Home

Archive » May, 2010 «

Anak-Anak Juga Punyai Harga Diri

Friday, May 28th, 2010 | Author:

Seronok rasanya bila dapat bercuti. Saya yakin ramai ibubapa yang mengambil kesempatan membawa anak-anak sempena cuti Hari Wesak ini untuk pulang ke kampung halaman. Terniat juga di hati saya untuk pulang tapi memandangkan cuti persekolahan hampir tiba, tunggu jelah nanti. :)

Kebelakangan ni seringkali kita membaca di dada akhbar atau melihat di kaca tv kesedihan sesetengah ibubapa malang merayu anak supaya pulang ke pangkuan mereka kerana anak lari dari rumah dan terus hilang tanpa berita. Adakah itu jalan terbaik yang mampu dilakukan anak-anak zaman ini? Di mana kesilapannya? Adakah tingkahlaku begini berpunca daripada sikap layanan ibubapa sendiri terhadap anak-anak atau sikap anak yang ‘kurang diajar’?

Peranan ibubapa dalam membesarkan anak-anak menjadi seorang muslim yang baik sangat dipentingkan dalam Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda, setiap kanak-kanak itu dilahirkan bagaikan kain putih dan ibubapalah yang akan mencorakkan mereka sama ada menjadi Nasrani, Yahudi dan sebagainya.

Rasanya tak payah ditekankan betapa beratnya tanggungjawab ini di atas bahu ibubapa. Anak-anak yang tidak dididik dengan sempurna dari kecil akan mewujudkan kemelut sosial yang akhirnya akan melemahkan seluruh ummah atau masyarakat. Malangnya kita lihat bagaimana tanggungjawab ini semakin jauh ditinggalkan kerana ibubapa sibuk mengejar kemewahan dunia, dan urusan membesarkan anak-anak diserahkan hampir sepenuhnya kepada bibik, pengasuh dan guru sekolah. Perubahan ini sudah berlaku sangat lama, jadi kenapa kita perlu hairan apabila membaca mengenai pelbagai masalah sosial remaja yang timbul kebelakangan ini?

Kalau mengikut kajian ahli psikologi barat, kekuatan seseorang individu itu terletak pada harga dirinya (self-esteem): kalau tinggi harga dirinya, maka individu itu akan berasa yakin dengan dirinya, dan dengan itu dia akan dapat menjalani hidup secara positif. Tapi bila harga dirinya rendah, maka terbitlah “penyakit-penyakit” minda seperti mudah marah, mudah berasa rendah diri, mudah tersinggung, dan sebagainya.

Seorang muslim yang mempunyai harga diri yang tinggi mampu mengawal dirinya dalam hampir segala hal. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w., bahawa kekuatan diri seseorang Muslim tidak diukur daripada kebolehannya menumbangkan musuh di medan perang, tapi sebaliknya sama ada dia mampu mengawal diri sewaktu marah.

Bagaimanapun, masyarakat Melayu Muslim di negara ini secara amnya tidak menyokong perkembangan harga diri yang tinggi dari peringkat kanak-kanak. Lihat cara orang Melayu mendidik anak-anak, contohnya:

[+] Anak-anak Melayu tidak digalakkan mencuba sesuatu yang baru: kanak-kanak belajar melalui eksplorasi dan penemuan (exploration and discovery), tapi bila saja mereka nak buat sesuatu yang baru, ibubapa cepat naik marah;

[+] Anak-anak Melayu tidak diberi sokongan moral sewaktu berjaya: malah, kadang-kadang apa saja yang mereka lakukan seolah-olah tidak cukup untuk ibubapa mereka;

[+] Anak-anak Melayu tidak diasuh berdiri mengikut kemampuan sendiri, perangai ibubapa yang suka membandingkan anak-anak mereka dengan kanak-kanak lain yang “lebih berjaya” sebenarnya sangat merosakkan harga diri anak-anak;

[+] Anak-anak Melayu dididik supaya “tahu tempat masing-masing”, mereka diasuh dari kecil supaya jangan suka menunjuk-nunjuk, sedangkan ada beza di antara perangai mengada-ada dengan keseronokan (excitement) mencuba atau berkongsi sesuatu yang baru mereka temui.

Anak-anak adalah amanah yang disandarkan oleh Allah ke atas bahu kita, jadi jangan pandang ringan hal membesarkan anak-anak dengan akhlak yang sempurna. Dan jangan pandang ringan cara kita memperlakukan anak-anak, kerana setiap sesuatu yang kita buat dihadapan mereka atau kepada mereka akan meninggalkan kesan.

Mungkin kebanyakan ibubapa Melayu tidak sedar bahawa cara mereka berinteraksi dengan anak-anak dari umur seawal 5 tahun akan meninggalkan kesan yang dalam apabila anak-anak tersebut dewasa. Anak-anak yang sering dikongkong mungkin akan menjadi orang yang nampaknya baik dan mengikut kata, tapi secara peribadinya mungkin mereka tidak mempunyai keyakinan diri.

Oleh sebab anak-anak adalah amanah Allah, jangan fikir bahawa kita boleh memperlakukan mereka sesuka hati, dan berharap mereka akan menjadi seorang yang berguna secara sendiri. Sebagaimana dengan hal lain dalam hidup ini, jika kita inginkan sesuatu, maka kita haruslah berusaha gigih mendapatkannya.

Saya pernah terbaca dalam salah satu artikel berbahasa inggeris bagaimana panduan membina harga diri anak-anak. Di bawah ini adalah antara perkara penting yang terdapat di dalam artikel tersebut:

[+] Untuk menjana harga diri yang tinggi dalam kanak-kanak, carilah kebolehan-kebolehan semulajadi yang ada dalam diri mereka.
[+] Kejayaan dalam satu bahagian hidup mereka boleh menjadi asas kepada kejayaan dalam hal lain pula. Untuk membantu mereka mewujudkan keadaan ini, ibubapa perlu peka dalam mencari kebolehan semulajadi anak-anak mereka dan menggalakkan pertumbuhan mereka di bahagian tersebut.
[+] Ibubapa perlu memainkan peranan aktif dalam mengalakkan anak-anak untuk berani mencuba dan menerima kegagalan, serta perlu aktif dalam membantu anak-anak menangani cabaran-cabaran sukar yang mereka hadapi.
[+] Harga diri bolehlah dikatakan sebagai perasaan serta kepercayaan pada kebolehan diri sendiri secara positif, yang akan membolehkan mereka menghadapi (bukan melarikan diri) daripada cabaran. Harga diri yang tinggi perlu supaya mereka faham bahawa mereka patut dan boleh belajar dari kegagalan, bukan hanya kejayaan.
[+] Harga diri yang tinggi juga membolehkan mereka mempunyai rasa hormat pada diri sendiri serta orang lain.

Berikut ciri kanak-kanak yang mempunyai harga diri:

[+] Mereka mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah yang rumit sekalipun, serta mampu membuat pilihan dengan penuh yakin.
[+] Mereka lebih mudah menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.
[+] Mereka juga mempunyai kesedaran realistik tentang kebolehan mereka sendiri, serta mampu mengawal arahtuju hidup mereka.

Anak-anak yang mempunyai harga diri yang tinggi selalunya memerlukan ibubapa yang mempunyai ciri-ciri berikut:

[+] Menaruh kepercayaan dalam kebolehan anaknya.
[+] Sentiasa memberikan galakan kepada anak-anak.
[+] Menyokong proses pembesaran anak-anak secara positif.
[+] Menumpukan usaha mereka mencari serta mengembangkan kebolehan semuljadi anak-anak.
[+] Memainkan peranan besar dalam meletakkan halatuju hidup anak-anak mereka dengan positif serta penuh keyakinan.

Anak-anak “mendapat kuasa” daripada ibubapa sedemikian.

Perasaan takut untuk membuat kesilapan adalah antara halangan paling besar dalam proses menjana harga diri dalam kanak-kanak. Mereka juga sering risau akan kelihatan bodoh apabila tidak mampu melakukan sesuatu atau gagal. Oleh itu ibubapa perlu peka dalam menangani kegagalan anak-anak mereka.

Ajarlah mereka supaya bertanggungjawab: berikan kepada mereka tanggungjawab setimpal dengan kebolehan mereka; bila mereka berjaya melakukannya, ia akan memberikan mereka perasaan bahawa mereka mempunyai kawalan diri serta melakukan tugas dengan baik. Tapi bila mereka gagal berikan sokongan kepadanya supaya memperbaiki kesilapan dan berusaha lagi. Ajarkan teknik menyelesaikan masalah serta membuat keputusan, juga disiplin diri: bawalah mereka berbincang mengenai sesuatu perkara yang sedang mereka hadapi, tapi elakkan dari memberikan mereka penyelesaian tersebut – sebaliknya, tanya soalan-soalan penunjuk (guiding questions) supaya mereka dapat mencari sendiri penyelesaian terbaik bagi mereka sendiri. Berikan galakan serta maklumbalas yang positif: harga diri yang tinggi perlu disokong dengan memberikan kanak-kanak galakan serta pujian yang realistik, secara lisan atau bertulis. Kanak-kanak perlu berasa bahawa diri mereka istimewa. Bantu mereka dalam menangani kegagalan: kanak-kanak yang berasa takut atau malu untuk gagal tidak akan berani mencuba. Ibubapa perlu membuat anak-anak mereka sedar bahawa kegagalan adalah satu perkara biasa dalam proses pembelajaran. Oleh itu elakkan daripada sikap serta kata-kata kritikal yang negatif seperti, “Kamu ni tak reti langsung!” atau “Tak boleh harap!”

Berikanlah kepada anak-anak suatu perasaan bahawa mereka berkemampuan untuk melaksanakan sesuatu tugas dengan penuh rasa tanggungjawab. Berikan mereka ruang untuk menentukan halatuju mereka sendiri secara berdikit-dikit sewaktu mereka meningkat dewasa.

Insya-Allah, sekiranya setiap ibubapa muslim sentiasa berusaha menjana anak-anak yang mempunyai harga diri yang tinggi, dengan cara ini kita akan dapat membangunkan ummah muslim yang jauh lebih kuat daripada yang ada sekarang.

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Selamat Hari Guru 2010

Saturday, May 15th, 2010 | Author:

Kecemerlangan hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari dari sumbangan dan pengorbanan orang lain sama ada ibubapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan-rakan, guru-guru dan sebagainya. Sumbangan dan pengorbanan tersebut sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan para guru yang membimbing kita ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Setiap tahun.. 16 Mei, warga guru diraikan dalam sambutan hari guru bagi menghargai dan mengenang jasa mereka yang mendidik anak bangsa menjadi insan berguna. Sememangnya guru adalah insan yang sangat mulia kerana mereka telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan olej Anas bin Malik r.a: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi di dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan”.

Sirah Rasulullah s.a.w. juga memaparkan kepada kita bahawa disamping menjadi guru, baginda s.a.w. juga adalah merupakan pelajar yang sentiasa menerima didikan dan asuhan dari Allah s.w.t, oleh itu guru adalah sebagai pendidik dan pada masa yang sama guru juga merupakan pelajar yang sentiasa berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan selaras dengan perkembangan semasa. Budaya menuntut ilmu sepanjang hayat seharusnya dihayati oleh setiap guru dan segenap lapisan masyarakat. Tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi ia juga mendidik anak bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan di akhirat.

Cuba perhatikan, sekarang guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam era pendidikan. Contohnya masalah gejala sosial di kalangan pelajar yang semakin parah, harapan yang menggunung daripada masyarakat kepada guru, sikap sebahagian ibubapa yang menyerahkan tugas mendidik bulat-bulat kepada guru adalah merupakan cabaran semasa guru. Tapi biar sejuta cabaran mendatang, biar sejuta rintangan menghalang, bagi mereka yang bergelar guru tetap memikul tanggungjawab dengan penuh sabar dan tabah. Hebat…

Aspirasi negara dalam bidang pendidikan adalah untuk membina masyarakat yang sejahtera, harmoni serta mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t. Bagi mencapai hasrat tersebut, tuntutan kepada ilmu pengetahuan yang berbentuk Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah sangat diperlukan. Ianya hendaklah disepadukan agar kemajuan yang hendak dicapai itu dapat memenuhi tuntutan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amalan memisahkan antara pendidikan yang bercorak Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah akan melahirkan sebuah masyarakat yang tempang sekaligus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali-Imran ayat 18: “Allah menerangkan (kepada sekelian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana”.

Kita semua, sebagai anggota masyarakat tentu seharusnya rasa terpanggil untuk bersama dengan warga guru bagi melahirkan generasi insan kelas pertama yang berjiwa “ULUL ALBAB”.  Tugas mendidik dan menangani gejala sosial sewajarnya dilakukan secara bersama antara ibubapa, masyarakat dan guru, seperti kata pepatah “BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING”. Sebagaimana firman Allah yang berbunyi: “…dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan (kebaikan) dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana Allah sesungguhnya Maha Berat Azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya”. (Surah al-Maidah : 2)

Ibu bapa dan masyarakat hendaklah seiring dan bersama-sama dalam menginstitusikan keluarga, masyarakat dan persekitaran sebagai sekolah. Di samping ibubapa juga perlu mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di rumah dan persekitaran dengan memberi perhatian yang serius terhadap kehidupan seharian anak-anak. Ibubapa juga hendaklah peka terhadap perkara-perkara yang boleh merosakkan nilai dan jati diri anak-anak seperti gejala merokok, suka membuang masa, sukakan hiburan yang melampau, penyalahangunaan dadah, amalan pergaulan bebas dan sebagainya. Kita semua sedia sedar bahawa akhlak mulia merupakan teras kepada pembinaan insan yang hebat.

Saiyidina Ali Karramah Allahu Wajhah pernah berpesan: “Bukan kecantikan itu menghiasi diri dan pakaian, sesungguhnya kecantikan itu menghiasi diri dengan ilmu dan adab. Bukanlah yatim itu seseorang yang kematian bapanya, sesungguhnya yatim yang sebenar apabila ketiadaan ilmu dan adab”.

Hubungan baik antara ibubapa dengan pihak sekolah amat penting agar usaha mengasuh dan mendidik anak-anak berjalan dengan lancar dan sempurna. PIBG seharusnya memainkan peranan penting demi membina kecemerlangan anak-anak. Ibubapa dan masyarakat juga perlu menjalin hubungan yang erat dan berterusan dengan pihak sekolah agar setiap permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak dapat diselesaikan secara muhibah.

Akhir-akhir ni cuba anda perhatikan di akhbar dan tv, pandangan negatif yang tidak berasas terhadap para guru perlu dikikis, dan pada masa yang sama guru juga hendaklah sama-sama menilai diri jangan jadi seperti pepatah melayu “KERANA SETITIK NILA HABIS ROSAK SUSU SEBELANGA”, ibubapa juga sepatutnya bersungguh-sungguh dan sedia berkorban harta benda dan tenaga bagi mencapai kecemerlangan anak-anak. Kata Imam Al-Syafie bahawa ilmu pengetahuan tidak akan dapat dicapai kecuali dengan 6 perkara iaitu “KECERDIKAN, KESUNGGUHAN, KEMAJUAN, PERBELANJAAN YANG CUKUP, SELALU MENDAMPINGI GURU DAN MASA YANG LAMA”.

Jika kita berjaya mendidik anak-anak bangsa menjadi manusia yang berilmu, maka sudah tentu kita dapat melihat dan melahirkan wajah pemimpin negara berilmu dan beriman di masa akan datang. Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauki pernah bermadah: “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Sempena dengan sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada semua guru yang pernah mendidik dan mengajar saya tulis dan baca. Semoga apa yang pernah dicurahkan akan menjadi inspirasi untuk saya terus maju meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Kepada semua guru, SELAMAT HARI GURU. Kepada anda dan rakan, raikan dan ucaplah penghargaan anda kepada guru-guru jika berkesempatan, siapalah kita jika tanpa guru yang pernah mendidik kita selama ini. Perjuangan guru umpama lilin membakar diri. Terima kasih, cikgu… ;)

Category: Topik Bebas | Leave a Comment

Selamat Hari Ibu

Friday, May 07th, 2010 | Author:

Tahun ini sambutan Hari Ibu ialah pada 9 Mei 2010 (Ahad). Saya rasa sangat sesuai jika post saya kali ni berbicara tentang kepentingan menghormati dan menyayangi seorang ibu. Tidak kiralah siapa diri kita, kehadiran kita tetap daripada rahim seorang ibu yang telah melahirkan kita dengan penuh kesusahan dan kesakitan.

Dalam Islam, tuntutan berbuat baik kepada ibubapa adalah merupakan perintah Allah S.W.T yang wajib kita tunaikan. Sebagai seorang anak, kita diperintahkan agar sentiasa melakukan kebaikan terhadap mereka seperti bersikap lemah lembut, mengasihi, berbudi bahasa, tidak berlaku kasar dan selalu ingat serta menghargai jasa pengorbanan yang telah diberikan kepada kita selama ini. Seorang ibu telah bersusah payah memelihara dan menjaga kita siang dan malam dengan mengorbankan waktu, tenaga, perasaan, wang ringgit dan sebagainya demi memberikan apa sahaja yang terbaik untuk kita. Tanggungjawab melakukan kebaikan kepada ibubapa amat besar sehingga ianya digandingkan dengan perintah suapaya mentauhidkan Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibubapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uh” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Islam juga menyuruh kita agar sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada kedua ibubapa. Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 14: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Kita perlu sedar bahawa begitu besar sekali peranan dan pengorbanan kedua ibubapa, lebih-lebih lagi buat si ibu sehingga Islam mengangkat darjat seorang ibu itu lebih dari seorang bapa. Sabda Rasulullah SAW: “Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah S.A.W, siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik? Rasulullah S.A.W menjawab: Ibumu. Kemudian aku bertanya lagi selepas itu siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu. Kemudian aku bertanya lagi, seterusnya siapa? Rasulullah menjawab: Ibumu. Kkemudian aku bertanya lagi seterusnya siapa? Lalu Rasulullah menjawab : Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Maksudnya, baginda Rasulullah S.A.W telah menggariskan satu dasar bahawa Islam amat mengutamakan kepada si ibu sebagai insan yang layak menerima segala layanan yang terbaik dari setiap anak-anaknya, ini kerana segala pergorbanan yang ditanggung oleh ibu sepanjang tempoh kehamilan diikuti dengan proses melahirkan, kemudian memelihara untuk membesarkan kita adalah satu tempoh yang amat sukar dan perit. Tapi, ia berjaya diatasi dengan sebab rasa kasih sayang yang mendalam dalam diri seorang ibu beserta sokongan dari bapa.

Memandangkan begitu banyak jasa dan pengorbanan oleh ibu, maka selayaknyalah ibu diberi penghormatan yang begitu tinggi, seperti sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Syurga itu berada di bawah telapak kaki ibu.”

Oh ya, pernah dengar  kisah Al-Qamah? Beliau begitu sukar untuk melafazkan kalimah syahadah ketika sakaratul maut kerana perasaan ibunya yang terguris atas perlakuannya, walaupun Al-Qamah seorang yang kuat beribadah tapi beliau telah melakukan sesuatu yang mengguris perasaan ibunya, lalu ibunya merasa kecil hati dengan tindakannya, sehingga ibunya sukar untuk memaafkannya. Peristiwa ini perlu dijadikan iktibar oleh kita semua, semoga perkara yang dialami oleh Al-Qamah tidak terjadi kepada kita. Na’uzubillah..

Di Malaysia, seperti di kebanyakan negara lain Hari Ibu disambut pada bulan Mei setiap tahun sebagai tanda penghormatan terhadap pengorbanan ibu serta mengenang jasa mereka membesarkan kita. Maka, janganlah sesekali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengguris perasaan dan menyakitkan hati mereka. Terutama kepada golongan remaja yang sering terlibat dengan masalah sosial di mana perbuatan dan perilaku tersebut boleh mengguris perasaan dan mengecewakan harapan ibu yang impikan setiap anak mereka menjadi insan berguna dan sentiasa menjaga nama baik keluarga, bukan dengan menjatuhkan maruah keluarga.

Sambutan hari ibu perlu dihayati dengan penuh bermakna oleh kita semua. Kerana terdapat perilaku-perilaku yang mengecewakan telah berlaku dan selalu tersiar di suratkhabar dan tv… ibubapa didera oleh anak sendiri, malahan ada yang sanggup membunuh ibubapa apabila permintaan mereka tidak dipenuhi atau perbuatan mereka dihalang oleh ibu bapa. Perbuatan derhaka seperti ini adalah disebabkan telah hilangnya nilai iman dalam diri dan jiwa kerana telah dikuasai oleh iblis syaitan laknatullah serta kewarasan akal fikiran hilang disebabkan pengaruh pil khayal, dadah dan sebagainya. Semoga mereka ini segera bertaubat kepada Allah S.W.T dan memohon ampun di atas segala dosa-dosa yang dilakukan, mudah-mudahan hidup akan diberkati dan dijauhkan dari azab siksaan api neraka Allah S.W.T.

Hrmm… apa yang perlu kita lakukan untuk hiburkan ibu ye? Sebenarnya banyak yang boleh kita buat, yang penting ingatan… antaranya kita boleh memperuntukkan masa untuk menziarahi ibu, bercuti bersama-sama ibu, membawa ibu bersiar-siar ke tempat yang menarik, menghadiahkan sesuatu yang menjadi kesukaannya, belanja makan di restoren, sentiasa mendoakan mereka, dan melakukan apa sahaja yang menyenangkan hati mereka, sebagai tanda penghargaan serta kasih sayang seorang anak kepada ibu. Setidaknya selalu menelefon atau menghantar kad ucapan, itu pun jika kita berada terlalu jauh di perantauan.

Persoalannya.. adakah kita dah buat semua tu kepada ibu kita? Adakah hanya sekadar bila tibanya hari raya, atau hari ibu, barulah kita tertanya-tanya di mana dan bagaimana keadaan si ibu? Sedangkan ajaran Islam menetapkan bahawa ibu hendaklah diberikan perhatian dan layanan pada setiap masa. Sebagai seorang yang bergelar anak, kita perlulah sentiasa mentaati dan mendoakan kesejahteraan serta keampunan bagi kedua ibubapa agar hidup kita diberkati Allah. Doa yang tidak disertakan kesejahteraan kepada ibubapa, maka doa itu tidak sampai kepada Allah. Jika ibubapa kita telah meninggal dunia, hadiah yang paling bermakna untuk mereka yang amat kita kasihi ini ialah mendoakan kesejahteraan untuk mereka, mudah-mudahan Allah Taala sentiasa merahmati dan mengampunkan segala dosa-dosa mereka, terlepas seksaan kubur dan dimasukkan ke syurga abadi.

Firman Allah Taala: “Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku sejak kecil.” (Surah al-Isra’ ayat : 24).

Sempena Hari Ibu pada tahun ini, saya mendoakan semoga ibu-ibu yang terlanjur agar tidak lagi melakukan kezaliman dengan membuang bayi merata-rata tanpa belas kasihan. Jangan jadikan diri lebih hina daripada seekor binatang yang tiada akal untuk berfikir. Selamat Hari Ibu kepada ibuku, Hajjah Che Meriam binti Ismail dan ibu mertuaku, Zainon binti Mohamad.

Category: Topik Bebas | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes