Home

Archive » August, 2010 «

Kemerdekaan | Sudahkah Kita Merdeka?

Tuesday, August 31st, 2010 | Author:

Alhamdulillah, walaupun Jalur Gemilang dibakar, diludah, dipalit najis dan dipijak-pijak dengan hina oleh segelintir daripada umat manusia yang bodoh di Indonesia, hari ni laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! tetap berkumandang di Malaysia. Laungan itu bukan sahaja terpacul dari mulut warga tua yang pernah merasai perit perjuangan mencapai kemerdekaan, malah ianya juga dilafazkan dengan penuh bangga oleh anak-anak kecil dan para remaja yang baru mengenal erti kehidupan.. bersama kibaran Jalur Gemilang yang cukup indah dan berwarna-warni.

Mengikut Kamus Dewan, perkataan “MERDEKA” didefinisikankan sebagai bebas (daripada penjajah, kurungan dan lain-lain), lepas (daripada tebusan, tuntutan), berdiri sendiri tidak bergantung kepada orang lain. Kebanyakan daripada kita lebih memahami bahawa kemerdekaan hanyalah sebagai memperingati ulangtahun kejayaan negara membebaskan diri daripada belenggu penjajahan, tapi ramai antara kita yang kurang sedar bahawa sebenarnya hanya negara kita yang merdeka daripada penjajahan oleh negara lain dan bukannya kepada rakyat secara keseluruhannya.

Cuba lihat di laman-laman sosial seperti Facebook dan Myspace milik anak-anak kita (sama ada yang masih bersekolah rendah, menengah atau universiti), masih ramai yang berbahasa kurang ajar, kasar, lucah dan melampau yang langsung tidak mencerminkan ‘pemuda/pemudi harapan bangsa’. Itu baru dikira berdasarkan bahasa penulisan/perbualan sembang mereka. Dan bagaimana pula halnya jika melihat kepada koleksi foto-foto yang dipaparkan, dengan aksi keterlaluan, berpakaian seksi dan menonjolkan batas pergaulan antara lelaki/perempuan yang tidak mencerminkan ketimuran, apatah lagi keislaman.

Merdekakah kita jika syarikat-syarikat penyiaran masih menghidangkan rancangan-rancangan hiburan yang meniru propaganda kebaratan seperti munculnya Malaysian Idol dan lain-lain lagi? Atau adakah acuan hiburan di Malaysia ini menepati budaya kita di Malaysia? Atau… adakah sebenarnya Malaysia tiada budaya sendiri yang boleh dibanggakan?

Merdekakah kita jika masih ramai rakyat Malaysia yang berstatus ‘warganegara’ sendiri masih mempertikaikan tentang hak dan mencetuskan isu sensitif seperti perkauman? Mereka inilah yang masih tidak tahu berterima kasih dan bersyukur atas kenikmatan yang dicapai. Dan dengan bangganya mengatakan dia seorang yang patriotik. :D

Dan bukan merdeka namanya jika ramai antara kita yang masih bertelagah sesama agama dan bangsa sendiri hanya semata-mata mengejar kepentingan sendiri dan kedudukan politik, tanpa memikirkan ke mana sebenarnya hala tuju anak bangsa yang perlu dipimpin. Belum reda kisah dadah dan rempit, kita digemparkan pula dengan fenomena sezaman jahiliyah iaitu pembuangan dan pembunuhan bayi.

Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya: “Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu melakukan solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda. Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda: ”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan). Permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Tapi permohonan ini tidak diperkenankan.”

Mungkinkah satu hari nanti, erti kemerdekaan hanya terletak pada tarikh 31 Ogos setiap tahun sahaja tanpa dihayati apakah sebenarnya erti kemerdekaan dalam kehidupan dan memartabatkan agama, bangsa dan negara?

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke 53, semoga usia itu menjanjikan kematangan kepada rakyat dan negara Malaysia.

Gambar di atas kredit buat Wazari

Category: Topik Bebas | 2 Comments

Bakar Jalur Gemilang | Rendahnya Mentaliti

Friday, August 27th, 2010 | Author:

Pejam celik pejam celik rupanya sudah lebih separuh Ramadhan umat Islam melaluinya. Alhamdulillah, moga-moga bakinya dapat dinikmati dengan penuh penghayatan, terutamanya menempuh 10 malam terakhir Ramadhan nanti.

Dalam keghairahan umat Islam seluruh dunia menghayati nikmat bulan yang berkat ini, rupanya ada pula segelintir manusia di Indonesia yang tidak pernah habis dengan isu tidak puas hati dan memusuhi Malaysia. Sampai bila agaknya nak selesai ni? Apa lagi yang tak puas hati?

Bila membaca akhbar dan menonton berita di tv beberapa hari ni, hati yang tenang sempena Ramadhan ni jelas terguris dan mengundang kemarahan dengan sikap ‘kurang diajar’ segelintir makhluk manusia di Indonesia, yang bukan sahaja menyerbu dan mengancam Kedutaan Malaysia di sana, malah membakar bendera atau Jalur Gemilang secara terang-terangan. Adakah ini satu ruang menguji tahap kesetiaan rakyat Malaysia dan kecintaannya kepada negara? Apatah lagi bila saat dan detik menjelangnya 31 Ogos kian hampir, saat seluruh rakyat Malaysia bakal melaungkan kalimah keramat ‘Merdeka’? Akhir-akhir ini kerajaan Malaysia agak risau kerana semangat rakyat Malaysia seakan luntur untuk menghayati dan menyambut kemerdekaan tahun ini, tapi apakah mungkin ‘kelakuan jelek’ sebilangan kecil rakyat Indonesia itu mampu mencuit dan membakar semula semangat kecintaan dan keluhuran rakyat Malaysia kepada negaranya.

Sepatutnya bulan Ramadhan ni disucikan dengan sifat ketenangan, kesabaran dan bertoleransi. Itu antara hikmahnya Ramadhan. Bukannya satu tindakan bijak dengan melontarkan najis, membakar bendera atau mengugut mencukur kepala rakyat Malaysia di sana kemudian menghantar balik ke Malaysia. Bukankah ramai juga rakyat Indonesia yang mencari rezeki di Malaysia, sama ada secara sah atau secara haram? Apakah rakyat Malaysia akan hilang kehidupan atau mundur jika tiadanya rakyat Indonesia bekerja di Malaysia?

Jadilah bangsa yang bermaruah dan beretika.. jangan pamerkan mentaliti yang rendah yang bakal mencemarkan nama negara dan keluarga sendiri. Layanan emosi tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

Gambar di atas kredit buat Wazari

Category: Topik Bebas | 5 Comments

Ramadhan | Suburkan Ia Dengan Ibadah

Saturday, August 14th, 2010 | Author:

Sudah 4 hari kita berpuasa. Sedar tidak sedar, bulan Ramadhan telah kembali. Terasa baru saja ia ditinggalkan dengan pelbagai kekurangan amalan yang dilakukan untuk mengisinya, dan alhamdulillah ianya datang lagi. Apakah yang mahu dilakukan untuk mengsi Ramadhan kali ini, apakah kita hendak mengulangi kekurangan-kekurangan bulan Ramadhan yang lepas, dan bagaimana pula kita berazam untuk melakukan ibadah kita di bulan mulia ini?

Allah s.w.t telah berfirman: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan yang salah).” (Al-Baqarah:185)

Mungkin, tahun yang lepas tadarus al-quran kita tak habis-habis untuk dikhatamkan, solat tarawih juga masih tersangkut-sangkut, amalan sunat masih banyak yang tak terlaksana dan banyak lagi yang belum dibuat ataupun terus dilalaikan.

Persoalan ini tentu saja merupakan sebahagian dari muhasabah  seorang muslim ke arah yang lebih baik untuk menghidupkan roh Islam dan iman dalam diri masing-masing. Begitu juga puasa Ramadhan, oleh kerana Allah s.w.t menjadi satu-satunya tujuan dan matlamat kita, maka menjadi kemestian kepada kita untuk menjadikannya sebagai keutamaan dalam setiap aktiviti yang dilakukan terutamanya pada bulan Ramadhan al-Mubarak.

Bulan Ramadhan yang sarat dengan janji pahala, keberkatan dan keampunan adalah satu peluang yang tak sepatutnya untuk disia-siakan begitu saja. Ibarat seorang peniaga yang sedar masanya untuk mengaut keuntungan yang berganda-ganda, maka seorang muslim pun akan berlumba untuk meraih untung yang luar biasa dalam ibadahnya. Dia akan memilih dan menilai pula mana-mana barang perniagaan yang akan memberikan untung besar ketika ia dijual, begitu juga seorang muslim akan menumpukan perhatian untuk mengetahui mana aktiviti atau amalan-amalan yang akan menyebabkan dia memperolehi ganjaran pahala yang banyak.

Antara keistimewaan bulan Ramadhan berbanding bulan yang lain ialah:

• Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada haruman minyak kasturi.
• Para malaikat memohonkan keampunan bagi orang yang berpuasa hingga waktu dia berbuka.
• Setiap hari bulan Ramadhan Allah menghiasi syurga-Nya sambil berkata: “Hampir tiba saatnya para hamba-hambaku yang soleh melepaskan segala beban dan gangguan serta segera menuju engkau (Syurga)!”
• Para iblis dan syaitan dibelenggu.
• Dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka.
• Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
• Akan diberi pengampunan bagi orang yang berpuasa pada malam terakhir bulan Ramadhan.
• Allah membebaskan hamba-Nya dari neraka pada setiap malam bulan Ramadhan.

Sebagai seorang muslim, beberapa amalan yang mesti menjadi keutamaan di dalam meniti bulan Ramadhan ini, di antaranya ialah:

1. Memperbanyak sedekah yang merupakan sebuah amalan yang mulia – Di bulan Ramadhan, amalan yang satu ini perlu untuk diperbanyakkan, sesuai dengan hadis Nabi s.a.w, “Rasulullah s.a.w pernah ditanya, sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab, seutama-utama sedekah adalah sedekah yang dilakukan di bulan Ramadhan” (Riwayat Tirmidzi, Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah). Bahkan baginda sendiri sangat terkenal sebagai orang yang sangat dermawan, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w itu lebih pemurah dibandingkan dengan angin berhembus. Dan lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan.” (Riwayat Tirmidzi).

2. Solat malam secara berjemaah (tarawih & qiamullail) – Berkaitan dengan solat malam secara berjamaah ini rasul kita menyatakan, “Barangsiapa yang solat malam bersama imam hingga selesai solatnya, akan dituliskan baginya pahala solat sepenuh malam untuknya.” (Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibn Majah). Hadis ini memberitakan tentang keutamaan solat malam secara berjamaah di bulan Ramadhan melebihi solat malam sendirian yang panjang. Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang menunaikan qiamullail pada bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

3. Memperbanyakkan bertadarus atau membaca Al Quran – Nabi s.a.w  memperbanyakkan bacaan al-qurannya di bulan Ramadhan, sementara malaikat Jibril menyemak bacaan beliau, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari. Al Quran yang diturunkan berfungsi sebagai syifa (penawar) dan petunjuk bagi orang beriman dan ianya sangat penting untuk dihayati. Maka Ramadhan adalah waktu yang tepat untuk mula menghayati al-quran. Peruntukan waktu yang khusus untuk membacanya di antara waktu-waktu kesibukan tugasan kita yang lain. Dan pelajari pula kandungan isinya dengan tafsir-tafsir yang ada (seperti tafsir Ibnu Katsiir, tafsir at-Tabari, Adwaul Bayan dan kitab-kitab tafsir lain yang ditulis oleh para ulama). Di samping itu praktikkan ia dalam kehidupan kita sehari-hari.

4. Beriktikaf – Iktikaf maksudnya berdamping diri di masjid untuk beribadah kepada Allah Taala. Nabi Muhammad s.a.w selalu melakukan amalan ibadah ini pada setiap 10 hari yang terakhir di bulan Ramadhan hingga beliau wafat. Terdapat hadis tentang iktikaf ini yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, “Nabi s.a.w dahulu beriktikaf setiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari . Namun pada tahun baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari.” Sunnah ini pun dilaksanakan juga oleh isteri-isteri nabi dan tentu ini pun sunnah yang sesuai bagi muslimah, asalkan ianya masih dalam batasan syariat dan terhindar dari fitnah.

5. Mengerjakan umrah ke Baitullah (bagi yang mampu) – Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari: “Sesungguhnya ganjaran umrah di bulan Ramadhan, sama dengan ganjaran melaksanakan haji bersamaku.”

6. Memperbanyakkan amalan-amalan akhirat – Bermacam-macam amalan kebajikan perlu disuburkan di bulan Ramadhan. Contoh beberapa amalan yang sebaiknya diamalkan di bulan Ramadhan ialah berdoa, istighfar, mempereratkan silaturahim, bertasbih dan setiap amalan yang telah dikenal sebagai amal kebajikan, sama ada yang berkaitan dengan individu atau kemasyarakatan.

Inilah beberapa aktiviti yang boleh kita jadikan keutamaan untuk mewarnai ibadah sepanjang Ramadhan ini. Semoga Ramadhan kali ini memberi erti yang besar dalam ibadah kita. Insya-Allah.

Category: Islam | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes