Anak-Anak Juga Punyai Harga Diri
Friday, May 28th, 2010 | Author: Wan

Seronok rasanya bila dapat bercuti. Saya yakin ramai ibubapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak sempena cuti Hari Wesak ini untuk pulang ke kampung halaman. Terniat juga di hati saya untuk pulang tapi memandangkan cuti persekolahan hampir tiba, tunggu jelah nanti.
Kebelakangan ni seringkali kita membaca di dada akhbar atau melihat di kaca tv kesedihan sesetengah ibubapa malang merayu anak supaya pulang ke pangkuan mereka kerana anak lari dari rumah dan terus hilang tanpa berita. Adakah itu jalan terbaik yang mampu dilakukan anak-anak zaman ini? Di mana kesilapannya? Adakah tingkahlaku begini berpunca daripada sikap layanan ibubapa sendiri terhadap anak-anak atau sikap anak yang ‘kurang diajar’?
Peranan ibubapa dalam membesarkan anak-anak menjadi seorang muslim yang baik sangat dipentingkan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda, setiap kanak-kanak itu dilahirkan bagaikan kain putih dan ibubapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Nasrani, Yahudi dan sebagainya.
Rasanya tak payah ditekankan betapa beratnya tanggungjawab ini di atas bahu ibubapa. Anak-anak yang tidak dididik dengan sempurna dari kecil akan mewujudkan kemelut sosial yang akhirnya akan melemahkan seluruh ummah atau masyarakat. Malangnya kita lihat bagaimana tanggungjawab ini semakin jauh ditinggalkan kerana ibubapa sibuk mengejar kemewahan dunia, dan urusan membesarkan anak-anak diserahkan hampir sepenuhnya kepada bibik, pengasuh dan guru sekolah. Perubahan ini sudah berlaku sangat lama, jadi kenapa kita perlu hairan apabila membaca mengenai pelbagai masalah sosial remaja yang timbul kebelakangan ini?
Kalau mengikut kajian ahli psikologi barat, kekuatan seseorang individu itu terletak pada harga dirinya (self-esteem): kalau tinggi harga dirinya, maka individu itu akan berasa yakin dengan dirinya, dan dengan itu dia akan dapat menjalani hidup secara positif. Tapi bila harga dirinya rendah, maka terbitlah “penyakit-penyakit” minda seperti mudah marah, mudah berasa rendah diri, mudah tersinggung, dan sebagainya.
Seorang muslim yang mempunyai harga diri yang tinggi mampu mengawal dirinya dalam hampir segala hal. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w., bahawa kekuatan diri seseorang Muslim tidak diukur daripada kebolehannya menumbangkan musuh di medan perang, tapi sebaliknya sama ada dia mampu mengawal diri sewaktu marah.
Bagaimanapun, masyarakat Melayu Muslim di negara ini secara amnya tidak menyokong perkembangan harga diri yang tinggi dari peringkat kanak-kanak. Lihat cara orang Melayu mendidik anak-anak, contohnya:
[+] Anak-anak Melayu tidak digalakkan mencuba sesuatu yang baru: kanak-kanak belajar melalui eksplorasi dan penemuan (exploration and discovery), tapi bila saja mereka nak buat sesuatu yang baru, ibubapa cepat naik marah;
[+] Anak-anak Melayu tidak diberi sokongan moral sewaktu berjaya: malah, kadang-kadang apa saja yang mereka lakukan seolah-olah tidak cukup untuk ibubapa mereka;
[+] Anak-anak Melayu tidak diasuh berdiri mengikut kemampuan sendiri, perangai ibubapa yang suka membandingkan anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain yang “lebih berjaya” sebenarnya sangat merosakkan harga diri anak-anak;
[+] Anak-anak Melayu dididik supaya “tahu tempat masing-masing”, mereka diasuh dari kecil supaya jangan suka menunjuk-nunjuk, sedangkan ada beza di antara perangai mengada-ada dengan keseronokan (excitement) mencuba atau berkongsi sesuatu yang baru mereka temui.
Anak-anak adalah amanah yang disandarkan oleh Allah ke atas bahu kita, jadi jangan pandang ringan hal membesarkan anak-anak dengan akhlak yang sempurna. Dan jangan pandang ringan cara kita memperlakukan anak-anak, kerana setiap sesuatu yang kita buat dihadapan mereka atau kepada mereka akan meninggalkan kesan.
Mungkin kebanyakan ibubapa Melayu tidak sedar bahawa cara mereka berinteraksi dengan anak-anak dari umur seawal 5 tahun akan meninggalkan kesan yang dalam apabila anak-anak tersebut dewasa. Anak-anak yang sering dikongkong mungkin akan menjadi orang yang nampaknya baik dan mengikut kata, tapi secara peribadinya mungkin mereka tidak mempunyai keyakinan diri.
Oleh sebab anak-anak adalah amanah Allah, jangan fikir bahawa kita boleh memperlakukan mereka sesuka hati, dan berharap mereka akan menjadi seorang yang berguna secara sendiri. Sebagaimana dengan hal lain dalam hidup ini, jika kita inginkan sesuatu, maka kita haruslah berusaha gigih mendapatkannya.
Saya pernah terbaca dalam salah satu artikel berbahasa inggeris bagaimana panduan membina harga diri anak-anak. Di bawah ini adalah antara perkara penting yang terdapat di dalam artikel tersebut:
[+] Untuk menjana harga diri yang tinggi dalam kanak-kanak, carilah kebolehan-kebolehan semulajadi yang ada dalam diri mereka.
[+] Kejayaan dalam satu bahagian hidup mereka boleh menjadi asas kepada kejayaan dalam hal lain pula. Untuk membantu mereka mewujudkan keadaan ini, ibubapa perlu peka dalam mencari kebolehan semulajadi anak-anak mereka dan menggalakkan pertumbuhan mereka di bahagian tersebut.
[+] Ibubapa perlu memainkan peranan aktif dalam mengalakkan anak-anak untuk berani mencuba dan menerima kegagalan, serta perlu aktif dalam membantu anak-anak menangani cabaran-cabaran sukar yang mereka hadapi.
[+] Harga diri bolehlah dikatakan sebagai perasaan serta kepercayaan pada kebolehan diri sendiri secara positif, yang akan membolehkan mereka menghadapi (bukan melarikan diri) daripada cabaran. Harga diri yang tinggi perlu supaya mereka faham bahawa mereka patut dan boleh belajar dari kegagalan, bukan hanya kejayaan.
[+] Harga diri yang tinggi juga membolehkan mereka mempunyai rasa hormat pada diri sendiri serta orang lain.
Berikut ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri:
[+] Mereka mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah yang rumit sekalipun, serta mampu membuat pilihan dengan penuh yakin.
[+] Mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
[+] Mereka juga mempunyai kesedaran realistik tentang kebolehan mereka sendiri, serta mampu mengawal arahtuju hidup mereka.
Anak-anak yang mempunyai harga diri yang tinggi selalunya memerlukan ibubapa yang mempunyai ciri-ciri berikut:
[+] Menaruh kepercayaan dalam kebolehan anaknya.
[+] Sentiasa memberikan galakan kepada anak-anak.
[+] Menyokong proses pembesaran anak-anak secara positif.
[+] Menumpukan usaha mereka mencari serta mengembangkan kebolehan semuljadi anak-anak.
[+] Memainkan peranan besar dalam meletakkan halatuju hidup anak-anak mereka dengan positif serta penuh keyakinan.
Anak-anak “mendapat kuasa” daripada ibubapa sedemikian.
Perasaan takut untuk membuat kesilapan adalah antara halangan paling besar dalam proses menjana harga diri dalam kanak-kanak. Mereka juga sering risau akan kelihatan bodoh apabila tidak mampu melakukan sesuatu atau gagal. Oleh itu ibubapa perlu peka dalam menangani kegagalan anak-anak mereka.
Ajarlah mereka supaya bertanggungjawab: berikan kepada mereka tanggungjawab setimpal dengan kebolehan mereka; bila mereka berjaya melakukannya, ia akan memberikan mereka perasaan bahawa mereka mempunyai kawalan diri serta melakukan tugas dengan baik. Tapi bila mereka gagal berikan sokongan kepadanya supaya memperbaiki kesilapan dan berusaha lagi. Ajarkan teknik menyelesaikan masalah serta membuat keputusan, juga disiplin diri: bawalah mereka berbincang mengenai sesuatu perkara yang sedang mereka hadapi, tapi elakkan dari memberikan mereka penyelesaian tersebut – sebaliknya, tanya soalan-soalan penunjuk (guiding questions) supaya mereka dapat mencari sendiri penyelesaian terbaik bagi mereka sendiri. Berikan galakan serta maklumbalas yang positif: harga diri yang tinggi perlu disokong dengan memberikan kanak-kanak galakan serta pujian yang realistik, secara lisan atau bertulis. Kanak-kanak perlu berasa bahawa diri mereka istimewa. Bantu mereka dalam menangani kegagalan: kanak-kanak yang berasa takut atau malu untuk gagal tidak akan berani mencuba. Ibubapa perlu membuat anak-anak mereka sedar bahawa kegagalan adalah satu perkara biasa dalam proses pembelajaran. Oleh itu elakkan daripada sikap serta kata-kata kritikal yang negatif seperti, “Kamu ni tak reti langsung!” atau “Tak boleh harap!”
Berikanlah kepada anak-anak suatu perasaan bahawa mereka berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Berikan mereka ruang untuk menentukan halatuju mereka sendiri secara berdikit-dikit sewaktu mereka meningkat dewasa.
Insya-Allah, sekiranya setiap ibubapa muslim sentiasa berusaha menjana anak-anak yang mempunyai harga diri yang tinggi, dengan cara ini kita akan dapat membangunkan ummah muslim yang jauh lebih kuat daripada yang ada sekarang.
Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment




