Home

Archive » June, 2010 «

Caj Paypal (Paypal Fees) Untuk Pengguna Malaysia

Monday, June 28th, 2010 | Author:

Pernah anda dengar berkenaan akaun Paypal? Kita sering mendengar orang berbicara mengenai Paypal dan perlu menggunakannya. Persoalannya, mengapa perlu menggunakan Paypal (memiliki akaun Paypal)?

Baiklah, di sini saya senaraikan di antara kelebihan atau kebaikan memiliki akaun Paypal (yang verified):

1. Boleh menerima bayaran daripada pelanggan dari seluruh dunia. Anda tidak akan dapat kelebihan ini jika hanya menggunakan akaun bank sahaja untuk menerima bayaran bagi jualan anda di Internet. Akibatnya, hilang pelanggan berpotensi!

2. Cajnya rendah. Tiada yuran setup dan tiada bayaran tahunan atau bulanan seperti mana perkhidmatan yang lain. Di Paypal, anda hanya dicaj apabila menerima bayaran sahaja dan apabila mengeluarkan wang ke akaun bank anda.

3. Cepat digunakan. Untuk membuka akaun, dalam beberapa minit sudah siap. Berbeza dengan aplikasi lain, ia mengambil masa untuk setup itu dan ini. Malah, Paypal juga menyediakan kemudahan untuk membuat “Button Buy” yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja walau tiada kemahiran IT yang tinggi.

4. Kredibiliti. Paypal adalah di antara payment processor Online yang terbaik di Internet. Ia digunakan oleh kebanyakan pihak perniagaan dan individu. Jika anda meletak pilihan bayaran melalui Paypal, pembeli anda tidak akan meragui proses pembelian melalui kad kredit mereka. Selamat dan dipercayai.

5. Boleh berniaga di Ebay. Tidak menggunakan akaun Paypal untuk berniaga di Ebay umpama tidak cukup syarat berbisnes di Ebay. Paypal adalah milik Ebay. Pada tahun 2010, pihak Ebay telah menambah fungsi di Ebay.com.my iaitu peniaga di Ebay Malaysia boleh menerima bayaran melalui Paypal.

Itulah dia di antara sebab mengapa kita memilih Paypal berbanding perkhidmatn yang lain. Tidak dinafikan kemudahan lain juga ada kelebihan masing-masing. Maka begitu juga Paypal, ia juga ada kelebihan sendiri.

Sebagai pengguna Paypal (terutama penjual), mengetahui jumlah caj yang dikenakan oleh Paypal adalah satu perkara yang penting. Di dalam artikel ini, saya akan berikan contoh caj yang dikenakan terhadap pengguna Malaysia. Walaupun kita boleh melihat jumlah caj pada paparan statement transaksi di akaun kita, namun sebaiknya sebelum kita mula menjual produk, kita sudah tahu paling kurang purata caj yang akan dikenakan.

Secara asasnya, formula caj oleh Paypal untuk pengguna dari Malaysia adalah:

A. Bayaran dalam nilai USD daripada pembeli Malaysia: 3.4% + $0.30

B. Bayaran dalam nilai USD daripada pembeli luar negara: 3.9% + $0.30

Contoh Kes A:
Jualan berharga $20.00 USD yang dibayar oleh pembeli Malaysia. Maka caj yang dikenakan adalah: (3.4% x $20) + $0.30 = $0.98

Contoh Kes B:
Jualan berharga $20.00 USD yang dibayar oleh pembeli luar Malaysia. Maka caj yang dikenakan adalah: (3.9% x $20) + $0.30 = $1.08

Pembeli (pengguna Paypal) dari Malaysia bermaksud mereka mendaftar akaun Paypal menggunakan alamat negara Malaysia. Begitulah sebaliknya bagi pembeli luar negara.

Paypal telah menyokong nilai matawang Malaysia iaitu Ringgit Malaysia. Jadi, apabila kita menerima bayaran atau wang dalam nilai RM daripada pembeli dalam Malaysia, maka cajnya adalah: 3.4% + RM2.00

Jika pembeli daripada luar Malaysia, maka formula cajnya adalah: 3.9% + RM2.00

Sebagai penjual (jika anda menjual), anda boleh tentukan untuk menerima bayaran dalam nilai matawang tertentu. Dan setiap jenis matawang, ia punyai kadar caj tersendiri seperti mana di atas.

Sebagai peringatan, formula caj di atas akan berubah mengikut jumlah wang yang anda terima. Untuk mengetahui julatnya, anda boleh merujuk di laman web Paypal:

www.paypal.com

Semoga penerangan ringkas di sini memberikan sedikit sebanyak penjelasan. Oh ya, antara soalan popular berkaitan Paypal adalah kad debit. Soalan ini biasanya ditanya oleh mereka yang baru ingin mendaftar kad debit bagi tujuan pendaftaran akaun Paypal.

Di sini, saya senaraikan beberapa kad debit cadangan. Anda boleh pilih mana yang mampu, sesuai dan yang diminati…

Kad Debit-Akaun:
Untuk memiliki kad-kad di bawah, anda perlu membuka akaun di bank berkaitan. Seeloknya, buka akaun Islamik agar lebih berkat usaha perniagaan kita.

1. Maybankard Visa Debit

2. EONCAP Islamic Debit Mastercard

3. Public Bank Day2Day Visa Debit Card

Prepaid Card:

1. MOL Freedom Prepaid Mastercard
2. TuneMoney Visa Prepaid Card
3. Ambank NexG Prepaid Mastercard

Perlu dimaklumi bahawa, setiap kad sama ada kad debit atau prepaid, ia mempunyai prosedur masing-masing. Rujuk laman web mereka atau hubungi terus pihak berkaitan. Saya lebih sarankan anda menggunakan kad debit Maybank (keluaran baru itu) kerana ia lebih mudah, cepat dan mudah berbanding kad-kad lain.

Untuk memudahkan anda, dapatkan ebook panduan Paypal yang dihasilkan oleh Saudara Mohd. Zulfadli dan juga kad debit Maybank. Semasa mendaftar kad debit maybank, setkan nilai had pembelian (spending limit) yang rendah sahaja seperti RM50 hingga RM500. Tidak perlu banyak-banyak. Selepas ada dua perkara ini, bolehlah mula daftar akaun Paypal.

Belum memiliki akaun Paypal? Tidak perlu pening kepala bertanya di sana sini atau mencari informasi dengan sendiri di internet. Panduan berikut ini boleh membantu anda:

Ebook Panduan Akaun Paypal – Klik di sini

Saya yakin, ebook tersebut dapat memberi penjelasan secara terperinci kepada anda tentang Paypal dan fungsinya. Mulakan langkah anda untuk merasai kecanggihan dunia teknologi yang ada.. dan segalanya akan menjadi mudah bagi anda. Jumpa lagi… ;)

Category: Perniagaan Internet, Teknologi | Leave a Comment

Aqidah & Kebahagiaan Hakiki

Saturday, June 26th, 2010 | Author:

Siapa pun kita, sebagai muslim, tentu biasa mendengar tentang perkataan ‘aqidah’. Di mana-mana tempat bila berbicara berkaitan agama, pastinya perkataan ini disebut. Bahkan aqidah adalah satu tonggak kekuatan dalam Islam.

Bilal bin Rabah adalah seorang manusia berkulit hitam merupakan hamba kepada seorang yang berbangsa Quraisy bernama Umayyah. Ketika permulaan perkembangan Islam, Bilal merupakan salah seorang yang telah diberi hidayah oleh Allah untuk merasai nur Islam. Beliau bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang sebenar kecuali Allah S.W.T. Hari demi hari imannya semakin kuat dan benih Islam semakin subur di hati beliau.

Sedangkan tuannya Umayyah ketika itu masih dalam kekafiran dan kejahilan. Bilal dipaksa untuk kembali kepada agama nenek moyang iaitu penyembahan berhala. Iman yang teguh di dalam jiwa Bilal membuatnya berani menghadapi berbagai siksaan yang kejam oleh Umayyah. Bilal dijemur di tengah terik matahari padang pasir, ditindih dadanya dengan batu besar dan disiksa dengan berbagai siksaan lain. Tapi ketika diuji dengan siksaan itu, hati beliau merasakan sejuknya sebuah keimanan, sehingga seringkali beliau menyebut… Ahad (Allah Maha Esa)… Ahad..

Kenapa Bilal dan para sahabat yang lain begitu berani dan sanggup menghadapi pelbagai ujian dan siksaan yang seberat itu? Jawapannya adalah kerana mereka telah mendapatkan sebuah kebahagiaan yang hakiki. Kebahagiaan yang tidak banyak difahami oleh sebahagian besar manusia. Manusia sering menyebut bahawa kebahagiaan itu adalah kekayaan yang melimpah, rumah yang cantik, kenderaan yang mewah dan mempunyai segala kemewahan dunia.

Betullah, memang itu semua adalah sebahagian mengecapi kebahagiaan di dunia, tapi dalam kehidupan, kita banyak melihat manusia yang mempunyai segala kemewahan dunia seperti yang diimpikannya masih tetap hidup dalam kesempitan, tidak tenang, sentiasa stress, bahkan ada yang berakhir dengan tindakan membunuh diri.

Mungkin ada pula yang akan bertanya, kalau nak menikmati bahagia perlu meninggalkan urusan dunia, hidup miskin, mengembara, tak payah ada isteri dan keluarga? Itu juga bukan sebuah kebahagiaan yang sebenar, sebab kebahagiaan boleh dinikmati oleh siapa saja sama ada dia kaya atau miskin, tua atau muda.

Para ulama mendefinisikan kebahagiaan itu dengan ketenangan hati, berlapang dada dan rasa cukup dengan pemberian atau anugerah Allah S.W.T. Itulah kebahagiaan yang sebenar dan segalanya hanya boleh dikecapi dengan keimanan yang teguh kepada Allah S.W.T, sabda Nabi S.A.W, “Sungguh menghairankan orang mukmin, kerana setiap perkara akan baik baginya, apabila dia mendapatkan kenikmatan maka dia bersyukur dan itu baik baginya, dan apabila ia mendapatkan musibah maka dia bersabar maka itupun baik baginya.” (HR Bukhari)

Inilah peranan keimanan atau aqidah yang sebenar yang menganugerahkan seseorang manusia kepada kebahagiaan yang sebenarnya. Di dunia ni memanglah tidak pernah sepi dari kesedihan dan kesenangan, kemudahan dan kesukaran. Cara menghadapi perkara tersebut seseorang insan muslim yang beraqidah akan selalu berani menghadapi rintangan kehidupan. Macam-macam musibah seperti kekurangan harta, kekurangan jiwa (kematian anak atau keluarga), kekurangan bahan keperluan, pakaian atau ancaman, insya Allah semua ini akan mampu diatasi dengan keberanian dan redha. Dalam hatinya dipenuhi rasa berharap kepada Allah S.W.T, kebergantungan kepada Allah, tawakal, sabar dan redha terhadap ketentuan Allah S.W.T. Walaubagaimana situasinya, tak goyah imannya dengan ujian-ujian tersebut bahkan semakin teguh, mendorongnya untuk lebih dekat kepada Allah dan mengikhlaskan doa hanya kepada Allah semata-mata. Sabda nabi S.A.W, “Apabila engkau meminta maka mintalah kepada Allah dan apabila engkau memohon pertolongan maka mohonlah kepada Allah.” (HR Tirmidzi)

Ketika itulah akan bertambahnya ketenangan dan kebahagiaan di dalam hati, kebahagiaan itu takkan dirasai oleh mereka yang tak kenal Tuhannya. Firman Allah Taala: “Apabila Allah menimpakan bahaya kepadamu maka tidak ada yang mampu mengangkatnya kecuali Dia (Allah).” (Al An ‘am)

Ini berbeza dengan mereka yang lemah aqidah dan imannya. Ujian yang datang sering membuatnya resah, putus asa, menyalahkan takdir atau kadangkala lemah kepercayaan dan keyakinan kepada Allah seperti mula meminta bantuan yang bersifat paranormal atau jin.

Orang yang beraqidah akan menjadikan peribadinya penuh dengan keindahan, kerana dia jelas dengan tujuan hidupnya seperti ke mana halatujunya, untuk apa dan mengapa dia hidup di dunia. Maka ini bermaksud jelaslah arah perjalanan dia. Dia sangat pasti untuk melangkah dan tak ragu-ragu untuk menjalani kehidupan. Dia sangat paham dengan tujuan hidup dia. “Tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu.” (Adz Dzariyat: 56)

Dia hanya mengharapkan redha Allah S.W.T, bukan kepada yang lain. Fikirannya pun tidak bercabang, hanya satu saja. Berbeza dengan mereka yang ada banyak kepercayaan sehingga tak tahu tuhan mana yang harus dia cari redhanya. Nabi Yusuf pernah berkata kepada dua sahabatnya di penjara, “Wahai penghuni penjara, apakah Tuhan-Tuhan yang banyak itu lebih baik ataukah Allah Yang Maha Esa dan Maha berkuasa.”

Di negara-negara maju, yang majoriti penganutnya bukan beragama Islam, ramai yang bertindak membunuh diri kerana kecewa dalam hidup. Mereka tidak ada tujuan hidup yang jelas, sentiasa persoalkan ke mana arah tuju kehidupannya, kenapa dia dilahirkan dan bagaimana nak meneruskan hidup. Kesimpulannya ialah mereka tidak kenal cahaya Islam dan aqidah Islam yang sebenar. Carilah nilai-nilai kesempurnaan Islam yang diteguhkan dengan aqidah, sudah tentu kita akan capai kebahagiaan dunia dan akhirat, insya Allah. Wallahuallam. :)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Vuvuzela | FIFA World Cup 2010 South Africa

Wednesday, June 16th, 2010 | Author:

FIFA World Cup 2010 Afrika Selatan masih lagi menjadi tumpuan dunia, dan hari ini melibatkan pasukan kegemaran saya, Brazil yang bakal turun ke padang buat kali pertama bertemu dengan pasukan Korea Selatan dalam Kumpulan G. Sukar diramal berdasarkan keputusan perlawanan kerana setakat ini beberapa pasukan hebat yang telah beraksi diberi tentangan sengit oleh lawan masing-masing. Walauapapun, kemenangan pasukan Jepun ke atas Cameroon cukup membanggakan. ;)

Sepanjang menyaksikan perlawanan (malah di setiap perlawanan), pastinya kita akan dibingitkan dengan satu bunyi dan suara yang kurang menyenangkan di mana-mana stadium. Dan bunyi itu tentunya dari corong trompet yang dikenali sebagai ‘Vuvuzela’ atau ‘Lepatata’ (seperti gambar di atas). Selalunya ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Eropah kita akan dihiburkan dengan bunyi para penonton menyanyi, bersorak, bersiul dan bertepuk tangan, tapi di Afrika Selatan menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia yang agak berbeza.

Di Afrika Selatan, anda tidak dianggap serius memberi sokongan dalam perlawanan bola sepak jika tidak membawa bersama Vuvuzela. Ini sudah menjadi budaya bola sepak mereka. Di Eropah, malah mungkin di seluruh dunia menganggap bunyi-bunyian berterusan dan menjengkelkan Vuvuzela itu sangat membingitkan telinga dan sekaligus menenggelamkan suara komentator perlawanan, malah sukar untuk mendengar suara sorakan atau tepukan ribuan penonton yang berada di stadium.

Menurut Presiden FIFA, Sepp Blatter bahawa banyak pihak terutamanya di kalangan pihak penyiaran Eropah meminta pihaknya supaya Vuvuzela diharamkan dari dibawa memasuki stadium. Namun menurut kata orang kuat FIFA itu pula bahawa pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan atau menghalang sedemikian kerana itu adalah sebahagian budaya bola sepak di Afrika Selatan. “That is what African and South Africa football is all about – noise, excitement, dancing, shouting and enjoyment..” Itu pandangan orang paling berpengaruh dalam dunia bola sepak hari ini. Jadi nak kata apa lagi? Nampaknya sepanjang kempen piala dunia ni, terpaksalah kita biasa-biasakan telinga mendengar trompet yang bunyinya dikatakan antara yang paling teruk dan menyakitkan telinga di dunia.

Ibarat pepatah ada menyebut, “lain padang, lain belalangnya”… agaknya kalau perlawanan bola sepak piala dunia ni diadakan di Malaysia.. macamana pula ye budayanya? :)

Category: Topik Bebas | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes