Taubat & Azam Tahun Baru 1431H
Thursday, December 17th, 2009 | Author: Wan
Saya mencatat post ini pada 17 Disember 2009. Dan esok, adalah 1 Muharram 1431 Hijriah, sebenarnya malam ni pun dah dikira tahun baru 1431 Hijriah. Saya kira anda sudah bersama-sama membaca doa akhir tahun 1430 Hijriah dan membaca doa awal tahun 1431 Hijriah. Tarikh 1 Muharram bermaksud permulaan tahun baru dalam kalendar Islam. Malang sungguh sekiranya anda tidak tahu esok adalah 1 Muharram, namun saya kira bukanlah satu perkara yang mustahil. Saya optimis, sedang segelintir umat Islam membaca doa akhir tahun dan awal tahun (di rumah atau di masjid), tapi masih ramai juga di kalangan rakyat Malaysia yang sedang asyik menonton TV menyaksikan perlawanan bolasepak Sukan SEA antara Malaysia lawan Vietnam sehingga terlupa amalan itu. Dan yang jelas sebenarnya ramai di kalangan kita yang hanya menunggu detik 31 Disember 2009 dan menyambut tahun baru 2010 tapi tidak tahu tentang kehadiran Maal Hijrah. Kenapa ye? Hrmm.. masing-masing sendiri jawablah.
Apa azam anda untuk tahun baru 1431 Hijriah? Sudahkah agaknya anda melaksanakan azam tahun lepas atau tahun-tahun yang lepas? Dalam doa akhir tahun, antaranya isi kandungannya ada menyebut tentang taubat, adakah kita telah bertaubat atas dosa yang kita lakukan? Atau adakah anda rasa bahawa anda langsung tiada lakukan dosa pada Allah, manusia dan mungkin kepada makhluk lain?
Perintah bertaubat termaktub di dalam al-Quran seperti dalam ayat-ayat berikut yang bermaksud:
“Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun.” (Nuh:10).
“Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (an-Nur:31)
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha.” (at-Tahrim:8)
Menurut Imam an-Nawawi: “Para ulama berkata, bertaubat daripada setiap dosa hukumnya adalah wajib”. Yang demikian, selain daripada wajib, taubat harus dikhususkan kepada sesuatu jenis dosa dan kesalahan. Maka wujudlah taubat kafir, taubat nifaq, taubat zina, taubat riddah, taubat bunuh, taubat minum arak, taubat mencuri, taubat menyamun, taubat memberi dan menerima rasuah, taubat menipu, taubat mendedah aurat, taubat merogol, taubat meliwat, taubat onani, taubat menagih dadah, taubat vandalisme dan 1001 jenis dosa biarpun setinggi gunung dan seluas samudera sekalipun.
Harus diingat, taubat yang hakiki ialah taubat nasuha yang bermaksud taubat yang tulus dan bersungguh-sungguh sehingga orang yang bertaubat tidak mengulangi perbuatan dosanya, menyesali dengan hati dan meminta ampun dengan lisan seperti dengan lafaz bermaksud: “Aku memohon keampunan Allah yang Maha Besar tiada Tuhan melainkan Allah, Dialah yang Maha Hidup, Maha Berdiri sendiri dan aku bertaubat kepada-Nya”. Atau sekurang-kurangnya “Aku memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat ke-padaNya”.
Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah bagaimanapun cuba melihat amalan taubat dari perspektif yang mudah dan tidak pula menyusahkan. Taubah, nadam dan istighfar menurut beliau bukanlah suatu yang memenatkan, bukan kerja berat yang membabitkan tulang empat kerat. Ia merupakan kerja yang berpusat di hati. Ianya menjadi persiapan untuk masa akan datang, sebagai perisai daripada segala dosa. Pandangan Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah ini telah meluaskan skop taubat yang tidak terbatas kepada masa lepas malah untuk masa akan datang, taubat bukan sekadar penghapus dosa malah sebagai perisai dosa.
Marilah kita bersama-sama bermuhasabah dan bertaubat atas apa dosa yang pernah kita lakukan. Sedangkan nabi s.a.w seorang rasul yang ma’sum seringkali melakukan taubat, kenapa pula kita sebagai manusia ini terlalu sukar memohon kepada Allah mengampuni dosa-dosa kita yang banyak?
p.s : Tahniah buat pasukan bolasepak Malaysia yang memdapat pingat emas Sukan SEA di Vietnam. Saya turut berbangga (dan terharu).
Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment








