Orang yang paling sengsara adalah mereka yang miskin iman dan mengalami krisis keyakinan.

18.  Tidak ada yang dapat membahagiakan jiwa, membersihkannya, membuatnya bahagia mengusir kegundahan darinya selain dari keimanan yang benar kepada Allah. Kehidupan anda akan terasa hambar tanpa iman.

19.  Kehidupan yang baik (hayatan thayyibah) adalah kehidupan ada ketenangan jiwa padanya.

20.  Di mana pun kelembutan itu berada, ia akan menghias tempat itu. Kelembutan tutur kata, senyuman tulus di bibir dan sapaan-sapaan yang hangat yang terpuji saat bersua merupakan hiasan-hiasan yang selalu dikenakan oleh orang-orang mulia.

21.  Sifat seorang mukmin umpama seekor lebah; makan dari makanan yang baik dan menghasilkan madu yang baik.

22.  Orang yang dicintai adalah mereka yang mempunyai sifat kedermawanan, kejujuran dalam berjual beli dan keramahan dan sopan santun dalam bergaul.

23.  Sentiasalah berusaha untuk menjadi seorang yang sentiasa dengan senyuman yang merekah, keramahan yang menenteramkan dan sopan santun yang menyejukkan.

24.  Jadilah seseorang yang mudah melupakan kejahatan dan mengingat kebaikan orang lain.

25.  Berzikirlah kepada Allah supaya jiwamu terselamat dari pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan goncangan.

26.  Jalanilah kehidupan ini sesuai dengan kenyataan yang ada. Kendalikan jiwa anda untuk dapat menerima dan menikmatinya.

27.  Segeralah bangkit untuk melakukan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang. Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan Rasulullah s.a.w.

28.  Mintalah pertolongan kepada Allah dengan solat yang khusyuk dan rajinlah mengenal masjid.

29.  Solat lima waktu dapat menebus dosa-dosa, mengangkat martabat di sisi Allah, juga dapat menjadi ubat paling mujarab untuk mengubat kekalutan dan berbagai penyakit yang anda deritai.

30.  Solat mampu meniupkan iman ke dalam hati anda, sehingga anda selalu redha dengan apa yang ditentukan Allah.

31.  Berjalanlah menjelajah negeri menyaksikan taman, kebun, sawah dan bukit-bukit yang indah mempersona. Sesekali bacalah al-Quran di tepi-tepi sungai, di pinggiran hutan yang rimbun, di antara burung-burung yang sedang berkicau atau di depan gemercik aliran sungai. Sesekali berjalanlah menjelajah pelusok negeri untuk mencari ketenangan, bergembira, berfikir dan sekaligus menghayati ciptaan Allah yang sangat luas ini.

32.  Jika anda ingin bahagia, maka terimalah dengan rela hati bentuk perwatakan tubuh yang diciptakan Allah untuk anda, apa pun kedudukan atau keadaan (kondisi) keluarga anda, bagaimanapun suara anda dan apa sahaja yang dikurniakan Allah kepada anda. Hendaklah anda senantiasa tetap merasa senang hati menerima sedikit apa pun yang anda miliki dan rela dengan sesuatu yang tidak anda miliki. Terimalah setiap pembahagian Allah dengan penuh kerelaan hati.

33.  Senantiasalah memanfaatkan setiap pemberian Allah di jalan yang benar. Jadikan umur, waktu dan kemampuan atau keterampilan anda penuh dengan keberkatan.

34.  Ketahuilah bahawa harga diri anda ditentukan oleh kemampuan, amal soleh, kemanfaatan, dan akhlak anda.

35.  Jika anda dilanda kesedihan dan merasai penderitaan, maka ingatkan diri anda pada kenikmatan syurga yang lebih kekal abadi, nescaya anda akan mampu merubah setiap kesediahan dan penderitaan menjadi nikmat.

36.  Orang yang paling berakal adalah orang yang sentiasa melakukan sesuatu untuk akhirat. Dan sesungguhnya akhirat itu lebih baik dan kekal abadi.

37.  Barangsiapa yang menginginkan kebahagiaan, hendaklah sentiasa mengendalikan setiap perasaan dan keinginannya, hendaklah bersikap adil dan menghindari tindakan berlebihan dan  kezaliman.

38.  Manusia yang paling sengsara adalah mereka yang hanya mengikuti hawa nafsu dan menuruti setiap dorongan emosi serta keinginan hatinya.

39.  Usirlah kesedihan yang melanda diri anda dengan senantiasa melawannya dengan doa-doa.

40.  Hendaklah anda mempunyai hati yang selalu lapang dan diliputi keredhaan, wajah yang selalu dihiasi senyuman, dan kehidupan yang selalu dihiasi dengan kegembiraan. Jadilah seorang yang ramah dan murah senyum kerana Rasulullah s.a.w salah satu gelarannya adalah ‘seseorang yang murah senyuman’.

41.  Selamatkanlah diri anda dari segala bentuk hawa nafsu yang membinasakan.

42.  Beristi’azahlah (memohon perlindungan) kepada Allah dari segala kesedihan, memohon kepada Allah agar selalu diberi kehidupan yang baik dan diredhai, kejernihan hati dan kelapangan fikiran. Pohonlah kepada Allah agar melapangkan hati kita dengan cahaya iman, menunjukkan hati kepada jalanNya yang lurus dan menyelamatkan kita dari kehidupan yang susah dan menyesakkan.

