Home

Archive » February, 2010 «

Eratkan Hubungan Dengan Anak

Saturday, February 27th, 2010 | Author:

Fikirkan situasi ini..

Puan Amnah bimbang mengenai anak perempuannya, Sofea yang berusia tujuh tahun. Sejak beberapa minggu yang lalu, Sofea seolah-olah dingin dan pendiam. Bila Puan Amnah menegur anak perempuannya untuk mendapatkan maklumat, dia tidak diendahkan. Jelas sekali perhubungannya dengan Sofea semakin buruk. Ketika Puan Amnah merenungkan keadaan emosi Sofea, beliau mulai sedar bahawa sejak beberapa bulan lalu, tidak banyak masa diluangkan untuk bersama anak perempuannya itu disebabkan tugas barunya. Apabila beliau dapat meluangkan masa sekali pun, ia seolah-olah hanya berkisar mengenai kerja rumah. Apakah yang perlu dilakukan oleh Puan Amnah?

Apabila ibubapa bimbang mengenai kualiti perhubungan mereka dengan anak-anak, mereka perlu mempertimbangkan dua perkara. Pertama sama ada anak mahu memberitahu perasaan mereka.. dan kedua, sama ada anak ingin berkongsi dengan ibubapa.

Menyatakan perasaan hati adalah satu petunjuk penting kualiti perhubungan. Kanak-kanak biasanya tidak banyak bercakap mengenai perasaan mereka dan oleh itu, apabila mereka memberitahu seseorang mengenai perasaan mereka, itu menandakan keyakinan.

Untuk memberitahu seseorang tentang rahsia anda, terutama apa yang anda suka dan tidak suka dan perasaan yang memalukan memerlukan sifat keberanian. Apabila seseorang anak melakukannya, dia membukakan pintu emosinya. Di peringkat ini, ibubapa perlu berhati-hati agar tidak mengeksploitasi kepercayaan ini dengan menyuruhnya membuat lebih banyak kerja rumah.

Ramai yang berpendapat bahawa perkembangan perhubungan anak-ibubapa adalah sesuatu yang semulajadi dan dapat mengatasi ribut emosi kehidupan berkeluarga. Bagaimanapun, penyelidikan ke atas kanak-kanak menunjukkan bahawa banyak perkara yang boleh menjejaskan perhubungan antara anak dengan ibubapa.

Konflik berterusan antara ibubapa adalah sesuatu yang akan mengganggu mana-mana anak pun. Bila ini berlaku, anak berasa resah dan runsing. Malah ada sesetengah yang menyalahkan diri sendiri di atas pertengkaran ibubapa mereka lalu mengunci hati dan mengasingkan diri daripada semua orang.

Kita lazimnya tidak menganggap bahawa mempunyai seseorang yang sakit di dalam keluarga boleh menimbulkan masalah, namun gangguan memang berlaku. Apabila ibubapa meluangkan banyak masa terhadap anggota keluarga yang sakit, anak-anak berasa diabaikan. Mereka mula membuat perangai untuk mendapatkan perhatian, dan ini menjengkelkan ibubapa, lalu mengakibatkan tindakbalas kasar, dan dengan itu menjejaskan perhubungan.

Mungkin, peramal paling penting mengenai kualiti perhubungan ialah gaya pendisiplinan. Jika seseorang ibu atau bapa terlampau berkeras dengan anak, si anak mungkin berasa takut untuk berinteraksi dengan ibu atau bapa itu. Sebaliknya, jika ibubapa tidak terlibat dengan keperluan seharian si anak, anak itu belajar untuk mengalih perhatian kepada mereka yang lebih terlibat. Tidak mengejutkan, ramai anak yang mempunyai perhubungan lebih kukuh dengan pembantu rumah, berbanding dengan ibubapa mereka.

Apabila seseorang anak mempunyai perhubungan yang baik dengan ibubapanya, ia memberi maksud bahawa anak itu berasa lebih terjamin di rumah dan lebih gembira. Ini menghasilkan jati diri lebih tinggi dan kesihatan mental positif secara umumnya. Seperkara lagi, seseorang ibu atau bapa yang mempunyai hubungan lebih kukuh dengan anaknya juga berada dalam keadaan yang lebih baik untuk membimbing anak itu, dan dengan demikian masalah pendisiplinan mungkin dikurangkan.

Banyak perkara yang ibubapa boleh lakukan untuk memperbaiki perhubungan dengan anak-anak mereka. Di sini ada beberapa cadangan (yang mungkin boleh membantu):

Menerima anak anda seadanya

Setiap orang mempunyai keperluan untuk diterima seperti seadanya. Apabila seseorang bersikap terlalu menilai tabiat semulajadi dan keterampilan fizikal seseorang, anda menjauhkan diri daripada orang itu. Begitu juga dengan kanak-kanak. Oleh itu, jika ibu bapa boleh belajar menerima kekuatan dan kekurangan anak, juga sikap suka dan tidak sukanya, anak akan berasa bahawa ibubapa adalah orang yang boleh dibawa berbual.

Ketahui minat anak anda

Untuk mengenali seseorang, bererti mengetahui citarasa orang itu. Di mana yang berkaitan dengan kanak-kanak, ia bererti mengetahui makanan kegemaran dan yang lebih penting, permainan kegemaran mereka. Bermain barangkali adalah satu aktiviti amat penting untuk semua kanak-kanak.

Apabila ibubapa menaruh minat di dalam permainan si anak, dan cuba sedaya upaya untuk ikut serta, anak memandang ibubapa sebagai rakan.

Luangkan masa untuk bermain dengan anak anda

Meluangkan masa dengan seseorang anak adalah satu perkara. Setiap ibubapa melakukannya, dan ramai memberitahu kita bahawa ia dilakukan menerusi tuisyen dan penghantaran anak dari satu tempat ke tempat yang lain. Malangnya, perspektif yang kanak-kanak ambil adalah berbeza daripada orang dewasa. Oleh itu, masa umum yang ibubapa luangkan dengan anak-anak mereka tidak dianggap sebagai menyeronokkan. Bagi seseorang anak, bermain adalah menyeronokkan, dan oleh itu ibubapa perlu mencari sedikit masa setiap hari untuk bermain dengan anak-anak mereka.

Perhatikan dan puji anak anda mengenai perkara-perkara baik yang mereka lakukan

Manusia menjadi mesra kepada yang lain, apabila mereka mempunyai kemesraan di dalam diri. Kemesraan ini boleh diwujudkan dengan cara menyebut perkara-perkara yang baik mengenai orang lain. Ini bererti pujian dan sanjungan. Siapa yang tidak suka bila dipuji, kan? :) Apabila ibubapa memerhatikan anak-anak mereka melakukan perkara-perkara yang positif, dan memberi pujian yang positif, anak-anak memandang ibubapa mereka secara yang positif. Dengan itu, mereka akan cenderung untuk berinteraksi dengan ibubapa mereka bagi mendapatkan lebih banyak maklum balas yang positif.

Dengar apa yang ingin diperkatakan oleh anak anda

Apabila ibubapa meluangkan masa dengan anak, ia juga adalah satu peluang untuk memahami anak itu. Memahami seseorang bererti menyedari perasaan mereka mengenai sesuatu perkara. Cara yang terbaik untuk melakukan ini ialah dengan mendengar apa yang anak itu kata dan rasakan. Apabila ini berlaku, anak-anak sedar bahawa ibubapa mereka memberi perhatian kepada mereka, lalu bersedia untuk bercakap lebih banyak lagi.

Memupuk perhubungan yang positif dengan anak anda adalah penting. Ia lebih mudah dilakukan semasa mereka lebih muda, berbanding ketika mereka lebih tua. Ini membina asas yang kukuh untuk kepercayaan dan kehidupan berkeluarga yang lebih terjamin. Berinteraksi dengan anak-anak boleh dicapai dengan cara yang menggembirakan dan munasabah. Bagi kebanyakan mereka, ia adalah permulaan satu fasa baru dalam kehidupan berkeluarga. Bercakaplah dengan anak-anak anda. Lakukannya sekarang, dan anda pasti akan melihat kesihatan mental yang positif untuk jangka masa yang panjang.

Kerakusan muda-mudi hari ini melayan kerenah nafsu sehingga berlakunya pembuangan anak, malah dibakar.. belum lagi reda dan selesai, sekarang kita dikejutkan pula dengan kes penderaan kanak-kanak yang cukup sadis dan hina. Mahukah kita sebagai ibubapa ditimpa masalah sebegini..

Sama-samalah kita bermuhasabah dan insaf atas apa yang berlaku. Jadikan pedoman dan iktibar, jangan biarkan ianya berlaku kepada keluarga kita tersayang. Renung-renungkan… :(

Category: Renungan & Motivasi, Topik Bebas | 2 Comments

Kejayaan + Kehidupan

Friday, February 26th, 2010 | Author:

Setiap usaha yang kita buat semestinya bermatlamatkan kejayaan. Kalau kerja yang dibuat tanpa mengharapkan kejayaan, bermakna ianya tidak bermatlamat. Yang pasti, setiap manusia yang waras, tentu mengimpikan kejayaan sama ada untuk dirinya sendiri atau orang lain.

“Sebenarnya apakah itu KAJAYAAN?” Kejayaan adalah peningkatan segala sesuatu yang berharga, yang anda inginkan dari kehidupan.

Objek dari hasrat hati boleh berubah dan sangat berbeza antara seorang dengan seorang individu yang lain. Semua ini bergantung pada nilai-nilai yang terdapat pada diri kita. Untuk seseorang tertentu, pengumpulan wang merupakan tanda kejayaan. Bagi orang lain pula, kejayaan bererti membesarkan anak-anak yang baik, bahagia dan sihat. Bagi yang lain pula, bererti memberikan perkhidmatan kemanusiaan seperti menjadi guru, imam, pekerja sosial: Peningkatan dalam bidang usaha tertentu akan dikatakan kejayaan oleh orang lain.

Apa pun erti kejayaan bagi kita, ianya harus selalu disertai dengan kebahagiaan dan kedamaian batin. Secara umum kita sering mengatakan lelaki dan wanita yang kaya sebagai orang yang berjaya. Sedangkan beberapa kegagalan terbesar dalam hidup adalah memiliki berjuta-juta ringgit tetapi hidupnya menderita. Sebenarnya wang tidak pernah menjadi ukuran kejayaan.

Allah s.w.t tidak pernah mengharap makhluk-Nya akan menjalani hidup yang sempit dan merana. Kita diciptakan untuk sama-sama menikmati keberkatan hidup yang melimpah. Kita dicipta untuk berkongsi kelimpahan yang mengelilingi kita. Wang memang baik, tetapi tidak sepatutnya dinilai lebih tinggi dari darjat manusia.

Apa pun peningkatan berharga yang anda kehendaki dalam hidup ini, boleh anda perolehi. Kita mempunyai anugerah lengkap untuk mendapatkan kejayaan. Tidak ada seorang pun yang dapat menghalang anda untuk berjaya, kecuali diri anda sendiri. Anda memiliki kekuatan dan kemampuan dalam diri anda. Jarak antara anda dengan peningkatan kejayaan harus ditempuh dengan pengembangan, pembentangan kekuatan dan kemampuan yang ada dalam diri anda.

Apa yang penting ialah kita sedar bahawa setiap perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan mestilah bermatlamatkan kejayaan, barulah hidup kita sentiasa terus maju dan mempunyai kekuatan dalam kehidupan seharian. :)

Category: Renungan & Motivasi | 2 Comments

Contohi Akhlak Rasulullah s.a.w

Friday, February 26th, 2010 | Author:

Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah s.a.w menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu  kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.

Sayidatina ‘Aisyah menceritakan “Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, beliau cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai sembahyang.”

Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘Wahai yang kemerah-merahan’)

‘Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah.”

Rasulullah s.a.w lantas berkata, “Jika begitu, aku puasa saja hari ini.” Tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya. Sebaliknya baginda sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah s.a.w menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukullah dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi s.a.w. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu itu?” Pernah baginda bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”

Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai bersembahyang, “Ya  Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”

“Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.”

“Ya Rasulullah… mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit…” Desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.

“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku… aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”

“Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buat aku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor. Hanya diam dan bersabar bila kain rida’nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing si Badwi di dalam masjid itu sebelum menegur dengan lembut perbuatan tersebut.

Mengenang peribadi yang amat halus ini, timbul persoalan dalam diri kita… adakah lagi bayangan peribadi baginda Rasulullah s.a.w. hari ini? Apa yang kedengaran sehari-hari sepertimana yang didedahkan oleh media massa hanyalah cerita-cerita derita akibat sikap mereka yang tidak berperanan di tempatnya. Amat sukar hendak mencari seorang manusia yang sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk orang lain semata-mata kerana takutkan ALLAH, sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Apakah rahsia yang menjadikan jiwa dan akhlak baginda begitu indah? Apakah yang menjadi rahsia kehalusan akhlaknya hingga sangat memikat dan menjadikan mereka yang hampir dengannya begitu tinggi kecintaan padanya? Apakah anak kunci kehebatan peribadi baginda yang bukan saja sangat bahagia kehidupannya walaupun di dalam kesusahan dan penderitaan, bahkan mampu pula membahagiakan orang lain tatkala di dalam derita. Nur Muhammad itu, yang ALLAH ciptakan semua makhluk yang lain kerananya, mempunyai kekuatan dalaman paling unggul. Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH s.w.t dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah s.a.w menolak sama sekali rasa ketuanan.

Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan. Ketika pintu Syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga oleh Allah? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?”

Jawab baginda dengan lunak, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur..”

Hayatilah kemuliaan hari kelahiran junjungan Nabi Muhammad s.a.w ini. Contohi keperibadian baginda s.a.w tentunya akan menjanjikan kita kehidupan yang sangat bahagia di dunia dan di akhirat. Selamat menyambut Maulidur Rasul.

Category: Islam | One Comment

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes