Ramadhan Teras Kejayaan Bukan Kegagalan

![]()
Bulan Ramadhan adalah pentas mendapatkan kerahmatan dan keberkatan. Bulan mulia ini sedia maklum mencetuskan peluang untuk menambahkan rezeki dan menguatkan semangat berjuang. Ramadhan bukan bulan untuk kita berehat atau mengurangkan produktiviti. Sejarah Islam membuktikan fakta ini dan seharusnya kita sedia maklum bahawa Ramadhan adalah peluang terbaik untuk terus berusaha dan meningkatkan kualiti kerja. Bulan Ramadhan sebenarnya menyaksikan pelbagai peristiwa dalam lipatan sejarah Islam, antaranya:
# Kewafatan bapa saudara Nabi s.a.w, Abu Talib dan Ummul Mukminin Khadijah Khuwalid pada Ramadan tahun 10 kerasulan. Dengan peristiwa itu, mengakibatkan kedukaan kepada baginda dan tahun berkenaan digelar sebagai tahun duka.
# Perang Badar al-Kubra berlaku di antara orang Islam dan musyrikin pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Mengikut keterangan Ibn Hisyam, Rasulullah s.a.w bersama pejuang Islam berangkat dari Madinah menuju ke Badar pada 8 Ramadan dan pada 17 Ramadan berlaku peperangan itu.
Perang itu menjadi titik awal kebangkitan kaum Muslimin ke atas kekuatan Musyrikin dan kesesatannya. Pada tahun kedua Ramadan itu juga diwajibkan zakat fitrah.
# Peristiwa meruntuhkan berhala musyrikin terbesar dan termasyhur di sekitar kota Makkah oleh angkatan Islam turut berlaku pada Ramadan tahun ketujuh Hijrah.
Pasukan tentera pimpinan Khalid ibn al-Walid menghancurkan patung ‘Uzza manakala Umar ibn ‘Asy meruntuhkan patung Siswa’ dan pasukan Saad ibn Zaid al-Asyahily memusnahkan patung Mana.
# Pada 21 Ramadan tahun kelapan Hijrah, Allah memberikan nikmat kepada rasul-Nya dan orang Islam dengan kejayaan menakluki kota Makkah.
# Fatimah, iaitu puteri Nabi s.a.w, yang juga isteri kepada Saidina Ali Abu Talib dan ibu kepada Saidina Hassan dan Hussain wafat pada Ramadan tahun ke-11 Hijrah.
# Pada Ramadan tahun ke-15 Hijrah - peperangan Qadisiah, dengan orang Islam mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi. Kejayaan itu memberi erti cukup besar dan membolehkan bendera kedaulatan Islam berkibar di Parsi.
# Pada 584 Hijrah, Salahuddin Al-Ayyubi menewaskan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib (Kristian).
Ketika tiba Ramadan, penasihat Salahuddin menyarankan beliau berehat kerana bimbang ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab: “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam.”
Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadan. Pada 658 Hijrah, Kerajaan Mamalik mengalahkan dan menyekat kemaraan tentera Tartar Mongol di `Ain Jalut.
# Ibn Khaldun dilahirkan pada hari kedua Ramadan 732 di Tunisia. Abdur Rahman Ibn Muhammad Ibn Khuldun adalah seorang tokoh yang sangat terkenal dan bukunya yang masyhur ialah Muqaddimah.
Karyanya yang berjilid-jilid dan bernilai tinggi itu membicarakan banyak bidang ilmu, seperti lapangan sosiologi, ekonomi, politik, falsafah dan sejarah, yang diterjemahkan dalam banyak bahasa Eropah.
Beliau juga dikenali sebagai pengasas sosiologi moden. Beliau meninggal pada 808 di Mesir pada masa pemerintahan Sultan An-Nasir Li-Din Allah.
# Pulau Rhodes ditakluki orang Islam bawah kepemimpinan Junadah bin Abi Umayya. Rhodes adalah sasaran yang amat penting bagi orang Islam, kerana ia sebuah pulau kecil dekat pesisir pantai Constantinople dan tentera Romawi menggunakannya untuk menyerang kapal dan kota orang Islam yang berdekatan pantai.
Kerana itu orang Islam memulakan usaha dengan pulau ini dengan bantuan Allah pada Ramadan 53 Hijrah.
Dengan penaklukan itu, Muawiyah dengan segera menghantar orang Islam untuk tinggal di sana, menjadikan pulau terbabit pangkalan penting bagi tentera laut Islam. Ia juga banyak membantu penaklukan pulau Mediterranean yang lain dan mengakibatkan Constantinople bawah kepungan.
# Pada 20 Ramadan 1094 /12 September 1683, tentera Ottoman ditewaskan di luar tembok Vienna, sekali gus menandakan fasa baru dalam sejarah empayar yang begitu besar.
Pada 1683, Grand Vizier Kara Mustafa bersama tenteranya maju ke Vienna tanpa memaklumkan kepada Sultan. Pada permulaan, tentera Ottoman berjaya menguasai peperangan itu, tetapi kemudian pemerintah Qirm melakukan pengkhianatan dan mengizinkan pasukan tentera Eropah melalui sebuah jambatan dan menyerang tentera Ottoman.
Sebagai tambahan, kelemahan mula menjalar pada jantung tentera Ottoman. Penghianatan itu akhirnya membawa kepada kekalahan.

Like What You Read? Subscribe Now For Updates!