43.  Senyumlah! Abu Darda’ berkata, “Sesungguhnya aku akan ketawa untuk membahagiakan hatiku. Dan Rasulullah s.a.w sendiri sesekali tertawa hingga tampak gerahamnya.”

44.  Tertawa merupakan puncak kegembiraan, titik tertinggi keceriaan, dan hujung rasa sukacita. Senyummu di depan saudaramu adalah sedekah. Salah satu nikmat Allah kepada penghuni syurga adalah tertawa.

45.  Orang yang murah senyum dan selalu nampak ceria merupakan petanda kelapangan dada, kedermawanan sifat, kemurahan hati, kewibawaan perangai dan ketanggapan fikiran.

46.  Buanglah dari diri anda sikap muram durja dan muka masam kerana ia adalah cermin dari jiwa yang kacau, fikiran yang berkecamuk dan kepala yang berserabut.

47.  Orang yang murah senyum dalam kehidupan ini adalah orang yang mampu membahagiakan diri sendiri, orang yang paling sanggup memikul amanah dan tanggungjawab, orang yang mampu menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan, dan orang yang paling dapat menciptakan hal-hal yang bermanfaat bagi dirinya sendiri dan orang lain.

48.  Berusahalah menjadi seorang yang mampu menjadikan setiap sesuatu sebagai sumber kebahagiaan.

49.  Tanamkan kebiasaan bersikap ramah dan murah hati dalam diri kerana sebaik-baik tujuan hidup adalah berusaha menjadi sumber kebaikan kepada masyarakat. Milikilah hati yang penuh dengan empati, simpati, kasih sayang, rasa perikemanusiaan, serta merasa senang berbuat baik kepada sesiapa saja yang berhubungan dengan anda.

50.  Jauhi dari penyakit rendah diri yang mematikan jiwa.

51.  Sesungguhnya manusia sangat perlukan pada senyuman, wajah yang selalu berseri, hati yang lapang, akhlak yang menawan, jiwa yang lembut dan pembawaan yang tidak kasar.

52.  Ilmu adalah sebuah nikmat. Bila anda ingin senantiasa bahagia, tuntutlah ilmu, galilah pengetahuan, dan raihlah pelbagai manfaat, nescaya semua kesedihan, kepedihan dan kecemasan itu akan sirna (lenyap).

53.  Di antara kenikmatan terbesar adalah kegembiraan, ketenteraman dan ketenangan hati. Kegembiraan merupakan seni yang dapat dipelajari. Adapun modal utama untuk meraih kebahagiaan adalah kekuatan dan kemampuan diri untuk menanggung beban kehidupan dan tidak pernah memikirkan hal-hal kecil yang remeh.

54.  Salah satu seni untuk mendapatkan kegembiraan adalah bagaimana mengendalikan dan menjaga fikiran ke arah yang baik dan pada perbuatan yang bermanfaat.

55.  Sesiapa yang menginginkan kepuasan, semangat yang selalu baru dan produktif, maka ia harus pandai membahagikan waktu kerana tabiat dasar manusia adalah tidak suka berada dalam satu keadaan yang sama.

56.  Sabda nabi s.a.w: “Kejarlah apa yang bermanfaat untukmu, dan mintalah pertolongan kepada Allah. Jangan mudah menyerah dan jangan pernah berkata, ‘Kalau saja aku melakukan yang begini pasti akan menjadi begini.’ Tapi katakanlah, ‘Allah telah mentakdirkan, dan apa yang Dia kehendaki pasti akan Dia lakukan’.”

57.  Kebahagiaan seseorang akan menjadi semakin bertambah, berkembang dan mengakar apabila ia mampu mengabaikan semua hal-hal remeh yang tidak berguna. Kerana orang yang bercita-cita tinggi adalah orang yang lebih memilih akhirat.

58.  Gunakanlah waktu sebaik-baiknya, dan jangan biarkan ada satu minit pun yang terbuang sia-sia. Oleh itu, hendaklah anda senantiasa bergerak, bekerja, mencari, membaca al-Quran, bertasbih, menulis atau mengunjungi sahabat.

59.  Niatkan semua amal perbuatan anda hanya kerana Allah semata dan jangan pernah mengharapkan terima kasih dari orang lain.

60.  Jangan pernah membalas cercaan atau senda gurau yang melukai hati anda. Kesabaran anda akan dengan sendirinya mengubukan semua kehinaan.

61.  Kesabaran adalah sumber kemuliaan, diam adalah sumber kekuatan untuk mengalahkan musuh dan memaafkan adalah sumber dan tangga untuk mencapai pahala dan kemuliaan.

62.  Kehidupan anda adalah cerminan dari apa yang anda fikirkan.

63.  Berbuat baik untuk dan kepada orang lain merupakan jalan lebar menuju kebahagiaan.

64.  Beruzlahlah dari segala bentuk kejahatan dan kemubahan (was-was) yang berlebihan kerana ia akan membuat dada menjadi lapang dan mengikis semua kesedihan.

Setiap kesulitan pasti ada kesenangannya. Alhamdulillah, mudah-mudahan kerisauan dan kesedihan akan hilang jika hati sentiasa bersama dengan Allah s.w.t. Insya-Allah.

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 4 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes