Home

Archive » March, 2010 «

Ibu & Pengorbanan

Saturday, March 13th, 2010 | Author:

Cuti persekolahan bermula hari ni. Insya-Allah, esok saya sekeluarga akan balik kampung dengan niat yang satu.. berjumpa ibu tersayang. Lama merantau di negeri orang, tak sempat luangkan masa bersama orang yang pernah melahirkan dan mendidik. Walaupun sekarang kita dipermudahkan dengan pelbagai sumber teknologi canggih untuk berhubung.. saya pasti seorang ibu tetap mengharapkan kepulangan anak-anak walaupun untuk tempoh yang sekejap.

Siapa kita tanpa seorang ibu? Mari kita renungkan bersama…

KETIKA BERUSIA SETAHUN, IBU SUAPKAN MAKANAN DAN MANDIKAN KITA. CARA KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA HANYALAH DENGAN MENANGIS SEPANJANG MALAM.

APABILA BERUSIA 2 TAHUN, IBU MENGAJAR KITA BERMAIN, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN LARI SAMBIL KETAWA TERKEKEH-KEKEH APABILA DIPANGGIL.

MENJELANG USIA KITA 3 TAHUN, IBU MENYEDIAKAN MAKANAN DENGAN PENUH RASA KASIH SAYANG, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENUMPAHKAN MAKANAN KE LANTAI.

KETIKA BERUSIA 4 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEKOTAK PENSEL WARNA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENCONTENG DINDING.

BERUSIA 5 TAHUN, IBU MEMBELIKAN SEPASANG PAKAIAN BARU, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN BERGOLEK-GOLEK DALAM LOPAK KOTOR.

SETELAH BERUSIA 6 TAHUN, IBU MEMIMPIN TANGAN KITA KE SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENJERIT : “TAK NAK! TAK NAK!”

APABILA BERUSIA 7 TAHUN, IBU BELIKAN SEBIJI BOLA. CARA MENGUCAPKAN TERIMA KASIH IALAH KITA PECAHKAN CERMIN TINGKAP JIRAN.

MENJELANG USIA 8 TAHUN, IBU BELIKAN AISKRIM, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENGOTORKAN PAKAIAN IBU.

KETIKA BERUSIA 9 TAHUN, IBU MENGHANTAR KE SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN PONTENG KELAS.

BERUSIA 10 TAHUN IBU MENGHABISKAN MASA SEHARI SUNTUK MENEMANKAN KITA KE MANA SAJA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN TIDAK BERTEGUR SAPA DENGANNYA.

APABILA BERUSIA 12 TAHUN, IBU MENYURUH MEMBUAT KERJA SEKOLAH, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENONTON TELEVISYEN.

MENJELANG USIA 13 TAHUN, IBU SURUH PAKAI PAKAIAN YANG MENUTUP AURAT, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN MEMBERITAHU BAHAWA PAKAIAN ITU TIDAK SESUAI ZAMAN SEKARANG.

KETIKA BERUSIA 14 TAHUN, IBU TERPAKSA MENGIKAT PERUT UNTUK MEMBAYAR WANG PERSEKOLAHAN DAN ASRAMA, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN TIDAK MENULIS SEPUCUK SURAT PUN.

BERUSIA 15 TAHUN, IBU PULANG DARIPADA KERJA DAN RINDUKAN PELUKAN DAN CIUMAN, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH DENGAN MENGUNCI PINTU BILIK.

MENJELANG USIA 18 TAHUN, IBU MENANGIS GEMBIRA APABILA MENDAPAT TAHU KITA DITERIMA MASUK KE UNIVERSITI ATAU KOLEJ, KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN BERSUKARIA BERSAMA KAWAN-KAWAN.

KETIKA BERUSIA 19 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH MEMBAYAR YURAN PENGAJIAN, MENGHANTAR KE KAMPUS DAN MENGHERET BEG BESAR KE ASRAMA, KITA HANYA UCAPKAN SELAMAT JALAN PADA IBU DI LUAR ASRAMA KERANA MALU DENGAN KAWAN-KAWAN.

BERUSIA 20 TAHUN, IBU BERTANYA SAMA ADA KITA ADA TEMAN ISTEMEWA, KITA KATA, “…ITU BUKAN URUSAN IBU.”

SETELAH BERUSIA 21 TAHUN, IBU CUBA MEMBERIKAN PANDANGAN MENGENAI KERJAYA, KITA KATA, “SAYA TAK MAHU JADI SEPERTI IBU.”

APABILA BERUSIA 22-23 TAHUN, IBU MEMBELIKAN PERABOT UNTUK RUMAH BUJANG KITA. DI BELAKANG IBU KITA KATAKAN PADA KAWAN-KAWAN….”PERABOT PILIHAN IBU AKU TAK CANTIK, TAK BERKENAN AKUUU..!!”

MENJELANG USIA 24 TAHUN, IBU BERTEMU DENGAN BAKAL MENANTUNYA DAN BERTANYAKAN MENGENAI RANCANGAN MASA DEPAN, KITA MENJELING DAN MERUNGUT, “IBUUU, TOOOOOLONGLAHHH…. ARRGGHH!!”

KETIKA BERUSIA 25 TAHUN, IBU BERSUSAH PAYAH MENANGGUNG PERBELANJAAN MAJLIS PERKAHWINAN KITA. IBU MENANGIS DAN MEMBERITAHU BETAPA DIA SANGAT SAYANGKAN KITA TAPI KITA UCAPKAN TERIMA KASIH KEPADANYA DENGAN BERPINDAH JAUH DARIPADANYA.

PADA USIA 30 TAHUN, IBU MENELEFON MEMBERI NASIHAT DAN PETUA MENGENAI PENJAGAAN BAYI, KITA DENGAN MEGAH BERKATA, “…ITU DULU, SEKARANG ZAMAN MODEN.”

KETIKA BERUSIA 40 TAHUN, IBU MENELEFON MENGINGATKAN MENGENAI KENDURI-KENDARA DI KAMPUNG, KITA BERKATA, “KAMI SIBUK, TAK ADA MASA NAK DATANG.”

APABILA BERUSIA 50 TAHUN, IBU JATUH SAKIT DAN MEMINTA KITA MENJAGANYA, KITA BERCERITA MENGENAI KESIBUKAN DAN KISAH-KISAH IBUBAPA YANG MENJADI BEBAN KEPADA ANAK-ANAK.

DAN KEMUDIAN SUATI HARI, KITA MENDAPAT BERITA IBU MENINGGAL! KHABAR ITU BAGAIKAN PETIR! DALAM LELEHAN AIR MATA, BARULAH SEGALA PERBUATAN KITA TERHADAP IBU MENERPA SATU PERSATU.

Jika ibu masih ada, sayangilah dia. Jika dia telah meninggal dunia, ingatlah kasih dan sayangnya. Sayangilah ibu kerana kita semua hanya ada SEORANG IBU KANDUNG. Renung-renungkan.. :)

Category: Renungan & Motivasi | 2 Comments

Stress | Cara Mengawalnya

Monday, March 08th, 2010 | Author:

Siapa yang tiada masalah? Setiap orang ada masalah, bezanya sama ada ianya masalah kecil atau besar je. Masalah berlaku berbeza-beza. Masalah di tempat kerja, kesesakan lalulintas, masalah perhubungan, dan kesibukan melayan kerenah anak–anak di rumah sangat memeningkan kepala. Kadangkala tension jadinya. Dalam erti kata lain, kita sebenarnya mengalami stress atau tekanan.

Stress adalah penyakit emosi yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita. Pada umumnya, stress ialah ancaman terhadap individu. Ianya lahir daripada perubahan luaran atau dalaman yang melebihi keupayaan individu untuk mengendalikannya sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Tanda–tanda stress boleh dibahagikan kepada empat iaitu fizikal, psikologikal, tingkah laku dan sosial…

TANDA FIZIKAL

1.    Sakit kepala.
2.    Cepat penat, lemah, letih, tidak bermaya dan banyak berpeluh.
3.    Berdebar–debar, sakit dada, sesak nafas seolah–olah sakit jantung.
4.    Cirit–birit, kerap buang air dan mudah mendapat penyakit fizikal seperti asma, sakit jantung, darah tinggi dan diabetis.
5.    Penyakit kulit dan kanser. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan keadaan pesakit bergantung kepada turun naik emosi. Penyakit barah misalnya, lebih cenderung mengalami stress. Kajian juga menunjukkan sesiapa yang mengalami stress yang tinggi, mati dalam usia yang muda.

TANDA PSIKOLOGIKAL

Tension, tidak tenang, risau, resah, murung, sedih, cepat marah (moody) dan cepat bosan.

TANDA SOSIAL

1.    Hubungan antara suami, isteri, jiran dan rakan sekerja yang terjejas.
2.    Penyalahgunaan najis dadah.
3.    Menghisap rokok secara berlebihan.
4.    Kemalangan.
5.    Selalu ponteng kerja.
6.    Produktiviti merosot.

Sebenarnya apa yang menyebabkan kita stress? :)

Keadaan Fizikal

1.    Persekitaran yang kotor, bising, sesak sama ada di rumah atau di tempat kerja.
2.    Penyakit fizikal seperti penyakit jantung.

Psikologikal

Berlakunya perubahan yang memerlukan penyesuaian seperti :

1.    Perubahan tempat kerja seperti majikan, rakan atau persekitaran yang baru.
2.    Memulakan alam rumahtangga.
3.    Kehilangan orang yang tersayang atau harta benda.
4.    Berasa tercabar atau terancam. Contohnya, lambat datang kerja menimbulkan perasaan takut dimarahi bos, bersalah terhadap dosa yang dilakukan atau gagal penuhi cita–cita.

Kebanyakan mereka yang mengalami stress terdiri daripada golongan yang bekerja. Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan stress di tempat kerja. Antaranya :

1.    Pekerjaan yang terdedah kepada kecederaan dan keselamatan.
2.    Beban kerja terlampau banyak.
3.    Bekerja dalam tempoh yang panjang.
4.    Terlibat dengan orang ramai seperti jururawat dan doktor.
5.    Hubungan antara organisasi. Contohnya, tidak boleh menyesuaikan diri dengan rakan sekerja dan adakalanya bertentangan dengan peribadi, kepercayaan atau agama.
6.    Konflik peranan.
7.    Kekaburan tugas.
8.    Sikap ketua/bos di tempat kerja.

Tapi, bukan semua orang yang menghadapi stress akan mengalami kesan yang sama. Tindak balas terhadap stress bergantung kepada personaliti seseorang itu. Antara personaliti tersebut ialah:

Personaliti A
Personaliti ini banyak dikaitkan dengan penyakit yang berkaitan dengan stress seperti jantung dan darah tinggi. Biasanya seseorang yang mempunyai personaliti A bercita–cita amat tinggi, motovasi diri yang tinggi, kuat bekerja, selalu sibuk dan cemas serta sentiasa mementingkan kerja manakal hal–hal lain adalah tidak penting.

Golongan ini banyak mneghabiskan masa untuk bekeja tanpa fikirkan keseronokan. Golongan ini juga kurang mempunyai hubungan dengan orang lain. Mereka selalunya tidak dapat menerima kegagalan.

Personaliti B
Individu yang tenang, membuat kerja satu persatu, tidak terburu–buru mempunyai ekspektasi yang realistik dan boleh menerima kegagalan. Golongan ini boleh mengendalikan stress dengan baik,

Personaliti Bimbang
Individu yang mudah risau dan tension dalam apa jua keadaan walaupun hanya melibatkan perkara kecil.

Personaliti Tidak Asertif
Individu yang berpesonaliti seperti ini biasanya tidak selesa meluahkan perasaan marah, tidak seronok atau tidak suka. Lebih suka memendam perasaan dan tidak selelsa menerima pertolongan orang lain serta menanggung segala beban sendiri. Golongan ini juga tidak boleh mengatakan ‘tidak’.

Perbagai cara untuk mengatasi stress. Sebenarnya banyak cara, antaranya..

1.   Sokongan moral dan sosial daripada keluarga, rakan sekerja dan ketua.
2.   Mengubah persekitaran, tindakbalas dan persepsi. Kenal pasti tempat baru yang akan dituju agar dapat mengurung stress.
3.   Menanam tabiat yang dapat meningkatkan rintangan terhadap stress. Contohnya, mengamalkan cara hidup yang sihat, pemakanan yang seimbang, mengimbangi kehidupan kita dan melakukan kerja secara tenang.
4.   Ambil masalah yang dihadapi secara positif. Contohnya, anggaplah segala musibah yang datang sebagai penghapus dosa. Kesedihan, kesusahan di dunia adalah kegembiraan di akhirat.
5.   Meluahkan perasaan  dan berkongsi masalah.
6.   Mengendalikan perasaan dan masalah secara berkesan.
7.   Melakukan sesuatu untuk menghilangkan kebosanan.
8.   Membentuk jaringan sokongan yang baik, pengurusan masa, perubahan persepsi dan menerima kenyataan.
9.   Mengimbangi aktiviti.
10. Ubahsuai prinsip hidup.
11. Menerima stress sebahagian dari hidup.

Walau apapun, jangan biarkan stress menghantui kehidupan kita.. cuba atasinya dengan cara yang bijak. Stress boleh mengundang banyak keburukan jika ianya dipandang remeh dan dibiarkan tanpa ada usaha untuk mengatasinya.

Berikut doa yang sesuai dibaca jika mengalami stress (saya rujuk daripada laman web Darussyifa’ Online)..

Anda boleh rujuk post saya terdahulu yang topiknya berkaitan, boleh rujuk di

Bagaimana Menghadapi Tegangan Dan Tekanan

Category: Renungan & Motivasi | 4 Comments

Siapa Umat Terbaik?

Tuesday, March 02nd, 2010 | Author:

Sejak peristiwa 11 September, umat Islam dipandang serong oleh dunia barat. Walaupun secara jelasnya kita tahu bahawa semua yang berlaku adalah agenda dan propaganda barat untuk melemahkan Islam dan umatnya. Ditambah pula dengan sikap sesetengah umat Islam yang bertindak melulu dan kurang bijak sehinggakan mengiakan tanggapan pemikiran pihak anti-Islam bertambah ‘ganas’ terhadap umat Islam.

Sebenarnya kita merupakan umat pilihan di sisi Allah swt. Malah boleh kita katakan kita merupakan umat yang terbaik berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Imran, ayat 110 bermaksud, “Kamu merupakan umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia. Kamu menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah“. Mengikut Imam Qatadah, Khalifah Omar Al-Khattab pernah berkata berhubung ayat ini, sesiapa yang suka digolongkan dalam golongan umat yang terbaik ini, tunaikanlah syarat Allah s.w.t yang terdapat dalam ayat ini.

Sahabat nabi s.a.w berjaya menunaikan syarat-syarat ini. Syarat-syarat ini ialah :

1 ) Mengajak kepada maa’ruf (Amal Maa’ruf),

2 ) Mencegah kemungkaran (Nahi Mungkar) dan

3 ) Beriman dan melaksanakan tuntutan iman yang telah ditetapkan oleh Allah.

Perkara ini telah berjaya ditunaikan oleh para sahabat. Justeru mereka telah berjaya mencipta sejarah kegemilangan yang tidak ada tolok bandingannya. Jika kita pada hari ini juga mampu melaksanakan syarat-syarat yang 3 ini, insya-Allah kita juga akan pasti berjaya.

Sebenarnya dunia tidak pernah menemui golongan sehebat umat ini. Mengikut sebuah hadis bertaraf hasan yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, “Kamu menggenapkan 70 umat yang diutus dan kamu merupakan golongan yang terbaik dan termulia dari kalangan mereka “.

Dunia, terutamanya dunia barat sepatutnya berterima kasih kepada umat ini kerana tanpa sumbangan kita iaitu umat islam, dunia tidak akan mengecap kemajuan dan pembanggunan seperti yang dikecap pada hari ini. Hal ini pernah dinyatakan tanpa segan silu oleh Carleton S ataupun Carly Fiorina, Pengerusi ataupun CEO Hewlett Packard Company. Ketika beliau menyampaikan ucapan yang bertajuk “Technology Business And Our Way Of Life: What’s next?” pada 26 September 2001 di Minneapolis Minnerota.

Beliau berkata,  “Pada suatu ketika dahulu, wujud satu tamadun yang terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan menjangkau kawasan utara tropika dan padang pasir. Di bawah kekuasaannya terdapat ratusan juta manusia dari perbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini iaitu bahasa arab. Tentera-tenteranya dianggotai oleh manusia dari perbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingannya, Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin hingga ke negara China dan juga antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkah oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina banggunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep Algebra dan Algoritma dan konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan ‘encryption’ pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan untuk merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya menoropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekaligus membuka jalan kepada penerokaan angkasa raya. Penulis-penulisnya telah menulis ribuan cerita “.

Akhirnya Carly Fiorina menutup ucapannya dengan berkata,  “Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya ialah tamadun Islam yang berkembang dari tahun 800 – 1600 masihi“.

Itulah kita… kita yang bernama atau digelar umat Islam. Umat terbaik yang dicipta oleh Allah s.w.t. Umat yang dipuji oleh ramai tokoh di barat termasuk Carly Fiorina. Umat ini terbaik kerana mereka mementingkan ilmu, takwa dan amal.

Jadi, marilah sama-sama kita mementingkan ilmu, takwa dan amal. Kita ledakkan ketiga-tiga ini dalam diri, keluarga dan seluruh kehidupan kita dan insya-Allah dengan itu kita akan menegakkan yang maa’ruf dan meruntuhkan kemungkaran dan melaksanakan tuntutan iman kepada Allah s.w.t. Semoga kita dapat melaksanakan agenda ini, insya-Allah. :)

Category: Islam, Renungan & Motivasi | 3 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes