Home

Archive » February, 2010 «

Bagaimana Menghadapi Tegangan & Tekanan

Tuesday, February 23rd, 2010 | Author:

Setiap hari, ada-ada sahaja perkara yang mencabar kesabaran dan menekan jiwa kita.. betul tak? Anak meragam, suami atau isteri buat tidak peduli, isteri merajuk atau bermasam muka, rakan sepejabat mengumpat di belakang, perniagaan tidak menguntungkan, saham jatuh nilai dan lain-lain lagi. Begitulah nasib kita manusia. Sejauh mana pun kita cuba untuk mengelakkan perkara-perkara yang mengganggu keselesaan kita, ia tetap akan berlaku juga.

Sebagai makhluk yang ciptaan Allah, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan-Nya. Kalau Allah mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita menjadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga. Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa.

Jadi, persediaan apa dan bagaimana yang perlu kita buat untuk menghilangkan tekanan ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib ‘malang’ yang pasti menimpa kita? Di sini saya berikan beberapa tips, antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Allah s.w.t sebagai  pemberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa. Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat dan ditentukan oleh Allah s.w.t. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu, Allah s.w.t jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Allah s.w.t timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Allah s.w.t ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:

a. Kalau Allah s.w.t sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari-Nya. Antara maksud-maksud baik Allah s.w.t ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

b. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Allah s.w.t tidak membantu kita.

c. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Allah s.w.t mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita leraikan rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Allah s.w.t sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

d. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan.

Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita ‘tension’. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tertekan kita boleh jadi marah-marah tidak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan Allah s.w.t.

3. Kita hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Allah s.w.t secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan mendapat hasil yang negatif.

Contohnya: Kita ditakdirkan mendapat anak-anak yang nakal. Setiap hari, ada sahaja kelakuannya yang sangat mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita, “Kerana dosa akulah anak-anak aku ini nakal.  Allah s.w.t buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yang lepas.” Ataupun kita boleh berkata begini, “Tuhan beri aku ujian ini untuk memberi aku pahala sabar. Kalau aku sabar, bukan sahaja aku akan dapat ganjaran di sisi Tuhan tetapi yang lebih penting, aku dapat mendekatkan diri kepada Tuhan.”

Kalau beginilah penerimaan kita, tentulah kita tidak akan marah-marah atau membebel, merotan, memukul dan menghukum anak di luar batasan atau mengamuk-ngamuk kepada pasangan kita pula. Sebaliknya, kita akan terus-menerus menasihatinya dengan baik dan mendoakan anak kita agar dia menjadi anak yang soleh satu hari nanti. Dan lazimnya, berkat baik sangkanya kita kepada Allah s.w.t, anak itu akan menjadi anak yang baik apabila dia besar. Ini selaras dengan firman Tuhan yang maksudnya: “Aku di atas sangkaan hamba-hamba-Ku ke atas-Ku. ”

Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram dengan menghukum anak serta terbawa-bawa sikap marah itu kepada orang lain. Hati kita mungkin berkata, “Kenapalah Tuhan berikan aku anak yang senakal ini,” ..atau kita akan berkata, “Tidak guna dapat anak macam ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan saja.” Akibat didikan yang kasar itu serta sangkaan-sangkaan yang buruk terhadap Allah s.w.t, anak itu bila besar kelak akan menjadi anak yang tidak baik akhlaknya. Tension yang kita hadapi bila anak itu kecil akan terus kita hadapi sehingga dia besar. Bukan sahaja anak kita yang rugi, kita juga akan turut rugi sama. Ini semua kerana buruk sangkanya kita dan tidak pandainya kita menerima takdir Tuhan.

Terimalah segala takdir Allah s.w.t dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapat  menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik (mazmumah) dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita. :)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Gejala Sosial, Di Mana Silapnya?

Tuesday, February 16th, 2010 | Author:

Sedih dan sangat kecewa bila mendengar isu pembuangan bayi di negara kita semakin menjadi-jadi, ditambah pula dengan berbagai-bagai tangkapan khalwat oleh pihak berwajib ke atas muda-mudi (termasuk pelajar institusi pengajian tinggi) pada malam tahun baru cina yang lalu. Apa dah jadi? Siapa yang perlu dipersalahkan? Remaja? Ibubapa? Sekolah? Intitusi pengajian tinggi? Pihak berwajib? Kerajaan? Atau… siapa?! Ramai yang mencadangkan pelbagai hukuman berat patut dikenakan kepada pesalah, walaupun banyak pro dan kontranya. Tapi adakah kita mahu melihat hukuman dikenakan atau membenteras sebelum ianya berlaku?

Pembangunan sebuah negara itu memang bergantung kepada sikap dan komitmen pemerintah dan rakyatnya yang memerlukan keduanya bekerjasama erat dan padu. Banyak isu yang perlu diambil kira seperti pembangunan infrastruktur, tenaga kerja, ekonomi, politik, keagamaan dan sebagainya. Semua itu menjurus kepada pembangunan negara yang kukuh dan terarah yang mana nanti akan menjamin kemakmuran dan kestabilan negara dan bangsa.

Namun dalam membangun negara, kita tidak wajar hanya membabitkan bidang kemahiran dan kepakaran tertentu sahaja, tetapi juga ianya perlu seiring dengan pengukuhan sistem nilai yang mana nanti akan memantapkan pembangunan moral, nilai murni dan budi pekerti yang tinggi.

Negara kita perlu memiliki rakyatnya yang berbudi bahasa, bertanggungjawab, hormat-menghormati, amanah dan jujur serta berintegriti kerana sistem nilai akan dijadikan kayu pengukur sebenar tahap moral dan sosial sesebuah negara. Dengan yang demikian pembangunan negara akan menjadi seimbang dengan pembangunan sosial khususnya dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang hidup aman damai dan sejahtera.

Jika diteliti, gejala sosial yang berlaku pada ketika ini adalah sangat berkait rapat dengan nilai hidup sesebuah masyarakat, keluarga atau individu. Oleh itu, dalam usaha ke arah menangani pelbagai masalah sosial yang wujud, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin dan sentiasa mengawasi aktiviti dan pergerakan anak-anak remaja mereka.

Pada masa yang sama, ibu bapa juga hendaklah meningkatkan lagi komitmen bagi membina sebuah kelaurga yang harmoni, memupuk nilai positif supaya anak-anak kita menjadi warganegara yang produktif, sihat dan mempunyai semangat patriotisme dan sikap mandiri yang tinggi.

Pihak kerajaan melalui agensi-agensi tertentu serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga telah dan akan terus memainkan peranan, berganding bahu bagi meningkatkan usaha mengatasi masalah sosial. Setiap batang tubuh individu dan keluarga juga perlu membina kekuatan dalaman sebagai asas utama kehidupan.

Kekuatan dalaman yang dimaksudkan di sini adalah kekuatan iman dan takwa, kerana dengannya kita akan menjadi takut dan ragu untuk melakukan sebarang perbuatan yang tidak mendatangkan faedah atau perbuatan yang sia-sia apatah lagi perbuatan yang memang dilarang oleh agama dan masyarakat untuk dilakukan.

Hal ini memang jelas apabila setiap keluarga dan individu itu perlu mempunyai peranan masing-masing untuk membendung pengaruh negatif luaran kerana kekuatan dalaman dan keluarga perlu menghadapi masalah serta pelbagai penyakit sosial.

Walaupun kekuatan kekeluargaan dan penguatkuasaan undang-undang begitu dekat persamaannya, apa yang lebih penting ialah kebolehan kita memastikan rumah, tempat kerja, sekolah dan persekitaran kita adalah bebas daripada gejala sosial.

Negara memerlukan generasi pewaris yang bijak, berpengetahuan, mandiri, kuat fizikal dan mental serta kukuh kekuatan dalaman, berwibawa, berwawasan, berdaya saing, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat, bangsa dan negara, bermotivasi tinggi, kreatif, dedikasi dan berfikiran positif dan luas.

Dalam usaha meningkatkan kekuatan dan kekukuhan institusi keluarga bagi melaksanakan tanggungjawab ke arah menangani gejala sosial, peningkatan kemahiran keibubapaan atau bimbingan seumpamanya adalah sangat dititikberatkan.

Pada saya, rata-rata kita di negara ini mendirikan rumah tangga pada usia di sekitar 20 hingga ke 30 tahun. Malahan aliran yang ada sekarang ramai remaja yang sama ada kahwin awal atau ‘terpaksa’ kahwin awal. Dengan yang demikian mereka menjadi ibu bapa yang muda pada usia dan pengalaman dan terpaksa memikul tanggungjawab membesar dan mengasuh anak. Tanggungjawab seumpama ini adalah satu kemahiran, walaupun ianya menjadi suatu tanggungjawab mutlak bagi ibu bapa.

Dengan yang demikian komitmen dan motivasi dalaman untuk membabitkan diri dalam membangun akhlak anak dan remaja adalah tidak boleh diabaikan. Sikap dan sistem nilai harus dipupuk kepada setiap anggota keluarga bagi memastikan anak-anak dibesarkan dalam suasana harmoni serta diserapkan dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran masa depan.

Marilah kita kembali kepada akal umbinya. Ilmu keagamaan tentunya menjanjikan kekuatan jiwa kepada kita bukan saja untuk pelindung diri sendiri, malah membimbing dan mendidik anak dan masyarakat mengenal erti perikemanusiaan atau keinsanan.

Category: Renungan & Motivasi | 5 Comments

Pengisian Masa Paling Berkesan

Sunday, February 14th, 2010 | Author:

Tentu ramai di kalangan sahabat-sahabat yang sedang bercuti panjang (walaupun hanya seminggu) sempena Tahun Baru Cina. Sejak semalam ramai rakan-rakan saya yang tidak online mungkin kerana balik ke kampung atau pergi melancong ke mana-mana destinasi indah, tidak kiralah sama ada di Malaysia atau luar negara. Bagaimana dengan anda? Sedang bercuti di pulau, balik kampung atau sekadar di rumah bersama keluarga? Bagaimana dengan pengisian kehidupan anda seharian agaknya?

Aktivis pertubuhan Islam di Amerika Syarikat, Dr Hisham Yahya Al-Talib pernah menulis, “Apakah yang terpanjang, terpendek, terpantas dan sangat perlahan, kita semua tidak mengendahkannya, tetapi selepas itu, kita semua menyesalinya? Tiada apa pun yang dapat dilakukan tanpanya, ia menelan segala yang kecil dan membina segala yang besar?”

Itulah dia yang dinamakan ‘MASA’.

Masa adalah yang terpanjang kerana masa adalah ukuran keabadian dan juga yang terpendek. Hal ini kerana tiada seorang pun antara kita yang mempunyai masa yang cukup untuk menyiap atau menyempurnakan segala tugas dalam kehidupan. Bagi mereka yang gembira, masa berlalu terlalu cepat. Tetapi bagi mereka yang menderita, masa berlaku terlalu lambat. Tiada apa-apa pun yang dapat dilakukan tanpanya. Hal ini kerana masa adalah satu-satunya pentas kehidupan kita. Masa juga adalah unsur asas bagi pembentukan kehidupan. Masa menelan semua yang tidak berfaedah daripada generasi dalam bentuk kelalaian dan mengekalkan semua yang hebat dan berharga. Manusia terbahagi kepada dua kategori. Pertama, manusia malang iaitu kumpulan yang murung atau pasif yang selalu memulakan sesuatu pada keesokan hari atau dengan perkataan lain, suka bertangguh. Satu kategori lagi ialah kumpulan manusia yang hebat dan bersedia melakukan sesuatu berfaedah dengan segera. Bagi mereka tidak ada hari esok.

Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan kejam. Ramai percaya kepada ungkapan masa itu emas atau masa itu wang. Anehnya, kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan sesiapa pun mencuri wang kita walaupun hakikatnya membiarkan manusia serta benda lain meragut masa kita. Setiap pagi apabila bangun daripada tidur, buku catatan peribadi sudah tersedia untuk dipenuhi dalam masa 24 jam. Diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda bermaksud: “Pada setiap kali terbit fajar, ada dua malaikat menyeru: “Wahai anak Adam, aku adalah hari yang baru dan aku datang untuk menyaksikan semua amalan kamu. Oleh itu manfaatkan aku sebaik-baiknya kerana aku tidak kembali lagi hingga Hari Kiamat.”

Pada setiap hari, masa perlu diisi dengan perkara berfaedah dan mendatangkan kebaikan sama ada di dunia atau akhirat. Sebagai manusia yang dikurniakan akal, kita boleh berfikir dan merancang pekerjaan yang mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat. Rasulullah mengajar kita pelbagai amalan yang boleh dilakukan pada minit terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Apa-apa yang diajar kepada kita, sebenarnya sangat mudah. Tetapi, faedahnya cukup besar, terutama sebagai bekalan untuk menghadapi hari kemudian yang semakin hampir. Antaranya ialah membaca Surah al-Mulk. Surah yang mengandungi 30 ayat itu boleh dibaca dalam masa lima minit saja. Surah ini jika dibaca setiap hari dapat menyelamatkan kita daripada seksaan kubur. Dalam satu riwayat, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku bercita-cita supaya surah ini terpahat dalam hati setiap insan dari kalangan umatku.”

Surah al-Waqi’ah yang mengandungi 96 ayat dan boleh dihabiskan dalam masa lapan minit juga elok dijadikan amalan. Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan menjadi papa selama-lamanya.” Begitu juga dengan Surah Yasin yang mengandungi 83 ayat dan memakan masa 12 minit untuk dibaca. Kegunaannya seperti yang diakui oleh kebanyakan ulama bahawa tidak dibacakan surah ini ketika berada dalam kesulitan kecuali dimudahkan Allah kesulitan itu.

Mungkin ada yang berasa sukar untuk membaca surah-surah ini jika tidak menghafaznya. Bagi mereka ada gantinya. Bacalah ‘Qul Huwallahu Ahad’ (Surah al-Ikhlas) sebanyak tiga kali yang mengambil masa 15 saat saja. Pahalanya menyamai dengan membaca sebuah al-Quran! Zikir tertentu sangat besar gunanya. Dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallahi wa biham dihi’ ditanamkan untuknya sebatang pokok kurma di syurga.” Dalam riwayat lain Baginda bersabda bermaksud: “Sesiapa yang berkata ‘Subhanallahi wa biham dihi’ 100 kali dalam sehari, dihapuskan kesalahannya meskipun kesalahan itu sebanyak buih di lautan.”

Pengulangan zikir itu sebanyak 100 kali hanya memerlukan masa hanya tiga minit. Sudah ada kebun kurma di syurga, pastinya kita memerlukan kediaman untuk beristirehat. Untuk mendapat sebuah rumah, Rasulullah mengajar umatnya supaya mengerjakan solat sunat rawatib 12 rakaat dalam satu hari, dua rakaat sebelum fardu Subuh, dua sebelum fardu Zuhur serta dua selepasnya, dua selepas fardu Maghrib dan dua selepas fardu Isyak. Setiap dua rakaat solat sunat rawatib itu memakan masa tiga minit, maka 12 rakaat hanya memerlukan 18 minit.

Itu hanya contoh. Jika dikira sekalipun, jumlah amalan itu tidak sampai satu jam daripada 24 jam yang Allah berikan kepada kita. Namun begitu jika tidak dirancang, masa itu berlalu dengan sia-sia. Banyak lagi ayat dan zikir pada waktu pagi, petang atau malam yang boleh diamalkan, khususnya pada waktu terluang yang biasanya dibiarkan berlalu begitu saja. Ibnu Mas’ud berkata bahawa Rasulullah bersabda kepadanya: “Aku bertemu dengan Nabi Ibrahim pada malam aku diisrakkan. Baginda berkata kepadaku: “Wahai Muhammad! Sampaikan kepada umat kamu salam dariku. “Khabarkan kepada mereka, sesungguhnya syurga adalah tanah yang subur, airnya jernih lagi nyaman. Ia kosong dan lapang. Tanamannya ialah: Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah, Allahu Akbar.” (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Perlu diingat bahawa apa-apa pun yang dilakukan harus berdasar kepada keimanan yang tulus suci dan keikhlasan yang murni. Tanpa keikhlasan amalan itu tidak bermakna dan hancur laksana debu berterbangan. Firman Allah bermaksud: “Dan Kami tujukan perbincangan kepada apa yang mereka kerjakan daripada jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqan, ayat 23). Amalan baik yang dilakukan dengan perancangan betul, berlandaskan keimanan dan mengharap rahmat serta reda Ilahi pasti membuahkan kejayaan baik di dunia mahupun akhirat.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa yang beramal salih, baik lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, ayat 97).

Semoga pengisian masa hidup kita penuh dengan kebaikan dan ilmu. :)

Category: Renungan & Motivasi | 3 Comments

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes