Home

Archive » April, 2010 «

Keyakinan Diri Kejayaan Hidup

Friday, April 30th, 2010 | Author:

Lama tidak mengemaskini blog ni.. sibuk memanjang dengan urusan kerja dan sosial. Bagaimana agaknya kehidupan anda ye? Tentu seronok dan dilimpahi kebahagiaan. Walau apapun yang dilakukan, kita mesti yakin untuk berjaya.. jika tidak, usaha kita tidak akan ke mana-mana pun. Apa lagi jika anda seorang usahawan, sama ada usahawan besar atau sekadar usahawan di internet. Tanya diri sejauhmana kekuatan keyakinan dalam diri anda untuk berjaya.

Oh ya.. sebenarnya apakah makna ‘keyakinan’ sehingga sering dikatakan bahawa: “Keyakinan membuat segalanya menjadi serba mungkin?” Keyakinan tidak lebih dan tidak kurang, hanya operasi tenaga pemikiran dalam bentuk hasrat yang sungguh-sungguh, ditambah dengan harapan untuk memenuhinya.

Keyakinan, seperti yang anda selami, lebih dari sekadar ‘kepercayaan’. Keyakinan melengkapinya. Perbezaan utama antara penjual yang dibayar dengan penjual sendiri terletak pada darjat keyakinan bukan kemampuan yang mereka miliki.

Keyakinan terhadap diri sendiri dan keyakinan pada hasil yang diperolehi merupakan syarat bagi semua peningkatan berharga. Kita akan berada pada jalan kehidupan yang benar kalau kita terlebih dahulu yakin, percaya dan beriman kepada yang Maha Sempurna iaitu Allah S.W.T, yang menciptakan kita. Kita perlu menyedari bahawa diri kita adalah sebahagian dari paket penting dan rancangan besar-Nya.

Dia yang telah menciptakan berjuta-juta bintang yang beredar secara teratur di cakerawala, telah melengkap diri kita dengan kelengkapan untuk berjaya. Kita boleh menerima perkara ini sebagai fakta dan berdiri teguh di dunia, seperti kita juga boleh mabuk dalam teori kesempatan dan menjalani hidup sehari-hari kita seperti ‘binatang’. Ketika kita sampai pada suatu keadaan di mana kita berada, kita juga sampai pada suatu pengenalan nilai-nilai untuk peningkatan diri kita. Kita mengembangkan keyakinan pada pencapaian cita-cita kita. Ini merupakan pembuka tenaga yang membawa diri kita pada suatu peningkatan individu yang menakjubkan. Situasi ini merupakan sumber tenaga yang tidak pernah gagal. Percaya dan berjaya. Milikilah keyakinan dan insya-Allah kita tidak akan gagal.

Yakinlah dengan diri sendiri dan apa sahaja yang anda lakukan, asalkan ianya membawa kepada kebaikan. Kerja anda pasti seronok. ;)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Kepentingan Ilmu

Thursday, April 15th, 2010 | Author:

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W ialah ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq. Perintah iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’ kepada Nabi  S.A.W,  adalah isyarat bahawa Islam memberikan perhatian yang cukup besar tentang kepentingan ilmu dalam menentukan darjat manusia.

Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”

Ketika menggesa umat Islam mengambil perhatian mengenai peringatan Allah itu, Rasulullah S.A.W bersabda: “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Imam Ibnu Majah).

Pendidikan bukan hanya berlaku di sekolah. Pendidikan sebenarnya bermula segera setelah anak lahir dan akan berterusan sehingga manusia meninggal dunia. Pada dasarnya sebahagian besar masa anak-anak dihabiskan bersama dengan ibubapa. Ibubapa atau keluarga merupakan lingkungan pertama dan utama bagi proses pembelajaran seorang individu sekaligus meletakkan dasar pembentukan keperibadian anak. Pendidikan anak diperolehi terutama melalui interaksi antara ibubapa dan anak. Ketika berinteraksi dengan anaknya, ibubapa akan menunjukkan sikap dan perlakuan tertentu terhadap anak-anaknya. Oleh itu bagi menentukan kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dengan pembelajaran di rumah, maka ibubapa perlu dari masa ke semasa menyemak dan menyiasat kemajuan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Berdasarkan pemerhatian terdapat perkaitan yang kuat betapa besar penglibatan ibubapa dalam memajukan pendidikan anak-anak, maka besar pulalah kejayaan anak-anak dalam pendidikan. Oleh sebab itu, ibubapa tidak boleh menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru-guru sahaja dalam menentukan kejayaaan anak-anak. Ibubapa hendaklah memainkan peranan dan kerjasama rapat dengan pihak pengurusan sekolah.

Satu lagi pihak yang turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti modal insan selepas ibubapa ialah para guru. Kadangkala berlaku ketegangan hebat antara guru-guru dengan ibubapa yang nyata menjejaskan kualiti pendidikan di sesebuah sekolah. Sebagai langkah positif, maka ibubapa dan masyarakat hendaklah memberi penghormatan dan kepercayaan besar kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan pelajar-pelajar mereka masing-masing.

Oleh itu kita berharap khususnya ibubapa jangan mudah melenting, jangan hilang kewarasan dan hendaklah bersifat lapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin keras  ke atas pelajar. Kita yakin tindakan tegas guru dalam mendisiplinkan pelajar adalah untuk memberi pengajaran dan memulihkan akhlak pelajar agar sedia berubah menjadi insan yang berguna. Jika guru-guru bersikap sambil lewa dan tidak tegas dalam mengawal disiplin pelajar kerana takutkan ibubapa, maka ia akan merugikan ibu-bapa dan pelajar itu sendiri.

Apa yang nyata, Islam memberi pengiktirafan yang besar terhadap peranan guru-guru kerana guru memberi sumbangan yang besar dalam penyebaran ilmu kepada setiap generasi. Rasulullah S.A.W menyifatkan mereka yang menyebarkan ilmu itu adalah orang yang mewarisi tugas-tugas kenabian. Rasulullah S.A.W bersabda: ”Para ulama itu adalah pewaris para Nabi.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi).

Pada hari ini kita melihat orang yang mengejar ilmu pengetahuan semakin bertambah hingga bilangannya amat mengejutkan terutama sekali muda mudi kita dan pelajar-pelajar dalam pelbagai peringkat. Ini menunjukkan wujud tanda positif bahawa kesedaran menuntut ilmu semakin meningkat sama ada mereka dari bandar atau luar bandar. Berdasarkan kesedaran meningkat ini, maka kita melihat wujud persaingan sengit untuk mendapat tempat di pusat-pusat pengajian tinggi sama ada awam atau swasta.

Persoalan besar timbul ialah mengapa terdapat pertambahan orang mengejar ilmu dari masa ke semasa? Allah S.W.T menciptakan alam dengan seluruh isinya penuh dengan rahsia yang perlu dibongkarkan demi kemanfaatan manusia. Oleh sebab itulah maka Allah menjadikan manusia yang dibekalkan akal menjadi khalifah di muka bumi ini. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah  al-Baqarah ayat 30: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini”.

Allah S.W.T. menciptakan bumi ini untuk manusia, untuk ditadbir dengan sebaik-baiknya sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah. Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab dan berkewajipan menguruskan muka bumi untuk kebaikan kita sendiri, manusia, haiwan, alam sekitar dan planet-planet lain yang berkaitan. Ingat.. mentadbir muka bumi ini bukanlah perkara yang mudah. Ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan. Menguruskan alam merupakan amanah berat yang harus dipikul dan kelak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah S.W.T.

Di samping itu manusia adalah makhluk yang tumbuh dan berkembang. Ia ingin mencapai satu tahap kehidupan yang selesa. Selama manusia berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupannya, menambah ilmunya, memperhebatkan peribadinya, prestasi kerjanya, penampilannya, maka selama itulah proses pendidikan berjalan terus. Ini bermakna proses pendidikan dalam kehidupan manusia tidak terhad pada zaman persekolahan dan universiti sahaja malah berlaku pada sepanjang hayat. Sebab itu kita melihat ramai tokoh-tokoh politik, pemimpin kerajaan, ulama dan mereka yang telah berjaya dalam kerjaya terus membaca dan menjadi ulat buku bagi memenuhi keperluan tuntutan agama, organisasi, masyarakat dan negara.

Sebenarnya banyak kelebihan bagi orang yang mempunyai ilmu pengetahuan. Antaranya dapat menghindarkan diri dari kejahilan, dapat membezakan antara yang benar dan tidak tidak benar. Selain itu segala kerja dan amalan yang dilaksanakannya tidak sia-sia, malah beroleh keredhaan Allah S.W.T serta memberi faedah kepada dirinya dan manfaat kepada orang lain. Dalam hubungan ini, Nabi junjungan kita pernah bersabda mengenai tiga amalan yang sentiasa berterusan. Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang ditinggalkannya atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannnya.” (Hadis riwayat Muslim). Hadis ini memberi peringatan besar kepada umat Islam khususnya ibubapa bahawa membekalkan atau mewariskan ilmu pengetahuan menjadi saham terpenting dan amat bernilai kepada anak-anak untuk meneruskan survival mereka pada masa akan datang di dunia global yang penuh mencabar.

Marilah sama-sama kita berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Jadikanlah ia sebagai warisan generasi kita. Berbanggalah kita dengan menjadikan ilmu sebagai tuntutan sepanjang hayat. Jadikan ia sebagai matlamat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan berilmu.. insya Allah kita menjadi umat yang cemerlang di mata dunia dan juga di akhirat nanti. Wallahu’allam. Jumpa lagi… ;)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 4 Comments

Istiqamah Dan Perjuangan Hidup

Sunday, April 11th, 2010 | Author:

Wah, semakin hari semakin mencabar kehidupan kita. Agaknya itulah sebab utama ramai yang berjuang untuk hidup dan kemudian tertewas, dan akhirnya terjerumus dengan kehidupan yang membawa kepada kehancuran diri. Sebenarnya perjuangan dalam hidup manusia amat luas pengertiannya.  Ada perjuangan yang kecil dan ada perjuangan yang besar.  Contoh perjuangan yang kecil ialah apa juga usaha yang dilakukan untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan di dunia.  Sedangkan perjuangan yang besar ialah segala usaha untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.  Asas bagi menentukan kecil atau besar tahap perjuangan itu ialah:

[1] Matlamat perjuangan.
[2] Halangan atau cabaran terhadap perjuangan.
[3] Risiko atau pengorbanan yang diperlukan.

Namun begitu ada orang yang keliru.  Mereka meletakkan perjuangan untuk mencapai kejayaan di dunia sebagai perjuangan yang lebih utama dan mengabaikan perjuangan untuk mencapai kejayaan di akhirat.  Sebenarnya orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di dunia sahaja adalah orang yang akan mendapat kerugian di dunia dan di akhirat, sedangkan orang yang berusaha untuk mencapai kejayaan di akhirat sebenarnya akan mendapat kejayaan kedua-duanya iaitu di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Taala: “Ketahuilah bahawa apa (yang dikatakan) kehidupan di dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan beranak-pinak,  (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan) tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanaman suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning, akhirnya ia menjadi hancur bersepai, dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat).  Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Berlumba-lumba kamu (mengerjakan ama-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulnya, yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakinya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar “. (Surah Al-Hadid:20-21)

Malangnya ada pula orang yang tidak mempunyai perjuangan langsung dalam hidupnya, mereka hanyut macam kiambang di sungai.  Mereka diracun oleh fahaman jabariah iaitu berserah pada takdir  saja tanpa usaha, atau mereka mengikut arus dan perubahan zaman tanpa prinsip dan pendirian, iman mereka rapuh, amal ibadah mereka tidak tetap dan akhlak mereka dicorakkan oleh berbagai-bagai budaya dan fahaman.

Perjuangan yang suci diredhai Allah tidak terlepas daripada cabaran, terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat.  Cabaran itu hanya akan dapat diatasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa.

Firman Allah Taala: “Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.  Sesungguhya tidak berputus asa dari rahmat  dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (Surah Yusof:87)

Sikap istiqamah dapat dibentuk dengan menanamkan unsur-unsur yang berikut ke dalam diri:

[1] Matlamat yang unggul  iaitu berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
[2] Semangat dan daya juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah atau berputus asa.
[3] Prinsip yang benar berasaskan Al-Quran dan hadis Rasullullah (s.a.w).
[4] Ilmu dan maklumat yang cukup.
[5] Strategi yang kemas dalam perjuangan.
[6] Usaha yang berterusan.
[7] Yakin kepada takdir dan janji Allah Taala.
[8] Sentiasa berdoa dan bertawakal.
[9] Bersyukur dan redha.

Sikap ini dapat diteladani daripada Rasullallah (s.a.w), para sahabat, para mujahid, syuhada dan solihin seperti yang tertera di dalam gambaran-gambaran sejarah Islam. Semoga hidup kita sentiasa diredhai Allah. :)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes