Home

Formula Ibubapa Cemerlang

Wednesday, February 03rd, 2010 | Author: Wirasutra

Sambil bersantai jam 9 malam tadi, sempat saya menonton sebuah rancangan baru di TV3 iaitu ADUAN RAKYAT. Ada dua tiga segmen/topik diutarakan dalam episod kali ni. Namun segmen yang sangat mengejutkan saya ialah tentang kegilaan pelajar-pelajar sekolah yang terlalu taksub kepada permainan siber di Cyber Cafe yang mendorong mereka ponteng sekolah. Sejumlah 25 orang pelajar ditangkap di salah satu pusat cyber di Kapar termasuk 3 pelajar perempuan, dan kesemuanya ditangkap ketika sesi persekolahan sedang berjalan… dan mereka ini sedang leka bermain permainan cyber tanpa ada rasa bersalah melakukan tindakan ponteng sekolah.

Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan? Tentunya jawapan pihak sekolah ialah mereka tiada kuasa untuk memantau pelajar yang berada di luar kawasan sekolah. Dan secara peribadinya, saya rasa semua pihak perlu bekerjasama membenteras masalah sebegini, termasuk pembabitan pihak berkuasa seperti polis. Sejauhmanakah pula peranan PIBG membantu pihak sekolah menangani masalah ini? Peranan ibubapa sangat penting kerana sikap kebertanggungjawaban penuh ibubapa tentunya mampu memantau dan mendidik anak-anak ke arah menjadi insan yang terbaik.

Saya mahu berkongsi sedikit tentang bagaimana ibubapa mampu menjadi ibubapa yang hebat dan cemerlang. Formula berikut mungkin mampu memberi ruang kepada kita untuk bermuhasabah sejauhmana peranan yang kita telah buat untuk mendidik anak-anak..

1. MENGUASAI ILMU DAN HIKMAT.

Dalam surah Luqman ayat 12, Allah menjelaskan bahawa Luqman telah dikurniakan hikmat. Imam Ibn Kathir mentafsirkan hikmat sebagai ‘kefahaman, ilmu dan tadbir (iaitu pengurusan yang baik).’ Justeru ibu bapa perlu menguasai dan memahami ilmu, terutamanya ilmu agama berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Penguasaan ini perlu disusuli dengan pengurusan hidup yang baik. Tampa ilmu dan kefahaman ibu bapa menjadi seperti musafir yang berjalan tanpa peta.

2. MEMENTINGKAN IMAN DAN TAQWA.

Berhubung dengan ini, Luqman menjelaskan, jika ada suatu benda yang kecil, seperti biji sawi, disembunyikan di langit, dalam bumi, dalam natu yang besar atau di tempat-tempat lain, Allah tetap mengetahuinya. Hal in disebut dalam surah Luqman ayat 16. Pendidikan Luqman ini bertujuan untuk melahirkan perasaan muraqabah, iaitu merasai bahawa Alah sentiasa melihat gelagat hambanya di mana saja hamba itu berada. Jika perasaan ini menguasai hati seseorang, ia akan menjadi penasihat dan penyelamat bagi seseorang.

3. MEMELIHARA IBADAH.

Antara ibadah yang perlu diutamakan ialah solat. Luqman menyuruh anaknya menegakkan solat. Menegakkan solat bermaksud bersolat secara berterusan dengan memelihara waktu-waktu dan tatacaranya, di samping mementingkan khusyuk ketika bersolat. Solat mempunyai pengaruh yang besar kepada anak-anak.

4. MEMELIHARA AKHLAK.

Antara akhlaq yang ditekankan dalam surah Luqman ialah bersikap tawaduk dan tidak sombong ketika bergaul dengan manusia. Beliau juga mengingatkan anaknya agar bersederhana dalam hidup dan tidak meninggikan suara ketika bercakap. Akhlaq yang mulia berkait rapat dengan iman seseorang.

5. BERSIKAP POSITIF DALAM UJIAN.

Dalam konteks ini, surah Luqman ayat 17 mengingatkan anaknya kepentingan sabar dalam hidup. Sbar berkait rapat dengan sikap positif. Dengan penekanan ini anak-anak akan cekal mengharungi pancaroba dan liku-liku kehidupan. Anak-anak juga perlu diingatkan bahawa sabar adalah proses ke arah kejayaan.

6. MEMBINA KEMAHIRAN.

Antara kemahiran yang dinyatakan dalam surah Luqman ialah komunikasi berkesan. Luqman menasihati anaknya secara terus tanpa rasa kekok. Ini menunjukkan bapa memainkan peranan yang amat penting dalam pendidikan anak-anak. Ketika memberi nasihat, Luqman menggunakan perumpamaan untuk memudahkan kefahaman. Ini menunjukkan Luqman mempunyai kemahiran berkomunikasi. Antara aspek penting yang perlu ada ketika berkomunikasi ialah kelembutan. Mengiku imam Ahmad dan Baihaqi, nabi bersabda “Jika Allah menghendaki kebaikan bagi sesebuah keluarga diberikan sifat lemah lembut dalam keluarga itu”.

7. PEKA DAN BERPERANAN.

Anak-anak perlu dididik agar berperanan dengan mengajak rakan-rakan mereka kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran (ayat 17). Dengan nilai dan sikap ini, anak-anak tidak akan menjadi golongan yang terpengaruh sebaliknya menjadi golongan yang mempengaruhi.

Oh ya, di mana anak anda sekarang? :)

Sumber rujukan diambil daripada buku Dr Danial Zainal Abidin.

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment

Rakyat Kita – Ambil Peduli

Monday, February 01st, 2010 | Author: Wirasutra

Perhatikan video di bawah, sejauhmana keprihatinan masyarakat kita..? :(

Anda tentukan..

Category: Bual Kosong | Leave a Comment

Ranking Web Pendidikan

Saturday, January 30th, 2010 | Author: Wirasutra

Nampaknya Ranking Web Pendidikan di bawah kelolaan saya semakin mendapat sambutan. Setakat post ini dicatat, jumlah web yang didaftarkan dalam ranking tersebut sebanyak 107 buah laman web yang semuanya berunsurkan ilmu dan pendidikan, sama ada kepunyaan Pejabat Pelajaran Daerah, sekolah rendah, sekolah menengah atau persendirian. Jika anda mempunyai laman web yang bercirikan pendidikan, apa salahnya mendaftar di situ dan web anda pasti mendapat ranking yang baik. Oh ya, jangan risau, pendaftaran hanya percuma saja, tiada sebarang caj dikenakan. Apa yang perlu anda lakukan ialah hanya meletakkan kod HTML web Ranking Pendidikan di web/blog/portal anda saja. Namun.. jika saya rasakan web anda tidak menepati ciri-ciri pendidikan atau sekadar web perniagaan/iklan, saya tidak akan teragak-agak memadamkan web anda, atau mungkin anda terus diban dari mendaftar di web tersebut.

Daftar di sini : www.wirasutra.com/ranking

Marilah kita berkongsi web berilmu, moga mendapat kebaikan buat semua. :)

Category: Teknologi | Leave a Comment

Tips Supaya Motorsikal Anda Selamat

Sunday, January 24th, 2010 | Author: Wirasutra

Salam buat anda..

Kali ni saya nak post satu entri khas pasal tips supaya motor anda yang baru dibeli tidak terlalu mudah hilang dicuri oleh penyangak. Saya dah serik bila motor  Yamaha FZ150i yang baru seminggu dibeli tiba-tiba hilang dalam kawasan pagar rumah sendiri. Mesti ada something wrong ni.. :(

Fikirkan tips di bawah..

1. Jika anda beli motorsikal secara tunai khasnya atau secara ansuran amnya, pastikan anda tak beritahu alamat tempat tinggal anda (di mana motor tersebut bakal disimpan/rumah anda) kepada pihak kedai motorsikal.. sebab mereka boleh curi motorsikal anda bila2 masa saja dengan menggunakan kunci pendua.. ni biasanya kerja pomen kedai motor tu. Bagi saja alamat rumah mak mertua ke, rumah kakak/abang atau rumah mak kat kampung.. lebih selamat. Jangan terlalu MESRA dengan penjual motorsikal tu, nanti banyak rahsia anda dia tahu, termasuk keadaan ciri-ciri keselamatan di rumah anda.

2. Jangan sesekali meninggalkan kunci motorsikal kepada pihak kedai/bengkel motorsikal sama ada untuk dibaiki atau servis, begitu juga jika membasuh motorsikal di kedai cuci kereta/motor.

3. Pasang alarm (walaupun sesetengah pihak kata ianya membazir je). Ingat sebelum kena, ambil yang positif. Tapi agak-agak la.. jangan pula setkan alarm waktu solat Jumaat, bingit telinga kalau berbunyi.. hehe…

4. Kunci back up pada motor bila-bila saja motorsikal anda tak digunakan. Pasang kunci lain seperti kunci mangga, rantai atau sebagainya yang bersesuaian pada tempat-tempat tertentu dan pastikan kunci itu bukan ‘cap ayam’, biar mahal tapi lebih selamat. Sekurang-kurangnya ia mampu melambatkan usaha jahat si penyangak tu merealisasikan impian mereka. Jangan beli atau pasang alarm daripada kedai motorsikal di mana anda beli motorsikal tu.

5. Pastikan insuran yang diambil dapat cover semula kos (atau sebahagian besar) sekiranya motorsikal anda dicuri atau hilang, bayar lebih sikit untuk insuran tidak mengapa daripada anda hanya berputih mata menanggung kerugian yang sangat-sangat banyak.

6. Jangan tinggalkan motorsikal anda di kawasan sunyi atau lorong gelap/terlindung.

7. Jangan harapkan sangat penyangak yang curi motorsikal anda dicekup dan anda dapat semula motorsikal yang hilang, bak kata pegawai penyiasat pada saya.. ” Nasib ler.. jumpa ada, tak jumpa tak de ler..”. Apa punya jawapan entah, tak profesional langsung. Habis tu apa kerja dia ye? :P

Sekadar itu perkongsian saya (berdasarkan pengalaman pahit dan kejahilan) kepada sesiapa yang bakal membeli motorsikal atau sesiapa yang baru memilikinya. Pengalaman pahit saya terlalu banyak memberi pengajaran. Elakkan berlaku kepada anda.

Category: Bual Kosong | Leave a Comment

Empat Isteriku

Tuesday, January 19th, 2010 | Author: Wirasutra

Tentu gempak tajuk entri saya kali ni, kan? :D

Saya ada satu kisah buat tatapan anda..

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, “Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.

Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan berkahwin lagi jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?” Si isteri kedua menjawab perlahan, “Maafkan aku… aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan pusara yang indah buatmu.”

Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, “Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.” Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”

Sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa rapat pun hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi.

Namun sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi ke mana pun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!

Jumpa lagi ye.. ;)

Category: Renungan & Motivasi | Leave a Comment